++ Suntikan Semangat! ++

Tuesday, August 28, 2012

- Biar Cinta Bertaburan : Emeer & Ayesha -

Assalamualaikum...

Hari ni aku nak buat review novel. Novel ni sebenarnya dah tamat baca masa malam raya hari tu lagi tapi belum sempat nak buat review kat sini. Now the time has come, jom kita men-review-kan novel ini.



Biar Cinta Bertaburan karya Yusnida Tajudin, *atau lebih mesra dipanggil Kak Yus* terbitan Kaki Novel, Ogos 2012. Malas nak tulis sinopsis jadi aku bagi ringkasan cerita aje. BCB ni mengisahkan kehidupan seorang perempuan bernama Ayesha Sorfina yang kecil molek, satu hari telah memulakan kerja sebagai PA seorang lelaki yang tegas, panas baran *mula2 aje laa* tapi sangatlah romantik dan penyayang. *nak tahu apa maksud romantik dan penyayang? sila rujuk kamus dewan anda* . Nama lelaki tu, Emeer Zafran. Di sebalik perwatakan Ayesha yang ramah dan riang, dia sebenarnya ada satu prinsip hidup yang susah orang lain nak faham. Tapi aku faham, Kak Yus cakap, walau macam mana sayang pun kita kat seseorang tu tapi kalau dia dah berpunya *maksudnya dah kahwin* , janganlah cuba2 nak jalinkan hubungan dengan dia. Tak baik tau bina mahligai bahagia atas tangisan orang lain. Huhu.

Jadi bila Ayesha tahu Emeer ni tunangan orang, dia pun mula sedar kat mana bumi dia berpijak. Dia bukan siapa2, tak mungkin Emeer akan pilih dia kalau dibandingkan dengan Cik Lyana Arissa yang cun melecun kebabommm tu kan. Tapi dia silap. Rupa2 nya, Emeer cintakan dia lebih daripada segalanya. Ayesha cuba larikan diri daripada Emeer tapi dia tak mampu. Dan akhirnya....... *tutttttt*

Aku tahu, mesti ramai readers yang akan fikir cam... "what the hello is this?" . Sabar2... ada reason tau kenapa Emeer dan Ayesha terlanjur sebelum masanya. Aku tahu, Kak Yus cuma nak readers selami perasaan Ayesha, kekuatan kasih sayang antara dia dan Emeer. Setiap orang yang dah buat silap tu masih berhak diberi pengampunan kan? Daripada situ kita nampak betapa Emeer ni sanggup bertanggungjawab atas apa yang dia dah buat kat Ayesha. Dan Ayesha pulak, tak disisihkan oleh ahli keluarga walaupun dah buat silap besar dalam hidup. Masih disayangi dan masih dihargai. Buka jalan untuk dia bertaubat, bukan makin buatkan hidup dia makin susah dan terus sesat. Itu la yang sepatutnya kan?

Akhirnya, Emeer dan Ayesha diijabkabulkan. Fulamakkkkkk. Emeer laa antara hero yang the super romantikus de amour la yang aku pernah baca. Adeh. Tak caya? Sila kan baca sendiri. Tak tahu la Kak Yus bayangkan siapa masa dia duk describe karakter si Emeer tu kennnn? Hihihi. *gelak sopan* . Jujur aku cakap, bila dah baca sampai ke akhir, aku macam dah lupa terus apa yang jadi sebelum diorang kahwin sebab alam rumah tangga yang Kak Yus gambarkan dalam tu sangat la indah. Touching giler3.

Apa jadi lagi lepas tu? Yang tu, korang kena baca sendiri. Hehe.

Garapan Kak Yus terbaik, membuai2 perasaan der. Konflik pun tak banyak, sesuai sangat untuk bacaan santai. Tapi kan, sepupu aku cakap BCB tak sesuai dibaca oleh budak bawah umur. Oppssss! Ya ke? Thi hi hi. Nak tau sesuai ke tak, kena dapatkan dulu, baca, dan nilai dengan mata hati.

Untuk Kak Yus, tahniah!!! U did a very great job. Dalam BCB tu ada macam2 perencah. Cinta, kasih, sayang, air mata, ketawa dan yang paling penting macam yang Kak Yus pernah pesan, ada ILMU kat situ. Itulah 'saham' kita di SANA nanti. :')

Kata2 hikmat oleh Ayumi ---> Biar cinta bertaburan, biar rindu berguguran, biar kasih bertempiaran. :P

# 29 Ogos 2012, 12.57 PM #

~end


Friday, August 24, 2012

- Raya 2012 -

Assalamualaikum...

