++ Suntikan Semangat! ++

Thursday, October 17, 2013

- Cerpen: Untuk Yang Sudi -



“TENGOK wayang?”
            “Cerita apa?” Ashiya merenung wajah lelaki di depannya itu tanpa kelip. Kali pertama seorang lelaki mengajaknya keluar berdua. Tengok wayang waktu malam pulak tu!
            “Escape Plan. Kawan-kawan aku cakap best,” ujar Farhan. Kalau Ashiya pertama kali diajak, dia pula pertama kali mengajak. Almaklumlah, sebelum ni mana berani nak ajak mana-mana perempuan keluar. Tapi sejak banyak habiskan masa bersama Ashiya untuk final project yang perlu disiapkan, dia sudah jadi lebih berani. Lagipun reaksi Ashiya macam positif, makin bertambah darjah keyakinannya.
            “Nanti aku belanja kau popcorn.” Farhan sengih. Macam tak ada benda lain aje nak belanja?
            Ashiya tersenyum. Farhan ni macam tahu-tahu aje popcorn tu memang kegemarannya. Kadang-kadang tu sengaja nak tengok wayang sebab nak makan popcorn. Ada tak orang lain yang buat kerja macam tu?
            “Okey...”
            “Malam esok? Aku ambik kau kat depan kolej.” Farhan mengatur rancangan. Perkataan ‘okey’ yang keluar dari bibir Ashiya aje dah cukup buatkan hati berbunga-bunga.
            Ashiya kerut dahi. “Ambik aku?”
            “Aku pinjam kereta Man.” Cepat-cepat Farhan menjelaskan. Dia pergi ke kelas pun naik motosikal aje, takkan nak bawa anak dara orang keluar malam-malam pun naik motosikal? Nanti dah sah-sah Ashiya tak jadi nak keluar dengannya.
            “Ohh... Okay then. See you tomorrow night.” Ashiya mengangkat tangannya untuk melambai kecil. Kemudian dia berpaling dan menyambung langkah untuk pulang ke kolej.
            Tak apalah... bagi peluang kat Farhan kali ni. Lagipun dia cuma menganggap Farhan tu sebagai kawan, bukannya ada apa-apa pun. Walaupun kawan-kawan sekelas sibuk mencanang kononnya Farhan tu ada menaruh hati kepadanya, Ashiya malas ambil peduli. Selagi lafaz keramat itu belum keluar dari mulut Farhan, selagi tu dia tak akan percaya. Tambahan lagi, Farhan tahu hati Ashiya milik siapa sekarang. Haikal, rakan baik Farhan sendiri.
            Heh, epic love. Ashiya tersengih sendiri sambil kakinya melangkah masuk ke dalam kawasan kolej. Ni kalau cerita kat Ain, mau melompat minah tu seorang.

POPCORN caramel.” Farhan tersenyum menghulur bekas popcorn di tangan kepada Ashiya.
            “Thanks.” Ashiya membalas senyuman itu. “Favourite aku ni,” ujarnya.
            “Oh ya ke? Untungnya...”
            “Apa yang untung?”
            “Untung sebab aku dapat tahu favourite kau.” Farhan senyum penuh makna.
            Ashiya ketawa kecil. Apa-apa ajelah, Farhan. Popcorn aje pun. Bukannya dia bagitahu tempat percutian bulan madu idaman.
            “Ashi...” Farhan berdeham sekali. Sementara tunggu hall dibuka, baiklah dia gunakan masa yang ada sebaik-baiknya.
            “Apa dia?” Sebiji popcorn sudah masuk ke mulut.
            “Nak tanya sikit boleh?”
            Ashiya angkat kening.
            “Hmm...” Farhan gelisah tak semena-mena. “Ashi masih tunggu Haikal?”
            Ashiya terdiam. Dia sendiri pun tak ada jawapan untuk soalan itu. Haikal sudah mendapat tempat di hati sejak dia mula-mula melangkah ke UiTM Seri Iskandar itu. Sejak semester pertama, sejak kelas yang pertama lagi. Sekarang dia sudah berada di tahun kedua, tetap Haikal juga yang ada di hati. Bukannya Haikal tak tahu, malah tahu sangat-sangat. Satu kelas pun tahu tentang perasaan Ashiya terhadap Haikal. Kadang-kadang terasa diri sendiri bodoh jugak sebab sanggup mengaku depan-depan yang dia sukakan Haikal. Sudahnya, Haikal menolak dan dia juga yang kecewa sendiri.
            Jadi, kalau ditanya sama ada dia masih menunggu Haikal atau tidak, soalan itu memang tiada jawapan.
            “Hall dah buka,” kata Ashiya apabila terpandangkan lampu pada lampu nombor panggung sudah menyala. Tanpa menunggu Farhan, cepat-cepat dia berlalu.
            Farhan menghembus nafas panjang. Nampak sangat Ashiya sengaja mengelak. Tak apalah, hari esok masih ada.

