++ Suntikan Semangat! ++

Thursday, April 11, 2013

- Status Hati : Dia Milikku / officially released! -

Assalamualaikum...

Bangun2 je pagi ni dapat surprise dari KN. Okey sebenarnya baru je baik demam ni campur dengan insiden jari kaki hampir patah minggu lepas *nasib baik takde pape lepas xray heheh*, hari ni tetiba macam dapat suntikan semangat 20 jarum! Nak tahu kenapa?

Untuk yang menanti *macam saya* Tadaaaaa!!!




Mohon cakap cover ni comel. Heheh. Alhamdulillah sangat2... syukur ke Hadrat Allah sebab masih diberi peluang untuk tengok novel ke2 ni diterbitkan. Percayalah, novel ni bukan yang terbaik. Novel ni bukan novel yang saya harap dapat dipuji melambung tinggi, bukan novel yang mampu puaskan hati semua orang, bukan novel yang terbaik sampaikan semua orang wajib beli, tapi ia ditulis dan dikarang ikhlas dari hati. Kau Pemilik Hati mungkin banyak kekurangan dan tak kurang jugak dengan yang ni, tapi kalau sudi beri saya peluang ke2, why not order sekarang dengan KN? ;)


~~ blurb...



“Aku takkan kahwin selagi aku tak jumpa dengan lelaki yang kacak, kaya, berpelajaran tinggi, berkerjaya, ada kereta dan rumah besar, romantik dan yang paling penting... setia!”

Itulah jawapan Kirana setiap kali diajukan persoalan tentang jodoh. Baginya, usia 26 tahun masih terlalu muda untuk seorang gadis berkerjaya sepertinya menamatkan zaman bujang. Apatah lagi ketika itu dia sedang berada di puncak karier yang selama ini diusahakan dan diidamkan.

Berlainan pula situasinya dengan Kamariah. Bagi emak Kirana itu, gadis seusia Kirana sudah cukup layak untuk bergelar isteri. Sering kali dia mendesak Kirana mencari jodoh, namun anaknya itu masih tetap berdalih. Hinggalah pada suatu tahap, Kirana sudah tidak tahan lagi dengan desakan emaknya yang hampir sama setiap hari. Lalu dia dengan rela hati meminta agar emaknya itu mencarikan jodoh untuknya. Carilah lelaki mana pun, yang penting lelaki itu harus memenuhi ciri-ciri lelaki idamannya!

Namun, sikap dan pendirian Kirana mula goyah saat dia bertentang mata buat pertama kali dengan lelaki bernama Edryzal itu. Perasaan yang dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menggambarkannya. Cinta? Takkanlah secepat itu! Habis tu apa? Kirana bingung dengan hati sendiri. Yang pasti, kehadiran lelaki bermata sedih itu dalam hidupnya telah membuka pintu hatinya untuk mengerti makna sebuah perasaan suci. Tetapi sebaliknya pula yang berlaku apabila Edryzal terus bersikap dingin tanpa sebab.

“Mama aku yang nak sangat masuk meminang kau. Apa lagi yang boleh aku kata kalau dia dah beria-ia sangat?”

Jawapan selamba yang keluar dari mulut Edryzal benar-benar membuatkan Kirana panas hati. Sikap dingin dan kaku lagi keras lelaki itu membuatkan Kirana rasa tercabar. Tak pernah ada seorang lelaki pun yang berani menolaknya selama ini. Jadi tidak semudah itu dia akan menyerah kalah kepada Edryzal! Lalu, azam ditanam dalam hati. Kirana nekad akan membuat Edryzal jatuh cinta padanya sebelum tarikh perkahwinan mereka tiba.

Berjayakah Kirana merealisasikan impian perkahwinan indahnya selama ini? Tidakkah terkesan walau sedikit pun di hati Edryzal dengan usaha Kirana untuk merebut cintanya? Dan, mampukah Kirana menerima seandainya dia tahu ada nama gadis lain yang sudah sekian lama terukir indah di hati Edryzal?

Semenanjung : RM 21, Ahli KN : RM 17
Sabah/Sarawak : RM 24, Ahli KN : RM 20
Free postage.
Boleh order di : http://www.kakinovel.com/


Ada yang tanya, nak beli direct dengan penulis boleh? Itu saya tak dapat nak jawab sebab sekarang saya duk kolej, susah nak uruskan hal pembelian novel tu nanti. Jadi mungkin saya tak jual sendiri untuk online. Tapi untuk kawan2 terdekat insya-Allah ye.


~~~


Untuk PBAKL, saya akan ada kat sana pada :

28 April, 11.00 pagi - 12.30 tgh hari
1 Mei, 11.00 pagi - 12.30 tgh hari

Sesiapa yang rasa dapat datang, mehlah kita jumpa ya! ^____^ *serius takut takde orang datang haha!*

Daaaannnnn.... ini sikit teaser saya bagi. Salah satu scene favourite saya dalam SHDM. :)

