++ Suntikan Semangat! ++

Tuesday, February 10, 2015

- Cerpen: Florita -


Cerpen ni ditulis khas untuk #TeamAsylum. Nak tahu apa tu #TeamAsylum, boleh jenguk BLOG ni okey. :D


FLORITA ~~


Selesai mengaminkan doa yang panjang yang penuh pengharapan, Florita bangkit mencapai naskhah Al-Quran yang diletakkan di bahagian paling atas rak buku miliknya. Dia duduk semula di atas sejadah dan menyelak helaian kalam Allah itu. Dimulakan dengan Bismillah yang membawa maksud ‘Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani’ dan terus melagukan surah-surah suci yang lain. Khusyuk sekali dia melagukannya hingga tidak sedar ada sepasang mata yang asyik memerhati di muka pintu bilik. Hanya selepas dia menamatkan bacaan, barulah dia terpandangkan Azlin yang sedang tersenyum kearahnya.
            “Boleh aku masuk?” tanya Azlin.
            “Sejak bila pula pandai mintak izin nak masuk bilik aku ni?” jawab Florita dengan nada memerli.
            Azlin tersengih. Dia masuk ke dalam bilik Florita lalu duduk di atas katil sementara sahabatnya itu menyimpan kembali Al-Quran di tangan dan menanggalkan telekung.
            “Aku suka dengar kau baca Quran tu, Flo. Walaupun ada lagi pelat-pelat Sabah kau tu, tapi sedap sangat bunyinya.” Azlin memuji ikhlas sambil memeluk bantal Florita. Betul dia cakap, suara Florita memang sedap apabila melagukan surah-surah suci Al-Quran. Sampaikan dia sanggup berdiri tercegat di depan pintu bilik setiap kali gadis itu mula mengaji.
            Florita duduk di sebelah Azlin. “Alah... kau pun baca sedap apa,” balasnya merendah diri.
            “Tak sesedap suara kau,” tukas Azlin.
            Florita menggeleng. “Tak kiralah sedap ke tak, yang penting kita sama-sama tak tinggal Al-Quran. Kan?”
            Azlin mengangguk setuju. “Aku kagum dengan kau, Flo.”
            “Kenapa?” Florita kerutkan dahi.
            “Yalah... walaupun kau mualaf, tapi kau tak pernah tinggal Quran. Orang yang dah memang Islam sejak kecik pun liat nak baca,” gumam Azlin. Itu yang membuatkan dia amat mengagumi Florita. Hingga kadang-kadang, dia rasa malu sendiri jika membandingkan dirinya dengan Florita. Dia dilahirkan Islam tetapi selalu tersasar dengan keindahan syurga dunia sedangkan Florita yang belajar mencari nur Islam itu sentiasa berusaha untuk selalu ada di jalan-Nya.
            “Lin... janganlah puji aku sampai macam tu. Kalau nanti aku riak macam mana?” Florita menjeling, sengaja berkata begitu untuk paksa Azlin berhenti memujinya. Puji-pujian hanya menambahkan rasa riak dalam hati, itu yang Florita tidak mahu.
            Azlin tergelak. Bahu Florita dipaut erat. “Tak ada maknanya kau nak riak. Aku kenal kaulah!” Pipi Florita pula yang dicubitnya.
            “Aduh!” Pipi yang sakit digosok-gosok. Florita memuncung. “Manusia boleh berubah, kan? Kalau hari ni aku tak riak, besok aku boleh riak. Begitu juga dengan orang lain. Mungkin hari ini tak selalu baca Quran, siapa tahu esok-esok akan setanding dengan hafiz dan hafizah?” balas Florita. Walau cuba dikawal, lenggok loghat Sabahnya masih belum boleh dibuang sepenuhnya.
            Azlin mengangguk sambil buat muka. Florita kalau bercakap, memang macam ustazah! “Okeylah, mak cik. Aku faham cakap kau.”
            “Bagus!” Florita pula yang angguk sambil tertawa halus.
            “Jom turun makan. Mak Cik Nita dah siap masak.” Azlin turun dari katil lalu menarik tangan Florita untuk sama-sama turun ke tingkah bawah.

Pin dikemaskan pada selendangnya. Memandang arca sendiri yang terbias di cermin, Florita menguntum senyum. Kemudian dia mencapai beg tangan bersama beberapa fail yang akan digunakan untuk mesyuarat sebentar lagi. Turun ke bawah, sarapan sudah pun siap terhidang di atas meja. Pagi ini giliran Azlin pula yang memasak sarapan.
            “Eh, aku dengar kan... wakil dari YT Holding tu handsome.” Azlin tersenyum-senyum dengan kening yang dinaik-naikkan.
            “Wah! Ini yang buat aku jealous ni,” sahut Nita. Tak semena-mena dia yang terlebih teruja.
            “Kau kenal?” tanya Florita. Nasi goreng di dalam pinggan disuap ke dalam mulut.
            Azlin menggeleng. “Tak kenal, tapi aku dengar staf-staf kat bawah tu duk bercakap-cakap.”
            “Ohh... tu sebablah kau excited bangun pagi-pagi hari ni eh?” Nita ketawa. Faham sangat dengan perangai Azlin.
            “Tak ada maknanyalah. Aku bangun pagi-pagi sebab hari ni turn aku masak,” bantah Azlin.
            Nita mencebik.
