++ Suntikan Semangat! ++

Thursday, July 31, 2014

- Cerpen Raya: Menantu Syawal -


Assalamualaikum! It's been a while since I last updated this blog kan? So skrg I'm back with new cerpen dengan ucapan selamat hari raya dan mohon maaf zahir dan batin atas segala kesilapan. Kosong-kosong. ;)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

MENANTU SYAWAL
                oleh... Ayumi Syafiqah

Zarin pejam mata rapat-rapat. Ya Allah, tolonglah lembutkan hati ibu mentuaku sepanjang aku ada di kampung nanti. Tolonglah... Tolonglah... Berkali-kali dia mengulang ayat yang sama dalam hati. Buka-buka mata saja, kereta Honda City milik suaminya sudah berhenti betul-betul di depan sebuah rumah kayu. Zarin telan liur. Dah sampai!
            Zarin hanya memandang Syah turun dari kereta. Abah dan umi sudah sedia menunggu di tangga rumah. Masing-masing nampak gembira menyambut kepulangan anak lelaki bongsu mereka itu. Itu belum kira lagi dengan anak-anak saudara Syah yang riuh bermain di luar rumah. Lambat-lambat Zarin menolak daun pintu lalu turun dari kereta.
            “Assalamualaikum, abah, umi,” ucap Zarin dengan suara lembut sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.
            “Waalaikumussalam. Dah sampai pun menantu abah ni. Okey ke jalan jauh?” Haji Daud berbasa-basi.
            “Okey, abah. Tak ada masalah,” jawab Zarin. Tangan dihulurkan kepada umi pula.
            Hajah Sarimah menyambut salam Zarin tanpa langsung memandang muka menantunya itu. Zarin memaksa bibir untuk tersenyum. Dia tahu abah okey, cuma umi... Tak percaya? Tengoklah reaksi umi sekarang.
            “Mari masuk dalam, tentu penat tu puasa lepas tu jalan jauh pulak. Mari, mari,” pelawa Haji Daud mesra.
            Zarin mengangguk. Sempat dia menoleh ke arah umi yang hanya menonong masuk ke rumah tanpa berkata apa-apa kepadanya. Kemudian dia berpusing mendapatkan Syah yang sedang mengeluarkan beg dari but kereta.
            “Muka monyok kenapa? Tak suka balik kampung saya?” tegur Syah, sengaja mengusik.
            Zarin menjeling. “Umi tulah...”
            “Alah... biasalah tu. Nanti-nanti umi okeylah. Jom masuk,” ajak Syah. Dia tahu hubungan antara isteri dan uminya tak berapa baik, malah sepanjang lima bulan perkahwinannya dengan Zarin, umi masih tetap dingin. Kenapa? Sebab Zarin bukan menantu pilihan umi sejak dari awal dia memperkenalkan isterinya itu kepada umi.
            Zarin menarik lengan baju Syah membuatkan suaminya itu berpaling semula. Wajahnya jelas terpalit resah. “Betul ke okey ni? Saya takutlah...”
            “Nak takut apanya? Kita ni balik kampung nak beraya sama-sama dengan umi dan abah. Masa nilah masa terbaik untuk awak cuba berbaik-baik dengan umi,” pujuk Syah lembut. Wajah isterinya itu direnung lembut. “Dah, jangan fikir yang bukan-bukan. Jom naik atas,” ajaknya. Zarin tiada pilihan melainkan mengikut saja.