Hello everybody! How's your raya? Does everything go well? Eh eh, tak nak speaking bagai la kan. Yelaa, kita bukan lagi student TESL atau orang panggil TESLian kan? Kita hanyalah student kursus biasa2 aje, takde hebat macam orang lain pun. Sebenarnya aku bukan nak cakap pasal student TESL ke tak TESL. Aku cuma nak bercerita pasal raya aku tahun ni! Hehe.

Raya tahun ni? Okey la. Nak kata meriah takde la meriah sangat. Mood raya pun tak berapa nak ada sebenarnya. Masa orang duk kecoh ucap selamat hari raya, pasang lagu raya sana sini, aku terbaring atas sofa dengan selubung dalam selimut. Cik Ema cakap, aku kalau selubung selimut terus satu badan tak nampak apa. Macam rupa hantu bungkus pun ada. Apakah? -,-

Aku demam dekat seminggu, lepas pergi jumpa doktor baru sihat balik. Virus demam pun ngengade nak jumpa doktor bagai. Hampeh je. 2 hari sebelum raya baru start kemas rumah. Tugas aku? Ringan je kot. Almaklum la, orang demam. *alasan semata :P*.  Malam raya baru tengok baju raya nak pakai esok. Tengok baju raya, baru la rasa excited sikit. Kalau dak, muka basi je. Huhu.

Tahun ni aku dapat dalam 6 keping kad raya. Dah lama tak dapat, last dulu masa sekolah rendah. Hehe. Terima kasih banyak2 bagi yang hantar kad raya. Paling special kad raya daripada Kak Aziela. Tenkiu kak sebab bagi kad raya kat shayeeee! :')

Pagi raya, biasalah satu keluarga dan sedara mara berkumpul, bersalam salaman, bermaaf maafan, bergambar gambaran.


Lepas tu aku dengan family aku pergi beraya rumah sedara mara sebelah ayah. Atuk nenek dua2 belah dah takde, jadi kita beraya rumah mak cik dan pak cik aje la. Duit raya? Opkos la dapat. Titew tecik lagi tauuuuu. :P
Dalam family aku, bagi sesapa yang belum kerja, masih qualified untuk dapat duit raya. Dan untuk student aipiti macam hakak ni kan hadik2, wajiblah dapat lebih sikit. Ehek~ Balik rumah dah zuhur dah. Rest kejap, solat lepas tu panjat katil!

Raya ke2 pun lebih kurang. Tapi biasanya tahun2 sudah tiap raya ke2 kitorang akan balik Marang, ziarah keluarga besar sebelah ayah. Tapi tahun ni tak balik sana, tak tahu kenapa. Jadi kita beraya sekitar KT aje la. Ada open house rumah tok sedara, pastu balik rumah tunggu orang datang beraya. Oh ya! Lupa nak cerita. Tiap kali orang datang rumah, I mean sedara mara la kan, mak aku wajib cerita pasal aku yang dah jadi novelis ni. Heh. Aku pulak? Kalau boleh nak aje nyorok kat dapur tak nak kuar2. Boleh pulak masa raya ke2 tu kan, aku tengah syok2 tidur dalam bilik tetiba mak aku kejutkan, dia cakap sepupu aku yang aku panggil Kak Win nak beli KPH dan nak sign aku sekali. *Oh ye, memang ada lagi stok KPH kat rumah sebab mak tak kasi jual dah. Dia nak jual kat sedara mara but now dah licin*. Aku pun dengan mamainya turun jugak dari katil. Kalau tak fikir family, jangan harap tau! Basuh muka, siap2 ala kadar, pi la tunjuk muka. Punyalah kecoh diorang tu. Kak Win dengan husband dia siap offer diri nak jadi pelakon kalau KPH diangkat jadi drama atau filem. Erk. Okey takyah nak berangan jauh sangat. Apa aku buat masa tu? Sengih2 senyum2. Tak tahu nak jawab apa. Huhu.