            “Dah, dah... makan cepat. Lambat, kau pergi sendiri.” Azlin mengugut sebelum menghirup teh O panas di dalam cawan. Memang setiap hari, dialah yang menjadi pemandu tak bergaji untuk Nita dan Florita. Nasib baiklah dia dan Florita bekerja di tempat yang sama dan jalan untuk ke pejabat Nita pula sehaluan. Jadi tak adalah menyusahkan dirinya. Lagipun, demi sahabat baik sendiri katanya.
            “Okey, jom!” Florita bangun dari kerusi lalu mencapai begnya. Kemudian barulah Nita dan Azlin menyusul.
            Sampai di pejabat, Florita dan Azlin masing-masing menyiapkan apa yang patut untuk mesyuarat sebentar nanti. Tepat jarum jam menghala ke pukul 9.00 pagi, semua staf yang terlibat sudah berada di bilik mesyuarat. Florita yang mengambil tempat di sebelah Azlin sempat melilaukan mata ke sekitar bilik mesyuarat, memerhati setiap wajah yang ada di situ. Setiap kali berlaga pandangan mereka, dia melemparkan senyuman manis tanda salam perkenalan. Tidak semena-mena, matanya terpaku pada satu wajah. Senyuman yang tadinya menguntum di bibir kian memudar. Entah berapa lama dia terdiam di situ, merenung wajah yang juga sedang merenung ke arahnya. Ketika lelaki itu melemparkan senyuman, barulah Florita tersedar. Sepantas kilat dia mengalihkan pandangan. Jantung berdegup laju mengepam darah ke seluruh tubuhnya.
            “Flo, aku rasa aku nampak someonelah.” Azlin berbisik tiba-tiba.
            Florita diam tidak menjawab, pura-pura khusyuk dengan mesyuarat yang baru saja bermula. Melihat reaksi Florita, Azlin pun malas nak komen lebih.
            Mesyuarat diteruskan seperti biasa. Florita mengambil langkah untuk berdiam diri dan menerima apa saja cadangan yang diutarakan. Mujurlah ada Azlin yang boleh tolong cover line. Macam manalah nak fokus kalau ada mata yang asyik merenung dari tadi? Kalaulah diberi izin, sudah lama Florita angkat kaki keluar dari bilik itu.
            Tamat saja mesyuarat, Florita antara orang pertama yang keluar. Fail-fail yang digunakan tadi diserahkan kepada Azlin untuk dibawa pulang ke tempatnya. Langkah diatur pantas menuju ke arah tandas. Di depan cermin, Florita merenung wajah sendiri.
            Ya Allah... betul ke dia? Betul ke? Tapi, kenapa mesti dia? Kenapa mesti sekarang, pada waktu aku dah berjaya hapuskan bayangan dia dari hati aku? Kenapa?
            Florita menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri sendiri. Yakin dia sudah makin bertenang, barulah dia menapak keluar dari tandas. Langsung dia tidak menyangka yang lelaki itu sedang menunggunya di luar. Mungkin tadi lelaki itu nampak dia masuk ke tandas dan sengaja mencari ruang supaya mereka dapat bercakap berdua.
            “Hai,” Yusra menyapa. Senyuman diukirkan untuk Florita.
            Florita membalas hambar. Pandangannya dikalihkan ke arah lain. Sesungguhnya dia masih belum bersedia untuk berdepan dengan Yusra. Setelah bertahun-tahun berlalu, bukan sekarang masanya.
            “Siti Aisyah Binti Abdullah...” Yusra menyebut perlahan nama itu. Ketika dia mendengar nama itu melintasi telinganya, langsung dia tidak menyangka wanita itu adalah wanita yang sedang berdiri di depan matanya ketika ini, wanita yang bertudung litup dan hampir sempurna menutup aurat. Tidak disangka itulah nama Islam untuk wanita yang dulunya dikenali dengan nama Florita Tracey.
            “Ingat saya lagi?” tanya Yusra lagi. Walaupun Florita langsung tidak menoleh pandang ke arahnya, anak matanya masih tetap fokus pada wajah itu.
            Florita tidak menjawab. Sebaliknya hanya menundukkan wajah. Mana mungkin dia lupa Yusra, lelaki yang telah mendapat tempat di hatinya sejak sekian lama.
            “Lama sangat kita tak jumpa. Ada banyak benda yang saya nak bualkan dengan awak. Hmm... awak free sekarang? Kalau free, kita keluar minum kejap boleh?” Yusra mencuba nasib.
            “Hmm... sorry, sekarang waktu kerja.” Pendek jawapan Florita. Kekok dan gugup, itulah yang dirasakan sekarang.
            Yusra terdiam seketika. Betapa rindunya dia dengan suara itu, namun dia tahu tidak sepatutnya membiarkan perasaan sendiri menguasai akal fikiran. Lagipun Florita seorang ajnabi yang tidak sepatutnya didekati dengan niat yang tidak baik. Nafas panjang dihembus perlahan. “Kalau macam tu, lunch nanti?”
            “Err...”
            “Please...” Tidak sempat Florita menjawab, Yusra terlebih dahulu memintas.
            Tiada jawapan daripada Florita. Gadis itu diam membisu dengan wajah yang masih lagi tunduk.
            “Lunch nanti saya datang ambik awak. Okey?” ujar Yusra.
            Masih tiada jawapan daripada Florita. Dia mahu menolak tapi entah kenapa bibir terasa berat sekali untuk menuturkannya.