WALAU sudah berkali-kali Ashiya mengingatkan agar peristiwa dia keluar berdua dengan Farhan tak sampai pengetahuan orang lain, selain Ain dan Man, tetap juga berita itu tersebar. Bibir diketap rapat-rapat mendengar suara-suara sumbang di belakang.
            “Malam Sabtu hari tu aku keluar kejap... Kau tahu siapa aku jumpa?”
            “Siapa? Siapa?”
            “Ada orang pergi tengok wayang!”
            “Jeng! Jeng! Jeng!”
            “Dalam kelas bukan main cover, kat luar siap dating!”
            Dan mereka ketawa beramai-ramai.
            “Kau orang ni kecohlah,” marah Farhan. Namun riak wajahnya nampak tenang. Bukan salah dia, dah dia orang semua nampak nak buat macam mana, kan?
            “Ashi, kau dengan Paan ada apa-apa ke?” Suara yang lain pula bertanya.
            Ashiya pandang Farhan. Lelaki itu hanya tersengih ke arahnya.
            “Mana adalah! Kau orang ni mengarut aje.” Ashiya pura-pura membuka buku. Ketika itu pandangannya bertemu dengan sepasang mata Haikal. Hanya sekilas, Haikal kembali pandang ke arah lain. Serta-merta jantung Ashiya berdetak satu rasa.
            “Yalah tu!”
Mereka semua malas percaya buatkan Ashiya pun malas ambil peduli. Dahlah kena stay up sampai malam kat kelas sebab kena siapkan kerja. Final project yang tak siap-siap lagi ni. Itulah nasib pelajar-pelajar jurusan building macam mereka ni. Tiba-tiba, satu suara berbunyi lagi.
“Aku laparlah! Kau orang tak nak beli makanan ke?”
“Biar aku pergi beli McD.” Farhan menjawab tak semena-mena.
Great! Dapat McChicken satu, memang heaven!” sambut yang lain pula.
Farhan pandang Ashiya. “Ashi, teman aku?”
Ashiya tersentak. Tak berkelip matanya memandang semua yang ada di situ. Masing-masing tersengih. Nak mengusiklah tu.
“Pergilah teman Paan, Ashi. Kesian dia beli sorang-sorang.”
“Ambik kereta aku, Paan.” Man terus beri izin guna keretanya.
Farhan angkat kening ke arah Ashiya. Masih berharap. Kalau Ashiya cakap tak nak, memang malu setahun. Tapi lega apabila Ashiya setuju.
Drive thru dahlah. Cepat sikit,” ujar Ashiya ketika sudah masuk ke kereta.
All right!” Farhan setuju tanpa banyak songeh.
Ashiya diam sambil buang pandang ke luar cermin tingkap kereta.
“Marah aku ke pasal tadi?” tanya Farhan perlahan. Wajah Ashiya dipandang sekilas.
Ashiya tersenyum kecil. “Nak marah buat apa? Dia orang bergurau aje tu. Bukannya betul pun...”
“Kalau betul?”
Ashiya terus kunci mulut. Hati rasa tak sedap. Apa Farhan ni? Makin hari makin menyeramkan pulak.
“Kalau Paan kata, Paan suka Ashi. Macam mana?”
Ashiya tak tertelan air liur. Apasal tiba-tiba tukar cakap pakai nama ni? Alahai Paan, janganlah buat aku seram sejuk macam ni. “Apa mengarut ni?” Ashiya pura-pura ketawa.
“Mana ada mengarut.” Farhan lurus pandang ke depan. Tiba-tiba berharap perjalanan ini tiada penghujungnya.
“Kau tahu aku suka siapa...” balas Ashiya sepi. Jemarinya bertaut rapat sesama sendiri. Aircond dalam kereta tu tak adalah sejuk mana, tapi dia rasa lututnya macam menggigil.
“Dan aku jugak tahu Haikal tak pernah bagi respon yang baik kat kau,” ujar Farhan pula. Haikal tu rakan baiknya, bodohlah kalau dia tak tahu. Tapi masalahnya, Haikal sendiri yang menolak Ashiya. Tak salah kalau dia cuba memikat gadis itu, kan?
Ashiya diam. Dia sedar akan hal itu. Tak perlu kut Farhan nak tekankan berkali-kali. Sudahnya dia terus kunci mulut sampaikan mereka pulang semula ke kampus dengan set burger dari McDonalds.