Boleh dikatakan, setiap pak cik mak cik sepupu sepapak yang aku jumpa time raya, semua mak aku buka cerita pasal aku tulis novel ni. Kekadang aku rasa macam... mom, stop it please! Tapi aku fikir positif la, mak aku tu bukannya apa. Dia cuma overexcited je, mesti la bangga dengan anak dia ni kan walaupun KPH tu bukanlah apa sangat. Then aku fikir, sukati la mak, as long as you're happy.

Pendek kata, raya tahun ni memang aku jadi perhatian. Mungkin tu yang membezakan raya tahun ni dengan raya tahun2 lepas. Malam raya ke2 tu jugak, sedara mara dari Kedah dan Shah Alam sampai *disebabkan aku duk kat rumah arwah nenek, jadi diorang semua memang stay kat sini tiap kali balik kampung*. Meriah rumah aku ni tau.

Raya ke3, ada makan2 kat rumah ayah man pagi tu, pastu aku pergi open house kat rumah Cik Athirah. Lama gak aku lepak sana. Sempat jumpa Cik Nana, Encik Sopi, Encik Shamir, Encik Faieez dan Encik Haziq. Dah besar2 dah rupanya kawan2 aku sekarang eh. Paling takleh blah soalan si Shamir tu. Elok aje dia tanya aku "pakwe sihat?". Heh, bukannya dia nak tanya aku sihat ke tak. Aku pun dengan muka tak bersalah tahap kuasa giga jawab je la "sihat...". Tu tak campur2 lagi dengan yang lain2, melawak tak hengat. Penat gelak weh. Hahaha.

Malam tu pulak ada open house kat rumah ayah long, ada bbq! Ni lagi 1 tradisi family kitorang. Raya ke3 wajib berbbq kat rumah ayah long. Syok ooo! Esoknya pulak open house kat rumah Cik De. Sebelah malam pulak makan2 kat rumah ayah yie. Malam tu jugak sedara dari KL sampai, baru nak balik beraya kat sini.

Raya ke5 takde wat apa, duk rumah aje. Raya ke6, open house kat rumah ayah chik. Ayah chik ni ayahanda Cik Atin, sepupu merangkap bestfriend masa kat UiTM Kuantan dulu. :)
Sebelah malam pulak makan2 kat rumah teh mat. A big family right? Seronok dapat berkumpul ramai2 macam ni.

Okey, itu aje la kisah raya aku. Meriah tak meriah, itu aje la seadanya. Hehe. Lepas ni tak tahu sempat ke tak nak update KKB sebab aku tengah busy nak uruskan hal sambung belajar. Bayaran yuran, medical check up *bosan jumpa doktor*, isi borang segala mak nenek, nak apply duit yayasan, ptptn, shopping pun belum tau. Aku daftar kat UiTM 1 September ni. UiTM mana? Biarlah rahsiaaaaaaaaaa. Hehe. :P

~end


Wednesday, August 15, 2012

- Mesej Hari Raya -

Assalamualaikum...

Halooo kawan2. Lagi berapa hari je lagi dah nak habis puasa, kan? Ohh, sedihnya Ramadan dah nak habis. Aku baru aje pasang azam nak tingkatkan amal ibadat untuk puasa tahun ni. Tapi... tapi... tapi... sob4. Dah 4 hari aku demam. Tak boleh nak buat apa, baring aje kerjanya. Sekarang ni nasib baik okey sikit, dapat jugak hadap cheffy ni nak update blog.

Just nak cakap, n3 KKB mungkin tak dapat diupdate lagi dah sebelum raya ni. Bukan apa, aku tak sihat... lepas tu nak tolong mak buat persiapan raya. Rumah satu apa pun tak berkemas lagik. Semalam sempat la jugak buat kuih sikit2, hari ni dah pengsan balik. Huk3. Sedihhh...

Jadi aku nak ucapkan selamat hari raya aidilfitri! Mintak maaf kalau aku ada buat salah kat korang ke, sama ada aku kenal atau pun tak, mana la tau ada terasa dengan apa yang aku tulis kat blog atau kat fesbuk or twitter sekalipun. Nak mintak maaf banyak2 tau. *susun 20 jari mohon ampun* . 0-0 eh. :-)
Dan doakan aku moga2 cepat sihat. Aku pun nak raya gak weh. Takkan nak selubung dalam selimut aje kennnn. Huhuhu.