            “Assalamualaikum,” ucap Yusra sebelum melangkah meninggalkan Florita di situ.
            Langkahnya hanya diperhati kosong oleh Florita. Tanpa sedar satu keluhan terlepas. “Waalaikumussalam.”

“Sejak bila awak kerja kat sana?” tanya Yusra seraya menyedut jus tembikai dalam gelas di depannya.
            “Almost two years,” jawab Florita. Kalau tadi dia rasa kekok, kini semua rasa itu sudah semakin berjaya diatasi. Mungkin sebab tidak sekali pun Yusra menyebut tentang kisah lama mereka berdua. Namun begitu, tetap terselit rasa kecewa jauh di sudut hatinya.
            “Tak sangka pulak kita akan jumpa lagi. Saya ingat lepas habis belajar dulu, saya takkan ada peluang untuk jumpa awak lagi,” balas Yusra. Ada senyuman di bibirnya.
            Florita mengangguk, setuju dengan kata-kata lelaki itu.
            “Awak bahagia sekarang?”
            Florita spontan mengangkat muka memandang Yusra. Entah kenapa, dia merasakan soalan itu ‘lain macam’. Kenapa ya?
            “Tak, maksud saya... kehidupan awak sekarang. Makin okey dari dulu?” Yusra membetulkan ayatnya tadi, tak mahu Florita salah faham.
            “Ohh...” Florita mengangguk sekali. “Better.” Sepatah dia menjawab.
            “I’m glad to know that,” balas Yusra pula.
            Untuk apa? Bisik hati Florita.
            “Awak pun nampak lebih cantik dari dulu.” Terlepas pujian itu daripada bibir Yusra. Wajah Florita direnung lagi. Akal cuba menasihati supaya dia menjatuhkan pandangan tapi hati tidak mahu mendengar.
            Florita menundukkan wajah. Ada senyuman hambar di bibirnya. “Saya masih lagi Florita yang dulu. Tak ada apa yang berubah.”
            “Banyak yang berubah, Flo. Atau... mungkin saya patut panggil awak Aisyah?”
            Florita ketawa kecil. Kepalanya tergeleng-geleng. Sudu dan garpu di tangan diletakkan di birai pinggan. Jam di tangan ditoleh. “Saya kena balik ofis sekarang.”
            “Awal lagi. Lagipun, saya masih tak puas borak dengan awak,” tahan Yusra. Bukan cuma tak puas borak, tapi juga tak puas lagi menatap wajah Florita. Terasa beban rindu yang ditanggung selama ini terlerai bebas.
            Florita memaksa senyuman. “Saya kena balik. Kalau awak tak dapat hantar, saya naik teksi.”
            “Okey, okey... saya hantar awak. Tapi, kita boleh jumpa lagi lain kali, kan?” Yusra masih mencuba nasib. Dia tahu Florita bagaikan cuba mengelak darinya. Membaca daripada gerak-geri dan reaksi gadis itu saja dia sudah tahu semuanya. Tetapi dia tetap tidak mahu mengalah. Cukuplah dia membazir masa selama bertahun-tahun memendam perasaan sendiri.
            “Insya-Allah.” Hanya itu balasan Florita sebelum dia terus bangkit berdiri.

Kisah Florita dan Yusra bermula sejak zaman mereka bergelar pelajar lagi. Waktu itu, Florita Tracey hanyalah seorang gadis dari Sabah yang datang untuk menuntut ilmu di menara gading. Sudah takdirnya, dia berkenalan dengan Yusra yang ketika itu juga menuntut di universiti dan juga jurusan yang sama dengannya. Perkenalan yang bermula ketika hari pertama kuliah bermula dan berlanjutan hingga mereka menjadi semakin rapat dan akrab.
            Bagi Florita, Yusralah tempat dia bergantung harap memandangkan keluarganya tinggal jauh di Sabah. Setiap kali dia ada masalah, Yusralah orang pertama yang dia akan cari. Persahabatan yang erat antara mereka berdua tanpa sedar telah memutikkan perasaan yang berlainan di hati Florita. Bukan dia tidak cuba menafikan, tetapi semakin dia menidakkan perasaan itu, semakin kuat rasa sayangnya buat Yusra.
            Namun untuk meluahkannya kepada Yusra, Florita tidak mampu. Dia tidak mahu kecewa walaupun dia dapat merasakan Yusra juga punya perasaan yang sama sepertinya. Daripada cara lelaki itu melayannya, dia yakin bahawa dia tidak bertepuk sebelah tangan.
            “Flo, nanti kalau awak dah habis belajar, jangan lupa saya tau? Kalau awak nak kahwin, jangan lupa jemput saya,” kata Yusra dengan nada mesra. Ketika itu mereka berdua sedang duduk di tepi gelanggang sambil menyaksikan perlawanan futsal antara fakulti yang sedang berlangsung.
            “Saya mahu kahwin dengan siapa?” balas Florita sambil mengerutkan dahi. Dia tahu Yusra cuma bergurau.
            “Dengan siapa-siapa yang nakkan awaklah.” Selamba Yusra menjawab.
            Florita menggeleng. “Tapi kalau saya nda mahu sama orang itu?”
            “Kenapa? Awak dah ada pilihan hati sendiri eh?” gurau Yusra sambil tergelak mengusik.
            Florita terdiam sebentar. Dia ada jawapan untuk soalan itu tapi jawapannya bukan untuk didengari Yusra. “Hmm... kamu?”
