++ Suntikan Semangat! ++

Friday, November 29, 2013

- Cerpen : Ke Garis Mula -


Cerpen ni hanya untuk menghilangkan gian menulis waktu2 tengah busy ni huhu~ Cerpen diilhamkan dari lagu Here We Go Again, Demi Lovato. Sorry kalau tak best yer. :)

~~~~~



SEGALA barang yang aku tak perlukan lagi, aku kumpul dalam satu kotak lalu aku letakkan kotak itu di tepi pintu bilik. Ruang tak berapa besar itu aku perhatikan lagi. Apa sangatlah yang ada, setakat satu katil bujang, almari dua pintu dan satu meja studi yang aku pakejkan sekali dengan meja solek. Di tepi meja itu, terletak elok patung The Smurf yang pernah dibelikan... okey, malas nak sebut nama dia. Patung itu aku capai lalu aku letakkan di tepi kotak tadi. Sedia untuk dibuang.
            Kolej baru aje tamat. Jadi sementara tunggu hari konvo, ada baiknya kalau aku cari kerja sementara dulu. Yalah, waktu-waktu sesak tak berduit macam ni, eloklah aku habiskan masa kat tempat kerja. Kerja cincai-cincai pun tak apa, asalkan aku yang dah memang sedia lonely ni tak terlalu lonely sangat. Almaklumlah, orang baru putus cinta.
            Cakap pasal putus cinta, aku pandang semula patung The Smurf yang aku dah isytiharkan sebagai bahan buangan tadi tu. Kalau ikutkan, sayanglah jugak kat patung tu sebab patung itulah yang selalu jadi peneman malam-malam aku. Kalau tidur tak peluk patung tu, memang tak sah. Ibarat kata, mimpi malam aku pun mesti ngeri kalau aku tak peluk patung tu waktu tidur.
            Tapi disebabkan aku dah berpatah arang berkerat rotan dengan si pemberi patung itu, dengan patung-patung itu sekali aku benci. Aku duduk di birai katil sambil termenung mengingati kisah lama, kisah antara aku dan Aiman.
            Muhammad Aiman Bin Fakeh, nama penuh si buah hati pengarang jantung aku untuk tiga tahun. Selama tiga tahun aku di kolej, selama itu jugalah aku dan Aiman merupakan antara pasangan bercinta yang paling popular. Aku bahagia dengan dia. Maksud aku, aku PERNAH bahagia dengan dia. Kalau orang putih kata, I WAS happy with him.
            Dulu, dialah segala-galanya untuk aku. Dia yang aku sayang, yang aku ingatkan setiap hari, yang aku angankan akan jadi suami aku suatu hari nanti. Tapi sudahnya, habuk pun tak ada. Aku dengan dia putus betul-betul sebelum peperiksaan akhir baru-baru ni. Nasib baiklah aku cepat pulih daripada ‘kesengsaraan’ tu, kalau tak memang dengan peperiksaan aku sekali lingkup. Entah-entah, terpaksa extend satu semester. Huish, memang tak sanggup.
            Ramai yang tanya aku, kenapa putus? Bukan ke aku dengan dia dulu bukan main bahagia lagi? Entahlah, aku pun sebenarnya tak pasti kenapa aku dengan dia putus. Cuma yang pasti, masing-masing sudah tak dapat teruskan lagi. Tiap kali berjumpa, ada aje benda yang nak digaduhkan. Kalau tak jumpa, lagilah perang tak ingat dunia. Jadi kalau dah bergaduh tu macam jadi ‘makanan harian’ kami berdua, jalan terbaik adalah putus.
            Aku cuba untuk tak simpan dendam dalam hati. Dah tak ada jodoh, nak buat macam mana lagi, kan? Tapi aku tak mampu. Setiap kali aku ingat balik setiap kenangan aku dengan Aiman, setiap kali tu aku akan kalah dengan perasaan aku sendiri. Mata ni kalau tak menangis memang tak sah. Sejak tu juga, aku tanamkan dalam hati yang aku dan dia tak akan kembali bersama lagi. Tak kiralah walau apa pun yang berlaku, aku tak akan biarkan dia datang balik dalam hidup aku, walau aku sendiri tahu benda tu mustahil untuk berlaku. Lagipun sejak putus, Aiman nampak gembira dengan kehidupan dia. Kalau dia gembira, aku pun boleh!
