++ Suntikan Semangat! ++

Monday, May 20, 2013

- Cerpen : Gadis Seperti Dia -


Terimalah cerpen yang terrrlalu banyak kekurangan ini. Sob3. :(
Dah lama dah tulis sebenarnya tapi baru tergerak hati nak upload kat sini. Kalau tak best sorry, kalau best promotelah kat kengkawan. Haha. :D

Selamat membaca!

~~~




Gadis Seperti Dia
SHIMA menongkat dagu memerhati rakan-rakannya beransur-ansur keluar dari kelas. Kemudian pandangannya dikalihkan memandang dua orang rakan baiknya yang masih lagi tercongok di kerusi masing-masing. Shana dengan bedak kompak di tangan membetul-betulkan mekap yang langsung tak nampak comot, Ija pula ralit menekan-nekan punat pada telefon bimbit di tangan.
            “Kau tak ada lunch date dengan Haizaq ke hari ni?” Shima bertanya sambil merenung muka Shana. Haizaq tu kekasih Shana, pasangan yang popular di kolej ini. Lagipun, siapa tak kenal Haizaq? Lelaki yang terkenal dengan wajahnya yang tampan tapi mahal dengan senyuman itu? Entah macam manalah Shana boleh sangkut dengan mamat tu, dia pun tak tahu. Atau lebih tepat lagi, dia tak tahu macam mana Haizaq boleh ‘melekat’ dengan Shana. Kalau diperhatikan, perwatakan kedua-duanya bagai langit dan bumi.
            “Ada. Tunggu dia call,” jawab Shana. Matanya masih fokus pada cermin kecil bedak kompak di tangan. Eyeliner yang agak lari bentuk asal disapu sedikit dengan hujung jari.
            “Untunglah... couple dengan hot bachelor!” Ija menyampuk sebelum terkekeh-kekeh sendiri.
            “Gila tak hot. Dapat pulak couple dengan si Shana yang gorgeous ni kan...” balas Shima pula tersengih-sengih. Kenapa dia kata Haizaq dan Shana tu bagai langit dan bumi? Shana tu sosial dalam bergaul. Tengoklah pakaian dia dari atas hingga bawah, tak sah kalau tak ada dedah sikit. Memanglah dia tak pakai baju tak cukup kain, cuma dia suka memakai baju yang melekat di tubuh hingga menampakkan bentuknya yang cukup menawan itu. Haizaq pula? Dia dikatakan hot sebab wajahnya yang kacak, kulit nak kata putih tak putih sangat, tinggi lampai, tegap pula tu. Lagi bonus sebab Haizaq tu jenis yang alim-alim. Sebab tulah bila Haizaq bercinta dengan Shana, semua orang rasa hairan. Peminat-peminat Haizaq rasa tergugat, begitu juga dengan peminat-peminat Shana. Tapi Shima yakin, ada sebab kenapa Haizaq memilih untuk berdampingan dengan Shana.
            Shana menutup bedak kompaknya dan kembali menyimpannya ke dalam beg. Rambut panjangnya dibetul-betulkan. “Well...” Kemudian ditepis rambutnya ke belakang. Angkuh sekali kelihatan.
            Ija dan Shima sama-sama mencebik. Shana ketawa mengada. Siapa tak bangga ada kekasih macam Haizaq kan?
            Telefon bimbit berdering. Dengar daripada nada dering, Shana tahu Haizaq yang menelefon. Dengan senyuman dia menjawab panggilan itu. “Helo, sayang...” Manja dia menyapa. Shima dan Ija hanya terkebil-kebil memerhati.
            “Kat mana?” Mendatar suara Haizaq membalas.
            “Awak kat mana?”
            “Kafe. Mai sinilah,” ujar Haizaq.
            “Okey. Bagi saya lima minit eh? Bye.” Shana mematikan talian. Setelah membetulkan baju yang dipakai, dia bangkit dari kerusi. Wajah Ija dan Shima dipandang. “Aku pergi dulu. Bye!”
            “Bye!” Ija dan Shima menjawab serentak.


MASUK ke kafe, melilau mata Shana mencari kelibat Haizaq. Nampak lelaki itu sedang duduk di satu meja bersama tiga orang rakannya, Shana menghampiri.
            “Hai, Shana!” Aidil menyapa mesra.
            “Hai!” Shana membalas dengan nada yang sama.
            “Cantik hari ni,” tegur Azmi pula. Keningnya diangkat-angkat sambil tersenyum-senyum.
            “I memang selalu cantik apa,” balas Shana sambil menepis perlahan rambutnya.
            “Selalu cantik... sebab tu Haizaq sangkut, kan?” sahut Johan sebelum dia, Azmi dan Aidil ketawa bersama-sama.
            “Kenapa? Jealous sebab you all tak dapat girlfriend cantik macam ni?” Shana membalas angkuh.
            “Eleh... tak ada maknanya,” cebik Azmi.
            “Ehem.” Haizaq yang sedari tadi diam berdeham sekali. Serentak ketiga-tiga rakannya menoleh ke arahnya.
            “Ohh okey, sorry. Hmm... Shana, kita orang gerak dulu. Bye!” Johan bangun diikuti Azmi dan Aidil. Masing-masing melambai mesra ke arah Shana sebelum bergerak pergi.
            Haizaq menarik kerusi di sebelahnya lalu memberi isyarat kepada Shana supaya duduk di situ. Shana menurut.
            “Lain kali, behavelah sikit. Dia orang tu semua lelaki. Tak elok orang pandang tergedik-gedik macam tu.” Direct Haizaq menegur.
            Shana mengetap bibir. Sesaat dua berdiam sebelum dia menjawab, “Alaa... bukan awak tak tahu perangai saya macam mana. Kan saya memang mesra dengan semua orang.”
            “Ya, tapi bukan dengan lelaki. Saya tak kisah awak nak berkawan dengan siapa pun tapi tolong jaga tingkah laku. Seriously, you don’t know what other guys think about you.” Wajah Haizaq serius. Walaupun Shana bukan isterinya dan dia tiada hak untuk menegur gadis itu, tetapi dia merasakan gadis itu tetap tanggungjawabnya. Dia tak mahu ada perkara buruk menimpa Shana disebabkan sikap gadis itu yang suka bergaul tak kira lelaki dan perempuan.