            “Saya?” Yusra bertanya, merujuk kepada diri sendiri.
            Florita mengangguk.
            “Saya mana ada kekasih. Kat sini pun, saya paling rapat dengan awak aje.”
            “Samalah dengan saya. Saya mana ada siapa-siapa, cuma saya paling rapat dengan kamu,” balas Florita laju. Separuh hatinya lega dengan jawapan Yusra. Sekurang-kurangnya dia tahu hati Yusra masih belum dimiliki sesiapa.
            “Kalau macam tu... awak kahwin dengan saya ajelah.” Yusra sengih mengusik.
            Florita menunduk. Wajahnya memerah tiba-tiba.
            “Blushing?” tegur Yusra. Kemudian dia ketawa.
            “Eii... kamu ini jahatlah. Mana ada saya blushing.” Bahu Yusra ditolak geram. Rambut yang ditocang satu dibetul-betulkan untuk menutup gabra.
            Yusra ketawa lagi. Tanpa sedar, wajahnya direnung Florita dengan ekor mata. Sungguh pada waktu itu, Yusra tidak sedar bahawa dia telah memasang angan dalam diri Florita untuk bersama dengannya satu hari nanti. Mungkin juga Yusra tidak sedar dia seolah-olah telah memberikan harapan kepada Florita untuk mengayam impian tentang mereka berdua di masa hadapan.
            Yusra mungkin bergurau, tetapi Florita menganggapnya sebagai satu janji yang pasti akan ditepati.
            Sehinggalah hari itu tiba. Hari di mana Florita sedar di mana letak dirinya di mata Yusra. Sewaktu Yusra sedang melepak di kafe bersama rakan-rakannya, Florita datang mendekat. Namun belum sempat dia menegur, langkah kakinya terhenti dengan sendirinya apabila terdengar apa yang dibualkan oleh mereka.
            “Aku tengok kau rapat betul dengan budak Sabah tu. Ada apa-apa ke?” Syam bertanya sambil menepuk bahu kanan Yusra.
            “Siapa? Florita?” Yusra memulangkan soalan, mahukan kepastian.
            “Eh, kau ada rapat dengan orang lain ke selain dia? Aku tengok kau ke hulu ke hilir dengan dia aje...” Arif pula menokok sebelum dia dan Syam sama-sama ketawa.
            Yusra tersenyum hambar. “Tak adalah, aku dengan dia kawan aje.”
            “Macam tu punya rapat kau kata kawan? Biar betul kau ni!”
            “Betullah. Aku cuma kawan dengan dia. Bukannya ada perasaan apa-apa pun...”
            Waktu itu, Florita merasakan hatinya hancur luluh. Tegarnya Yusra menuturkan kata-kata itu. Kata-kata yang benar-benar telah menggores sekeping hatinya. Dia seolah-olah semakin sedar di mana letak dirinya di hati Yusra. Dia bukan siapa-siapa buat lelaki itu. Dia hanyalah seorang gadis yang cuma dianggap sebagai rakan biasa tetapi tersilap memasang angan untuk memiliki lelaki itu.
            “Lagipun kita orang berlainan agama, takkanlah aku nak kahwin dengan dia kut?” tambah Yusra lagi.
            “Boleh convert, kan? Hai... takkan tak sanggup nak bimbing kut?” Syam masih tak puas memprovok.
            Yusra menggeleng. “Bukan tak sanggup, cuma takut tak mampu. Nak membimbing isteri tu tanggungjawab besar, apatah lagi kalau mualaf. Aku takut aku tak mampu.”
            Florita kian menundukkan wajah dengan kolam mata yang bergenangan.
            “Lagipun kalau aku nak kahwin, aku nak cari perempuan yang seagama, yang cukup ilmu fardhu ain dan yang penting, menutup aurat.”
            Menitis juga air mata Florita akhirnya. Ciri-ciri yang disenaraikan Yusra tiada pada dirinya walaupun satu. Dia terasa diri ibarat seekor pipit yang cuba untuk terbang sama tinggi dengan seekor enggang. Secepat kilat dia membawa langkah meninggalkan kafe menuju ke arah tandas. Air mata jatuh bercucuran. Lajunya mengalir ibarat aliran air di sungai. Hatinya pedih... amat pedih. Yusra yang memberi harapan, dan Yusra juga yang menghancurkan harapan itu. Kalau benar Yusra tidak punya apa-apa perasaan kepadanya, kenapa mesti melayan dia sampaikan dia sempat membina angan dalam mimpi sendiri? Apa tujuan Yusra sebenarnya?
            Sejak itu juga, Florita mula membina jurang dengan Yusra. Dia mula belajar untuk mengabaikan setiap panggilan dan setiap kiriman SMS Yusra. Setiap kali Yusra cuba menegur, setiap kali itu juga dia akan melarikan diri. Ternampak saja Yusra di mana-mana, dia akan terlebih dahulu angkat kaki sebelum sempat lelaki itu nampak dirinya.
            Pedih yang ditanggung di hati, semuanya diceritakan kepada Azlin. Azlin yang setia di sisi mendengar setiap cerita, Azlin yang sudi meminjamkan bahu untuk dia menangis dan Azlin yang selalu memberikan semangat untuknya.
            Kerana Azlin juga Florita yakin, dia masih mampu hidup walaupun tanpa Yusra di sisi.

“Jauh termenung?”