            Sudahlah tu, tutup buku. Aku dah malas nak ingat semua tu lagi. Buat sakitkan hati aku yang dah sedia sakit ni aje. Telefon bimbit yang aku letakkan di tepi katil aku capai. Laju ibu jari bermain di atas skrin, mencari nama Fida dalam senarai nama pemanggil.
            “Helo!” Ceria suara Fida menjawab panggilan.
            “Esok macam mana? Jadi?” tanyaku sambil duduk bersila di atas katil.
            “Kalau kau jadi, aku on aje,” balas Fida.
            “Good. Jumpa pagi esok.”
            “Bye!”
            Aku matikan talian. Fida dah setuju nak temankan aku pergi temuduga esok. Semoga esok juga aku akan jadi lebih ceria daripada hari ini.

TERBUNTANG biji mata aku bila terpandangkan makhluk di depan mata. Apa mamat ni buat kat sini? Takkan datang minta kerja kat sini jugak kut? Alahai... tak boleh jadi ni. Aku pandang muka Fida yang tengah terkejut juga waktu tu.
            “Kenapa kau tak bagitau aku yang dia pun datang mintak kerja kat sini?” bebelku rapat di telinga Fida. Nadaku perlahan, tak mahu ada sesiapa pun yang dengar, terutamanya Aiman.
            Fida terkelip-kelip mata. “Manalah aku tahu dia pun nak datang mintak kerja kat sini. Kut-kut dulu kau dengan dia pernah janji nak kerja sama-sama kat sini kut?”
            “Hotak kau!” marahku geram. Maaflah ya, bila dah geram bahasa tu memang kasar sikit. Fida cuma tarik sengih sambil buat muka tak bersalah. Ada ke cakap aku pernah rancang nak kerja sama-sama kat sini dulu? Tak ada masalah nak rancang benda-benda macam ni.
            “Habis tu kau nak buat apa sekarang?” tanya Fida perlahan.
            Aku menggigit-gigit bibir. Nak balik sekarang sempat tak? Lagipun Aiman belum nampak aku kat sini. Arh, tak payah fikir panjang. Balik aje sekarang. Tapi tak sempat aku bangun, terdengar namaku dipanggil untuk ditemuduga. Aku menoleh ke wajah Fida dengan mata yang terbuntang lagi. Tak sempat!
            Fida pula cuma buat muka kelat. Nasiblah kau, Ara. Terpaksalah masuk juga ke dalam bilik itu untuk ditemuduga.
            Untuk jawatan sebagai pelayan restoran ni, temuduganya tak adalah terlalu formal. Cukup ditanyakan soalan yang biasa-biasa. Lagipun bukannya perlukan kelulusan apa-apa nak kerja kat sini. Selesai temuduga, aku segera keluar dari bilik itu. Entah kebetulan apa, berselisih bahu pula dengan Aiman di luar.
            “Eh, Ara...” Aiman menegur. Nadanya jelas terkejut namun bibir masih sempat mengukir senyuman.
            Aku tak tahu reaksi apa yang harus aku berikan. Sudahnya aku tercengang di situ dengan muka separuh pucat.
            “Buat apa kat sini? Mintak kerja kat sini jugak?” tanya Aiman lagi. Mukanya jelas nampak teruja jumpa aku di sini.
            Aku cuma ukir senyuman paksa lalu terus beredar mendapatkan Fida. Tangan Fida aku tarik untuk terus tinggalkan restoran itu dengan doa dalam hati, moga-moga aku tak dapat kerja ni. Kalau pun aku dapat, biarlah si Aiman tu yang tak dapat.
            Dulu masa bergaduh, nak pandang muka pun tak sudi. Sekarang dah putus, tegur mesra-mesra buat apa? Huh. Sakit hati!