            Shana terdiam. Tak tahu lagi nak jawab apa. Ini bukan kali pertama Haizaq menasihatinya. Dah banyak kali dan dia pun dah tak kisah kalau kena tegur. Sayang punya pasal...
            “Saya tegur untuk kebaikan,” tambah Haizaq dengan nada yang lembut.
            “Okey. Saya janji saya cuba ubah perangai saya.” Shana menjawab akhirnya.
            Haizaq tersenyum. Senyuman itulah yang selalu mencairkan hati Shana. Memang benar kata orang, kalau cinta kita haruslah menerima segala kebaikan dan keburukan si pasangan tanpa perlu memintanya mengubah apa-apa. Tetapi bagi Haizaq, kalau perubahan itu dapat membawa Shana ke arah yang lebih baik, dia akan cuba lakukan selagi termampu.
            Haizaq pandang jam di tangan. “Saya kena jumpa Doktor Hasyim.”
            “Ha? Laa... saya ingatkan kita nak makan lunch sama.” Shana memuncung.
            “Sorry, terpaksa cancel. Tadi Doktor Hasyim minta saya jumpa dia kat bilik. Hmm... esok kita makan sama eh?” balas Haizaq dengan suara lembut. Masih ada senyuman di bibirnya. Memang dia tak reti nak pujuk lebih-lebih, setakat sikit-sikit tu bolehlah. Mujur juga Shana tak pernah merajuk lama-lama dengannya.
            “Habis... saya nak makan dengan siapa?” Shana masih tak puas hati. Masih berharap Haizaq menemaninya untuk makan tengah hari.
            “Kawan awak yang dua orang tu?”
            “Kalau awak cakap awal-awal kan senang? Boleh saya ajak dia orang terus tadi datang sini.”
            “Call them.” Mudah Haizaq memberi jalan penyelesaian.
            Shana diam dengan wajah masam.
            Haizaq keluarkan telefon bimbitnya lalu menghulurkannya kepada Shana.
            “Saya ada handphone saya sendiri,” jawab Shana sedikit keras.
            “Okay then. Jumpa esok. Bye.” Hanya itu balasan Haizaq sebelum dia terus berlalu keluar dari kafe.
            Shana hanya memandang dengan perasaan geram yang menggunung tinggi.


PUAS menelaah buku yang satu apa pun tak masuk, Shana akhirnya baring di katil. Terpandangkan pula Ija yang sedang bergayut di telefon sambil memeluk bantal di katilnya. Berbual dengan siapa lagi kalau si buah hati. Begitulah mereka setiap malam. Kadang-kadang cemburu juga sang hati melihat tingkah mereka itu. Langsung tak boleh dipisahkan. Handphone tak boleh renggang sekejap dari tuan si empunya badan.
            Haizaq? Bertuahlah badan kalau lelaki itu mahu menghubunginya malam-malam begini hanya untuk berbual-bual kosong. Nak hantar SMS bertanyakan keadaannya pun susah, inikan pula nak telefon? Terkadang juga Shana merasakan Haizaq langsung tak sayang padanya. Tengoklah Ija, tak cukup siang hari berbalas SMS tanpa henti, sebelah malamnya bergayut di telefon pula. Haizaq dahlah tak SMS, nak telefon lagilah haram. Chatting di internet? Tidak untuk lelaki seperti Haizaq.
            Shima? Keluar dating dengan kekasih hati. Selagi jam tak menganjak ke pukul 11.00 malam, selagi itulah bayangnya tak akan nampak. Dan Shana akan terus bersendiri setiap malam melayan hati yang rindu kepada sang kekasih hati yang entah di mana.
            Kalau Ija dan kekasihnya menggunakan panggilan ‘ayang’ dan ‘B’, manakala Shima pula ‘ma’ dan ‘pa’, Shana dan Haizaq pula cukup bersaya dan berawak. Nak panggil sayang, ucapkan rindu dan kata-kata cinta? Tak perlulah berharap kerana semua itu tak akan keluar dari mulut Haizaq.
            Shana mencapai telefon bimbitnya. Skrin kosong. Laju jarinya menari-nari di ruangan pesanan ringkas. Hanya sebaris ayat pendek ditaip di situ.
            I miss you...
            Send. Dipandang lagi gelagat Ija. Bercakap dengan suara yang perlahan dan hampir-hampir tidak kedengaran dan sesekali disertai gelak tawa. Shana mengeluh. Badan direbahkan di atas katil sambil memeluk bantal dengan erat. Fokus mata tepat merenung telefon bimbit. Masih tiada balasan daripada Haizaq. Entah bila masanya dia terlelap, dia sendiri tidak sedar.
            Hanya selepas terdengar bunyi SMS masuk, barulah dia terjaga semula. Keadaan bilik sudah pun gelap-gelita, hanya cahaya dari arah tingkap menerobos masuk. Ija dan Shima sudah lena di atas katil masing-masing. Shana mencapai telefon bimbitnya. Sempat memandang jam yang tertera di skrin sebelum membaca SMS kiriman Haizaq itu.
            3.30 pagi??? Satu keluhan terlepas.
            Sorry, saya ada kerja tadi. Dah lewat ni. Good night.
            Hanya itu balasan yang diterima. Shana tekupkan mukanya ke bantal. Kecewa!


WAJAH Shana masam berkali-kali ganda daripada malam tadi. Haizaq yang meminta dia menunggu di situ tetapi sudahnya, lelaki itu juga yang lambat. Sudahlah rajuk malam tadi belum lagi hilang.
            “Sorry lambat,” pinta Haizaq sambil duduk di sebelah Shana.
            “Sukalah kan buat saya menunggu kat sini macam orang bodoh?” Shana melenting tiba-tiba.
            Haizaq mengerut muka. “Sha... kenapa ni marah-marah?”
            “Awak tanya saya kenapa saya marah? Sepatutnya awak sendiri dah tahu. Bukannya tanya saya!” Shana berpeluk tubuh sambil memalingkan wajah.