SELESAI kemas barang dalam bilik, Zarin turun ke dapur dengan niat nak tolong masak untuk juadah berbuka puasa. Dua orang kakak Syah, Saliah dan Shamin juga ada di situ. Masing-masing mengukir senyuman manis ke arahnya.
            “Umi masak apa? Nak Rin tolong tak?” Zarin bersuara lembut. Bak kata Syah, inilah masanya untuk dia cuba berbaik-baik dengan mentuanya itu.
            “Pandai ke orang bandar masak?” Hajah Sarimah membalas dengan nada penuh sindiran. Seingatnya masa mula-mula Syah bawa Zarin berjumpa dengannya, buat air sirap pun Zarin terkial-kial. Ini nak tolong masak?
            Zarin mengetap bibirnya perlahan. “Tak adalah pandai, tapi sikit-sikit tu bolehlah, umi.”
            “Alah, umi... kan Rin sekarang dah jadi isteri orang, tentulah dah boleh masak. Kan, Rin?” Saliah tersenyum ke arah Zarin.
            Zarin mengangguk segan.
            “Siang ikan ni,” arah Hajah Sarimah tanpa bertangguh. Tiga ekor ikan yang Zarin tak tahu apa namanya itu diletakkan di depannya bersama sebilah pisau. Zarin tertelan liur. Tak apa, dia akan buktikan yang dia pandai siang ikan.
            Terkial-kial Zarin menyiang tiga ekor ikan itu. Saliah dan Shamin cuba untuk tolong dan ajarkan mana yang patut tapi baru buka mulut sikit, umi dah bising. Zarin pasrah. Nampaknya umi sengaja nak buat dia mengalah dan angkat kaki. Tak apa, dia tak akan putus asa secepat itu. Walaupun setelah hujung mata pisau terhiris jarinya sendiri. “Ouch!”
            Shamin yang sedang menggoreng sayur segera berpaling ke arah Zarin yang berdiri di depan singki. “Kenapa, Rin?”
            Zarin angkat muka. “Eh, tak ada apa, Kak Min.” Cepat-cepat dia menutup luka itu agar tidak terkesan di mata Saliah, Shamin dan terutama sekali umi. Walaupun rasa pedih yang amat, dia tetap cuba bertahan. Sikit aje, Rin. Tahan, tahan...
            Selesai semua juadah, Zarin berkeras menolong umi untuk menghidangkan makanan di atas meja makan.
            “Hati-hati bawa mangkuk tu, karang jatuh, pecah siapa nak ganti? Orang kampung bukannya banyak duit macam orang bandar.”
            Zarin mengetap bibir mendengar sindiran umi. Dia menyabarkan hati dan air mata yang hampir menitis. Siap semuanya terhidang di atas meja barulah dia kembali ke bilik.

