++ Suntikan Semangat! ++

Wednesday, June 3, 2015

- Bunga di Taman Larangan 1 -


Assalamualaikum. :)

Hai rajin pulak update blog 2, 3 hari ni. Walaupun tengah busy gila, tapi sbb saya kat kampung jadi dapat luangkan masa jenguk blog sbb ada wifi. Kalau kat kolej jenuh pakai mobile internet yg ciput tu..

So since saya nak dapat 'baby' baru, insyaAllah andai takde aral melintang, so saya nak share sikit2 teaser utk BDTL. Tapi saya tak share bab demi bab, saya cuma cari mana2 part yg saya rasa menarik utk saya share.

Enjoy guysss.


~~~

“SAYA dah orderkan untuk Encik Ben. Tak tahulah Encik Ben suka ke tak,” kata Syarizad sesudah Ben muncul dan duduk di depannya.
            “Thanks.” Ben ukir senyum nipis.
            Syarizad mengangguk. Nasib baiklah Restoran Grandmama Cafe & Cuisine itu turut menghidangkan makanan-makanan Melayu. Kalau ada western aje, entah macam mana dia nak order. Tergeliat lidah hendak menyebutnya. 
Syarizad menyanggul kemas rambut panjangnya. Kemudian dua butang kemeja yang paling atas dibuka.
Ben yang perasan tingkah itu terus menarik nafas panjang. Syarizad... Syarizad... Lepas ni entah apa lagi yang hendak ditayangnya. Keluhan terlepas lemah. Bukan tidak pernah dia berhadapan dengan gadis seksi sebegitu, malah setiap kali pulang ke London lebih daripada itu pun dia pernah tengok. Tetapi berhadapan dengan Syarizad benar-benar memberi satu perasaan yang aneh dalam dirinya.
“Lepas ni saya hantar awak balik terus. Awak stay mana?” Ben bertanya, sekadar membuang rasa tidak enak di sudut hatinya.
“Hmm... tak menyusahkan Encik Ben ke?” Syarizad mengerling wajah Ben yang nampak tenang.
I brought you here, so I need to take you home.
Syarizad mengangguk seraya tersenyum. Gentleman! Satu markah untuk Ben. Nantilah dia SMS Pak Ali bagi tahu. Sambil makan, sempat lagi dia memerhatikan Ben dalam diam. Jauh di sudut hati, dia sebenarnya sangat-sangat menyenangi Ben. Walaupun dia bos dan memegang jawatan tinggi di syarikat, tapi dia langsung tidak sombong. Betullah kata Kak Aiza, Ben Ikhzal Bin Datuk Jaini memang sangat baik orangnya. Tapi kenapa Datin Hazleena sanggup nak lukakan hati anak tirinya sendiri? Hmm... manusia kalau mata sudah dikaburi dengan wang ringgit, apa pun sanggup. Dan dia cuma muncul sebagai watak tambahan yang menambahkan ‘perasa’ dalam jalan cerita yang sudah tersusun cantik.
            Kereta Audi A6 Ben mula bergerak pulang. Berkali-kali Ben mencuri pandang ke arah Syarizad yang duduk tenang di sebelahnya. Memanglah Syarizad tenang, tapi jantungnya sekarang yang tengah tak tenang. Kepalanya tergeleng-geleng sendiri. Entah-entah Syarizad tahu tak yang dia tak pernah berkawan rapat dengan orang perempuan selama ini? Itu yang makin seronok dia buka sana, buka sini.
            “Kenapa, Encik Ben?” tanya Syarizad hairan.
            “Syari... boleh tak awak butangkan balik baju awak tu?” pinta Ben tanpa memandang Syarizad.
            Syarizad spontan tunduk memandang bahagian dadanya. Bibir tersenyum lagi. “Kenapa, Encik Ben? Saya mengganggu Encik Ben ke?”
            “Syari, sekarang ni, dalam kereta ni, cuma ada awak dengan saya. Tak takut ke kalau apa-apa jadi?” Ben seolah-olah mengugut.
            Syarizad tertawa kecil. “Saya tahu Encik Ben baik. Kan? Lagipun apalah sangat... Saya cuma bukak butang ni sikit aje...”
            Ben tergeleng-geleng lagi. Berani betul perempuan ni. Nasib baik iman aku ada lagi. Kalau orang lain, tak tahulah macam mana.
            “Lagipun panaslah, Encik Ben...” Syarizad bermain-main dengan rambutnya pula. Sengaja nak menggoda.
            Ben spontan menaikkan suhu aircond dalam keretanya itu. “Dah cukup sejuk?”
            Syarizad mengetap bibir. Taktik tak menjadi nampaknya.
            Ben mencapai pula kotnya yang tergantung pada kusyen yang diduduki. Kemudian kod itu diletakkan di atas riba Syarizad, sekali gus menutup pahanya yang terdedah.
            Syarizad makin sakit hati. Eii, mahu tapi malu konon! Geram pulak aku. Bebelnya dalam hati. Terus dia mengunci mulut sampailah kereta Ben berhenti di kawasan rumahnya.
            “Terima kasih hantar saya balik,” ucap Syarizad dengan suara tanpa nada.
            Ben mengangguk. “Tidur nanti jangan lupa baca doa, baca tiga kul, baca surah Al-Mulk. Jangan lupa jugak zikir...”
            “Okey, okey. Saya tahu macam mana nak tidur.” Cepat-cepat Syarizad memotong kata-kata Ben. Panas hati dengan pesanan Ben. Ustaz betul dia ni, bebel hatinya.
            Ben cuma angkat kening. Dia cuma mengingatkan. Kalau Syarizad dah tahu, baguslah.
            “Jumpa esok,” tambah Ben lagi sebelum Syarizad keluar dari keretanya.
            Syarizad sekadar mengangguk. Kalau pesanan ‘jumpa esok’ itu membawa maksud ‘esok kita keluar sama-sama lagi’ tak apalah juga, ini maksudnya ‘esok jangan lupa masuk kerja’.

Pintu kereta ditutup semula. Sekejap saja, Ben sudah memecut pergi. Nafasnya dihembus panjang. Bukan main lagi dia menggoda, sudahnya dia kalah juga dengan pesanan Ben yang berbentuk tazkirah. Mungkin salah dia juga, terlalu memandang rendah terhadap Ben. Entah-entah Ben tu memang kuat agama orangnya. Hah, sekarang siapa yang dah surrender?

~to be continued

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...