SEMINGGU berlalu sejak aku mula bekerja di restoran ini. Sepanjang seminggu ni juga, Aiman tak pernah putus asa menegur dan mengajak aku berbual, seolah-olah kami berdua ni dulu memang kenal rapat. Eh, pembetulan ya. Kami berdua lebih daripada kenalan rapat dulu. Ya, dulu. Sebelum dia dengan kejamnya putuskan aku dengan alasan dah tak mampu nak teruskan lagi. Bila ingat balik, sakit hati tu jadi berganda-ganda.
            Aiman pun sibuk mencanang pada pekerja-pekerja di situ yang dia dengan aku pernah belajar satu kolej, malah hubungan kami sangat baik. Pernah sekali Kak Mira bertanya, kenapa aku nampak macam tak suka aje kat Aiman tu.
            Soalan dia tu macam ni,
            “Aiman cakap dulu kau orang belajar satu kolej, tapi akak tengok kau macam tak kenal aje dia tu. Apa kes?”
            Aku cuma tayang sengih. Memang betul pun, tapi aku tertanya-tanya juga kenapa Aiman tak cerita bahagian aku dan dia pernah bercinta kat mereka semua? Mungkin sebab dia tak mahu ingat lagi semua kenangan-kenangan pahit tu. Oh, sakit lagi hati aku.
            Pernah juga Aiman tiba-tiba datang dekat dengan aku dan tanya sama ada aku sihat ke tak. Mungkin sebab dia nampak aku telan panadol sebelum mula kerja pagi tu. Memang aku ni cepat sakit kepala. Kadang-kadang bangun-bangun pagi pun kepala boleh sakit. Panadol tu pula dah macam ‘kawan baik’ aku selama ni. Aiman tahu tentang tu dan mungkin dia risau dengan keadaan aku pagi tu. Mungkinlah...
            “Awak okey ke, Ara?” tanya Aiman. Nada suaranya lembut. Nada yang selalu digunakan untuk aku dulu, sewaktu akulah satu-satunya gadis yang dia sayang.
            “Kenapa tanya?” balasku acuh tak acuh. Malas nak layan perasaan sendiri. Nanti hati aku juga yang makin parah. Bukan ke aku dah isytiharkan yang Aiman tu sudah tak ada apa-apa kepentingan dalam hidup aku lagi?
            Aiman angkat bahu. “Tadi nampak awak makan panadol. Sakit kepala ke?” soalnya lagi. Riak wajah penuh rasa bimbang. Atau aku sendiri yang perasan?
            “Tak adalah, saya okey aje.” Lalu aku beredar meninggalkan dia untuk mengambil pesanan daripada pelanggan yang baru tiba.
            Dan hari ini, aku bekerja sampai malam. Aiman tak ada sebab dia sudah masuk bekerja pagi tadi lagi. Memang setiap hari khamis, aku dan dia berlainan shif. Selesai semua kerja, aku berlalu mendapatkan beg dan kunci motosikalku.
            “Bye, Abang Ris!” Aku melambai ke arah Abang Ris dan beberapa orang lagi pekerja restoran itu.
            Masing-masing mengangkat tangan membalas lambaianku.
            Aku keluar mendapatkan motosikalku. Perut tak semena-mena berbunyi. Lapar sangat-sangat. Entah mana nak cari makanan ni. Bukan tak boleh beli kat restoran, tapi makanan kat situ mahal sangatlah. Aku bukannya bawa duit banyak pun. Agak-agak dapat nasi goreng sepinggan pun dah cukup. Tapi mana nak cari malam-malam macam ni? Makanan kat rumah dah sah-sah emak dah simpan.
            Aku mengeluh sambil mencapai helmet. Nasib baiklah gastrik aku tak teruk, boleh tahan lagi angin kat dalam tu sampai pagi esok. Belum sempat aku panjat motor, terdengar bunyi enjin dari arah belakang. Aku berpusing. Terkejut tengok Aiman tiba-tiba terpacak depan mata. Senyuman manis lelaki itu terukir di bibirnya.
            “Nak balik dah?” tanya Aiman sambil menanggalkan helmetnya.