INGATKAN sindiran umi cuma akan kedengaran di belakang Syah dan abah, rupa-rupanya di depan lagi teruk dia kena. Zarin menundukkan kepala dengan hati yang terhiris.
            “Baru suruh siang ikan sikit dah ambil masa bukan main lama. Orang boleh buat lima minit, dia dekat setengah jam baru siap. Entah pandai ke tak pun tak tahulah,” bebel Hajah Sarimah sambil mencedokkan lauk ke dalam pinggan.
            Syah menoleh ke arah Zarin yang hanya diam. Dia nampak raut sedih pada wajah itu tapi sekarang bukan masanya untuk memujuk.
            “Awak ni Imah, kalau bercakap tu ikut sedap mulut aje. Kita ni kan tengah buka puasa, menghadap rezeki, cubalah cakap benda yang elok-elok sikit. Kalau tak boleh sangat, diam sudah. Jangan cakap apa-apa,” tegur Haji Daud kurang senang. Entah apa dosa Zarin sampai begitu sekali layanan isterinya itu terhadap menantu mereka.
            “Saya cakap benda betullah ni, bang. Syah kalau kat sana berbuka macam mana? Ke beli aje kat bazar?” Hajah Sarimah menoleh ke arah Syah pula.
            “Err... Rin masaklah, umi,” jawab Syah teragak-agak.
            “Ya ke masak?” Hajah Sarimah tergeleng-geleng dengan senyuman sinis.
            “Dah dia kata isteri dia masak, betullah tu Rin masak.” Saliah menyampuk. “Umi ingat semua orang bandar tak pandai masak ke? Kawan-kawan Sal ramai yang terror masak tau?”
            “Setuju, setuju,” celah Shamin pula. Kasihan tengok adik ipar mereka itu diam disindir begitu. Suami dan anak masing-masing pula senyap tak terkata apa.
            “Hmm... yalah,” balas Hajah Sarimah.
            Selesai makan, Zarin bawa pinggan dan gelas ke dapur. Bukannya makan nasi sangat pun, makan hati lagi banyak. Niatnya nak cuci pinggan tapi Shamin pula menghalang.
            “Tak apa, Rin. Biar Kak Min yang cuci,” ujar Shamin.
            Zarin mengangguk lalu beredar ke bilik. Dia duduk di birai katil sambil termenung. Puas menahan, air matanya gugur juga akhirnya. Sampai hati umi. Sampai bila umi nak benci aku? Besar sangat ke dosa aku sebab kahwin dengan anak dia? Sedang hati bermonolog, pintu bilik ditolak dari luar. Syah masuk. Cepat-cepat Zarin mengesat matanya lalu bangkit dari katil.
            “Nangis?” tegur Syah.
            Zarin menggeleng laju. “Tak adalah.”
            “Habis tu air kat mata tu apa?”
            “Tadi lupa nak bukak contact lens, itu sampai merah berair,” dalih Zarin.
            Syah tersenyum nipis. Alasan budak sekolah menengah. Isterinya itu dihampiri. “Kecik hati dengan umi?”
            Zarin diam. Pandangannya dijatuhkan.
            “Cuba cerita apa jadi tadi,” pinta Syah.
            “Tak ada apalah.”
            “Tengok tu, suka sangat rahsia-rahsia. Cerita cepat,” pinta Syah lagi lebih tegas.
            Zarin menarik nafas. Sekali lagi jemarinya mengesat mata yang masih lagi basah. Ketika itulah Syah terpandangkan jarinya yang berbalut.
            “Kenapa jari tu?” Syah mencapai tangan Zarin.
            “Terkena pisau masa siang ikan tadi,” jawab Zarin. Dia membiarkan saja Syah membelek-belek jarinya itu.
            “Teruk ke?”
            “Tak adalah, sikit aje.”
            “Kesiannya isteri saya ni...” Pipi Zarin dicuit lembut. Zarin hanya diam dengan wajah monyok. Syah memaut pinggang Zarin dekat dengannya. “Saya tahu awak kecik hati dengan umi. Tapi awak kenalah faham... banyakkan bersabar dengan umi. Kalau tak sampai bila-bila pun awak dengan umi takkan baik.”
            “Tapi saya dah tak tahu nak buat apa lagi. Umi tu macam benci sangat dengan saya,” adu Zarin. Dahinya dirapatkan dengan dada Syah.
            “Janganlah cakap macam tu. Umi bukan benci, cuma dia marah sikit aje. Kalau awak pandai pujuk, pandai ambik hati dia, tentu dia okey nanti.” Syah menyelak rambut yang menutup dahi Zarin. “Okey, sayang?”
            Zarin mengangguk kecil. Nasib baiklah dia ada suami yang memahami. Itu saja pun sudah cukup.
            “Dah maghrib ke belum ni?” tanya Syah lembut.
            Zarin menggeleng pula.
            “Pergi maghrib dulu, nanti kita pergi surau sama-sama,” suruh Syah.

