++ Suntikan Semangat! ++

Wednesday, September 24, 2014

- Loket Zinnia... 3 -


~TEASER~

LIKE a diamond in the sky...”
            Suasana dalam dewan kecil itu gamat dengan tepukan daripada para ibu bapa yang hadir pada hari itu. Zenia tersenyum memandang Adam bersama rakan-rakannya di atas pentas. Hayyan yang duduk di sebelahnya langsung tidak dipandang. Dia tahu lelaki itu asyik menoleh pandang ke arahnya sejak tadi... sejak nama penuh Adam diumumkan di atas pentas.
            “Muhammad Adam Rizq Bin Abdullah!”
            Pasti lelaki itu tertanya-tanya kenapa dia meletakkan Rizq di belakang nama Adam. Muhammad Adam Rizq, bukankah hampir sama dengan Hayyan Rizqi?
            Selesai persembahan, para ibu bapa dijemput menjamu hidangan yang disediakan di bawah kanopi di luar dewan. Zenia masih juga mendiamkan diri walaupun Hayyan di sebelah benar-benar kelihatan penasaran mahukan penjelasannya.
            “Muhammad Adam Rizq...” Perlahan nama itu disebut dengan hujungnya yang dileretkan. “Any explanation?”
            “Kebetulan.” Sepatah Zenia menjawab. Masih tidak memandang wajah Hayyan.
            Hayyan menggeleng dengan senyuman kecil. “Saya tak percaya.”
            Zenia mendiamkan diri. Hati rasa sebak tiba-tiba.
            “Saya tahu ada sebab kenapa awak bagi nama tu pada Adam dan saya rasa saya tahu sebabnya...” Hayyan bermain kata. Wajah Zenia yang menunduk direnung redup.
            Zenia masih tetap diam. Bertahan sekuat hati untuk tidak menangis. Tidak di sini, apatah lagi di depan Hayyan.
            “Tak apa kalau awak tak nak jawab. Saya takkan paksa. I’ll just keep it to myself.” Perlahan Hayyan menuturkannya.
            Hampir menitis air mata Zenia ketika itu. Mujurlah Adam muncul tepat pada masanya. Berlari anak itu ke dalam dukungan Hayyan.
            “Uncle... sedap tak Adam nyanyi tadi?” Adam bertanya tidak sabar-sabar.
            Hayyan mengangguk laju. “Sedap. Pandai tau Adam nyanyi. Uncle pun tak pandai nyanyi macam tu.”
            “Ya ke?” Teruja sekali muka Adam waktu itu.
            Hayyan mengangguk dengan riak muka yakin. Adam ketawa kesukaan.
            “Adam lapar tak?” tanya Hayyan.
            “Lapar!” Laju Adam menjawab.
            “Jom kita pergi makan. Uncle tengok macam sedap aje makanan tu,” ajak Hayyan. Adam didukung ke arah kanopi yang tersedia tidak jauh dari situ.
            Tingkah kedua-duanya diperhati Zenia dengan perasaan sayu. Tanpa sedar, bibirnya melakar senyuman nipis. Hayyan memang lelaki yang sangat baik. Bukan sahaja kepada dia, tetapi juga kepada Adam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...