            Teguran itu mengejutkan Florita. Punah segala kisah silam yang tertayang di ruang mata seketika tadi. Mata yang basah dikesat sepantas kilat, tidak mahu Azlin tahu dia sedang berduka. Azlin mengambil tempat di sisinya di atas katil.
            “Masih berharap pada dia?”
            Pertanyaan itu kembali mengudang rasa sebak di hati Florita. Dia menunduk dengan kolam mata yang bergenangan.
            “Flo... it’s been years okay?”
            “Aku tahu... tapi...” Air mata Florita menitis lagi. Azlin menariknya ke dalam pelukan. “Aku sangka aku dah boleh lupakan dia. Tapi aku silap, Lin. Hanya dia lelaki yang ada dalam hati aku ni, dari dulu dan tak pernah berubah sampai sekarang...”
            Azlin mengusap bahu Florita. Dia faham apa yang dirasakan gadis itu. Dia yang setia mendengar setiap cerita Florita tentang Yusra dan sehingga kini pun, ‘tanggungjawab’ itu masih tergalas di atas bahunya.
            “Serahkan semuanya pada Allah, Flo. Kalau ada jodoh kau dengan dia, kau tetap akan bersama dia satu hari nanti,” pujuk Azlin.
            “Kalau tak?” tanya Florita dalam esak tangisnya. “Kalau aku dengan dia tak ditakdirkan untuk bersama?” Dipandang wajah Azlin dengan renungan kabur.
            “Kau percaya sepenuhnya pada Allah, kan?” tanya Azlin perlahan.
            Florita mengangguk.
            “Percaya sepenuhnya dengan janji Allah, kan?”
            Florita mengangguk lagi. Dia yakin dan dia percaya.
            “Kalau kau percaya, kau tak payah risau. Janji Allah tu pasti.”
            Menitis lagi sang air mata. Florita mengeratkan pelukannya pada tubuh Azlin.

“Lin, dah masuk waktu zuhur ni. Aku nak pergi solat dulu,” beritahu Florita sambil menunjukkan jam tangannya kepada Azlin.
            “Okey. Kau pergilah, aku pergi jalan-jalan kat sana,” balas Azlin. Dia sedang ‘bercuti’ jadi tak mahu mengikut Florita mencari surau dalam pusat membeli-belah itu.
            “Okey.” Florita mengangguk dan mula bergerak mencari surau. Agak ramai juga orang yang menggunakan surau itu tapi itu bukan penghalang untuk tidak solat. Satu yang Florita tetapkan dalam diri semenjak dia memeluk Islam, apa saja yang terjadi, solat tetap perlu ditunaikan. Bukankah solat itu tiang agama?
            Selesai mengerjakan solat, Florita keluar dari surau. Entah apa kebetulannya, di situ dia terserempak pula dengan Yusra yang hanya bersendiri. Florita terdiam di situ sementara Yusra terpaku memandang dirinya. Betullah mata tidak boleh menipu. Memandang Florita tanpa sebarang solekan selepas solat sangat menenangkan hatinya.
            “Sorang?” Yusra berbasa-basi.
            “Tak, dengan Lin,” jawab Florita. Dia mula bergerak menjauhi kawasan surau sementara Yusra pula berusaha menyaingi langkahnya.
            “Alang-alang kita jumpa kat sini, apa kata kalau kita pergi minum? Saya belanja,” cadang Yusra.
            “Tak bolehlah. Lagipun saya datang dengan Lin. Takkan nak biar dia sorang-sorang.” Florita menolak cara baik. Selebihnya, dia cuma berusaha untuk mengelak dari Yusra.
            “Ajak dia sekali.” Bukan semudah itu untuk Yusra mengalah.
            Florita menggigit-gigit bibir bawahnya.
            “Please...”
            Kenapa dia sering kalah dengan rayuan itu? Entahlah, Florita sendiri tiada jawapannya.

Azlin memerhatikan kedua-duanya yang hanya membisu. Yang seorang diam merenung skrin telefon bimbit di tangan, yang seorang lagi mengacau-ngacau straw di dalam gelas macam orang jiwa kacau. Azlin mengeluh, faham yang kedua-duanya perlukan privasi.
            “Aku pergi sana dulu. Nanti kalau dah nak balik, give me a call okay?” Ditepuk sekali bahu Florita sebelum berlalu meninggalkan kedua-duanya di situ.
            “Aisyah...”
            Florita mengangkat muka. Mendengar nama itu dipanggil, dia dapat rasa ‘sesuatu’ menyentuh hati. Entahlah kenapa...
            “Boleh saya tanya sesuatu?” Yusra memulakan.
            Florita sekadar mengangguk.
            “Hmm...” Yusra berjeda mengambil nafas. “Sejak bila awak peluk Islam?”
            Agak lama Florita terdiam sebelum menjawab soalan itu. “Sejak setahun yang lepas.”
            “Mind sharing?”
            Florita menarik nafas dalam-dalam sebelum mula bercerita. “Saya dah tertarik dengan Islam sejak zaman kampus lagi. Tapi masa tu saya tak yakin dengan diri saya sendiri. Lebih-lebih lagi bila saya tahu yang awak... awak...” Sukarnya untuk mengungkit kembali cerita itu. “Awak... cuma anggap saya tak lebih daripada seorang kawan sebab kita berlainan agama, saya makin kecewa. Lama saya pujuk hati saya sendiri. Masa saya kecewa tu, saya lebih banyak luangkan masa dengan duduk bersendiri. Setiap kali waktu malam, saya selalu dengar Azlin baca Al-Quran dan setiap kali saya tu jugak, hati saya rasa tenang sangat. Sejak tu saya mula sedar yang saya memang berminat untuk belajar tentang Islam dengan lebih dalam lagi.”