LAMA dia memegang sepasang baju kurung moden gabungan warna hijau pucuk pisang dan oren itu. Baju itu dibeli khas untuk umi sebagai hadiah baju raya tapi dia tak tahu macam mana nak beri kepada umi. Bukan tak tahu, tapi takut. Nak minta tolong Syah, suaminya itu pula sudah hilang entah ke mana dengan abang-abang iparnya sejak pagi tadi.
            Zarin menarik nafas panjang. Langsir bilik diselak lalu dia keluar dari bilik. Umi sedang duduk berbual dengan Saliah dan Shamin di ruang tamu. Zarin diam memasang telinga, menunggu masa yang sesuai untuk dia mencelah.
            “Umi tak ada tempah baju pun tahun ni,” ujar Hajah Sarimah sambil tangannya menyanggul rambut Shamin yang sedang duduk di atas lantai di depannya.
            “Laa... kenapa tak cakap awal-awal, umi? Kalau tak Sal boleh carikan kat sana,” ujar Saliah. Masa dia telefon umi awal Ramadan tempoh hari, umi cakap dah ada baju untuk dibuat raya jadi dia pun tak belilah yang baru. Bertuah punya anak!
            “Haah. Min ingatkan umi dah ada baju jadi Min belikan tudung ajelah untuk umi,” kata Shamin. Rasa bersalah pula sebab tak belikan baju untuk umi.
            “Tak apalah, umi pun malas nak pakai baju-baju baru ni. Yang tahun lepas pun baru berapa kali umi pakai. Elok lagi,” jawab Hajah Sarimah tidak mahu menyusahkan anak-anaknya.
            “Rin ada belikan baju untuk umi. Cantik tak?” Zarin segera menyampuk. Entah bila kakinya bergerak masuk ke ruang tamu pun entahlah.
            “Wah! Cantiknya!” Saliah terjerit teruja. Zarin dihampiri lalu mengambil baju itu dari tangan Zarin. “Umi, cantik, kan?”
            “Haah, cantik sangat! Pandai Rin pilih,” puji Shamin pula tersenyum-senyum.
            Hajah Sarimah hanya memandang sekilas ke arah Zarin dan baju yang ditayangkan Saliah. “Buat apa belikan? Bukan umi mintak pun...”
            Senyuman Zarin memudar.
            “Hisy, umi ni!” Saliah duduk semula di sebelah umi. “Orang dah susah-susah belikan baju umi cakap macam tu pulak. Cantik tau baju ni? Sesuai kalau umi pakai.”
            “Umi tak sukalah selera orang bandar ni. Baju manik-manik macam ni manalah umi pandai nak pakai?” Dingin jawapan Hajah Sarimah.
            Zarin menggenggam jemari sendiri, menahan rasa hampa yang mula hadir jauh di sudut hati.
            Saliah dan Shamin terdiam dengan mata yang tidak berkelip. Pandangan penuh simpati dilemparkan ke arah Zarin.
            “Lain kali tak payah nak susah-susah, umi bukan mintak pun belikan baju mahal-mahal macam ni. Baju kurung lama umi pun lagi elok daripada ni,” ujar Hajah Sarimah lagi, tidak peduli dengan wajah mendung Zarin.
            “Tak apalah kalau macam tu. Kalau umi tak nak pakai, umi simpan ajelah baju tu. Lagipun Rin beli untuk umi, bukan untuk orang lain,” ujar Zarin perlahan. Kemudian dia berpaling mendapatkan biliknya semula.
            Kolam mata yang basah dikesat lagi. Buntu. Agaknya umi akan terus benci aku sampai bila-bila kut...

