++ Suntikan Semangat! ++

Monday, January 21, 2013

- Cerpen : Tentang Kita -




BAGAIMANA harus aku gambarkan perasaan yang merajai hati ketika menjejakkan kaki ke tanah air tercinta setelah bertahun-tahun menjadi si perantau? Indah. Sayu. Rindu... dan bermacam-macam jenis perasaan lagi, semuanya bagai bersatu dalam hatiku. Lima tahun lebih aku meninggalkan bumi Malaysia dan kini aku pulang semula demi meneruskan hidup. Hidup yang pastinya lebih mencabar kerana ada tanggungjawab baru yang bakal menantiku tak lama lagi.
          Nun jauh di tengah-tengah bangku ruangan menunggu, ayah, ibu, angah dan adik sudah sedia menanti. Aku mempercepat langkahku. Pandangan ayah dan ibu kini terhala ke wajahku. Aku hulurkan senyuman bersama lambaian tangan. Mungkin mereka susah untuk mengecam wajahku memandangkan masa yang berlalu juga telah mengubah cara aku berpakaian. Lebih feminin mungkin?
          Sebaik saja langkah kakiku terhenti di depan ayah dan ibu, aku hulurkan tangan untuk bersalam dengan kedua-duanya. Kupeluk ibu yang kelihatan masih tercengang-cengang.
          “Ibu... ibu tak gembira ke anak ibu dah balik ni?” tanyaku dengan nada mengusik.
          Barulah aku merasakan tangan ibu melingkar di tubuhku. “Ya Allah... Fiya! Lain benar ibu tengok kamu. Hampir-hampir tak cam tadi,” kata ibu lantas menepuk-nepuk bahuku.
          Aku tertawa kecil. Pipi ibu kucium, melepaskan rasa rindu yang membukit untuk orang tuaku itu. Pelukan kuleraikan.
          “Ayah...” panggilku sambil memandang ayah. Dia tersenyum memandangku. Lembut tangannya mengusap kepalaku. Masih tak berubah seperti dulu. Sayu terasa sang hati.
          “Kak long!”
          Aku menoleh ke arah angah dan adik. Kedua-dua adikku itu tersenyum riang memandangku. “Tak nak peluk kak long ke?” tanyaku mengusik. Serentak itu juga kedua-dua mereka berebut-rebut mendapatkanku. Aku tersenyum dalam sebak. Adik-adikku sudah besar sekarang. Jauh bezanya ketika aku meninggalkan mereka dulu. Rindunya aku dengan mereka semua...
          “Fiya sihat? Ada sakit-sakit tak? Okey perjalanan tadi? Jauh tu...” Ibu bertanya risau.
          “Okey, bu. Tak ada apa-apa yang buruk pun. Ibu jangan risau k...” kataku sambil memeluk bahu ibu.
          “Kak long ada bawak balik hadiah untuk adik tak?” Adikku yang bongsu itu tiba-tiba mencelah.
          “Hadiah?” Aku pura-pura terkejut. “Alaa... lupalah, dik. Sorry...”
          “Kak long memang tau! Tak nak kawan,” rajuknya.
          Aku tergelak. “Ni sejak bila pandai merajuk ni ha?” Pipinya yang agak tembam itu kucubit geram. Memang setiap kali berhubung melalui skype, dia asyik mengingatkanku tentang hadiah untuknya. Mustahil untuk aku lupa. Sengaja nak menyakat dia sebenarnya.
          “Mestilah kak long beli hadiah untuk adik-adik kak long,” ujarku kemudian, memujuk. Lebar sengihan di wajah angah dan adik.
          “Dah, dah... jom kita balik dulu. Esok-esok baru cerita pasal hadiah,” celah ayah tiba-tiba.
          “Betul tu. Ibu pun dah masak banyak tadi, semuanya untuk Fiya tau,” tambah ibu pula.
          “Ya ke? Waahhh... mesti best ni! Rindu nak makan masakan ibu,” ujarku manja.
          “Ibu tahu...” sahut ibu sambil tersenyum.