            Yusra terdiam mendengar cerita itu. Ada sesuatu yang ingin dinyatakan tetapi ditahankan dulu.
            “Saya belajar dengan seorang ustazah. Lama... sampai saya betul-betul yakin dengan diri saya, barulah saya buat keputusan untuk peluk Islam. Alhamdulillah, keluarga saya tak ada halangan. Walaupun kami berlainan agama, mama dan papa saya tak buang saya dari hidup mereka.”
            “Flo...” Yusra memanggil perlahan. Cerita Florita menyedarkannya tentang sesuatu. “Awak... awak tahu?”
            Florita memandang wajah Yusra. “Tentang apa?”
            “Tentang...” Berat rasanya Yusra mahu menuturkannya.
            “Tentang... awak cuma anggap saya sebagai kawan sebab kita berlainan agama?” Florita menyambung ayat yang tergantung itu.
            Yusra terdiam. Ya Allah... Jadi adakah sebab itu Florita membina jurang antara mereka? Adakah sebab itu Florita menyepikan diri hingga hubungan akrab mereka terputus begitu saja?
            “Saya tahu. Saya dengar semuanya,” tambah Florita lagi. Hatinya rasa bagai terhiris waktu itu tapi cuba untuk tidak ditunjukkan di depan Yusra.
            Yusra mengeluh panjang. “Flo... saya mintak maaf...”
            “Bukan salah awak. Salah saya sebab mengharap pada awak...”
            “Tapi saya yang bagi harapan tu pada awak. Saya sedar semua tu salah saya.” Yusra menunduk penuh kesal.
            Florita diam membisu.
            “Flo... kalau saya mintak peluang kedua, sudi tak awak maafkan saya?” Yusra merenung tepat ke dalam mata Florita.
            Florita masih lagi diam. Terasa bagai berada di alam mimpi. Yusra meminta peluang kedua?
            “Saya salah dalam menilai perasaan saya sendiri. Saya sebenarnya... sayangkan awak lebih daripada seorang kawan. Hanya selepas awak jauhkan diri daripada saya, baru saya sedar semua, Flo...” luah Yusra. Dia tak menipu. Itulah perasaan sebenar yang terpendam dalam hatinya selama ini.
            Setitis air mata gugur. Cepat-cepat Florita mengesatnya dengan hujung jari. Kepalanya tergeleng-geleng sendiri bagai menafikan apa yang baru dia dengar. “Yus, kalau awak cakap macam ni hanya sebab saya dah peluk Islam, awak silap.”
            “Tak, Flo. Ini bukan soal agama. Percayalah, saya cintakan awak sejak lama dulu,” luah Yusra lagi. Jujur dan ikhlas dari hatinya.
            Florita tetap menggeleng. Sukar untuk dia percaya kenyataan itu. Dia sendiri yang mendengar kata-kata memedihkan yang keluar dari mulut Yusra. Kenapa sekarang lain pula yang dikatakannya? Mustahil. Dia tak akan percaya semua itu.
            “Cukuplah, Yus. Kisah kita dah lama tamat. Jangan cari saya lagi...” Florita bangkit berdiri. Namun belum sempat dia melangkah, Yusra terlebih dahulu menghalang laluannya.
            “Flo, please... give me one more chance. Saya akan buktikan yang saya betul-betul ikhlas dengan awak. Just say yes and be my wife.” Berani sekali Yusra melamar Florita hanya dengan cara begitu.
            Florita rasa nak pitam ketika itu juga. Tetapi dia cepat sedar diri. Mustahil semudah itu. Mustahil. Kepalanya tergeleng-geleng menidakkan. Yusra hanya mengucapkan kata-kata itu hanya kerana sekarang dia sudah menjadi seorang Muslimah yang menutup aurat. Andai kata dia masih lagi Florita Tracey yang dulu, tentu Yusra tidak akan pernah sekali-kali mengaku cinta kepadanya.
            “Flo...”
            “Yus, please... let me go,” pinta Florita dengan sebak yang menggunung.
            Melihat air mata menitis dari birai mata gadis itu, Yusra kehilangan kata. Begitu dalamkah luka yang ditinggalkan untuk Florita dulu? Adakah sudah tiada walau secebis pun rasa sayang di hati Florita untuknya? Adakah dia memang sudah tidak punya tempat dalam hidup Florita? Walaupun secebis?
            Florita mengatur langkah menjauhi Yusra. Mungkin ini pengakhiran kisah mereka berdua. Mereka tak pernah bersama dan tak mungkin akan bersama.

Selesai membaca al-Quran, Florita memanjat katil sebelum menghidupkan komputer ribanya. Ralit dia duduk di depan komputer itu sambil membaca bermacam-macam jenis artikel di internet. Tiba-tiba, anak matanya tertancap pada satu artikel yang ‘Cinta’. Pantas hujung jarinya menekan papan sesentuh komputer riba untuk membuka artikel itu. Perlahan Florita membaca dalam hati.