HAJAH SARIMAH balik ke rumah dengan mulut yang tak henti-henti membebel. “Ingat dia bagus sangat ke apa? Baru dapat menantu anak mat saleh dah sibuk canang satu kampung. Ee... menyampah betullah aku!”
            “Awak ni kenapa, Imah? Balik-balik dari kedai aje duk membebel itu ini. Cubalah bawak bersabar sikit. Kurang pahala puasa tu tau?” Haji Daud menegur tidak senang. Kepalanya tergeleng-geleng.
            “Si Shimah tulah! Saya tahulah anak dia dah kahwin dengan anak mat saleh tu lepas tu raya ni balik beraya kat sini, tapi tak payahlah nak canang satu kampung ni! Sakit hati saya ni dengar tau?”
            “Yang awak nak kisah tu kenapa? Biarlah dia cerita ke apa. Kita ni senyap sudahlah.”
            “Masalahnya, dia ajak saya pergi rumah terbuka kat rumah dia raya pertama ni. Ada masak-masak sikit katanya, padahal saya tahu dia sengaja nak tunjuk menantu dia tu!”
            “Biarlah dia nak tunjuk menantu dia, Imah oi. Awak tak payahlah nak besar-besarkan benda yang kecik. Kalau tak nak sakit hati, buat tak tahu aje. Habis cerita.”
            “Itu sebablah saya malas nak bercakap dengan awak. Ada-ada aje yang awak tak setuju.”
            “Eh, saya pulak yang kena? Betullah saya cakap...”
            Zarin yang sedang menggubah bunga di meja makan mengerling ke arah Syah di sebelahnya. “B...” panggilnya perlahan, agak berbisik.
            Syah menoleh.
            “Umi cakap pasal siapa tu?” tanya Zarin.
            “Pasal Mak Cik Shimah yang duduk kat depan sana tu. Anak dia bawak menantu orang putih balik beraya kat sini. Bisinglah umi tu,” jawab Syah. Dia pun malas ambil pusing tentang hal itu sebab tak ada kaitan langsung dengannya. Selamba membelek surat khabar macam tak ada apa-apa yang sedang berlaku.
            “Umi tak suka ke Mak Cik Shimah tu?” Seronok pula Zarin mengorek rahsia.
            “Umi kan... biasalah tu.” Hanya itu yang dijawab Syah. Dia yakin Zarin faham maksudnya.
            “Dahlah tu, umi. Membebel banyak-banyak pun bukannya umi boleh lawan dia. Anak-anak umi semua dah kahwin, nak cari menantu anak mat saleh jugak bukannya dapat pun.” Saliah yang sedang memasang langsir menyampuk. Shamin yang menolongnya pula hanya tergelak.
            “Kamu berdua tu memang macam tu, suka sangat ketawakan umi,” rajuk Hajah Sarimah.
            “Mana ada ketawakan umi. Kita orang cakap benda betullah,” ujar Saliah lagi. “Kan, Min?”
            “Yup!” sahut Shamin.
            “Ah, umi tak kira. Umi tetap nak lawan dia jugak,” tegas Hajah Sarimah.
            “Awak nak buat apa, Imah? Nak curi menantu dia tu?” ujar Haji Daud sebelum ketawa dengan dua orang anak perempuannya itu.
            “Awak pun samalah, bang!” jeling Hajah Sarimah.
“Hmm...” Zarin bertongkat dagu sambil berfikir sesuatu dengan mata yang lurus ke arah ruang tamu.
Syah mengangkat muka ke arah isterinya. “Is there something on your mind?”
            Zarin tersenyum-senyum. “Nanti kita semua pergi rumah terbuka tu, kan?”
            “Pergilah kut, kan satu kampung.” Syah mengecilkan matanya. “Sayang...” panggilnya dengan wajah penuh penasaran.
            Zarin mengenyit matanya tanpa menjawab apa-apa. “B, pinjam iPad kejap.”
