++ Suntikan Semangat! ++

Saturday, August 16, 2014

- Loket Zinnia... 2 -


#flashback #empattahunlalu #teaser2


KALAU tak disebabkan janjinya dengan Hayyan semalam yang dia akan turun menemani Hayyan bermain tenis, memang dia langsung tak akan jejakkan kaki ke gelanggang itu. Pukul 5.30 petang dah tapi cuaca masih lagi panas terik. Zenia memakai cap untuk menghalang silau cahaya matahari.
            “Thank you for coming,” ucap Hayyan sambil tersenyum semanis gula.
            “Apa tujuan awak ajak saya datang sini?” tanya Zenia sambil bercekak sebelah pinggang.
            “Nak tunjuk kat awak betapa saya terror main tenis.”
            Jawapan yang buatkan Zenia rasa nak termuntah. Sengaja dia tayang muka menyampah sambil memasukkan jari telunjuk ke dalam mulut, kononnya nak muntah di situ juga. Hayyan bukan main lagi ketawa lepas.
            “Saya dah selalu tengok awak mainlah. Dah bosan dah,” ujar Zenia sambil membetulkan anak rambut yang terkeluar dari topi yang dipakai. Tidak sedar kata-katanya itu mengundang rasa hairan dalam diri Hayyan.
            “Awak selalu tengok saya main? Bila masa awak tengok?” tanya Hayyan.
            “Lah... kan boleh nampak court ni dari bilik sa... ya...” Waktu itu Zenia baru tersedar situasi yang sedang berlaku. Rasa nak ditampar-tampar mulut sendiri. Yang aku pergi cakap macam tu kenapa? Tak ke nanti Hayyan ingat aku ni duk menghendap dia selama ni? Tapi bukan ke tu memang hakikatnya?
            Hayyan sudah ketawa terbahak-bahak. Sungguh dia tak sangka itu yang dilakukan Zenia selama ini. Ohh... pandai sorok ya. Akhirnya terkantoi juga. Diri sendiri yang kantoikan diri sendiri. Hayyan sambung gelak.
            Zenia buat-buat tak tahu. Hujung depan topinya dibetul-betulkan walhal seluruh muka terasa merah dan pijar. Serius malu!
            “Tadi cakap nak main. Pergilah main cepat! Panas ni tau tak?” Laju Zenia mengalih topik. Kalau dibiarkan, mahu Hayyan gelak sampai berguling atas gelanggang tu.
            Hayyan mengawal tawanya yang masih ingin meletus. “Baiklah, cik. Saya pergi main dulu.” Bola dan raket dicapainya. Sempat melemparkan senyuman penuh makna ke arah Zenia sebelum berlalu ke tengah gelanggang. Kamil sudah sedia menunggu untuk memulakan permainan.
            Zenia duduk di tepi gelanggang menyaksikan permainan itu. Walaupun Hayyan suka mengusik dan kadang-kadang tu usikannya menyakitkan hati, tapi dia terpaksa akui hatinya semakin lama semakin menyenangi lelaki itu. Betul ke setakat crush? Ah, malas nak ambil tahu lagi.
            “Sayang, nak air.” Selamba Hayyan meminta sesudah tamat bermain.
            “Eee... suka-suka panggil orang sayang.” Zenia mencebik. Namun botol air mineral di tangan tetap dihulurkan kepada Hayyan.
            “Nama awak panjang sangatlah. Apa salahnya panggil sayang? Kira macam summarise sekali gus.” Dan Hayyan gelak lagi.
            Zenia mengetap bibir. Puas ditahan, senyumannya terlepas juga. Konon aje tak suka, padahal hati berbunga mekar setaman bila Hayyan panggil sayang. Aduhai hati, cepat betul kau cair ya...
            “Pergi minum dulu nak?” ajak Hayyan sambil mengesat peluh dengan tuala kecil yang dibawa. Tekak macam nak minum ais aje.
            Zenia menggeleng. “Nak baliklah, lagipun penat pergi kelas tadi tak hilang lagi,” jawabnya tanda menolak.
            “Alah... bilik awak kan tak jauh. Kat situ aje, dari sini pun boleh nampak...”
            Tak sempat Hayyan habiskan ayatnya apabila Zenia sudah mencubit pinggangnya. Terjerit kesakitan dibuatnya.
            “Sekali lagi cakap benda tu, siap eh!” Zenia mengugut dengan muka masam.
            Hayyan ketawa sakan. “Baiklah, Cik Zenia. Lepas ni saya buat tak tahu aje main tenis walaupun saya tahu ada orang perhatikan dari jauh. Okey?” Sebelah mata dikenyit.
            Entah kenapa boleh terluah pula senyuman di bibir Zenia. Hayyan ni memanglah, saje aje tau!
Jujur Zenia katakan, kehadiran Hayyan dalam hidupnya benar-benar memberi impak yang sangat besar. Hayyan ikhlas berkawan dengannya. Keikhlasan yang tidak perlu diukur dengan penimbang atau apa juga jenis alat pengukur. Cukup dengan hanya merenung sepasang matanya itu, sudah terpancar segala rahsia hati di situ.
            Hayyanlah peneman di kala dia kesedihan, Hayyan sering kali berusaha untuk membuatnya tersenyum semula setiap kali dia berduka, Hayyan yang selalu buat dia ketawa, Hayyan yang tak pernah jemu mendengar setiap cerita dan celotehnya, dan Hayyan juga yang tak lokek memberi nasihat baik dari segi pelajaran mahupun kehidupan harian.
Namun, Zenia takut untuk membenarkan kata hatinya. Selagi Hayyan sendiri belum meluahkan cinta, selagi itu dia akan terus memendam rasa itu sendiri. Dia takut kalau-kalau dia cuma bertepuk sebelah tangan. Memanglah Hayyan baik dengannya... Hayyan ambil berat tentang dirinya... Hayyan prihatin tentang keadaan dirinya... tetapi semua itu belum cukup menjadi bukti Hayyan mencintainya, sebagaimana yang dia rasakan untuk lelaki itu.

~to be continued

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...