~~~



SENYUMAN Kamariah menyambut Edryzal dan Kirana di muka pintu petang itu. Tidak cukup dengan itu, Khalif dan Kamalia juga ikut sama ‘menempel’. Kirana hanya sekadar tergeleng-geleng melihat tingkah emak dan kedua-dua adiknya itu.
            “Edry dengan Sya dah makan? Mak ada masak tomyam tadi. Edry suka tomyam?” Becok mulut Kamariah bertanya itu dan ini. Langkahnya laju masuk ke dapur diekori Kirana dan Edryzal.
            Kirana mengerling ke arah Edryzal. Memberi isyarat agar lelaki itu menjawab soalan emaknya.
            “Belum makan… boleh tahan jugak lapar ni. Edry memang suka tomyam,” jawab Edryzal sambil mendekati meja makan yang terletak di tengah-tengah ruang dapur itu.
            “Hah, elok sangatlah tu. Edry duduk dulu, mak nak panaskan lauk kejap,” ujar Kamariah.
            Terangkat kening Kirana mendengar emaknya membahasakan diri ‘mak’ dengan Edryzal. Belum sah lagi jadi menantu, tetapi emak awal-awal lagi sudah memberi gelaran itu kepada Edryzal. Sedangkan dia sendiri masih memanggil mama Edryzal dengan panggilan auntie.
            “Duduklah, Sya. Yang tercegat kat situ kenapa?” tegur Kamariah bila melihat Kirana hanya berdiri tegak di depan pintu dapur.
            Kirana segera bergerak masuk ke dapur dan mengambil tempat di sebelah Edryzal. “Nak Sya tolong tak?”
            “Tak payah, Sya duduk aje. Mak nak panaskan lauk ni aje pun. Nasi semua dah siap hidang ni,” balas Kamariah. Lincah tangannya mengacau lauk di atas dapur gas.
            Kirana tersenyum sambil mengangguk. Agak lucu pula melihat tingkah emaknya itu. Teruja benar dia menerima Edryzal sebagai tetamu.
            “Kebetulan malam ni ada rumah terbuka kat rumah mak long. Bolehlah Sya dengan Edry ikut sekali,” beritahu Kamariah sambil mencedok nasi ke dalam pinggan Edryzal.
            “Siapa lagi yang datang?” tanya Kirana dengan suara teruja. Dalam fikirannya sudah terbayangkan suasana di rumah mak long nanti. Mesti meriah!
            “Semua saudara-mara adalah agaknya. Bolehlah nanti Edry nak kenal-kenal dengan diorang. Dah nak kahwin ni, kenalah bergaul sesama keluarga. Tak bolehlah nak diam aje sepanjang masa,” celoteh Kamariah lagi.
            Kirana memandang Edryzal bersama senyuman. Edryzal membalas pandangan itu. Tidak semena-mena, dia juga ikut tersenyum.
            Usai makan, Kirana mengajak Edryzal untuk ke Pantai Batu Burok.
            “Jangan lama-lama sangat. Balik sebelum maghrib,” pesan Kamariah ketika Kirana tunduk menyalami tangannya.
            “Yalah, mak… Kejap aje, nak ajak Edry ambil angin kat pantai Terengganu,” balas Kirana.
            Kamariah sekadar mengangguk.
            Mengikut arah yang ditunjukkan Kirana, Edryzal memandu Lexus IS250nya ke arah Pantai Batu Burok. Sampai di pantai itu, mereka berdua mengambil tempat di atas pasir sambil menghadap laut. Angin yang bertiup lembut benar-benar memberi rasa nyaman pada kedua-duanya.
            “Edry… kalau saya tanya awak satu hal boleh tak?” Kirana memulakan perbualan. Takut juga sebenarnya mahu bertanya. Tetapi kalau tidak ditanya, sampai bila-bilalah persoalan itu akan terus menghantui benaknya.
            “Apa dia?” Mendatar suara Edryzal membalas. Renungannya lurus ke air laut yang membiru.
            Kirana mengambil masa untuk menenangkan diri. Harap-harap, Edryzal tidak marah dengan soalan yang bakal diajukan. “Emm… awak pernah kecewa ke sebelum ni?” Dikuatkan hati untuk mengutarakan soalan itu pada Edryzal.
            Tersentak. Itulah yang Edryzal rasakan tika sebaris soalan itu melintasi telinganya. Namun dia tetap cuba berlagak tenang agar Kirana tidak dapat mengesan gejolak hatinya saat itu.
            “Yus yang ceritakan pada saya. Tapi… dia tak cerita detail,” ujar Kirana lagi. Riak wajah Edryzal tenang. Membuatkan dia makin berani untuk bertanya.
            “Dia cakap apa?” Perlahan Edryzal bertanya. Anak mata masih tidak dialihkan daripada memandang laut yang berombak tenang.
            “Dia cakap…” Kirana berdeham seketika. “Dia cakap… dulu awak pernah bercinta. Tapi perempuan tu kecewakan awak. Betul ke?”