            Syah tidak menjawab. Zarin tidak menunggu sebaliknya bangun mencapai iPad yang diletakkan di sebelah lalu terus masuk ke dalam bilik.

“SAYANG, boleh tak bagi tahu awak nak buat apa ni?” Syah sudah tidak larat lagi berteka-teki. Naik pening dibuatnya tengok tingkah Zarin. Awal pagi lagi Zarin sudah mengajaknya ke bandar untuk membeli barang-barang. Dia kata nak masak hidangan istimewa untuk hari raya esok. Entah apa yang dimaksudkan pun tak tahulah.
            “Saya nak tolong umi,” jawab Zarin sambil matanya melilau mencari barang yang dimahukan.
            “Tolong umi buat apa? Masak?” Syah makin hairan. “Sayang, kalau nak tolong umi masak, we should stay at home today. Umi tengah sibuk masak rendang kat rumah tu tapi ni awak ajak saya datang sini pulak. Tolong apa namanya tu?”
            “Syhh!” Zarin meletakkan jari telunjuknya di atas bibir, meminta supaya Syah diam. “Awak jangan cakap banyak boleh tak? Ikut ajelah,” ujarnya geram.
            Syah mengeluh. Fine, dia pun malas dah nak tanya apa-apa. Bukannya Zarin jawab pun soalan dia.
            Pulang ke rumah, Zarin menyimpan segala barang yang dibeli tadi di dalam peti. Nasib baiklah peti itu muat dan nasib baik juga umi tak ada tanya apa-apa. Umi cakap dengan dia pun tak, nak tanya dia apa yang dia beli? Memang taklah.
            Malam raya, Zarin membantu menyiapkan mana-mana yang patut. Tak dapat menolong di dapur, dia menolong di ruang tamu. Mengemas, mengelap dan menghamparkan karpet yang baru dibeli Shamin. Selesai semuanya, dia masuk ke dalam bilik. Jam sudah menunjukkan pukul 1.00 pagi. Zarin baring di katil. Matanya terkebil-kebil. Sekejap mengiring ke kanan, sekejap lagi ke kiri pula. Sampaikan Syah yang sudah lena pun boleh terjaga semula.
            “Tak tidur lagi ke, sayang?” tanya Syah mamai.
            Zarin baring menghadap Syah. “Tak boleh tidur.”
            “Kenapa? Tak ngantuk?”
            “Nak masak kejap lagi.”
            “Hah?” Syah terkejut. Matanya terbuka luas. “Masak?”
            Zarin mengangguk.
            “Kan umi dah masak? Nak masak apa lagi?” Syah mengerut dahi. Makin dekat nak raya makin pelik pula isterinya itu.
            Zarin tersenyum penuh makna. Dia bangkit daripada baringan. “Nak masak special untuk umi.”
            Syah diam. Masih tak faham.
            “Awak tidur ajelah dulu, nanti dah siap saya tidur,” suruh Zarin.
            “Habis tu bila awak nak tidur?”
            “Lepas siap masak nanti. Ni saya tunggu umi tidur dulu. Saya tak nak umi tahu saya nak masak,” jelas Zarin. Selebihnya tidak perlulah Syah tahu. Biar semuanya jadi kejutan.
            Syah menggaru-garu kepala. Pening kepala melayan kerenah Zarin. “Awak nak masak tengah malam ni, entah pukul berapa siap nanti. Tak nak tidur?”
            “Tidur tu apa, esok pun boleh tidur.”
            “Pulak dah...”
            “Umi dah masuk bilik rasanya tu. Saya pergi masak dulu eh.”
            “Nak saya temankan tak?”
            “Tak apa, awak tidur aje. Good night.” Zarin mencium ringkas pipi suaminya itu lalu turun dari katil mendapatkan pintu bilik.