            Aku mengangguk teragak-agak. Kenapa dia datang sini malam-malam ni? Dah pukul 12.00 malam kut. Aku pandang aje langkahnya mendekatiku.
            “Awak dah makan?” tanya Aiman lagi.
            Eh, macam tahu-tahu aje aku tengah lapar tahap gaban sekarang ni. Gaban pun tak lapar macam aku. Bukan aku tak perasan beg plastik di tangannya, tapi malas nak tanya.
            “Jom, makan,” ajaknya lalu berlalu ke tepi kaki lima di kawasan itu.
            Aku kerut dahi. Entah apa yang merasuk, boleh pula aku ikut dia duduk di situ, seolah-olah aku lupa dia tu sebenarnya ‘musuh’ aku.
            “Saya belikan nasi goreng untuk awak. Sorrylah, dah sejuk sebab saya beli tadi lagi. Nak datang terus tadi takut awak sibuk kerja lagi,” kata Aiman lalu menghulurkan bekas polisterin yang sudah dikeluarkan dari beg plastik tadi. Siap dengan sudu plastik sekali dihulurkannya.
            Aku tercengang sesaat dua. Alahai, kenapa siap belikan nasi ni? Lambat-lambat bekas itu aku ambil.
            “Saya tahu awak selalu lapar malam-malam macam ni. Kalau dulu-dulu waktu belajar lagi, dah pukul 12.00 malam pun sanggup awak bedal maggi.” Aiman ketawa kecil seusai berkata.
            Aku mengetap bibir. Kenapa tiba-tiba mengimbau ni? Nak tersenyum, tapi entah kenapa macam tak mampu. Perlahan-lahan nasi itu aku suap ke dalam mulut.
            “Okey ke kerja tadi? First time balik lewat macam ni, kan? Mak dengan ayah awak tak marah ke?” Aiman membuka topik. Aku tahu dia sengaja nak ajak aku berbual.
            Sambil mengunyah, aku menjawab soalannya. “Okey je, lagipun dah cakap awal-awal kat mak dengan ayah. Dia orang okey, saya pun okeylah.”
            Aiman terangguk-angguk. “Pagi tadi kan, saya tak sengaja terpecahkan gelas.”
            Aku pandang mukanya dengan riak tak percaya. Pecahkan gelas? Aiman tersengih-sengih.
            “Habis tu apa jadi?” tanyaku.
            Dia angkat bahu. “Nasib baik Abang Ris okey. Kalau tak, dah kena ganti kut.” Kemudian dia ketawa.
            “Hisy awak ni. Dari dulu perangai tak berubah. Cubalah buat kerja tu hati-hati,” bebelku di luar sedar. Apabila dia cuma senyap, barulah aku tersedar. Eh, aku cakap apa tadi? Tak berani aku pandang muka dia, cepat-cepat habiskan suapan nasi. Aku yang tak mahu dia mengimbau, sudahnya aku sendiri yang mengimbau.
            “Hmm... Saya balik dululah,” ujarku lalu terus bingkas bangun. Lampu dalam restoran pun sudah dipadamkan. Abang Ris dan beberapa orang lagi pekerja keluar. Sempat mereka melambai ke arahku.
            “Eh, ingat dah balik tadi. Buat apa lagi kat sini? Eh, Aiman pun ada. Haa... kau orang buat apa ha?” Abang Ris mengusik tak beragak. Aduhai, entah apa aku nak jawab. Kejung aje berdiri kat situ.
            “Temankan Ara makan aje, bang. Bukan buat apa pun.” Aiman tiba-tiba menjawab. Entah bila masa dia bangun dan berdiri di tegak di sebelah aku pun, aku tak sedar.
            Abang Ris terangguk-angguk. “Okeylah, abang balik dulu. Jangan balik lewat sangat.” Sempat dia berpesan sebelum terus berlalu mendapatkan keretanya.
            Aku membuang bekas polisterin tadi ke dalam tong berdekatan lalu terus menghampiri motosikalku.
            “Saya teman awak balik,” kata Aiman tanpa dipinta.
