++ Suntikan Semangat! ++

Monday, August 18, 2014

- Gadis Kesayangan: Bab 1 -


BAB 1


“Adik! Dah bangun ke belum? Dah lewat ni!”
            Ketukan kuat di pintu bilik mengejutkan Arshiya daripada tidur. Tangannya mencapai telefon pintar di atas meja sisi katil. Mata yang tadi layu terus terbuka luas. 7.35 am?! Arshiya mencampak telefon pintar ke tengah katil lalu kelam kabut melompat turun dari katil, capai tuala dan berlari masuk ke bilik mandi.
            “Adik?” Suara Adwan, abang sulung Arshiya kedengaran lagi.
            “Dah! Kejap lagi Ashi keluar, along!” jerit Arshiya kuat.
Lima minit mandi, lima minit bersiap-siap dan tiga saat kemudian dia sudah ada di dapur dalam keadaan termengah-mengah.
            “Kenapa lambat bangun, dik?” Alzam, abang keempat Arshiya yang dipanggil alang bertanya dari arah singki.
            Arshiya tarik kerusi lalu duduk di situ sambil tangan mencapai sekeping roti sandwic. “Lambat bangun. Alang kenapa tak kejutkan Ashi tadi?”
            “Eh, biasanya tak payah kejut pun adik bangun sendiri aje,” balas Alzam pelik.
            Mulut Arshiya penuh dengan roti. Cawan berisi air teh O dicapai dan dihirup. “Ouch! Panas!”
            Alzam menerpa ke arah meja. “Hisy, hati-hatilah. Karang melecur mulut tu macam mana?” bebelnya. Segelas air sejuk dihulurkan kepada adik bongsu kesayangannya itu.
            Arshiya meneguk air itu rakus.
            “Dik, dah siap ke belum?” Adwan menjenguk ke dapur. Berkali-kali dia menoleh pandang ke arah jam di tangan. “Along ada meeting kejap lagi ni.”
            Arshiya mengangkat tangannya tinggi-tinggi, isyarat supaya along tunggu sekejap. Dia bangun mencapai beg namun belum sempat melangkah, alang sudah menahan langkahnya. “What now?”
            “Ni... apa pakai baju tak bergosok macam ni?” tegur Alzam sambil pandang Arshiya atas bawah.
            Arshiya tunduk pandang baju yang tersarung pada tubuhnya. “Alah, tak sempat nak gosoklah, alang. Okeylah pakai macam ni...”
            “Aip! Tak boleh. Adik pergi naik atas sekarang, tukar baju,” arah Alzam dengan suara yang ditegaskan.
            Arshiya ternganga. “Ashi dah lambatlah!”
            Alzam menggeleng-geleng, masih tetap dengan arahannya.
            Arshiya menoleh pandang ke arah alongnya, mengharap bantuan.
            Adwan pandang jam tangan sekali lagi. “Along bagi masa lima minit. Nanti terus masuk kereta.” Kemudian dia berlalu keluar dari dapur.
            Arshiya ternganga lagi.       
            “Go, now!” arah Alzam.
            Arshiya berdecit. Tiada pilihan, dia turutkan juga. Siapa tak kenal alangnya itu? Terkenal dengan sifatnya yang cerewet. Bab-bab memilih pakaian memang nombor satu. Selagi apa yang dipakai Arshiya tak kena di matanya, selagi itulah Arshiya tidak dibenarkan keluar dari rumah. Baju berkedutlah, singkatlah, jaranglah, ketatlah, ada-ada saja yang dia nak kompelin. Itu baru pasal pakaian, belum lagi masuk bab makanan. Tapi Arshiya terpaksa mengaku yang masakan alangnya memang yang terbaik. Sebab itulah dia gelarkan alang dengan gelaran master fussy cook.
            Ketika berlari naik ke tingkat atas, Arshiya terlanggar aciknya yang sedang berjalan turun. Nasib baik tak jatuh tersungkur di atas tangga itu.
            “Eh eh, nak ke mana kalut sangat ni?” tegur Alham dengan riak wajah terpinga-pinga.
            “Alang tulah! Sibuk nak suruh orang tukar baju!” bebel Arshiya geram. “Acik ni nak pergi kerja ke nak pergi mana? Perfume bau sebotol!” Arshiya menekup hidungnya dengan muka berkerut.
            Alham tersengih. Tangannya membetul-betulkan rambut. “Imej kena jaga, dik.” Sebelah matanya dikenyitkan.
            Arshiya mencebik. Langkah lajunya diteruskan untuk masuk ke bilik. Alham, abang ketiga yang dipanggil acik seorang yang layak digelar ‘mat romeo’. Tapi tak adalah tahap kasanova bawa balik perempuan masuk bilik. Dia cuma pasang awek ramai-ramai tapi tak ada satu pun yang serius. Setiap kali Arshiya stres dengan kerenah along dan alang yang suka mengongkong, aciklah jadi tempat untuk dia melarikan diri. Gelaran untuk acik, drama escape.
            Arshiya masuk ke kereta along yang sudah sedia menunggu dari tadi. Muka along nampak ketat. Memang selalunya macam tulah. Siapa lagi yang buat undang-undang dalam rumah tu kalau bukan along? Tegas mengalahkan menteri. Sebab itulah Arshiya gelarkan along sebagai strict lion.
            “Along habis kerja pukul 5.00 petang ni. Ingat, selagi along tak datang jemput adik jangan memandai-mandai keluar dari kawasan kampus. Faham?”
            Pesanan yang sama itu kedengaran lagi-lagi. Arshiya terangguk-angguk. “Okey, along.” Tangan dihulurkan untuk bersalam.
            Mata Adwan singgah pada wajah seorang gadis. Alia, kawan Arshiya. Itu dia tak kisah. Yang dia kisahkan, lelaki yang berdiri di sebelah Alia sambil berbual-bual mesra dengan gadis itu. “Tu siapa?” soalnya.
            Arshiya toleh kepala ke arah Alia. “Oh, itu classmate Ashi. Nama dia...”
            “Don’t talk to him.”
            Arshiya terkebil-kebil. Tak sempat nak jelaskan pun along dah jatuhkan ‘hukuman’. Apa ni?
            “Tapi kalau Ashi kena buat kerja berkumpulan dengan dia?” tanya Arshiya.
            “Cakap benda yang perlu aje. Lebih dari tu along tak nak. Tengok cara dia cakap dengan Alia tu, mesra macam apa aje. Along tak suka adik kawan dengan orang macam tu,” jelas Adwan dengan muka serius.
            Arshiya mengeluh dalam diam. “Okey.” Pintu ditolak lalu dia turun dari kereta. Selagi dia tidak masuk ke dalam, selagi itulah along tidak akan pergi. Tak kiralah sepenting mana pun mesyuarat yang akan dihadiri. Arshiya terus tarik tangan Alia untuk naik ke bangun fakulti selepas berbalas senyuman nipis dengan lelaki yang along maksudkan tadi.