ZARIN menghulur tangan untuk bersama dengan umi. “Selamat hari raya, umi. Rin mintak maaf atas semua salah silap Rin selama ni. Rin tahu Rin bukan menantu yang baik untuk umi tapi Rin janji, Rin akan cuba jadi menantu yang terbaik untuk umi. Ampunkan Rin, umi.”
            Hajah Sarimah cuma diam. Sebenarnya, dia bukanlah benci sangat dengan Zarin. Cuma dia rasa terkilan sebab Syah lebih memilih untuk menikahi Zarin daripada bersetuju dengan menantu pilihannya sendiri. Pada pandangannya, Zarin tak kurang apa-apa pun cuma dia yang selalu cari di mana cacatnya Zarin untuk menjadi perisai supaya dia dapat menyakiti hati menantunya itu. Namun melihat kesungguhan Zarin untuk meraih kemaafan dan restunya, hati yang keras sudah jadi mencair sedikit demi sedikit.
            Sebelah petangnya, mereka sekeluarga ke rumah Shimah seperti yang dijemput. Hajah Sarimah hanya tayang muka serius ketika menantu Shimah, Selena menyalami tangannya. Senyuman manis wanita Inggeris itu hanya dibalas ala kadar. Sempat dia mengerling ke arah Zarin yang sedang menyalami tangan Shimah.
            “Selamat hari raya, mak cik,” ucap Zarin mesra.
            “Selamat hari raya. Ini Zarin, kan? Menantu Sarimah,” teka Shimah. Dia sudah pernah jumpa Zarin sebelum ini masa majlis sambut menantu di rumah Hajah Sarimah. Nasib baik masih cam lagi mukanya.
            Zarin mengangguk. “Haah, mak cik. Ni... Rin ada bawakkan buah tangan sikit untuk mak cik.” Beg plastik berisi tiga buah bekas dihulurkan kepada Mak Cik Shimah.
            “Ya Allah... susah-susah aje Rin ni.” Shimah ketawa kecil.
            “Tak ada susah pun, mak cik. Ni Rin masak sendiri malam tadi tau,” ujar Zarin.
            “Apa ni?” Shimah terkebil-kebil menjenguk ke dalam beg plastik itu.
            “Spageti Bolognese dengan lasagna. Rin masak malam tadi. Mak cik cubalah rasa,” ujar Zarin lagi.
            Syah yang berdiri di belakang Zarin mula faham apa yang cuba isterinya itu lakukan. Dia tersenyum.
            “Oh...” Shimah sudah tidak terkata apa. “Hmm... mak cik kenalkan Rin dengan menantu mak cik. Hmm... Selena!” panggil Shimah sambil melambai-lambai menantunya itu. Selena yang mengerti segera mendekat.
            “Assalamualaikum,” ucap Selena masih dalam pelatnya.
            “Waalaikumussalam,” jawab Zarin. Salam yang dihulur Selena disambut kemudian dia melaga-lagakan pipi dengan Selena. “I’m Zarin. Selena, right?”
            “Yeah.” Selena tersenyum manis.
            “How are you doing? If I’m not mistaken, this is your first eid, isn’t it?” tanya Zarin mesra.
            “Oh, yes. I’m doing fine. I mean... I’m still trying to get along with everything, you know... with the food, the... rendang, ketupat...” Selena ketawa kecil.
            “I know, which is why I made this for you. I thought maybe you’d like it.” Zarin menunjukkan beg plastik di tangan Mak Cik Shimah.
            “Oh, really?” Selena menjenguk ke dalam plastik itu. “You made this?”
            “Yes. I know you’re new here so maybe you need some time to accept this new thing called raya. Or maybe if you need anything, you can ask me. We can be friends.” Zarin tersenyum. Gembira kerana penerimaan Selena memang seperti yang diharapkan.
            Hajah Sarimah yang memerhati dari tadi hanya diam dengan mata terkebil-kebil. Shimah pula sudah terkunci mulut.
            “Come and sit with me. Well, you know... I barely talk to anybody since I’ve been here so...” Selena tertawa segan.
            “Yeah, I understand. You can talk to me,” balas Zarin. Dia cuma mengikut apabila Selena menarik tangannya untuk ke ruang tamu.
            Shimah terkelip-kelip sendiri. Mulanya dia ingat nak menunjuk kehebatan menantunya di depan Zarin, sudahnya dia sendiri yang terpinga sendiri.
            Hajah Sarimah menahan senyuman tengok muka terkejut Shimah. Kau ingat menantu kau aje hebat? Menantu aku lagi hebat tau!
            Syah mendekati uminya. “Patutlah semalam Rin beria ajak Syah pergi beli barang, rupanya nak masak untuk Selena.”
            Hajah Sarimah menoleh ke sebelah. Patutlah juga tadi sebelum datang ke rumah itu punyalah kalut si Zarin tu di dapur. Entah apa yang dibuat pun tak tahulah. Sekarang, baru dia faham.
            “Menantu umi tu sanggup buat macam-macam untuk ambik hati umi tau? Umi tak rasa kesian ke dengan dia?” tanya Syah lembut. Dalam pada itu, dia cuba memujuk umi supaya memberi peluang kepada Zarin untuk jadi menantu yang baik buat uminya itu.
            Hajah Sarimah terdiam.
            “Umi marah Zarin lagi?”
            “Umi tak marah, Syah.”
            “Baguslah kalau macam tu. Syah tak sampai hati dah nak tengok Rin tu sedih aje hari-hari sebab umi,” ujar Syah penuh makna. Kemudian dia beredar untuk menjamah makanan yang disediakan.
            Hajah Sarimah menarik nafas panjang. Melihat Zarin sedang berbual rancak dengan Selena, bibirnya menguntum senyuman manis.

