++ Suntikan Semangat! ++

Thursday, November 21, 2013

- Tak Mampu Menjaga Cintamu -


Assalamualaikum! :)

18 November hari tu, genaplah umur daku 20 tahun. No more teen. Say hi to the new phase of my life. :)

Dan bersempena hari jadi sayayg ke 20, sekarang nak bukak order bagi mereka yang nak dapatkan novel Tak Mampu Menjaga Cintamu, buah tangan ke3 yg insyaAllah akan beri kepuasan bagi mereka yang dah lama menunggu dan tak sabar2 nak baca novel ni.

Details:

Harga novel: RM 25
order: emel saya di ayumi.syafiqah18@gmail.com
atau boleh jadi ahli dgn Love Novel dan order di : http://www.lovenovel.com.my/


Antara babak favourite saya dalam novel ni ~~~ :)

HARI minggu itu, awal pagi lagi Naqiu dan Anatasya sudah keluar dari rumah untuk berjoging. Agak ramai juga yang datang untuk sama-sama beriadah bersama keluarga masing-masing. Ada juga yang datang dengan anak-anak yang masih kecil untuk menghabiskan masa bersama-sama.
            Penat berjoging, Naqiu dan Anatasya berhenti rehat di sebuah bangku. Pandangan mata Anatasya lurus ke arah dua orang anak kecil yang sedang berlari-lari bersama ayahnya. Alangkah indahnya jika dia dan Naqiu juga dapat merasai detik indah itu. Tanpa sedar, senyuman nipis terpahat di bibir.
            “Tengok apa?” Tanya Naqiu. Anak matanya terhala ke arah yang sedang direnung Anatasya. Kelihatan dua orang anak kecil dalam linkungan umur lima dan tiga tahun sedang berlari-lari. Naqiu turut tersenyum, faham perasaan Anatasya.
            “Best kan kalau dapat joging dengan anak sendiri,” gumam Anatasya perlahan. Tiba-tiba keinginan itu tumbuh di hatinya. Perkahwinannya dengan Naqiu sudah hampir mencecah satu tahun. Tetapi masih tiada tanda-tanda yang dia hamil.
            Naqiu mencapai tangan Anatasya dan digenggam erat. “Belum rezeki kita lagi. Lagipun, kita kan baru aje kahwin. Abang tak puas lagi hidup berdua dengan Tasya tau?” Pujuknya dengan senyuman nakal.
            Anatasya mengerutkan dahi. “Abang tak teringin ke nak ada anak?”
            Naqiu tertawa kecil. “Bukan tak teringin, sayang. Cuma abang tak nak sayang terlalu fikir hal tu. Sampai masanya nanti, adalah rezeki untuk kita,” pujuknya lagi. Jari-jemari Anatasya yang bertaut kemas dengan jari-jemarinya direnung.
            Anatasya mengangguk. Setuju dengan kata-kata Naqiu. “Hmm…” Dia tiba-tiba tersenyum. Senyuman yang lain daripada biasa.
            “Kenapa?” Naqiu merenung Anatasya dengan pandangan pelik.
            “Tasya… hmm…” Anatasya menggumam perlahan. Jarinya bermain di lengan Naqiu.
            “Kenapa ni?” Naqiu mula terasa lain macam. Aksi Anatasya nampak nakal sekali. Siapa saja yang berada di tempatnya ini pasti akan tergugat imannya.
            “Tasya nak…” Anatasya merapatkan tubuhnya dengan Naqiu.
            “Nak?” Naqiu belum dapat menangkap maksud Anatasya.
            Anatasya tersengih. Dia mendekatkan mulut ke telinga Naqiu dan berbisik, “Tasya nak… lari!” Dia ketawa lalu terus berlari menjauhi Naqiu.
            Naqiu yang terkejut tidak sempat menahan. “Tasya!” Terjerit dia dengan aksi nakal isterinya itu. Tanpa bertangguh dia pantas mengejar Anatasya. Sekali pandang, gelagat mereka berdua itu tidak ubah bagai dua orang kanak-kanak yang saling berkejaran kerana berebutkan gula-gula.
            Anatasya berhenti berlari dan berpaling ke belakang. Naqiu masih berusaha mengejarnya yang sudah jauh di depan. Dia ketawa. Ketika berpaling, dia terlanggar seseorang yang sedang berjoging berlawanan arah dengannya. Mujurlah kedua-duanya tidak tersembam di situ.
            “Maaf, saya tak sengaja.” Anatasya pantas memohon maaf.