          Dalam perjalanan pulang, riuh kereta dengan cerita-cerita kami tiga beradik. Sempat juga aku perhatikan sekeliling. Sudah banyak perubahan yang berlaku. Lima tahun. Mungkin kedengaran sekejap bagi sesetengah orang, tapi itu sudah cukup lama untuk mengubah Kuala Lumpur menjadi lebih maju. Pun begitu, lima tahun juga masih belum cukup untuk aku menghapuskan perasaan yang sejak sekian lama merantai hati. Mana tidaknya, sekian lama ‘melarikan’ diri, hanya nama dia yang tetap terukir di hatiku.
          Kata ibu, aku pergi ke sana kerana ingin merawat hati yang luka. Kerana itulah sepanjang tempoh aku di sana, tak pernah sekali pun aku pulang ke sini. Cuti yang ada aku habiskan dengan melancong ke negara-negara lain bersama rakan-rakanku. Bukan tak rindu, tapi aku sanggup menepis perasaan itu hanya kerana hati aku belum cukup kuat untuk berdepan dengan kenyataan yang telah aku lalui.
          Entah bagaimana keadaan dia sekarang? Sihatkah dia? Bahagiakah dia? Paling penting, masih ingatkah dia tentang diriku ini? Atau namaku sudah terpadam terus dari kamus hidupnya? Ahh... peritnya menanggung rindu pada seseorang yang telah lama menghuni hatiku ini.
          Dua bulan lagi, majlis pernikahanku akan berlangsung. Aku bersetuju saja ketika ibu mengkhabarkan berita ada seseorang datang menghulur lamaran. Aku sudah beristikharah dan aku yakin memang itu yang terbaik untuk aku. Lagipun, bukankah restu orang tua itu yang penting? Walaupun aku mengenali bakal suamiku itu hanya pada nama, tapi kalau dah memang dia jodohku, aku yakin Allah akan meniupkan perasaan cinta dalam hatiku juga nanti.
          Sampai di rumah, tiada lain yang kulakukan selain terus menjamu makanan yang terhidang. Rindunya aku dengan air tangan ibu. Usai makan, aku terus bawa masuk semua begku ke dalam bilik. Sambil duduk di birai katil dan memerhati sekeliling bilik yang telah lama aku tinggalkan, aku tiba-tiba teringatkan sesuatu. Lalu aku bingkas menghampiri almari.
          Aku yakin almariku ini tak berusik kerana keadaan di dalamnya masih lagi sama seperti dulu. Perlahan-lahan aku menyelongkar baju-baju yang terlipat di bahagian bawah dan akhirnya menemukan aku pada sebuah buku berkulit tebal. Diari.
          Diari itu aku keluarkan. Kusapu habuk yang melekat pada kulitnya. Entah bagaimana harus aku ungkapkan perasaanku kala ini. Segala-galanya terasa memberat di jiwa. Kolam mataku basah tidak semena-mena. Perlahan helaian pertama diari itu aku selak.
          Masih seperti dulu. Kisah yang tercatat di dalamnya takkan pernah berubah walau bagaimana pun aku berharap ia akan terjadi. Kenangan yang tercipta bertahun-tahun dulu bagaikan tertayang semula di depan mataku. Setitis air mataku gugur juga untuk ke sekian kalinya...


DARI jauh aku nampak Azad sedang duduk bertenggek di tepi pagar rumahnya dengan gitar di tangan. Kayuhan basikal aku perlahankan dan akhirnya berhenti dekat dengan pagar itu. Setelah menongkat basikal di situ, aku berjalan masuk ke kawasan rumah Azad. Dia masih lagi ralit memetik gitar sambil menyanyi lagu yang langsung aku tak tahu apa.
          “Azad!!!” panggilku kuat sambil menepuk bahunya. Dia yang terkejut terus terjerit. Aku ketawa kuat semahu-mahunya. Lucu sungguh reaksinya itu tadi.
          Azad mengurut dada sambil tergeleng-geleng memandangku. “Kau ni... dah datang rumah orang tu biarlah beradab sikit!”
          Aku masih lagi ketawa sambil duduk di sebelahnya. “Alah... macam tak biasa pulak. Kau tu yang ralit sangat duk main gitar, mana nak sedar aku datang,” balasku membela diri. Memang aku dah terbiasa datang ke sini. Mama dan papa Azad pun dah masak sangat dengan perangai aku jadi sebab itulah mereka tidak kisah aku datang bila-bila masa pun.
          Azad mencebik. Jari-jemarinya kembali melekat pada tali gitar.