            “Betul kau nak tahu?”
            Kirana diam seketika sebelum mengangguk.
            “Memang betul, dulu aku pernah bercinta. Tapi… dia tinggalkan aku macam tu aje macam orang tak ada hati,” cerita Edryzal akhirnya. Nadanya tenang sekali, langsung tidak menggambarkan rasa kecewa yang pernah dialami sebelum ini.
            “Kenapa?” Kirana menguatkan hati untuk bertanya walaupun hatinya bagai dijentik rasa cemburu mendengar pengakuan Edryzal bahawa dia pernah bercinta sebelum ini. Pastinya Edryzal amat menyayangi gadis itu. Kalau tidak, takkanlah dia kecewa sampaikan sikap dan sifatnya berubah 100%.
            “Dia curang dengan kawan baik aku…” jawab Edryzal masih dengan riak tenang.
            “Err…” Kirana jadi kehilangan kata. Terkejut.
            “Dia mengandungkan anak kawan aku…” tambah Edryzal lagi.
            Makin bertambah rasa terkejut Kirana. Tidak disangka sampai begitu sekali perbuatan bekas kekasih Edryzal itu. Sungguh! Kalau dia sendiri berada di tempat Edryzal, pasti tidak dapat menerima kenyataan yang amat menyakitkan itu.
            “Dia…”
            “Edry!” Kirana memanggil, memaksa agar Edryzal berhenti bercerita. Tidak sanggup lagi dia mendengar cerita yang selanjutnya. Fahamlah dia kini kenapa Yusrizal mengatakan Edryzal berubah sikap selepas peristiwa itu. Pengalaman lalu membuatkan dia hilang kepercayaan pada kaum perempuan. “Dahlah tu, saya tak nak dengar…”
            “Kenapa?” Kali ini renungan Edryzal jatuh pada wajah Kirana.
            “Saya boleh faham macam mana perasaan awak masa tu,” ujar Kirana. Renungan Edryzal dibalas penuh berani biarpun debaran mula terasa.
            “Kalau benda tu terjadi lagi, aku tak rasa aku boleh bertahan macam sekarang,” kata Edryzal penuh maksud mendalam.
            Kirana tersentak mendengar ayat itu. “Maksud awak?”
            Edryzal mengalih anak mata ke arah air laut semula.
            “Awak nak kata… saya akan buat macam tu kat awak?” duga Kirana. Ada rasa tidak senang melintas di hatinya.
            Edryzal diam. Biarlah Kirana fikir sendiri apa maksud sebenarnya.
            Kirana menghela nafas panjang. “Saya takkan buatlah benda bodoh tu. Zina tu dosa besar tau?” Tegas suaranya berkata. Sedikit terasa hati dengan kenyataan Edryzal tadi. Dia tidak suka Edryzal menyamakan dirinya dengan bekas kekasih lelaki itu. Tak sama dan takkan sama!
            Edryzal merenung Kirana semula. Sementara Kirana pula membuang pandang ke arah lain. Edryzal tersenyum tiba-tiba. “Aku tahu kau takkan buat.”
            “Mana awak tahu?” balas Kirana dengan wajah masam.
            “Sebab kau lain…” Hanya itu balasan Edryzal.
            Kirana terdiam. Lain? Lain bagaimanakah yang dimaksudkan Edryzal? Kata-kata itu dibiarkan tergantung di situ hingga akhirnya panggilan daripada emak memaksa mereka untuk pulang ke rumah.

~~~


Cuba dapatkan dulu, baca dan nilai dengan mata hati. Terima kasih. :)


Love,
Ayumi <3 p="">

10 comments:

izrah zulkarnain said...

Wahhh!! Nice kak. Cover dia pun cute. Congrats!

Aziela said...

Alhamdulillah.....!!!!

Tak sabar tunggu buku nie. Congrats yer Ayu... I'm proud of you. Definitely akan beli.

Anayli Lieyanna said...

Akakkkk kann... eeee... sje letewwww... Y_Y I want his baby badly... :'(

cahaya azura said...

akak da order ngan KN..tp x tau bila bleh dpt.biasanya bku KN utk bln mei..bln mei bru KN pos. harap2 x la lmbt sgt sbb da x sbr nk bc ni..huhu...

[AYUMI SYAFIQAH] said...

Izrah ~ Hehe.. thanks ^__^

Kak Aziela ~ Thank u kak.. banyak support Ayu selama ni.. :))

Liya ~ Ok sila sabar banyak2. Papa awak tak lari ke mana pun. :P

Kak Cahaya Azura ~ Mekasih sgt2 kak sudi dapatkan dgn KN. Kot2 akak dpt sebelum Ayu.. heheh.. ;))

Mrs.Yie said...

tahniah ayu ..second baby! huwaaaaaaa :D

[AYUMI SYAFIQAH] said...

Hihi.. mekasih kak!! :D

Anonymous said...

Cantiknya cover lahaii.... Tak sabar nak beli ni!!!

[AYUMI SYAFIQAH] said...

Hehe.. mekasih. :D

#cintahati said...

berapa halaman ni? tebal tak?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...