ARSHIYA terpandangkan iklan yang tertampal pada papan kenyataan ketika berjalan untuk masuk ke kelas. Selamba dia mengoyakkan iklan itu. “Apa ni?”
            “The Jams. Nak pergi?” Alia tersengih angkat kening. Konsert tahunan yang diadakan di kampus mereka berdua, yang melibatkan pelajar-pelajar untuk buat persembahan.
            Arshiya tergelak hambar. “Macamlah abang-abang aku tu nak bagi.” Kemudian dia masuk ke dewan kuliah.
            Alia ketawa sambil mengikut langkah Arshiya. “Cubalah cakap elok-elok dengan abang-abang kau tu, tentu dia orang bagi punya. Lagipun konsert tu bukannya buat jauh pun, kat kampus ni jugak.”
            Arshiya duduk di atas sebuah kerusi. Keluhannya terlepas. “Kau tolonglah bagi tahu abang-abang aku tu boleh?”
            Alia spontan mengangkat kedua-dua belah tangannya, tanda surrender. Arshiya mencebik. Ketika membetulkan beg di atas riba, buku nota di atas meja terjatuh ke bawah. Arshiya tunduk untuk mengambil buku itu. Tiba-tiba ada sepasang tangan lain yang datang menolong. Arshiya angkat muka. Sebaik saja mata lelaki yang menolongnya itu singgah pada wajahnya, buku nota itu terus dilepaskan.
            “Sorry,” ucap lelaki itu lalu terus meneruskan langkahnya untuk ke kerusi di belakang dewan.
            Arshiya terpinga-pinga. Itu Faris, rakan sekelas yang pernah menegurnya dengan mesra di depan along, and guess what? Dia hampir-hampir makan penumbuk sulung along dan sejak itu juga Faris tidak berani lagi menegurnya.
            Kalau ikutkan hati, Arshiya teringin sangat nak berkawan dengan orang lelaki. Bukan berkawan tu maksudnya bercinta, tapi berkawan dengan ikhlas, macam dia berkawan dengan Alia selama ini. Tapi macam mana nak berkawan kalau lelaki baru hulur senyum, along dah hampir mengamuk?
            Puan Hamiza melangkah masuk ke dalam dewan kuliah sekali gus mengalih tumpuan Arshiya. Okey Ashi, fokus!