          “Weh!” Aku menyenggol lengannya.
          “Apa, mak cik?” soalnya dengan muka selamba.
          “Nyanyikan aku satu lagu,” pintaku selamba.
          Mencerun pandangan Azad ke arahku. Aku senyum comel-comel. “Bolehlah... kau kan pandai nyanyi.”
          Cantikkan ayat aku? Aku rasa, dah okey dah aku cakap ‘kau kan pandai nyanyi’ dibandingkan dengan ‘suara kau kan sedap’. Nanti kang ada jugak yang kembang satu mangkuk.
          “Lagu apa kau nak?”
          “Hmm... apa-apa ajelah yang best.”
          “Okey. Duduk diam-diam, dengar aku nyanyi lagu ni... khas untuk kau.” Azad kenyit sebelah matanya sebelum mula menyanyi.
          Aku mencebik. Perlahan-lahan hujung jari Azad memetik gitar bersama suaranya yang mengalunkan sebuah lagu. Aku tekun mendengar.
So I say a little pray
And hope my dreams will take me there
Where the skies are blue
To see you once again, my love...
          “Dah, dah, dah... stop!” Aku menekup telinga dengan kedua-dua belah tanganku.
          Azad terpinga-pinga memandangku. “Laa... tadi dia yang beria suruh orang nyanyi...”
          “Memanglah! Tapi bukan aku suruh kau nyanyi lagu jiwang macam tu. Siap my love, my love. Siapa love kau?” Kataku selamba lalu ketawa kuat.
          Azad mencemikkan mukanya. “Sombong kau eh... Tengoklah satu hari nanti kalau kau tetiba jatuh cinta dengan aku, masa tu aku takkan layan okey!”
          Aku ketawa lagi. Statement tak boleh blah betul mamat ni. “Dahlah, malas layan. Aku balik dulu!” Aku bingkas menghampiri basikal yang aku tinggalkan di luar pagar rumah.
          “Fiya!”
          Aku kembali berpaling. Kepala kuangkat sedikit ke arah Azad.
          “Kau dah siap ke belum homework Add Maths?” Azad melaungkan suaranya.
          “Dah!” jawabku juga dalam nada yang sama.
          “Bagus! Esok aku nak tiru.” Dengan muka selamba dia menjawab. Kemudian kembali menyandar pada pintu pagar dengan gitar di tangan.
          Aku yang dah faham sangat dengan perangai dia hanya sekadar buat muka. Memang begitulah selalunya. Aku yang susah payah siapkan kerja sekolah, Azad hanya ambil bahagian meniru. Copy and paste. Senang cerita, kan?


“RESULT SPM dah dapat. Nanti kau nak apply mana?”
          “Kau?” Aku pulangkan soalan kepada Azad semula.
          “Kenapa? Nak join aku ke?” Azad sengih.
          Aku mencebik. “Tak ada maknanya. Dah hari-hari berkepit dengan kau. Bosan!” kataku selamba.
          Hilang sengihan di bibir Azad. “Sampai hati. Yalah... siapalah aku ni kan... Tak penting pun.” Ada rajuk dalam nada suaranya.
          Aku ketawa. “Alah kau ni... itu pun nak sentap. Kau kan kawan baik aku, sahabat aku dunia akhirat. Tak ada maknanya aku nak bosan dengan kau,” ujarku memujuk.
          Azad tahan senyum. Keningnya terangkat. “Ya ke? Kalau gitu kau naklah apply sama universiti dengan aku?”
          “Hmm...” Aku menggumam. Kononnya nak berfikir sedalam mungkin. “Kalau ya?”
          “Sayang jugak kau kat aku ya?”
          Dah mula dah statement tak boleh blah dia. Aku buat muka. “Perasan!”
          Azad ketawa lepas.


“FIYA...”
          Aku menoleh ke sebelah. Kening kuangkat, isyarat bertanya apa tujuan Azad memanggil dengan nada berbisik begitu.
          “Cuba kau tengok awek tu. Cun tak?” Azad memuncungkan bibirnya ke arah seorang perempuan yang sedang berjalan menuruni tangga. Ketika itu kami berdua sedang melepak di tepi tangga fakulti sambil memerhatikan orang lalu-lalang.
          “Yang pakai baju hijau tu?” tanyaku meminta kepastian.