            Haizaq menghembus nafas panjang. “Sha...”
            “Dahlah malam tadi saya SMS awak tak balas!”
            Haizaq terkejut. “I did reply...”
            “4 jam kemudian?!” Garang Shana menjawab balik.
            Haizaq mengeluh. Hal itu rupa-rupanya. Kepala yang gatal tiba-tiba digaru-garu. “Sha... awak tahukan saya sibuk siapkan final project saya.”
            “Alasan!” Amarah Shana masih lagi belum reda.
            Haizaq tergeleng-geleng sendiri.
            “Kenapa awak tak boleh jadi macam orang lain? Boyfriend orang lain tak pernah layan girlfriend dia orang macam awak layan saya. Tiap-tiap malam saya tengok Ija tu bergayut dengan boyfriend dia. Shima tu pun sama jugak. Saya pulak? Tengok gelagat dia orang tu macam orang forever alone sedangkan saya ada awak. Boleh awak tak faham apa yang saya rasa masa tu?” Puas hati Shana dapat melepaskan semuanya.
            Haizaq terdiam tanpa suara. Sangkanya tadi cuma hal dia lambat membalas SMS, rupa-rupanya ada lagi hal lain. Dia menyandar di bangku dengan riak wajah tenang. “Sha... kenapa awak nak compare saya dengan orang lain?”
            Giliran Shana pula yang terdiam.
            “Kalau awak sayang saya, awak patutnya terima saya seadanya. Dah memang saya macam ni, kenapa pula saya perlu berubah ikut cara orang lain? Ini cara saya, Sha...” Lembut Haizaq menuturkan kata-kata itu. “Ada tak saya minta awak jadi macam girlfriend orang lain?”
            Shana masih lagi terdiam. Amarahnya tadi dirasakan surut perlahan-lahan walaupun masih bukan sepenuhnya.
            “Saya tahu perangai awak macam mana dan saya boleh terima. Kenapa pulak awak tak boleh?” Haizaq masih lagi dengan nada yang lembut. Dia tidak mahu pergaduhan antara mereka berpanjangan dan dia tidak suka kalau Shana bermasam muka dengannya.
            “It’s not that I...”
            “Sha...” Haizaq membetulkan duduknya. “Saya minta maaf kalau awak terasa dengan cara saya, tapi saya tak tahu lagi nak buat apa. Kalau awak nak saya berubah ikut cara awak, saya rasa hubungan kita ni dah macam tak ada makna apa-apa lagi.”
            Pantas Shana memalingkan wajah merenung Haizaq. Terasa nak diketuk kepala sendiri. Kenapalah dia tak terfikir pun soal itu? Itulah, ikutkan hati sangat...
            “Sorry.” Sepatah Shana membalas.
            Haizaq tersenyum. “It’s okay. Saya tak nak kita gaduh-gaduh.”
            Shana mengangguk. Haizaq cukup baik untuknya. Apa lagi yang dia harapkan sebenarnya?
            “Sha, saya minta sesuatu boleh?”
            “Apa dia?”
            “Lain kali, jangan pakai baju macam ni lagi.”
            Shana memandang baju yang tersarung di tubuh sendiri. “Kenapa?”
            “Saya tak suka awak pakai macam ni. Tak elok.” Lembut Haizaq menegur.
            “Tadi awak cakap awak boleh terima saya seadanya? Kenapa nak suruh saya ubah pulak?” Shana sengaja menduga.
            Haizaq tersenyum. “Situasi kita lain.”
            “Maksudnya?” Shana angkat kening, meminta penjelasan.
            “Saya tegur untuk kebaikan. Kalau awak selalu pakai macam ni, bagi semua orang tengok bentuk tubuh awak, apa lagi keistimewaan yang awak akan bagi pada saya lepas kita kahwin nanti?”
            Shana terdiam lagi. Ada benarnya kata-kata Haizaq itu. Dia menegur untuk kebaikan. Dan apabila lelaki itu menyebut soal kahwin, dia yakin lelaki itu memang sayang padanya. “Okey, saya akan ubah. Tapi pelan-pelan.”
            Haizaq mengangguk. “Okey.”
            “Lapar...” Shana buat muka comel, sengaja nak tarik simpati.
            Haizaq ketawa kecil. “Okey, jom lunch.”
            “Okey.” Barulah senyuman riang terukir di bibir Shana. Ketika baru saja melangkah, bahu Haizaq tiba-tiba terlanggar seorang gadis secara tak sengaja. Kalut lelaki itu tunduk, membantu mengutip buku-buku yang bertaburan.
            “Sorry,” ucap Haizaq seraya mengukir senyum nipis.
            Gadis bertudung yang dilanggar tadi juga mengukir senyum. Buku di tangan Haizaq diambil. “Thanks.” Sempat menundukkan sedikit kepalanya sebelum berlalu.
            Haizaq perhatikan langkah gadis itu yang kian menjauh. Hanya selepas lengannya disenggol Shana, barulah dia berpaling.
            “Tengok apa?” tanya Shana. Nadanya berbaur cemburu.
            “Tengok awek tadi.” Jujur Haizaq menjawab.
            Shana mengetap bibir. “Cantik ke?”
            Haizaq buat muka sebelum mengangguk. “Bertudung lagi,” ujarnya selamba sebelum mula mengatur langkah.
            Tercuit hati Shana mendengar dua patah perkataan itu. Sentap!


“ZAQ, aku tanya sikit boleh?” Azmi bertanya sambil menoleh ke arah Haizaq yang sedang meneguk minuman.
            Haizaq memberi isyarat supaya Azmi meneruskan kata-katanya.
            “Kenapa kau boleh couple dengan si Shana tu eh?” Azmi buat muka serius. Aidil di sebelah turut sama mahu tahu jawapan.
            “Tak boleh ke?” balas Haizaq dengan muka tanpa riak.
            “Tak cakap pun tak boleh. Cuma yalah... kau ni kan stok alim-alim. Tak sangka pulak boleh sangkut dengan awek macam Shana tu.” Azmi membetulkan ayatnya tadi.