            “Teman?” Aku termangu sekejap. Tak faham.
            Aiman tersenyum. “Saya ikut motor awak kat belakang,” jelasnya.
            “Ohh...” Aku sudah tak terkata apa lagi. Kenapa dengan Aiman ni? Sengaja nak paksa aku ingat kenangan lama ke macam mana? Tolonglah Man... jangan buat hati saya jatuh pada awak lagi kalau awak langsung tak berniat nak sambut.
            Aku hidupkan enjin motosikal. Sesudah mengetatkan tali helmet, aku mula menunggang motosikal untuk pulang ke rumah. Nasib baiklah tak jauh mana, dan nasib baik juga Aiman ada di belakang. Jadi aku tak adalah rasa takut sangat balik sendiri. Sampai di rumah, aku segera turun dan tanggalkan helmet. Aiman di belakang setia menunggu. Aku pandang wajahnya sambil memberi isyarat mata. Entah apa maksud isyarat tu pun aku sendiri tak tahu.
            “Jumpa esok,” katanya sambil mengukir senyuman. Nampak sangat ikhlas di mataku.
            Ara, jangan buat kerja gila. Cepat-cepat akal mengingatkan sebelum hati semakin hanyut.
            “Okey, saya masuk dulu.”
            Aiman mengangguk. “Tidur baca doa,” pesannya. Pesanan yang sudah lama aku tak dengar. Sejak hubungan kami bergolak, ucapan itu sudah tidak meniti lagi di bibirnya. Tapi malam ini, dia ucapkan lagi tiga baris perkataan itu.
            Aku tak mampu menahan senyuman. Dengan jantung yang berdegup laju, aku berlalu masuk ke dalam rumah.


AKU sendiri pun tak sedar bila masa aku buka ruang untuk Aiman kembali menjadi seseorang yang penting dalam hidupku. Hubungan kami berdua semakin hari jadi semakin rapat dan mesra. Dia selalu mengajakku berbual setiap kali ada masa terluang di tempat kerja. Kadang-kadang tu, kami berbual macam restoran tu kami yang punya. Sampaikan pekerja-pekerja di situ sibuk menggosipkan kami berdua. Kelakar pun ada. Padahal aku dengan dia dulu memang bercinta, sekarang ni digosipkan bercinta pula. Ironik sungguh.
            Pernah sekali, dia muncul di restoran pagi itu dengan Oreo Cheese Cake. Katanya, ibu dia yang buatkan jadi dia bawalah sedikit untuk aku rasa. Lupa nak cakap, aku pernah jumpa ibu dia dan hubungan kami berdua pun baik sebelum ni. Maksud aku, sewaktu aku dan Aiman masih lagi pasangan kekasih.
            “Oreo?” Muka aku teruja semacam.
            Aiman tersenyum penuh makna. “Saya tahu awak memang gila Oreo. Nah, rasalah.” Piring dihulurkan dekat denganku.
            Aku menelan liur. Perlahan kek itu aku suap ke dalam mulut. Hmmm... sedap gila!
            Selalu juga waktu-waktu rehat, aku dan dia akan habiskan masa di belakang restoran bersembang macam-macam perkara sambil makan. Kadang-kadang tu gelak sampai tak ingat dunia. Setiap kali aku sakit kepala, dia akan datang menghulur panadol dan temankan aku sampai sakit kepala aku hilang. Kalau aku bengang dengan sesetengah pelanggan yang hanya tahu menaikkan darah, dia yang selalu menenangkan dan memujuk aku supaya bertenang.
            “Janganlah marah-marah. Biasalah tu. Kan ke customers are always right?” Dia senyum.
            Pandang senyuman dia aje, hati aku dah jadi makin sejuk. “Memanglah, tapi tak boleh ke tolak ansur sikit? Ini nak menang aje...” bebelku sambil berpeluk tubuh.
            “Ara,” panggilnya.
            Aku berpaling ke sebelah.