          Azad angguk laju-laju.
          “Biasa aje. Yang belakang dia tu lagi cun,” balasku. Hujung jari telunjukku menuding ke arah gadis yang berjalan di belakang si baju hijau tadi.
          Laju anak mata Azad terhala ke arah gadis yang aku maksudkan. Kemudian dia pandang ke arahku. Aku mengangkat-angkat kening dengan sengihan kecil. Sengaja nak cabar dia.
          “Okey. Kau tolonglah adjust untuk aku,” pinta Azad sejurus kemudian.
          “Ceh. Apalah kau ni... Nak adjust awek pun aku kena tolong. Tak naklah!” Aku menggeleng-geleng laju.
          “Alaa... kata sahabat dunia akhirat. Takkan mintak tolong sikit pun tak boleh?” Azad tak puas hati.
          “Mintak tolong benda lain aku tak kisah. Tapi kalau bab-bab mengurat ni... sorry to say. Kau pergilah adjust sendiri!” kataku sambil menyenggol lengannya.
          Azad mencebik. Aku kembali menghalakan pandangan ke arah tangga. Kali ini kelihatan seorang pelajar lelaki sedang melalui tangga itu.
          “Alamak eh, handsomenya!” gumamku perlahan.
          “Siapa?” Azad hairan. Kerutan jelas terukir di dahinya.
          “Tu,” tudingku.
          Azad menoleh ke arah yang aku tunjukkan. Tak sampai sesaat, dia ketawa. Aku berpaling ke arahnya dengan riak tak puas hati.
          “Apa?”
          “Itu kau kata handsome? Handsome lagi aku.” Kemudian dia ketawa semahu-mahunya.
          Bahunya aku pukul dengan buku di tangan. “Suka hati kaulah. Aku blah dulu,” kataku lalu bangun. Laju langkahku, selaju langkah Azad mengikutku dari belakang.
          “Weh, relakslah! Kau ni... sentap eh?”
          “Tak ada makna nak sentap-sentap. Aku nak balik kolejlah. Penat!”
          “Awal lagilah. Kejap lagilah weh...” Azad cuba menghalang laluanku.
          “Aku nak baliklah. Assignment banyak lagi tak siap.” Aku memberi alasan.
          “Kalau macam tu, kau balik buat assignment, lepas tu nanti bagi aku pinjam okey?” Azad tersenyum semanis gula.
          “Banyak handsome!” kutukku. Dia ketawa. Tergeleng kepalaku. Mamat ni memang, dari dulu sampai sekarang tak pernah berubah.
          “Memang pun aku handsome. Kau aje yang tak sedar selama ni.”
          Ayat bangga diri. Aku jelirkan lidah ke arahnya. Dia ketawa sakan.
          Ketika menuruni tangga depan fakulti, Azad terlanggar seorang gadis yang sedang menaiki tangga yang sama. Kalut kedua-duanya meminta maaf sesama sendiri. Aku yang tercegat di sebelah Azad hanya memerhati dengan mata yang tak berkelip.
          “Sorry, saya tak sengaja,” ucap Azad serba salah.
          “Tak apa, tak apa, salah saya. Tak apa.” Gadis itu membalas lembut. Aku kenal siapa dia. Namanya Herny. Kami satu kursus walaupun berlainan kelas.
          Azad tersenyum manis untuk Herny. Herny membalasnya sebelum terus berlalu pergi. Aku perhatikan Azad yang masih ralit merenung langkah Herny walaupun bayang gadis itu sudah semakin menghilang.
          “Ehem!” Aku buat-buat batuk sambil menggaru kepala yang tak gatal.
          Azad bagaikan tersedar dari mimpi. Terpinga-pinga dia memandangku.
          “Tengok apa?” tanyaku.
          Azad tersenyum. Entah kenapa, melihat senyuman itu hatiku terasa lain macam. Seolah-olah ada hirisan halus jauh di sudut hati.
          “Aku rasa aku dah jumpa cinta sejati aku,” kata Azad dengan muka penuh perasaan. Tanpa mempedulikan aku lagi, dia meneruskan langkah dengan senyuman yang tak lekang dari bibir.
          Cinta sejati? Aku perhatikan langkahnya dengan perasaan yang mula tidak keruan.