            Gadis yang dilanggar tadi sekadar tersenyum dan menggeleng kecil. “Tak apa, tak apa, salah saya jugak.”
            Naqiu berhenti di sebelah Anatasya. Tercungap-cungap nafasnya seketika. Penat kerana mengejar Anatasya sebentar tadi. Gadis yang sedang berdiri di depan Anatasya mengalih anak matanya ke wajah Naqiu. Seketika mengamati wajah lelaki itu, dia tersenyum.
            “Naqiu?” Panggil gadis itu.
            Anatasya terkejut mendengar gadis itu memanggil nama suaminya. Dia mengecilkan anak mata, cuba mengecam gerangan gadis di depannya itu. Semacam pernah dilihatnya wajah itu sebelum ini. Tapi siapa ya?
            “Lin? Shazlin?” Seru Naqiu. Nadanya cukup teruja. Gembira kerana bertemu semula dengan teman lamanya. Atau lebih tepat lagi, bekas kekasihnya dulu.
            Shazlin ikut tersenyum mendengar Naqiu memanggil namanya. Ternyata lelaki itu masih mengingati dirinya. “Tak sangka jumpa kat sini. You datang berjoging dengan siapa? Ni…?” Shazlin menoleh ke arah Anatasya.
            Barulah Anatasya dapat mengecam siapa gadis di depannya itu. Shazlin, gadis yang pernah menjadi kekasih Naqiu satu masa dulu. Tidak dapat tidak, terbit juga rasa tidak senang di hati Anatasya melihat betapa mesranya cara Naqiu melayan Shazlin.
            “I datang dengan isteri I. You mesti kenal, kan? Anatasya.” Naqiu memperkenalkan Anatasya kepada Shazlin. Tangannya memaut pinggang Anatasya.
            “Ohh… isteri?” Shazlin terkejut. Tangannya menekup mulut sebelum akhirnya dia tersenyum memandang Anatasya. “Tak sangka, you kahwin juga dengan dia akhirnya…” Dia berkata diiringi tawa kecil.
            Anatasya diam. Namun bibirnya tetap dipaksa mengukir senyuman. Sekadar pemanis wajah. Entahlah kenapa, biasanya dia mudah memberikan senyuman kepada sesiapa saja. Tapi tidak saat itu, di depan Shazlin. Mungkin kerana gadis itu merupakan sebahagian daripada kisah silam Naqiu. Kerana itulah hatinya rasa sungguh tidak senang.
            “You buat apa sekarang?” tanya Naqiu ingin tahu. Langsung tidak perasan perubahan pada riak wajah Anatasya.
            “I kerja kat butik biasa aje. Tak cukup modal lagi nak buka butik sendiri,” jawab Shazlin ramah. “You pulak? Tentu dah ada syarikat guaman sendiri, kan?” tanya dia sambil sesekali mengerling ke arah Anatasya yang hanya diam. Dia bagai dapat merasakan ketidaksenangan wanita itu dengan pertemuan ini.
            Naqiu tersenyum. “Tak adalah, I kerja kat syarikat abah I dulu. Dia pun dah pencen,” jawabnya.
            Shazlin mengangguk. “Eh, okeylah. I nak kena balik dah ni. Ada hal lain pula lepas ni. Hmmanyway, boleh tak kalau I mintak nombor telefon you? Bukan apa, manalah tahu nanti kalau-kalau ada apa-apa hal, senang I nak cari you,” ujar Shazlin panjang lebar. Harapannya moga Anatasya tidak salah faham. Bukannya dia meminta nombor telefon Naqiu untuk tujuan yang tidak baik.
            Naqiu mengeluarkan dompet dari poket seluar. Sekeping kad miliknya dihulur kepada Shazlin. Gadis itu menyambut dengan senyuman manis. Sementara Anatasya hanya memerhati dengan perasaan yang tidak keruan.
            “Thanks. Nanti kalau ada apa-apa, I’ll call you. Okeylah, I pergi dulu. Bye,” ucap Shazlin sebelum beredar pergi.
            Naqiu membalas dengan senyumannya. “Tak sangka jumpa dia kat sini kan, sayang?” Dia menoleh memandang Anatasya. Baru perasan wajah masam isterinya itu. “Kenapa ni?”
            Anatasya merengus. Tanpa menjawab pertanyaan Naqiu, dia segera mengatur langkah menuju ke kereta. Hilang mood untuk terus berjoging. Naqiu mengerutkan dahi tanda tidak faham. Namun langkah isterinya itu tetap juga dituruti.