            Cinta adalah fitrah semulajadi yang wujud dalam diri setiap insan. Cinta itu suci dan dapat memberikan kebahagiaan. Perasaan cinta yang wujud dalam hati itu tidak menjadi satu kesalahan kerana perasaan itu kurniaan Allah SWT. Cuma yang menjadikan cinta itu terlarang, apabila manusia menggunakan anugerah itu semata-mata kerana menuruti hawa nafsu.
            Sebagai manusia dan hamba Allah, sudah pastilah kita perlu meletakkan cinta itu sejajar dengan kehendak Tuhan. Jadi, sudah pasti manusia perlu mendahulukan cinta kepada-Nya melebihi cinta sesama manusia sendiri. Dengan adanya keutuhan cinta Allah di dalam hati, maka barulah kita mampu menjauhi bisikan syaitan yang bakal menjerumuskan cinta itu ke dalam kemaksiatan.
            Allah tidak mahu cinta dikekang dari hati manusia sehingga manusia hidup tanpa cinta di hati. Bukan juga untuk dituruti sehingga kehilangan akaf fikiran. Namun, Allah mahukan setiap hamba-Nya menguruskan perasaan cinta sesama manusia dalam mentaati-Nya. Syariat Islam telah menetapkan tiada cinta yang lebih agung berbanding cinta kepada Allah. Sekiranya kita sebagai hamba-Nya memahami konsep ini, pasti tidak akan timbul cinta terlarang sehingga manusia tergamak membelakangkan agama.
            Imam Al-Ghazali menyifatkan cinta sebagai unsur yang menyenangkan dan memberikan tarikan dalam hati manusia. Manakala Ibnu Qayyim al-Jauziyah pula mengatakan cinta itu adalah satu perasaan suci, tenang dan mengasyikkan. Sekiranya manusia jatuh cinta, mereka memiliki rasa rindu dan sentiasa mengingati orang yang dicintai.
            Namun, masih ada perkara yang membimbangkan. Cinta yang terbit di hati dapat membuatkan orang yang dilamun cinta masuk dalam keadaan cinta yang mengusutkan fikiran. Cinta membuat manusia tidak dapat berfikir antara yang baik dan yang buruk. Sekiranya keadaan itu terus menguasai akal fikiran manusia, mereka akan sanggup melakukan apa sahaja untuk orang yang dicintai. Sekiranya berjauhan, jiwa mereka akan sarat kerana terpaksa memendam rindu. Dan apabila tiba saat pertemuan, syaitan tidak akan pernah berhenti menghasut sehingga manusia lupa segala-galanya, yang ada hanyalah cinta antara mereka. Inilah yang bakal menyebabkan cinta suci di hati manusia kurniaan Allah menjadi rosak dan tercemar.
            Antara perkara yang boleh mencemarkan perasaan cinta ialah sering berdua-duaan di tempat yang sunyi, berbalas SMS, berbual-bual dan bertukar-tukar cerita walaupun hanya di telefon bimbit, berpegang-berpegangan dan saling meluahkan perasaan cinta sesama manusia. Mungkin manis ketika melalui semua itu, tetapi pahit yang menanti di pengakhiran.
            Justeru, kita perlu meyakini pertolongan Allah yang sentiasa hampir kepada hamba-Nya dan bersungguh-sungguh serta berusaha meraih kasih Allah. Buanglah perasaan ‘takut mati’ dan ‘cinta dunia’ yang sentiasa ada di hati. Sama-samalah maju ke tahap pembangan dan perjuangan, serta sebarkan sebaik mungkin hakikat cinta Allah.
            Seperti yang tercatat dalam surah Maryam, ayat 96, “Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, kelak Allah yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih dan sayang.”
            Florita mengesat air mata yang basah di pipinya. Insafnya ya Allah... Tiada kata yang mampu mengungkapkan apa yang hatinya rasai selepas membaca artikel yang panjang itu. Berkenaan cinta Allah, cinta sesama manusia yang asalnya suci tetapi sering dicemarkan kerana tidak mampu mengawal hawa nafsu dan hasutan syaitan.
            Florita mula sedar, cinta yang lahir di hati untuk Yusra juga kurniaan Allah. Kenapa dia perlu menjauhi dan menidakkan perasaan itu jika itu yang Allah tetapkan untuknya? Setiap yang Allah tetapkan itu adalah yang terbaik. Allah tidak pernah gagal dalam menetapkan rancangan untuk hamba-hamba-Nya. Apa yang perlu dia lakukan sekarang, peliharalah cinta yang Allah beri itu agar cinta itu tidak tercemar dengan maksiat.
            Telefon bimbit yang berdering mengejutkan Florita. Nama Yusra tertera di skrin. Perlukah dia menjawab panggilan itu? Entahlah, Florita buntu apa yang harus dilakukan sekarang. Cuma yang pasti, dia hanya mahu reda atas apa yang telah Allah tetapkan untuknya. Jika ada jodoh antara dia dan Yusra, mereka tetap akan disatukan nanti. Bukankah janji Allah itu pasti?

“Betul ke mama?”
            “Betul, Flo. Mama sama papa pun terkejut. Nda sangka ada yang datang minta izin mahu kahwin dengan kamu.”
            Kata-kata itu membuatkan Florita terkejut beruk hingga tak mampu berkata apa-apa. Di fikirannya ini cuma ada satu wajah. Yusra! Adakah benar lelaki itu yang pergi menemui orang tuanya nun jauh di Sabah? Sungguhlah lelaki itu sudah tak waras lagi.