SEDANG duduk bersendiri di kafe, Azad tiba-tiba datang menepuk bahuku. Siap dengan siulannya sekali. Gembira benar nampaknya dia. Aku kerutkan dahi melihat dia duduk di depanku.
          “Kau kenapa? Happy semacam aje aku tengok,” tegurku hairan.
          Azad senyum lagi. Sesekali dia bermain-main dengan hujung rambutnya yang menutup dahi. Sekali pandang, dah macam orang angau pun ada.
          “Kau kenapa ni?” Sungguh aku penasaran.
          “Guess what?” Azad pulangkan soalan kepadaku.
          “What?” Aku malas nak berteka-teki.
          Azad dekatkan badannya ke meja. “Aku dah berjaya pujuk Herny untuk keluar dengan aku.”
          “Herny?” Aku buat-buat bertanya. Aku kenal siapa Herny. Tetapi disebabkan hatiku yang tiba-tiba diserang satu perasaan aneh, mulutku laju menyebut nama itu semula.
          “Herny...” Azad senyum lagi. “Yang aku terlanggar dia depan fakulti hari tu.”
          “Ohh...” Aku muncungkan bibir membentuk hurul ‘O’. “So?”
          “First date!” jawab Azad sebelum ketawa riang. Aku boleh nampak betapa gembiranya dia ketika itu.
          “Woww...” Aku hilang kata tiba-tiba. Tapi aku tetap cuba untuk tidak menunjukkan reaksi ‘itu’ di depan Azad.
          Azad menyandar di kerusi dengan senyuman. Sah, memang Azad sedang angau dengan Herny.
          “Sejak bila kau berkawan dengan Herny eh? Tak bagitahu aku pun!” Aku kembali menceriakan suaraku semula.
          “Ni aku bagitahulah ni...”
          “Eleh, lepas dah set date semua baru nak bagitahu aku. Merajuk!” Aku mencebik. Kalau reaksiku itu mampu ‘menutup’ pandangan Azad tentang apa yang aku rasa ketika itu, aku rela untuk terus berlakon.
          “Kang kalau aku bagitahu awal-awal, kau gelakkan aku pulak,” balas Azad membela diri.
          “Memang pun!” Kemudian aku ketawa semahunya. Bibir melepaskan tawa, sedangkan hati menangis sendiri. Pedihnya rasa waktu itu, tak dapat aku ungkapkan dengan kata-kata.
          “Kejam punya sahabat.” Azad tarik muka.
          Aku berusaha menghentikan tawa yang kedengaran sumbang di telingaku sendiri. “Dahlah, aku ada kerja. Bye!”
          “Aku habiskan eh?” Azad mencapai gelas yang masih berisi separuh minuman di atas meja.
          “Ambiklah,” balasku dan tanpa menunggu lagi segera berlalu ke luar kafe.
          Sampai di luar, langkahku mati. Teringat apa yang diceritakan Azad tadi. Kolam mataku bergenangan tidak semena-mena. Ya Allah... kenapa mesti wujud perasaan ini untuk Azad?


SEJAK malam tadi lagi pening kepalaku masih tak hilang. Seluruh badan terasa sejuk. Sesaat pun aku tak keluar dari selimut. Terbaring di atas katil macam patung bernyawa. Nasib baiklah hari ni hari minggu jadi tak payah susah-susah ke kelas. Tiga orang rakan sebilikku sudah keluar berjalan-jalan. Biasalah, student life pada waktu weekend begini, mestilah masing-masing hendak menghilangkan tekanan belajar.
          Apabila sudah tak terlalu tahan, aku akhirnya mengambil keputusan untuk menghubungi Azad. Azad ada kereta sendiri jadi pasti dia tidak keberatan membawa aku ke klinik. Lalu telefon bimbit aku capai.
          “Helo.” Cerita suara Azad menjawab panggilanku.
          “Kau tengah buat apa? Sibuk ke?” Aku mengawal nada suara yang agak serak.
          “Tak adalah sibuk. Aku tengah siap-siap nak keluar dengan Herny.” Ada gelak kecil di hujung ayatnya.
          “Date?” Pedih hatiku menyebut satu perkataan itu.
          Azad tidak menjawab sebaliknya cuma ketawa. Hanya dengan reaksi itu, aku yakin memang dia sedang berbahagia menjalin hubungan dengan Herny.