DOUBLE DATE. Tak pernah Ashiya angankan untuk lalui semua ini. Tapi entah kenapa sewaktu Ain mengajaknya untuk turut serta bersama Farhan, dia bersetuju jugak. Ain dengan Man, dia dengan Farhan. Ohh... so awkward.
            “Ain, kau duduk sebelah aku?” Ashiya berbisik di telinga Ain sesudah masuk ke dalam panggung wayang itu.
            “Err... tapi...” Ain tak sempat jawab apabila terdengar Man memanggil. Lelaki itu menunjuk isyarat supaya duduk di sebelahnya. Ain sengih ke arah Ashiya sebagai ucapan maaf.
            Ashiya menggerutu dalam hati. Dahlah seat couple! Sabar ajelah aku. Dia duduk juga di tepi dinding. Farhan pula duduk di sebelahnya. Ashiya mengangkat kakinya ke atas kerusi lalu dipeluk rapat.
            “Tak nak?” Farhan tersenyum sambil menghulur kotak popcorn kepada Ashiya. “Kan favourite Ashi ni.”
            Dia buat lagi... Ashiya paksa bibir untuk tersenyum. “Kejap lagi.” Pandangan diluruskan ke arah skrin. Tayangan sudah dimulakan.
            Kenapa Farhan ni baik sangat dengan dia? Padahal bukannya Farhan tak tahu. Dia cuma sukakan Haikal dan perasaan itu tak pernah berubah sampai sekarang. Farhan tahu, tapi sengaja nak sakitkan hati sendiri. Sedangkan bagi Ashiya, daripada mengecewakan di kemudian hari, baiklah dia berterus terang sekarang.

CUTI semester, bersamaan dengan enam bulan praktikal. Ashiya lega dapat menghabiskan banyak masa di kampung. Tapi penat juga sebab hari-hari terpaksa turun ke tapak projek sampai muka pun dah naik hitam. Tak apalah, markah punya pasal.
            Sepanjang praktikal, Farhan selalu menghubunginya. Haikal yang ditunggu, tetapi nama yang sering muncul di skrin Samsung SIIInya tetap Farhan. Tapi tu tak bermakna dia tak layan Farhan. Setiap mesej kiriman Farhan tetap dibalas, tetap layan setiap lawak bodoh Farhan yang boleh buat dia gelak seorang diri.
            Cuma, hari itu... Farhan tiba-tiba bertanyakan soalan yang ‘pelik’.
            Saya nak tahu, awak masih tunggu lagi Haikal lagi?
            Dah kenapa tiba-tiba jadi saya-awak pulak ni? Ashiya garu kepala. Kiriman WeChat itu dibalas,
            Entah.
            Entah?
            Kau tahu kan, aku suka Haikal sejak sem satu lagi. Bukan senang nak lupakan dia.
            Tiada balasan daripada Farhan.
            Ashiya membalas lagi,
            Nak kata tunggu tu, mungkin taklah. Tapi perasaan aku kat dia tetap tak boleh nak buang.
            Farhan mungkin kecewa, tapi sekurang-kurangnya Ashiya berterus terang. Bukannya dia tak sukakan Farhan, tetapi perasaan yang ada cuma untuk seorang rakan baik. Lagipun Farhan adalah rakan lelaki yang paling rapat dengannya. Di kampus pun, Farhan yang selalu tolong macam-macam, selalu ada kalau dia perlukan kawan. Satu yang dapat Ashiya simpulkan, Farhan memang lelaki yang baik. Tapi, itu belum cukup untuk membuatnya lupakan Haikal.
            Kata Ain, “Aku kesian kat Paan tu. Kau tak rasa macam tu ke?”
            Ashiya diam.
            “Katakanlah, satu hari nanti tiba-tiba kau mula jatuh kat hati Paan tapi masa tu dia dah ada orang lain. Macam mana?”
            Ashiya mengeluh panjang. Apa ni? Tolonglah jangan buat dia serba salah macam ni...
            Kata seorang lagi sahabat, “Kau pernah dengar satu kata-kata tak? Lebih baik pilih orang yang sayangkan kita daripada orang yang kita sayang...”
            “Aku tahu, tapi nak buat tak semudah tu. Easier said than done.”
            Dulu-dulu, Ashiya juga pernah dengar ada antara rakan-rakannya bercakap tentang Haikal. Kata mereka, Haikal tu sebenarnya bukan tak sukakan Ashiya, tapi buat masa sekarang dia malas nak fikir soal cinta. Sebab itu bila timbul cerita antara Farhan dan Ashiya, Haikal mula menunjukkan rasa tak senang. Mungkin Haikal juga menyimpan perasaan kepada Ashiya, cuma dia tak meluahkan. Nak ditanya kepada Farhan tentang Haikal, Ashiya tak berani.
            Semester baru bakal bermula. Ashiya pun tak tahu macam mana nak berhadapan dengan Farhan nanti. Nak terus terang yang dia sebenarnya takkan dapat lupakan Haikal sampai bila-bila, atau cuba beri peluang kepada lelaki itu?
            Entahlah...

~~~~~


Tamat! Hehehe. Sebenarnya cerita ni tak ada ending, sampai sini aje yang dapat ditulis. Tu pun main tulis suka hati tak ada draf apa-apa sebab ikut apa yang ada dalam kepala. Jadi kawan2, kalau ada suggestion, boleh drop comment kat bawah ye. Kalau sudilah kan. Mungkin jugak nanti ada yang kata apa tajuk tak kena dengan cerita? Tak apalah. Nak kutuk pun boleh kutuk, but seriously, aku tak boleh nak tamatkan cerita ni. :'(


PS. Ashi, make your best decision. Jangan menyesal di kemudian hari okey? Ikhlas dari sahabatmu, Ayumi Syafiqah.


~end

1 comment:

Anonymous said...

tolong sambung please

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...