KEPALA dijengulkan ke arah ruang rehat keluarga. Kelihatan along sedang duduk di atas sofa sambil menonton berita di TV. Arshiya menarik nafas panjang-panjang sebelum masuk ke ruang itu.
            “Along buat apa?” Arshiya menegur dengan suara yang sengaja diceriakan sambil duduk di sebelah along.
            “Tengok berita,” jawab Adwan perlahan.
            Arshiya mengebam bibir. Macam mana nak cakap ni? Ya Allah, tolonglah...
            “Kenapa, dik?” Adwan menoleh ke sebelah.
            Arshiya tersentak. Jantungnya kian berdebar-debar. Risau sangat takut kalau-kalau along marah dengan apa yang cuba dijelaskan, “Hmm... weekend ni, ada konsert kat kampus Ashi. Kalau Ashi nak pergi boleh tak?” Kelat wajahnya ketika itu.
            Adwan kembali pandang skrin TV. “Nak buat apa pergi konsert macam tu? Bukannya ada faedah pun.”
            “Tapi, along...”
            “No.”
            Arshiya masih mahu bersuara tapi tak jadi bila tengok muka along dah ketat semacam. Dia merengus lalu berlari masuk ke dalam bilik. Dia perlukan seseorang untuk lepaskan perasaan dan siapa orang yang paling tepat? Angah!
            Arshiya duduk di depan laptop yang sudah hidup sejak tadi. Buat apa lagi kalau bukan skype dengan angah.
            “Hai, monyok aje adik angah ni. Apa pulak yang jadi hari ni?” Akil, abang kedua Arshiya menegur dari skrin laptop.
            Arshiya menongkat dagu. “Along tak bagi Ashi pergi konsert kat kampus weekend ni,” adunya. Angah sekarang menghabiskan PhDnya di Jepun jadi sebab itulah dia terpaksa menggunakan medium itu untuk berhubung dengan angah. Antara empat orang abang yang dia ada, angahlah yang paling rapat dengannya dan sangat sporting. Sebab itulah dia gelarkan angah sebagai shoulder to cry on.
            “Konsert apa?” Akil kerut dahi.
            “Konsert suka-suka aje, bukannya jemput artis pun. Budak-budak kampus Ashi jugak yang perform nanti,” jelas Arshiya. Baru nak pergi konsert macam tu along dah tak bagi, jangan berangan nak pergi konsert artis antarabangsa.
            “Dah cakap dengan acik?” tanya Akil.
            “Acik?” Arshiya terkebil-kebil. Apa kaitan konsert itu dengan acik?
            “Hai... selama ni kalau nak pergi mana-mana, siapa yang selalu bawak?” duga Akil. Bibirnya tersenyum nipis.
            Arshiya memetik jarinya, baru dapat tangkap maksud angah. “Acik!” Selama ini kalau dia nak pergi ke mana-mana tapi along tak bagi, aciklah yang selalu tolong. Contohnya kalau dia nak pergi tengok wayang berdua dengan Alia dan along tak bagi, acik akan jadi penyelamat. Kononnya dia nak keluar berdua dengan acik dan selepas itu acik akan izinkan dia pergi jumpa Alia. Tapi, syarat-syarat yang diletakkan acik tetap perlu diikut. Cuma syarat-syarat acik tak adalah seketat undang-undang along.
            “Brilliantlah angah! Saaaaayang angah!” Arshiya beri flying kiss kepada angahnya itu.
            Akil ketawa. “I’m glad my little sister is okay now,” ujarnya.
            Arshiya tersenyum gembira. Bunyi enjin kereta yang masuk ke kawasan rumah menyentakkannya. “Acik dah balik kut tu. Nanti Ashi datang balik eh.” Dia bangun dari kerusi, keluar dari bilik dan berlari ke bawah untuk menyambut acik.


~to be continued
***********************

Psst. Thank you for reading! Sorry kalau ada terkurang kat mana-mana. Ni main taip aje tanpa ada proofread dan terus post kat sini. Mininovel yg akan tamat kat sini, insyaAllah. Itu pun kalau ada orang bacalah. Takde orang baca kita pun malas nak tulis lagi dah haha. Okey babai. Jumpa nanti bab 2. :D

7 comments:

DaisY CA said...

Saya bc ni :) sambunglah lg =D huhu baru nak mengenal tulisan seorang Ayumi Syafiqah.. XD
nak beli novel duit xde T.T bc sini je lah :3 *W*

Cik Ecah said...

Saya2! Saya baca jugak! Permulaan yg best..buat kte nak terus m'baca..good job cik writer..

Anonymous said...

As salam ayumi,
setahu saya panggilan alang utk anak ketiga dan achik utk anak keempat.
maaf kalau saya silap.

baby mio said...

best 3x.

kak edah said...

Best as usual kak edah minat n ni tentu kisah adik manja yg kena protec dek abg 2 tersyg

aqilah said...

Me too.

Anonymous said...

bes
Smbng lgi..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...