            Florita terus mendail nombor telefon Yusra. Agak lama menanti barulah taliannya berjawab.
            “Flo?”
            “Awak buat apa?” tanya Florita laju.
            “Buat apa? Maksud awak?”
            “Did you meet my parents?”
            “Ohh...” Yusra ketawa kecil. “Yes, I did. Kalau awak nak tahu, saya baru sampai Semenanjung dari Sabah.”
            “Kenapa awak buat macam tu? Sekarang apa saya nak cakap pada mereka?” Florita mundar-mandir di dalam bilik. Buntu mencari jalan penyelesaian.
            “Kahwin dengan saya, Flo,” lamar Yusra untuk kesekian kalinya.
            Florita terdiam. Tiada apa yang mampu dibalas. Bersungguhkah Yusra mahu mengahwininya?
            “Saya nak tebus setiap kesalahan saya pada awak. Kahwin dengan saya dan saya akan buktikan semua tu pada awak,” janji Yusra.
            “Jangan berjanji, Yus... Saya takut awak tak mampu nak tunaikan...” Air mata Florita menitis lagi.
            Yusra terdiam seketika. Mendengar esakan Florita, hatinya meruntun. “Kita jumpa?”
            “Sudahlah tu, Yus!”
            “Kita jumpa, saya janji saya akan jelaskan semuanya pada awak. Please?”
            Florita mengesat air matanya. Ya Allah, benarkah apa yang sedang terjadi ini? Benarkah ini semua bukan mimpi?

“Kenapa awak pilih saya? Saya tak layak untuk awak. Awak boleh dapatkan perempuan yang lebih baik daripada saya. Lagipun saya mualaf, tak takut ke nak bimbing saya nanti?” Terselit nada menyindir dalam nada suara Florita. Tetapi dia benar-benar mahukan jawapan untuk soalannya itu.
            Yusra tersenyum nipis dengan kepala yang tergeleng-geleng. “Saya cintakan awak, Flo.”
            Florita menunduk. “Yus, tolong jangan ucap kata-kata itu kalau awak sendiri tak pasti dengan perasaan awak. Saya tak nak kata-kata itu nanti memakan diri awak sendiri. Saya juga tak mahu perasaan suci yang Allah kurniakan untuk saya ini diletakkan pada orang yang salah. Saya tak mahu kecewa lagi. Dan yang paling penting, saya tak mahu mencemarkan perasaan ini. Saya tak mahu cinta yang tak pasti, Yus...”
            Kata-kata itu meresap jauh ke dalam hati Yusra. Makin meyakinkannya bahawa pilihannya memang tepat. Florita memang diciptakan untuknya. Janji Allah kini telah sampai. Dia yakin antara dia dan Florita, ada jodoh yang mengikat hati mereka.
            “Awak nak tahu kenapa saya pilih awak selepas apa yang terjadi antara kita?” Yusra bermain kata.
            Florita masih lagi diam dengan wajah tunduk.
            “Awak tahu... Rasulullah dah tetapkan panduan dalam memilih wanita yang layak dinikahi. Pertama, harta. Kedua, keturunan. Ketiga, kecantikan dan yang keempat, agama. Tetapi antara keempat-empat pilihan tu, pemilihan yang disebabkan tinggi agamanya adalah yang terbaik.”
            Florita mengunci mulut. Sepasang matanya kini lurus menatap wajah Yusra. Dia nampak keikhlasan dalam mata lelaki itu. Benar, dia nampak.
            “Dan... saya pilih awak sebab agama awak. Walaupun awak mualaf, tapi bagi saya awak jauh lebih sempurna. Awak ikhlas dengan Islam dan saya tahu awak berusaha untuk menjadi Muslimah sejati.”
            Menitis lagi air mata Florita. Hanya dibiarkan air itu membasahi pipinya. Ya Allah, indahnya perasaan kurniaan-Mu ini...
            “Kahwin dengan saya?” Sekali lagi Yusra melamar. Kali ni dengan keyakinan bahawa Florita akan menerima.
            Buat seketika, masing-masing saling bertatapan. Florita tahu sejauh mana pun dia lari daripada Yusra, mereka tetap akan dipertemukan semula jika itu yang Allah mahukan.
            “Saya tak nak cinta kita ni tercemar dengan perkara yang tak sepatutnya sebelum kahwin.” Florita meluahkan kebimbangannya.
            “Kita kahwin secepat mungkin.”
            “Mama dan papa?”
            “Mereka dah setuju. Dan saya yakin mak ayah saya pun tak ada halangan.” Yakin sekali Yusra menyatakannya. Dia yakin Florita jodohnya dan dia mahu gadis itu juga yakin dengannya. Dia sekarang seorang Muslimah bernama Siti Aisyah, namun Yusra tidak akan pernah lupa gadis lurus dari Sabah yang bernama Florita Tracey yang pernah dikenali dulu.
            Lama begitu, barulah terukir senyuman di bibir Florita. Lupakan kisah lama, bersedia untuk melakar kisah baru di atas lembaran seterusnya dalam kisah hidupnya. Terima kasih untuk cinta ini, ya Allah...
TAMAT.
“Cinta tu bukan satu dosa, tapi yang menjadikan cinta itu haram apabila manusia sendiri yang mencorakkan cinta itu dengan perkara-perkara yang menyimpang dari ajaran Islam. Cinta Allah dulu, lepas tu baru Allah akan hadirkan cinta untuk kita sesama manusia.” – AS.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...