“TADI Rin borak apa dengan Selena tu?” Hajah Sarimah bertanya tanpa menoleh ke arah menantunya itu.
            Zarin yang sedang mencuci pinggan di singki tersentak. Umi tanya dia ke?
            “Hmm... macam-macam, umi. Selena cerita kat Rin yang dia tak boleh nak makan sangat masakan orang Melayu. Itu yang dia happy bila Rin bawak makanan untuk dia.” Zarin ketawa kecil mengingati perbualan dengan Selena siang tadi. Kesian, tak pandai cakap Melayu tapi dikelilingi orang Melayu. Sudahnya dia cuma bercakap dengan suaminya saja. Itu yang bila jumpa Zarin, Selena jadi gembira sebab dia ada kawan yang boleh melayannya berbual.
            “Rin masak sendiri ke?” tanya Hajah Sarimah lagi.
            “Haah, umi.”
            “Bila Rin masak? Umi tak sedar pun?” Hajah Sarimah mengerutkan dahi. Dia pun tak sangka yang dia boleh berbual begitu dengan Zarin.
            Zarin memulas kepala paip. Tangan dikesat dengan tuala kecil sambil menghampiri umi yang duduk di meja makan. “Rin masak malam semalam.”
            “Malam raya?”
            Zarin mengangguk. “Rin tunggu umi tidur dulu lepas tu baru Rin masak.”
            Hajah Sarimah terkejut dengan kenyataan itu. “Kenapa tak masak aje sekali dengan umi?”
            “Err... Rin tak nak umi rasa tak selesa kalau Rin masak sekali dengan umi,” akui Zarin takut-takut.
            Hajah Sarimah mengeluh panjang. Sedar memang salahnya hingga menantu sendiri pun takut. Dia bangun mendekati Zarin. “Dah, mulai hari ni tak payah takut-takut lagi dah. Rin menantu umi, rumah umi rumah Rin jugak, dapur umi pun dapur Rin jugak jadi Rin boleh guna bila-bila Rin nak.”
            Zarin senyum terharu. Hatinya melafazkan syukur. Gembira kerana umi tak lagi marah-marah dengannya.
            “Umi masuk tidur dulu, esok nak beraya lagi ni. Baju yang Rin bagi tu pun dah siap gosok,” ujar Hajah Sarimah sambil bersedia untuk naik ke bilik.
            Zarin mengangguk. Bibirnya tersenyum lagi. “Selamat malam, umi,” ucapnya sebelum kelibat umi menghilang. Tuala di tangan disangkut pada kerusi lalu buru-buru naik ke biliknya.
            “B!”
            Syah yang sedang duduk di katil sambil bermain dengan iPadnya tersentak. “Hah, kenapa ni?”
            Zarin duduk di sebelah Syah. Leher suaminya dipeluk erat dengan senyuman gembira. “Umi dah boleh terima saya!”
            Syah tersenyum. Dia juga gembira tengok Zarin begitu. “Kan saya dah cakap, nanti lembut juga hati hati umi tu.”
            Zarin mengangguk-angguk. Pelukan dileraikan lalu dia menyandar di kepala katil sambil melentokkan kepalanya di atas bahu Syah.
            “Great effort, though,” puji Syah tiba-tiba.
            “What?” Zarin pelik.
            “Apa yang awak buat kat rumah Mak Cik Shimah tadi.”
            “Oh...” Zarin terangguk sendiri sebelum tergelak kecil. “Hebat eh?”
            Syah buat muka. “Umi bangga gila.”
            Zarin tergelak.
            “Tapi bukan sebab tu aje umi terima awak sebagai menantu dia,” tambah Syah kemudiannya.
            “Saya tahu.” Zarin tersenyum nipis.
            Syah mengucup dahi Zarin. “Dah lewat dah, tidurlah.”
            “Awak?”
            “Nak reply emel ni kejap, nanti saya tidur.”
            “Okey. Nak gosok gigi jap.” Zarin bingkas keluar dari bilik untuk ke bilik mandi. Bibirnya masih lagi tersenyum. Memang sebelum ini dia sudah bergelar menantu kepada Haji Daud dan Hajah Sarimah, tapi baru hari ini gelaran itu diiktiraf dalam hidupnya dan dia sangat-sangat bersyukur untuk itu.

.TAMAT.

3 comments:

kak edah said...

Best bergenang air mata baca thks ayumi

AinaaAzlan said...

wlaupun bukan kisah pencintaan. tapi BEST! menarik jln cite. sian betul klau mertua xtrima mnantu. sedih. huhu

szaza zaiman said...

Bertuah punya menantu,.pandai bodek ni,.pandai ambik hati mertua,.payah nak jumpa menantu yg sanggup berjaga untuk memasak buat menantu jiran mertua semata2 nak ambik hati mertua,.good job,.mulanya ingat zarin nak pakai kanta lekap warna biru tadi,..hihi

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...