            “Kenapa dengan dia?” Tenang Haizaq bertanya.
            “Bro.” Johan menepuk bahu Haizaq. “Kau sendiri tahu Shana tu macam mana, kan? Boleh tahan seksi, sosial dalam pergaulan, kalau pergi mana-mana tak menggedik sana sini tak sah. Aku bukanlah nak cakap apa, tapi kalau kau nak cari calon bini, aku tak rasa Shana tu sesuai untuk kau. Jauh... langit dengan bumi!”
            “Habis, perempuan yang macam mana sesuai dengan aku?” Haizaq bertanya tanpa perasaan. Jujurnya, ini bukan kali pertama hal hubungannya dengan Shana dipersoalkan. Tapi dia malas ambil pusing dan hari ini, keadaannya masih lagi sama.
            Perhatian Azmi, Aidil dan Johan teralih apabila ada seorang gadis tiba-tiba melintas di kawasan mereka melepak itu. Gadis itu menoleh sedikit ke arah mereka sebelum mengukirkan senyuman manis. Penuh sopan dia berlalu pergi dengan kepala yang tertunduk sedikit. Haizaq kenal gadis itu. Ain, gadis yang dilanggar secara tak sengaja tempoh hari.
            “Haa... yang macam tu!” Aidil menyambung sambil jarinya menuding ke arah kelibat Ain yang kian menjauh.
            Haizaq ikut memandang ke arah yang sama.
            “Si Ain tu... dahlah cun, baik, lemah-lembut, tutup aurat lagi. Baru sesuai untuk ustaz macam kau!” tokok Azmi sebelum mereka ketawa bersama-sama.
            Haizaq diam tak menjawab. Air di tangan kembali diteguk. Ketika itu juga matanya terpandangkan Shana yang berdiri tidak jauh darinya. Erk, dia dengar ke?
            Azmi, Aidil dan Johan yang turut terpandangkan Shana terus senyap.
            Haizaq meletakkan gelas kertas di tangan di atas meja sebelum bangkit berdiri. “Chow.” Sepatah dia berkata sebelum berpaling mendapatkan Shana. “Jom.”
            Shana berkeras tak mahu mengikut. Hatinya masih sakit dengan kejadian tadi. Jadi selama ini, memang itulah kerja ketiga-tiga rakan Haizaq tu? Menghasut Haizaq supaya meninggalkan dia dan mencari gadis lain? Gadis yang jauh lebih baik, lebih sopan dan lebih lemah-lembut macam Ain?
            “Please...” Haizaq berbisik lembut.
            Shana masih diam dengan wajah masam. Namun dia tetap mengikut apabila Haizaq menarik perlahan lengannya.
            “Tadi tu apa?” Shana bertanya setelah mereka agak menjauh.
            “Tak ada apa.”
            “Tipu.”
            Haizaq menarik nafas panjang. “Dia orang bergurau aje tu.”
            “Saya tak bodohlah, awak.” Shana melenting. Sakit hatinya dibodoh-bodohkan begitu.
            “Saya tak kata awak bodoh.”
            “Jadi tolong jangan buat saya macam orang bodoh!” Kolam mata Shana bergenangan. Entah kenapa kali ini hatinya benar-benar tersentuh. Mungkin kerana terlalu takut kalau-kalau Haizaq meninggalkan dirinya demi gadis seperti Ain.
            Melihat reaksi Shana itu cukup membuatkan hati Haizaq tak keruan. “Sha... awak kenal saya, kan? Tak kisahlah apa pun orang cakap pasal awak. Kalau hati saya kata awak, tetap awak yang saya pilih.”
            Shana menunduk. Dia cuba untuk tidak menangis. Namun sebak yang dirasai tak mampu ditahan lagi.
            “Shana...” Haizaq memanggil lembut.
            “Saya tak sangka kawan-kawan awak sebenarnya tak suka saya. Depan saya bukan main baik, tapi belakang saya? Apa, teruk sangat ke saya ni?” Shana mengesat mata yang basah dengan hujung lengan baju kurung yang dipakai.
            “Tak payah peduli pasal dia orang. Yang penting sekarang pandangan saya pada awak. Biarlah dia orang nak cakap apa pun...” Haizaq masih cuba memujuk. Habis akal sebenarnya tetapi dia tetap mencuba apabila mengenangkan hati Shana yang mungkin sudah tercalar dengan apa yang berlaku tadi.
            “Tu... perempuan bertudung tu?” Shana masih tak puas hati.
            “Tak ada kaitan dengan dia. Dia orang tu saja aje bergurau,” jelas Haizaq lagi.
            “Eleh... entah-entah, awak memang suka perempuan tu, kan? Yalah, diakan lagi baik daripada saya, lagi sopan, lagi lemah-lembut. Tak adalah tergedik-gedik dengan orang lelaki macam saya, kan?” Sinis sekali bunyi suara Shana. Hilang rasa sebak, diganti pula dengan rasa marah.
            “Siapa kata?”
            “Kawan-kawan awak.”
            “Awak nak percaya siapa? Saya atau kawan-kawan saya?”
            Soalan itu tak mampu Shana jawab. Sudahnya dia hanya diam.
            “Tak ada apalah dengan Ain tu. Saya kenal pun tak dengan dia tu. Setakat tahu nama aje pun,” jelas Haizaq lagi.
            “Sekarang tahu nama, esok-esok?” balas Shana dengan riak muka masam.
            “Awak nampak cantik hari ni,” puji Haizaq tiba-tiba.
            “Jangan nak tukar topik!” Bertambah geram Shana jadinya. Tahu Haizaq sengaja nak tukar topik. Tapi dalam-dalam geram, terselit juga rasa bahagia dalam hatinya. Yalah, Haizaq yang dikenali memang seorang yang kedekut dengan pujian, terutama kalau bab-bab memuji dirinya. Ni tiba-tiba dia puji, manalah hati tak cair?
            “Mana ada. Betullah awak cantik hari ni. Saya suka tengok awak pakai baju kurung,” ujar Haizaq lagi. Ada senyuman di bibirnya. Memang dia tak reti sangat nak beromantis-romantis, tapi apa salahnya sekali-sekala. Manalah tahu terpujuk juga hati Shana yang sedang panas itu.