          “Tak apalah kalau macam tu,” ujarku berniat untuk mematikan talian.
          “Eh, kejaplah. Kau kenapa call aku? Ada apa-apa ke?” Azad menghalang.
          “Tak adalah. Aku saja aje nak ajak kau sembang. Dah kalau kau ada date, tak naklah kacau,” balasku pura-pura ceria. Sepasang mataku mula basah.
          “Betul ke ni?” Nada suara Azad bertukar bimbang.
          “Betullah. Kenapa tanya macam tu?” Aku buat-buat ketawa.
          “Tak adalah. Kalau kau ada masalah, bagitahu ajelah. Kau nak ada pergi jumpa kau?”
          Aku tersenyum pahit. “Tak payahlah. Aku okey.”
          “Aku boleh bagitahu Herny untul cancel date kita orang.” Azad masih berdegil. Adakah itu tandanya dia menyayangi aku?
          “Aku cakap tak payah, kan? Okeylah, aku nak tido. Enjoy your date. Bye.” Lekas-lekas aku mematikan talian. Selimut kutarik menutup seluruh tubuh. Menitis juga setitis air mata.
          Ya, memang aku cintakan Azad. Seolah-olah kata-kataku dulu telah memakan diriku sendiri. Memang aku cintakan Azad, dan pada saat hati ini hanya untuknya, hati Azad pula sudah dimiliki gadis lain. Pahit untuk aku menelan kenyataan itu, tapi aku tahu aku tetap perlu bertahan.


HUBUNGAN kami semakin renggang. Aku sendiri yang mencipta jurang antara kami. Bagi aku, eloklah kami begini daripada aku terus terseksa melihat kebahagiaan Azad bersama Herny. Aku tahu mereka berdua saling mencintai. Hanya aku yang bodoh, masih menyimpan perasaan untuk lelaki yang hanya menganggap aku sebagai sahabatnya.
          Hinggalah pada satu hari, aku tak dapat lagi mengelak apabila Azad sendiri sudah muncul di depan mataku. Aku tahu lambat-laun, aku tetap kena berdepan dengannya.
          “Lama hilang. Mana pergi?” tanya Azad. Wajahnya tenang sekali pada pandangan mataku.
          “Tak ada pergi mana. Ada aje kat sini,” dalihku. Wajahnya tak lagi aku pandang. Hatiku menangis dalam diam.
          “Ya ke? Tapi kenapa aku rasa kau macam mengelak aje dari aku.”
          Aku pura-pura kecil. “Mana ada.”
          “Fiya... aku kenal kau.” Azad menekan suaranya. Kali ini aku nampak dia lebih serius dari tadi.
          Aku menelan liur. “Zad, aku tak nak Herny salah faham dengan hubungan kita.”  Aku berterus terang juga akhirnya. Wajahny aku pandang.
          “Salah faham apa? Herny tahu aku rapat dengan kau. Dia tak kisah pun.”
          Aku menggeleng. “Azad, kau tak tahu hati perempuan. Orang perempuan ni, tetap tak suka kekasih dia rapat dengan perempuan lain walaupun kawan baik dia sendiri. Mungkin di mulut dia kata tak kisah, tapi di hati?” Itu juga sebabnya aku menjauhkan diri dari Azad. Aku tidak mahu menjadi penyebab putusnya hubungan dia dan Herny. Kalau Azad bahagia dengan Herny, aku rela mengundur diri.
          Azad terdiam sejenak. “Tapi... kita still boleh kawan, kan?”
          Aku tersenyum pedih. Bahunya aku tepuk sebelum terus berlalu meninggalkannya. Aku sudah penat menangis. Sungguh, setiap kali teringatkan dia, air mataku pasti akan mengalir dengan mudahnya. Kepada ibulah aku ceritakan semuanya. Kalau dulu ibu menyangka hubungan kami tak lebih daripada sahabat, kini biarlah dia tahu perasaanku yang sebenar-benarnya. Kerana ibu juga, aku mendapat semangat untuk meneruskan hidup. Sukar tanpa Azad di sisi, tapi aku tahu aku mampu.
          Aku juga tak sangka itulah kali terakhir aku bercakap dengan Azad kerana selepas itu, dia pula yang semakin menjarakkan hubungan kami.