            “Katakanlah, tiba-tiba satu hari tu awak teringin nak makan oreo. Lepas tu awak pergi kedai dengan niat nak beli oreo banyak-banyak. Tapi bila sampai aje kedai tu, tengok-tengok oreo dah habis. Apa awak rasa?” Aiman renung mukaku menagih jawapan.
            Aku kerut dahi. “Rasa kecewa.”
            “Haa... samalah tu,” balasnya.
            Aku makin kerutkan dahi. Bukan setakat dahi, tapi dengan seluruh muka sekali. “Maksudnya?”
            “Maksudnya... hmm...” Aiman menggumam. “Tak ada maksud pun, sengaja nak alih perhatian awak daripada pelanggan tadi.” Dia tersengih pula.
            Belum sempat tuala di tanganku naik ke bahunya, dia sudah cepat-cepat melarikan diri dengan gelak yang panjang. “Eii... sabar ajelah aku mamat ni!” bebelku geram. Tapi dalam-dalam geram, rasa nak tergelak pun ada. Entah apa bendalah yang Aiman tu mengarut. Tapi betul juga kata dia tadi, buktinya sekarang aku dah tak ingat pada pelanggan yang hanya menaikkan darah aku tadi.
            Di bilik belakang, Abang Ris ada tinggalkan gitar miliknya untuk dimainkan waktu-waktu bosan. Aiman pun selalu pinjam gitar tu bila bosan dan aku pula akan jadi penyanyinya. Heh, macam hebat aje nak nyanyi-nyanyi bagai. Tapi memang begitulah kami sejak dulu. Aiman selalu ajak aku lepak-lepak di taman sambil dia main gitar dan aku ambil bahagian menyanyi. Tak kisahlah suara aku sumbang pun, Aiman tetap suka dengar.
            “Nak nyanyi lagu apa?” tanya Aiman sambil bersedia memetik gitar.
            “Hmm... lagu apa ya?” Aku ketuk-ketuk dagu.
            Aiman tersenyum-senyum. Entah apa yang dia fikirkan pun aku tak tahu.
            “Nasib baiklah Abang Ris ada gitar ni, dapat jugak saya spend time dengan awak. Macam dulu-dulu...”
            “Apa dia?” Aku mengangkat muka. Aku dengar, tapi sengaja buat-buat tanya. Lagipun suara dia bukan main perlahan lagi tadi, macam sengaja tak mahu aku dengar.
            Aiman menggeleng-geleng. “Tak ada apa. Hmm... apa kata awak nyanyi lagu... apa lagu yang awak suka sangat tu? Crazy? Crazy apa ek?”
            “Crazier?” tekaku.
            “Hah!” Dia petik jarinya sambil tersenyum. Kemudian tangan kembali memegang gitar.
You showed me something that I couldn’t see
You opened my eyes and you made me believe
            Memang itu sekadar lirik, tapi kenapa aku terasa macam aku tujukan lirik lagu itu khas untuk dia?
            Semakin lama, Aiman semakin membuka pintu hati yang pernah aku tutup rapat untuk dia dulu. Perasaan yang dulu pernah hilang kini seolah-olah muncul semula. Tapi, betul ke muncul semula? Atau sebenarnya perasaan itu tak pernah hilang pun walau berkali-kali aku tegaskan dia sudah tiada lagi di hati?
            Aku ingin sekali tanyakan kepada dia, tapi aku takut dengan jawapannya. Aku takut kalau-kalau aku cuma bertepuk sebelah tangan. Dia yang meminta hubungan kami diputuskan, jadi sekarang tak ada alasan kenapa dia mahu aku lagi. Lalu aku putuskan untuk berdiam diri saja. Tak apalah, kalau dia tak rasa apa yang aku rasa, aku bukan siapa-siapa untuk memaksa. Pernah jadi seseorang yang penting dalam hidupnya pun, dah cukup untuk aku.