SAMPAI di rumah, Anatasya masih membisu. Naqiu menggaru kepala sendiri, hairan dengan perubahan mendadak isterinya itu. Tadi bukan main lagi ceria, tapi tiba-tiba saja berubah selepas berjumpa Shazlin. Hati Naqiu terdetik sesuatu. Shazlin?
            Naqiu masuk ke dapur. Anatasya dilihatnya sedang meneguk air. “Sayang, kenapa tiba-tiba masam muka ni? Marahkan abang ke?” Tanya Naqiu. Nada suaranya dilembutkan sambil mendekati isterinya itu.
            Anatasya mencuci gelas yang digunakan tadi. Gelas itu kemudian diletakkan semula di tempatnya. Naqiu yang berdiri di sebelahnya langsung tidak dihiraukan. Terus menonong menuju ke tangga untuk naik ke bilik. Naqiu mengekori dari belakang.
            “Sayang, kenapa ni? Janganlah diam aje. Buat abang tak sedap hatilah…” Naqiu bersuara lagi.
            Anatasya tetap juga membisu. Mencapai tuala untuk masuk ke bilik air. Tetapi Naqiu lekas-lekas menghalang langkahnya membuatkan dia terpaksa juga menatap wajah suaminya itu.
            “Cakap dengan abang, kenapa tiba-tiba masam muka ni? Abang ada buat apa-apa yang sayang tak suka ke?” tanya Naqiu. Wajah isterinya itu direnung dalam-dalam. Mencari kalau-kalau ada jawapan yang tersirat di wajah itu.
            “Abang fikirlah sendiri apa yang abang dah buat,” jawab Anatasya akhirnya. Tetap tidak mahu memberitahu Naqiu apa yang telah membuatnya senyap tiba-tiba.
            “Apa yang abang dah buat?” Keluh Naqiu tidak faham apa maksud Anatasya. Apa yang telah dia lakukan? Seingatnya, dia cuma berbual ala kadar dengan Shazlin. Takkan itu pun Tasya nak marah? “Sayang marah abang borak dengan Shazlin tadi ke?” Tekanya.
            Anatasya diam.
            Naqiu tiba-tiba tertawa kecil. Anatasya mengerutkan muka. Tidak suka mendengar tawa itu. Nampak sangat tak serius!
            Naqiu memegang tangan Anatasya. “Sayang, abang cuma borak-borak kosong dengan Shazlin tadi. Tu pun sekejap aje. Takkan tu pun sayang nak merajuk dengan abang sampai macam ni?” Tanya dia masih dalam senyumannya. Tidak mengapa Anatasya marah atau cemburu sekali pun, kerana itu tandanya isterinya itu menyayanginya dirinya. Bukankah begitu?
            “Mana ada Tasya merajuk! Abang tu… bila jumpa dia happy semacam aje Tasya tengok. Sukalah kan dapat jumpa kekasih lama?” Rajuk Anatasya dengan muka mencemik.
            “Apa sayang cakap ni?” Naqiu mengeluh. “Kisah abang dengan Shazlin dah lama tamat. Lagipun, abang mana pernah ada perasaan pada dia. Kalau ada pun, itu cuma setakat suka-suka aje. Sayang pun tahu abang dulu macam mana, kan?” jelasnya mengharap pengertian Anatasya. Baginya, kisah lama antara dia dan Shazlin tidak perlu diungkit. Semua itu hanya dianggap sebagai sebahagian daripada kenangan yang langsung tidak menjadi kudis dalam hidupnya.
            “Habis kenapa abang bagi dia nombor telefon abang? Apa tujuan abang? Abang sengaja nak suruh dia contact abang, kan?” Anatasya masih belum puas hati.
            “Sayang sendiri dengar tadi, kan? Bukan abang yang sengaja bagi, tapi dia yang mintak. Takkan abang nak cakap tak boleh? Lagipun… manalah tahu kalau-kalau dia ada masalah yang memerlukan pertolongan abang sebagai peguam,” terang Naqiu lagi tanpa jemu.
            Anatasya diam. Mula termakan sedikit dengan kata-kata Naqiu itu.
            “Sayang tak payahlah risau. Abang dah tak ada apa-apa dengan dia. Dia pun dah tahu yang abang dah kahwin dengan sayang. Kalau pun abang berhubung balik dengan dia lepas ni, abang akan pastikan hubungan tu tak lebih daripada hubungan dengan seorang kenalan biasa. Okey, sayang?” Pujuk Naqiu. Renungannya redup menjamah wajah Anatasya.
            Anatasya tahu Naqiu tidak berbohong. Dia boleh nampak kebenaran itu di mata Naqiu. Seketika kemudian barulah dia mengangguk. Naqiu tersenyum senang hati.
            “Macam tulah isteri abang. Sayang nak mandi, kan? Abang pun nak mandi jugak ni. Jomlah kita mandi sama,” ajak Naqiu selamba.
            Anatasya membuntangkan biji matanya. “Ish, tak naklah!” Pantas dia menolak ajakan itu. Walaupun sudah hidup bersama hampir setahun, dia tetap berasa malu.
            “Kenapa? Takkan malu kut?” Usik Naqiu.
            Anatasya diam dengan kepala menunduk. Mukanya memerah.
            Naqiu tergelak. “Jomlah, sayang!” Tanpa bertangguh, tangan Anatasya ditarik untuk ke bilik air.
            “Abang!” Anatasya terjerit sakan tanda tidak mahu. Dan Naqiu tetap dengan kemahuannya. Jadilah rumah itu bingit dengan suara jeritan mereka berdua.

~~~~~

Kalau anda2 semua masih sukakan dua karya saya sebelum ni, sudi2 lah dapatkan ye. Terima kasih byk2 setinggi bintang di langit! :)

~end

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...