            Shana terdiam terus. Memang dia pakai baju kurung hari ini sebab tak mahu lagi ditegur Haizaq. Dia mahu cuba ubah penampilan diri untuk lebih ‘bertutup’. Tapi alih-alih, dia ditayangkan dengan satu ‘tayangan perdana’, drama antara Haizaq, rakan-rakannya dan juga Ain. Serta-merta mood baiknya terbalik 360 darjah.
            “Kalau awak pakai macam ni selalu, lagi saya suka,” tambah Haizaq lagi.
            Shana menunduk. Pipinya rasa memerah.
            Haizaq sembunyi senyum. “Tak payah risau pasal Ain tu. Saya tak tergugat pun tengok dia tu.”
            Shana kembali mengangkat muka. “Boleh percaya ke?”
            Haizaq buat muka. “Tak percaya saya?”
            “Susah.” Jujur Shana mengakui.
            Haizaq tersenyum. “Trust me.”
            Shana diam. Kalau dah itu permintaan Haizaq, dia akan terus mempercayai lelaki itu. Sayang punya pasal...


KELUAR dari bilik pejabat Puan Shamila, Haizaq terpandangkan Ain yang bagaikan sedang tercari-cari sesuatu. Awalnya dia mahu pergi saja tanpa menegur tapi Ain terlebih dahulu yang menyapa. Terpaksalah dia berpaling juga.
            “Awak... saya nak mintak tolong sikit boleh tak?” Ain bertanya sopan. Seulas senyuman terukir di bibir. Fail di tangan dipeluk rapat ke dada.
            “Tolong apa?” Tenang Haizaq membalas.
            “Hmm... saya nak cari bilik Doktor Faridah. Tapi saya cari dari tadi tak jumpa-jumpa. Awak tahu tak kat mana? Kalau tahu, boleh tolong tunjukkan?” Teragak-agak Ain meminta. Takut menyusahkan Haizaq barangkali.
            “Ohh... hmm...” Haizaq berfikir-fikir seketika. Kalau tak tolong, kasihan pula. Lagipun kalau setakat tolong, tak jadi hal punya. “Okey, sure.”
            Ain tersenyum lagi. “Thanks.”
            Haizaq mengangguk. Jarinya menunjuk ke satu arah. Ain berjalan dahulu di depan sebelum dia mengikut di belakang.
            “Mana satu ya?”
            “Yang tu...” Haizaq menuding jari ke arah pintu bilik Doktor Faridah.
            “Yang ada tergantung ucapan ‘Assalamualaikum’ tu?” Ain meminta kepastian.
            “Yup.” Haizaq mengangguk.
            “Okey, terima kasih... Haizaq,” ucap Ain sambil tersenyum manis.
            Haizaq sekadar mengangguk. Tanpa membalas apa-apa, dia segera berlalu tanpa sedar ada dua pasang mata yang memerhati dari jauh.


MULANYA Shana tak mahu percaya dengan cerita yang dibawa Ija dan Shima, tapi entah kenapa hatinya termakan juga akhirnya. Sudahnya Shana mengambil keputusan untuk menyepikan diri. Sepanjang hari itu dia langsung tidak menghubungi Haizaq. Kalau biasanya dia rajin mengirim SMS kepada lelaki itu, hari itu dia seolah-olah lupa tentang rutin yang satu itu. Atau lebih tepat, dia merajuk dengan Haizaq.
            Yang paling sadis, Haizaq langsung tak sedar tentang rajuknya. Walaupun dia senyap sepanjang hari, lelaki itu tidak juga cuba untuk menghubunginya. Hati mana yang tak rasa pedih? Lebih-lebih lagi apabila dia terpaksa menjadi penonton drama sebabak Ija yang ralit bergayut dengan kekasihnya. Shima juga tak kurang tingkahnya.
            Hati Shana tersentuh. Sangat-sangat... Sampainya hati Haizaq. Dia tahu Haizaq bukan seperti lelaki lain yang suka beromantis dengan pasangan. Haizaq memang bukan lelaki yang romantik. Dia tak pandai nak bersayang-sayang apatah lagi mengucapkan cinta. Seingat Shana, hanya sekali dia mendengar lafaz ‘I love you’ meniti dari bibir Haizaq. Itu pun pada hari pertama dia dan Haizaq mengikat cinta.
            Apabila dikenang kembali, Shana teringat bagaimana dia dan Haizaq boleh bercinta. Dia mengenali Haizaq ketika dia berada di tahun pertama. Dia ditugaskan untuk mendapatkan tandatangan senior-senior dan Haizaq adalah antara seniornya pada ketika itu. Dia yang memulakan langkah, dia yang terlebih dahulu cuba mengurat Haizaq. Tak disangka, Haizaq pula yang melamarnya menjadi kekasih. Jika dia menceritakan kisah itu kepada orang lain, tidak ada yang akan percaya kerana rata-rata membuat kesimpulan, dia yang terlebih dahulu meluahkan perasaan kepada Haizaq. Sedangkan hakikatnya, hanya mereka berdua yang tahu.
            Tetapi bagi Shana, Haizaq lelaki yang baik. Dia selalu menegur setiap kali ada tingkah Shana yang tak elok di matanya. Selalu ingatkan Shana tentang solat. Tak pernah mengambil kesempatan setiap kali mereka keluar bersama. Walaupun Haizaq tidak pandai memujuk, tapi Shana sering cepat cair dengan kata-katanya yang lahir ikhlas dari hati.
Adakah sekarang hati Haizaq sudah beralih arah? Beralih memilih gadis yang lebih baik daripadanya?
Shana menekup muka ke bantal. Haizaq... saya rindu awak.
            Ya Allah... aku rindu dia...


DUA hari Shana menyepikan diri, Haizaq tidak juga menelefon. Sedih memang sedih kerana Haizaq langsung tidak menyedari rajuknya, tapi Shana tetap pura-pura gembira di depan rakan-rakan. Hinggalah petang itu, panggilan daripada Haizaq masuk ke telefon bimbitnya. Tiga kali lelaki itu menelefon, tak sekali pun Shana menjawab. Selepas panggilan kali ketiga, lelaki itu mengirim SMS pula.