HARI sabtu cuti, jadi Aiman mengajakku keluar menonton wayang bersama. Baris-baris ayat yang dia tuturkan pagi itu, yang tak akan aku lupakan sampai bila-bila,
            “Awak kan suka layan English Movie. Dulu-dulu kalau awak stress dengan studies, awak selalu paksa saya teman awak tengok movie. Dahlah paksa, lepas tu awak jugak yang pilih movie. Walaupun saya tak suka, terpaksalah layankan jugak. Kalau awak merajuk pun, saya dah tahu. Umpan dia satu aje, bawak awak tengok movie. Confirm lepas tu okey.” Dan kemudian dia ketawa.
            Memang masa tu aku rasa macam nak terjun bangunan aje. Kenapa Aiman perlu buat kenyataan macam tu? Tak tahu ke yang dia dah buatkan hati aku pedih macam mengalir darah? Itu okey lagi, aku masih boleh bertahan lagi. Lepas habis tengok filem di panggung, dia mengajak aku makan di restoran Mc Donalds.
            “Spicy Chicken McDeluxe, your favourite burger ever. I’ll never forget that.” Dia tersenyum lagi. Kali ini lebih manis dan bermakna.
            Aku cuma keras macam patung di situ. Bibirku paksa untuk tersenyum. Betullah kata orang, jangan berkawan rapat dengan bekas kekasih sebab mereka tahu semuanya.
            “Big Mac, always and forever,” kataku mengejek. Selebihnya, cuma nak membuang rasa tak selesa dalam hati.
            Dia ketawa. “Hmm... Ara, nak tanya sikit boleh?” Nadanya tiba-tiba bertukar agak serius.
            “Apa dia?” tanyaku, masih mengunyah kentang goreng. Burger tadi dah selamat dihadam dalam perut.
            Aiman membetulkan duduknya. Aku nampak tingkahnya yang sedikit gelisah, seolah-olah berdebar hendak mengajukan soalan. “Lepas kita putus dulu, awak pernah suka kat siapa-siapa tak?”
            Aku terdiam. Mata terkelip-kelip, tak percaya mendengar soalan itu.
            Aiman berdeham. “Maksud saya, awak pernah jatuh hati kat orang lain lepas awak putus dengan saya?” Dia merenung tepat ke wajahku.
            Aku menunduk sambil buat-buat ketawa. “Kalau ada, saya dah ada kekasih sekarang ni tau?” kataku sengaja bergurau untuk menutup resah di hati.
            “Jadi maknanya awak belum ada pengganti?”
            Soalan itu tak mampu aku jawab. Macam mana nak ada pengganti kalau yang lama pun aku masih tak dapat lenyapkan sepenuhnya dari hati? Tolonglah jawab sendiri, Aiman...
            Aiman tunduk. Mungkin mencari nafas untuk meneruskan kata. Makin lama dia begitu, makin aku gelisah. Ikutkan hati, nak aje aku terus lari balik rumah.
            “Kalau saya kata, saya masih sayang awak?”
            Kata-kata yang paling tak sanggup aku dengar akhirnya keluar juga dari mulutnya. Aku mengetap bibir. Hati terasa pedih tak semena-mena.
            “Kalau awak sudi, would you try again... with me? Kita boleh mulakan dari awal,” kata Aiman lagi. Semakin lama semakin yakin. Mungkin sebab dulu aku pernah terima dia, jadi dia fikir mudah untuk aku menerimanya untuk kali kedua.
            Aku tiada jawapan untuk soalan itu. Makin lama aku duduk di situ, makin aku boleh hilang kewarasan diri. Lantas aku bangun, mencapai beg dan terus berlalu meninggalkannya di situ. Biarlah orang nak kata apa pun, nak berdrama di tengah-tengah shopping complex ke, aku malas fikir lagi.
            Sampai di rumah, aku kunci diri di dalam bilik. Aku duduk bersandar di kepala katil sambil memeluk lutut. Perlahan-lahan, terasa ada titisan hangat mengalir menyentuh pipi. Kenapa selepas hubungan kami putus, kenapa tiba-tiba dia kembali jadi insan yang pernah aku sayang dulu? Kalau betul sayang, kenapa dulu dia putuskan aku? Kenapa baru sekarang dia sedar perasaan sayang tu dan minta aku terima dia semula?