          “Tapi... kita still boleh kawan, kan?”
          Dia yang menuturkan kata-kata itu, dan kini dia juga yang memungkirinya. Biarlah... kalau itu pilihannya, aku tak mampu untuk berbuat apa-apa lagi. Mungkin memang ini takdir yang Allah tetapkan untuk kami berdua. Kami ditemukan untuk berkawan, menjadi sahabat dan akhirnya hidup sebagai orang asing. Bagaikan dua insan yang saling tak mengenali.
          Tamat pelajaran, aku mulakan langkah seterusnya dengan bekerja di sebuah syarikat swasta. Berita tentang Azad sudah lama tidak singgah di telingaku. Walaupun rumah kami berdekatan, tapi sudah lama aku tidak melihat dirinya, apatah lagi mendengar suaranya. Hanya selepas beberapa bulan, aku mendapat berita daripada ibu yang Azad akan melangsungkan perkahwinan dengan Herny tak lama lagi. Betapa hancur luluhnya hatiku waktu itu. Ibu faham perasaanku dan kerana itulah, dia memujuk aku untuk menerima tawaran untuk menyambung pelajaran ke keluar negara. Tawaran yang datang tepat pada waktunya. Dan, pada hari Azad melafazkan akad untuk Herny, aku meninggalkan bumi Malaysia.


“KAK LONG! Ibu suruh cakap pengantin lelaki dah nak sampai.” Adik menjengah kepala di depan pintu bilikku.
          Lekas-lekas aku mengesat air mata sebelum berpaling ke arah pintu. “Okey.”
          Adik tersenyum ke arahku sebelum berlalu keluar. Aku menatap wajahku di cermin. Hari ini, aku bakal menjadi isteri kepada seorang lelaki yang tak aku kenali. Tapi aku yakin, memang dia jodoh yang Allah tetapkan untuk aku. Bukankah jodoh itu rahsia Allah? Sekuat mana pun cinta di hatiku untuk Azad, selama mana pun aku bertahan dan sehebat mana pun rasa itu, kalau sudah Allah tetapkan bukan Azad untukku, dia tetap tidak akan menjadi milikku. Itu janji Allah dan aku yakin dengan janji-Nya.
          Diari yang terdampar di atas katil aku capai lalu kumasukkan ke dalam kotak di bawah katil. Kotak itu akan kubuang setelah selesai majlis pernikahanku ini nanti. Biarlah kisah itu terus abadi dalam kotak fikiran tanpa perlu dikenang lagi. Kisah tentang kita... tentang aku dan dia...

-TAMAT-

~~~~~~~~~~~~

8 comments:

Nur Alia said...

simple but menarik !
cinta tak semestinya bersatu kan ?
*kesat air mata*

Aziela said...

Alaa, rasa mcm nak ending Azad tu lah pengantin lelakinya. Sambung...sambung....

Anonymous said...

tu jee..sikit je

Anonymous said...

suka ending mcam ni. x semestinya ending tu kena ada part2 happy, tpi kalo ending mcm ni rsa mcam lbih baik. suaminya tu semestinya bukan Azad, tpi kalo Azad jugak, mmg clishe sesgt la

>><<

[AYUMI SYAFIQAH] said...

Thank you tinggalkan komen. People say "cinta tak semestinya memiliki". This is what I was trying to figure out. Hehehe.. Thanks lagi sekali. :)

Anonymous said...

Buat novel la best n endingnye x nk dgn azad. Tulis sepenuh jiwa n raga luah cam org yg cinta dlm diam cam lagu najwa latif i love you bru best. Biar pembaca merasai cane perasaan org yg cinta dlm diam. Cewwah. Pedulikan haters yg selalu kritik pedas2 psl novel yg ditulis. Yakin pd ALLAH kita boleh buat n tulislah seikhlas hati. Biarkan mereka menghina jgn kita plak hina org :)

Qaisarah Sofia said...

Alaaaaaa.... Nak sambungan lagi boleh??? :)

Mardhiah Zulkifli said...

alaaAAAAAA...SELALU CERPEN SIS TERGANTUNG SEDIH TAU...INGATKAN DIE KAWEN JGAK NGAN KAWAN DIE TUH SEDIH......SEDIHHHHH

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...