            Tengah buat apa?
            Itu aje? Shana rasa nak hempuk kepala lelaki itu dengan telefon di tangannya. Geramnya... Orang merajuk, boleh pula dia tanya tengah buat apa? Bukannya nak tanya kenapa tak jawab call, kenapa senyap aje...
            Sakitnya hati!
            Telefon bimbit dimatikan. Kalau dengan cara tu pun Haizaq tak sedar juga, tak tahulah nak cakap apa. Agaknya memang Haizaq sudah tidak sayang lagi padanya. Atau mungkin juga, perasaan lelaki itu selama ini palsu. Hanya dia yang memasang angan-angan dalam mimpi indah sedangkan Haizaq tidak pernah merasakan hal yang serupa dengannya.


SUDAH seminggu lebih Shana menyepikan diri daripadanya. Haizaq mula tak sedap hati. Kenapa eh? Kenapa tiba-tiba saja dia menyepi begitu? Tak pernah-pernah Shana begitu. Ke... dia merajuk?
            Merajuk? Haizaq garu kepala yang tak gatal. Kenapa pula merajuk? Kali terakhir dia bertemu Shana, gadis itu elok saja. Tak ada pula merajuk bagai. Kenapa dan kenapa terus menerjah kotak fikiran Haizaq. Tetap juga dia buntu mencari jawapan.
            Nombor telefon Shana didail lagi. Talian bersambung tetapi tiada orang menjawab. Dihantar pula kiriman SMS. Senyap tanpa balasan. Haizaq mengeluh. Sah Shana merajuk. Tapi atas sebab apa dia sendiri tak tahu.
            “Assalamualaikum.” Satu suara menegur.
            Haizaq berpaling. “Waalaikumussalam.”
            “Sorang?” Ain bertanya mesra. Seperti biasa, wajahnya tetap manis dengan senyuman.
            “Hmm...” Haizaq menjawab acuh tak acuh. Matanya masih fokus pada telefon bimbit di tangan. Menatap wajah Shana yang menghiasi wallpaper telefon bimbitnya.
            “Kawan-kawan awak mana?” Ain masih berusaha mencari ruang untuk berbual dengan Haizaq walaupun perasan lelaki itu bereaksi dingin dengannya.
            “Hmm... ada kelas kut.” Masih acuh tak acuh Haizaq menjawab. Dia malas melayan sebenarnya. Bukan dia tak perasan, sejak akhir-akhir ini Ain selalu mencari peluang untuk berbual dengannya. Pantang jumpa di mana-mana, pasti gadis itu yang menegur dia dahulu.
            “Haizaq, boleh tak kalau... hmm...” Ain berjeda seketika. Menyusun-nyusun ayat dalam kepala. “Boleh tak kalau... saya mintak nombor telefon awak?”
            Spontan kepala Haizaq tertoleh ke wajah Ain. Serius, dia terkejut. Sangkanya Ain tu sopan sangat, tak berani nak bergaul mesra dengan orang lelaki. Nampaknya dia silap. Ain lebih berani daripada apa yang dia fikirkan sebelum ini.
            “Err... tapi kalau awak...”
            “Kenapa?” Haizaq memintas laju. Sengaja mahu melihat reaksi gadis itu.
            “Err... tak, maksud saya, saya cuma nak... hmm... Yalah, manalah tahu kalau lepas ni saya perlukan bantuan awak, senang saya nak contact awak. Kan?” Ain membalas sedikit tergagap-gagap. Bibirnya diketap. Entah apa yang difikirkan Haizaq tentang dirinya sekarang.
            Mata Haizaq tiba-tiba terpandangkan Shana yang berdiri tidak jauh daripadanya. Wajah gadis itu nampak muram. Atau lebih tepat lagi, wajah itu bagai terluka menyaksikan apa yang sedang berlaku.
            “Haizaq, awak jangan salah faham. Saya cuma nak berkawan dengan awak, tak ada niat lain pun.” Ain masih berusaha mencuri perhatian Haizaq. Langsung tak sedar Shana sedang memerhatikan mereka.
            Shana tidak menunggu lagi. Dia berpaling dan melangkah laju.
            Haizaq membuka langkah untuk mengejar Shana tetapi suara Ain membantutkan langkahnya.
            “Haizaq, boleh tak?”
            Haizaq menghela nafas panjang. “Sorry. Saya ada hal.” Kemudian dia terus berlari mengejar langkah Shana yang kian menjauh.
            “Shana! Shana!”
            Shana buat-buat tak dengar. Biarlah orang lain nak tengok pun, dia dah tak kisah lagi. Namun belum sempat dia menjauh, terasa lengannya ditarik. Mujurlah dia sempat mengawal imbangan badan. Kalau tidak, mesti dah jatuh terhempap badan Haizaq.
            “Shana, kenapa dengan awak ni? Awak marah saya?” Lembut suara Haizaq bertanya.
            Shana diam tak menjawab.
            Haizaq menarik nafas panjang. “Shana, please... answer me. Awak marah saya? Apa yang saya dah buat sampai awak merajuk macam ni?”
            Haizaq sedar dia merajuk? Ingatkan langsung tak. Shana angkat muka memandang Haizaq. “Kenapa sibuk nak ambil tahu pasal saya lagi? Awakkan ada Ain. Pergilah kat dia tu. Tak payah nak peduli pasal saya lagi!”
            “Ain?” Haizaq mengerut muka. “Apa maksud awak... Ain?”
            Shana menarik lengannya dari pegangan Haizaq. “Saya tahu saya siapa, Haizaq. Saya tahu saya tak sebaik Ain, saya tak lemah-lembut macam Ain, saya tak pandai jaga aurat saya macam Ain, saya...” Sebak yang terasa menghalangnya untuk terus bersuara. “... saya tak sesempurna Ain. Saya tahu saya tak layak untuk awak.”
            “Shana, awak cakap apa ni? Siapa yang cakap macam ni? Saya...”