            Mungkin aku sepatutnya gembira sebab dia juga rupa-rupanya menyimpan perasaan yang sama denganku. Tapi apa yang buatkan aku terkilan, kenapa dia cuma sedar semua itu selepas berbulan-bulan kami putus? Aku ingin sekali mulakan segala-galanya dengan dia, tapi aku takut aku akan terluka sekali lagi.
            Kenapa awak buat saya macam ni, Aiman? Memang, memang saya masih sayangkan awak. Saya kata saya benci awak, tapi hakikatnya saya tak pernah benci awak. Saya kata saya boleh hidup gembira tanpa awak, sedangkan saya lebih gembira kalau awak ada dengan saya.
            Aku letakkan kepala di atas bantal. Aku tak mahu fikir lagi soal hati dan perasaan ketika ini. Biarlah...

MASUK bekerja esoknya, aku mengelak dari Aiman setiap masa. Asal dia datang dekat, awal-awal lagi aku lari. Aku tahu dia perasan, dan aku boleh nampak betapa dia kecewa dengan reaksiku. Dalam hati, aku mengutuk diri sendiri. Aku sayang dia, dia sayang aku, jadi kenapa kami perlu jadi begini? Kenapa aku perlu jauhkan diri aku dari dia sampai macam ni?
            Waktu rehat, Aiman hilang dari pandangan. Aku tahu dia mesti ada di belakang. Perlahan-lahan aku bawa langkah ke ruang belakang restoran. Dari muka pintu, aku boleh dengar bunyi gitar dipetik dengan suaranya yang menyanyi perlahan. Aku memasang telinga lagi. Lagu Kita, lagu yang pernah menjadi ‘lagu tema’ kisah percintaan aku dengan dia dulu. Sebak tiba-tiba datang mengetuk dada.
            Aku berdiri di situ, mendengar nyanyiannya yang seolah-olah tembus terus ke dasar hati.
Dan aku terus menyanyi lagu ini untukmu
Walau berjuta mendengar
Lagu ini hanya untukmu
Arah hidup kita
Tergambar bintang di angkasa
Berkelip melukis cinta
Terciptalah lagu kita
            “Man...” Aku memanggil perlahan. Aku sendiri pun tak sedar aku mendekat, sedar-sedar saja kakiku sudah berdiri dekat dengan tempatnya duduk.
            Aiman berhenti menyanyi lalu berpaling. Terpandangkan aku, dia segera bingkas bangun. “Ara...”
            Aku mengambil nafas, mencari-cari kata yang sesuai untuk diluahkan. “Kalau saya terima awak balik, awak janji takkan lukakan hati saya lagi?” tanyaku sebak. Kolam mataku bergenangan. Sungguh aku takut semua itu berulang lagi.
            Aiman tersenyum nipis. “Saya tahu saya dah pernah lukakan hati awak. But... I learned my lesson. I want you back.” Terus terang. Dia renung tepat ke dalam sepasang mataku.
            Aku menunduk. Rasa-rasanya, aku tak perlu cakap apa-apa lagi. Dia sudah tahu jawapan aku.
            “Kita mulakan dari awal semula okey?” Nadanya lembut sekali.
            Aku mengangkat muka sebelum lambat-lambat mengangguk. Melihat dia tersenyum, aku ikut senyum. Dia tarik tanganku supaya duduk di sebelahnya.
            “Saya main, awak nyanyi. Nak lagu apa?” soalnya sambil merenung wajahku.
            “Lagu tadilah,” kataku. Ketika ini, aku pandang wajah sebagai seseorang yang aku sayang, yang sangat penting dalam hidupku. Aku sudah dapat Aimanku semula.
            Dia tersenyum. “Okey.”
            Aku menyanyi mengikut alunan gitar yang dimainkan. Tak sangka, aku dan dia masih diberi peluang untuk kembali ke garis awal, memulakan kisah cinta yang pernah terputus di tengah jalan sekali lagi.

~~~~~

3 comments:

Anonymous said...

so suweet... ai laiek...

Anonymous said...

so suweet... ai laiek...

Anonymous said...

jdt : sweet n nice... (Y)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...