            “Dahlah, Haizaq. Saya sedar siapa saya. Kalau awak dah tak ada perasaan lagi untuk saya...” Shana mengesat air mata yang menitis ke pipi.
            Sungguh Haizaq terasa hatinya bagai dihempap batu besar melihat air mata gadis itu.
            “... we should end it now.”
            “No!” Terkejut Haizaq dengan sebaris ayat itu. “Apa maksud awak, Sha?”
            Shana tidak menjawab apa-apa lagi. Dia terus berpaling dan mula melangkah pergi. Panggilan Haizaq tidak dihiraukan. Terus berjalan laju dengan air mata di pipi. Biarlah orang kata dia gila sekali pun.
            Sampai di bilik, Shana terus memanjat katil. Muka yang basah dengan air mata ditekup ke bantal. Pedihnya hati... hanya Allah yang mengerti. Sepuas hati dia menangis. Telefon bimbit pula tak berhenti berdering. Semuanya panggilan daripada Haizaq. Buat pertama kalinya, Shana tidak mempedulikan setiap panggilan Haizaq dengan sesungguh hati.


BRO, kau ni kenapa? Monyok aje sekarang ni aku tengok. Kenapa ha?” Azmi menepuk bahu Haizaq yang bagaikan termenung jauh.
            “Hmm... problem dengan aweklah tu,” rumus Johan selamba.
            “Alah kau ni, Zaq... Apalah yang nak dirisaukan pasal si Shana tu. Ramai lagi perempuan lain yang kau boleh dapatlah!” Aidil mula menghasut fikiran Haizaq.
            “Betul tu, Zaq. Kau hilang Shana, kau tak rugi apa-apa pun. Tu... aku tengok si Ain tu macam suka aje kat kau. Baru sesuai dengan kau.” Johan menambah sebelum dia dan Aidil sama-sama tersengih.
            Haizaq diam. Tak kuasa nak membalas. Bimbang kalau dia membalas, ada tangan yang naik ke muka. Tanpa berkata apa-apa, dia bangkit meninggalkan rakan-rakannya itu. Sambil berjalan, jari masih lagi menekan-nekan punat telefon bimbit. Nombor Shana didail entah untuk kali ke berapa ratus. Namun Shana masih tetap tak menjawab setiap panggilannya.
            Ternampak sebuah bangku, Haizaq mengambil tempat di situ. Rambutnya dikuak ke belakang. Sungguh dia risaukan Shana. Pertama kali, dia merasakan betapa jauhnya Shana darinya. Mungkin selama ini dia jarang menunjukkan rasa sayangnya kepada Shana, tapi itu tak bermakna dia tak sayangkan gadis itu. Memang dia tak pernah mengucapkan sayang, tapi jauh di sudut hati, hanya ada nama Shana seorang yang terukir indah. Dia tak pandai nak memanjakan Shana, membawa Shana keluar bersama-sama, menghubungi Shana setiap malam, dan kadang-kadang kalau Shana tak hantar SMS, dia sendiri pun akan selalu lupa tentang gadis itu. Tapi hanya satu yang dia tahu, dia teramat sayangkan Shana. Teramat-amat sayang.
            Sha... tolonglah jawab call. I need you...
            “Hai, Haizaq!” Ada suara yang menyapa tiba-tiba.
            Haizaq menoleh. Memang dia sudah agak Ain yang menegur. Sungguh dia rimas dengan Ain. Rimas!
            Ain duduk di sebelah Haizaq tanpa diundang. “Awak buat apa kat sini sorang-sorang? Macam orang ada masalah aje saya tengok.”
            “Nothing.” Sepatah Haizaq menjawab. Dia malas layan sebenarnya.
            “Kalau awak ada masalah, awak boleh share dengan saya. Kita kan kawan?” Ain tersenyum manis.
            Haizaq tidak menjawab. Masih setia dengan telefon bimbit di tangan.
            “Hmm... mana kawan perempuan awak tu?”
            Soalan itu berjaya menarik perhatian Haizaq. Lurus pandangannya ke muka Ain.
            “Sorrylah kalau saya cakap sikit. Tapi... saya rasa awak tak sesuailah dengan dia. Saya bukanlah nak kata apa tapi...”
            “Apa maksud awak ni?” Haizaq memintas sebelum sempat Ain menoktahkan ayatnya.
            Ain tersenyum. “Maksud saya, saya pelik macam mana awak boleh bercinta dengan dia. Awak tak rasa yang dia tu terlalu sosial? Saya rasa macam... macam... awak tak sesuai dengan dia.”
            Haizaq bangkit berdiri membuatkan Ain terkejut. Tajam renungan lelaki itu ke wajahnya. Dia menelan liur. Alamak, silap cakap ke?
            “Berhenti bercakap benda yang tak elok pasal Shana. Awak tak kenal dia.”
            “Haizaq, saya cuma...”
            “Memang Shana tak sebaik perempuan lain, tak sesopan orang lain, tak bertudung macam orang lain... macam awak...”
            Ain rasa tersindir dengan patah kata-kata itu.
            “... tapi saya tahu hati dia macam mana. Dan kalau awak nak tahu, dia gadis yang saya cinta, yang saya sayang. Saya tak kisah walau teruk mana pun dia sebab saya tahu, seteruk-teruk perangai dia, dia tak hipokrit. Bukan macam sesetengah orang yang nampak aje baik, tapi tak sangka sanggup mengutuk di belakang.” Habis menuturkan kata-kata itu, Haizaq segera angkat kaki.
            Ain terkunci mulut. Sungguh dia tak sangka kata-katanya bakal mengundang kemarahan Haizaq. Secara tak langsung, dia sendiri yang merosakkan imej baiknya di mata Haizaq. Malunya!


JAM TANGAN dipandang lagi. Ketika itu juga, pintu bilik kuliah di depannya dikuak dari dalam. Sabar Haizaq menanti hingga kelibat Shana muncul di pandangan. Melihat dirinya, Ija dan Shima segera meminta diri. Shana pula tidak sempat melarikan diri apabila Haizaq sudah tercegat di depannya.
            “Buat apa kat sini?” Dingin Shana bertanya. Wajah Haizaq langsung tidak dipandang walaupun wajah itulah yang dirindui siang dan malamnya.
            “Saya nak jumpa awak. Kita kena bincang.” Tenang Haizaq menyusun kata.
            “Mana awak tahu saya ada kat sini?” tanya Shana. Terkejut sebenarnya melihat Haizaq muncul di depan mata. Ingatkan lelaki itu dah putus asa untuk memujuknya.
            “Saya ingat semua jadual kelas awak,” jawab Haizaq.
Shana terdiam. Betul ke? Hatinya tersentuh tiba-tiba. Sangkanya, Haizaq tak pernah peduli tentang jadual kelasnya selama ini.
            “Kita ke sana?” Haizaq menunjuk ke satu arah.
            “Saya nak balik.”
            Haizaq cepat-cepat menahan langkah Shana. “Please...”
            Shana tiada pilihan. Akhirnya dia menuruti juga permintaan Haizaq.
            “I’m sorry.”
Itu ayat pertama yang keluar dari mulut Haizaq sebaik sahaja mereka duduk di atas bangku itu.
“Saya tahu awak kecil hati dengan saya,” ujarnya lagi.
Shana mengunci mulut.
“Saya dengan Ain tak ada apa-apa. Mungkin betul dia ada perasaan pada saya, tapi saya tak.”
“Susah saya nak percaya.” Keluar juga suara Shana.
“Kenapa, Sha? Awak tak percaya saya?”
“Saya tak tahu apa perasaan awak pada saya sekarang ni.”
“Sama macam dulu. Tak pernah berubah.”
“Tapi awak tak pernah ucap.” Shana masih tak mahu berpaling menatap wajah Haizaq.
“Saya ingat awak faham.”
“Macam mana saya nak faham kalau awak tak pernah ucapkan?” Baru kali ini Shana berpaling memandang Haizaq.
“Tapi saya tunjuk...”
“Dengan cara awak tu yang buat saya rasa macam saya ni tak dihargai?”
Haizaq menghembus nafas panjang. “Saya mintak maaf kalau cara saya selama ni buat awak rasa saya tak sayang awak lagi. Tapi tolonglah percaya, saya sayang awak, Shana.”
Shana terdiam tanpa suara. Setelah sekian lama, baru dia mendengar lafaz itu dari mulut Haizaq. Apa perasaannya sekarang? Gembira, terharu, sedih, semuanya bercampur dalam hatinya.
“Saya tak kisah kalau orang nak kata apa pun pasal awak. Biarlah dia orang nak kata awak tak sesuai untuk saya, awak ni teruk, awak macam tu, awak macam ni, saya tak kisah. Sebab saya kenal awak, saya tahu hati awak macam mana.” Satu-persatu Haizaq meluahkan perasaannya. Dia juga tidak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk mengaku begitu di depan Shana.
“Saya sayang awak... dan saya nak bimbing awak jadi lebih baik. Sekarang mungkin saya tak ada kuasa atas awak, tapi saya janji, bila kita kahwin nanti... saya akan bimbing awak untuk jadi wanita solehah. Saya janji.” Sepasang mata Shana ditatap penuh dengan rasa cinta ikhlas dari hati. “Saya tak nak lebih-lebih dengan awak sebab saya takut saya tak mampu nak kawal diri. Sedangkan duduk berdua macam ni aje pun dah dikira dosa, apatah lagi kalau saya ada dengan awak siang malam. Saya tak nak kita berdua hanyut, sebab tu saya cuba jaga jarak antara kita. Sampai masanya nanti, saya akan lafazkan akad untuk awak. Dan lepas tu kalau nak bercinta sakan lepas kahwin tu, dah tak ada halangan.”
Sejuk rasa seluruh hati ruang hati Shana. Terharu. Hampir-hampir menitis air matanya ketika itu.
“Kita kahwin nanti tau? Promise?”
Tak dapat menahan, terbit juga gelak kecil dari bibir Shana. Haizaq turut sama tersenyum. Tangan Shana dicapai dan digenggam erat. Tak sampai berapa saat, Shana menarik semula tangannya. “Dosa.”
Haizaq tergelak kecil. Wajah Shana yang manis itu direnung redup. Walau apa pun kata orang tentang Shana, gadis itu tetap istimewa di matanya. Gadis seperti Shana, satu-satunya gadis yang mampu menambat seluruh hatinya.
Mungkin Shana tak sesempurna orang lain, tapi Shana tetap sempurna di hatinya. Benarlah kata orang, yang bertudung itu tak semestinya baik. Dan yang tak bertudung itu tak semestinya jahat. Tetapi kalau dia mampu membimbing Shana untuk bertudung nanti, dia akan pastikan Shana akan menjadi wanita yang lebih baik.
I love you, sayang.”
Shana rasa nak tampar pipi sendiri. Betul ke dia tak mimpi? Betul ke dia dengar lafaz keramat itu keluar dari mulut Haizaq? Disertai dengan panggilan ‘sayang’?
“Kenapa?” Pelik Haizaq melihat Shana yang bagaikan terkejut.
Shana pantas menggeleng dengan senyuman di bibir. “I love you too.”
Ya Allah... selamatkan kami berdua daripada terjerumus ke dalam lembah maksiat. Sesungguhnya, kami tidak mahu cinta suci yang Engkau kurniakan ini tercemar dengan dosa-dosa yang kami lakukan.


TAMAT.


4 comments:

cahaya azura said...

ayumi..aduh laaa...setiap kali bc karya ayumi sesak nafas akak thn rasa yg tersentuh ni tau.thanks utk cerita pendek yg sweet sgt jln ceritanya..

Anonymous said...

OMG!!!!akak!!!! Bestnye:)

Anonymous said...

sorry la kak klu saya kata mcm ni..
cerita akak sume best..tpkn ending dia kureng sikit la..
klu boleh buat ending smpai kahwin mungkin lgi thumbs up..

:)

Emira Syafiqa said...

this cerpen is a one cerpen yg paling best prnah sya bca. i dont know why, but i very love it. can i get a new one cerpen yg mcm ni, please. to Ayumi Shafiqah your karya is the best. saya suka

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...