Psssttt.. ingat hari tu nak buat cerpen raya, tapi kalau dah keadaan camni, nak menulis pun kepala otak dah stuck gegila. Wuwuwu. Okey dadaaaa semua!
Salam aidilfitri. :-)

~end


Thursday, August 9, 2012

- Segmen Mia Kaftiya : Kenapa Aku Pilih Bidang Penulisan? -

Assalamualaikum...

Ni 1st time join segmen2 blogging ni. Sebelum ni mana pernah. So, haiii Kak Mia! *lambai2 mesra*. Silakan baca n3 khas ini. Hehehe.

Sebelum ni aku dah pernah cerita dah pasal perjalanan aku jadi seorang penulis. Kalau Kak Mia rajin nak baca, boleh klik n3 ni [Perjalanan Saya Menjadi Seorang Penulis]. N3 tu panjang berjela tau, kalau larat bacalah. Hehe.

Secara ringkasnya, aku mula menulis start dari darjah 6. Tapi masa tu tulis cerita merapu meraban tak tau apa menda. Start berani share karya dengan kengkawang masa form4, masa ni jugak aku hantar cerpen2 kat p2u. Ohh, masa tu agak teruk kena hentam dengan pembaca2 kat p2u. Runtuh jap semangat tapi berkat sokongan kengkawan, aku recover balik sikit demi sikit. Hihi.

Siap manuskrip KAU PEMILIK HATI lepas SPM. Tapi sebenarnya, lepas habis SPM tu aku tak terus taip KPH. Aku ada taip satu cerita, untitled story. Idea yang tetiba melintas lepas tengok drama Putera Katak kat tv3. Kekeke. Tapi cerita tu stuck, tak sampai 100++ pun aku dah stop, seriously rasa sangat entah apa2. So aku pun terus taip KPH. Bila siap, aku tak terus hantar ke penerbit, sebab masa tu aku ragu2 lagi dengan pilihan aku. Honestly cakap, pilihan aku masa tu bukan KN tau. Hehe.

Apa pilihan aku masa tu biarlah terus menjadi rahsia. Aku tak confident dengan diri sendiri and kawan2 pun asyik duk pujuk, duk hasut aku hantar ke KN sebab KN baru nak naik masa tu (masa tu bermaksud tahun lepas ye) . Setelah berfikir2, aku pun buat keputusan hantar KN. Alhamdulillah, manuskrip diterima. :-)

Tak reti nak cerita banyak2 lah. Kisah aku sangat simple. Apa2 pun, harap Kak Mia puas hati baca n3 ni ek. Hehe.

Jadi kenapa aku pilih bidang penulisan? Sebab aku minat. Sebab minat tu jugak, aku harap aku dapat beri something untuk semua orang yang membaca dan aku akan cuba masukkan elemen2 agama dan jugak sedikit ilmu untuk tatapan semua selagi termampu untuk karya2 akan datang, dengan niat atas nama Allah SWT. That's all. :-)


~end


Sunday, August 5, 2012

- DARI TANGAN PENULIS KE MEJA EDITOR -

Assalamualaikum...

Hai kawan2. Pose tak? ;-)

Hari ni aku nak buat satu n3 special untuk adik2, kakak2, abang2 atau sesapa saja yang mungkin teringin nak jadi seorang novelis tapi tak tahu macam mana caranya. Aku bukan novelis, cuma seorang manusia biasa yang menulis kerana minat dan niat atas nama Allah S.W.T.. Tapi tak salah kalau kita berkongsi pengetahuan yang kita ada kan?

Okey, we start with this n3. [Cara Ayumi Menulis]. Korang boleh rujuk n3 ni untuk tengok macam mana cara nak menulis novel. Err... ekceli tu bukan cara yang betul pun. Tu cuma cara aku sendiri. Cara seorang penulis yang bernama -Ayumi Syafiqah- . Kalau tak cuba cara tu silakan aje tapi kalau tak nak pun takpe. Masing2 ada cara tersendiri kan? :-)

Follow these steps :

1. Cerita dah ada, dah penuh satu buku nota dengan contengan draf untuk novel yang nak ditulis tu. Tapi sebelum mula sesuatu manuskrip tu, korang kena setkan dalam kepala nak hantar manuskrip tu ke mana. Ini untuk memudahkan korang. Kalau dari awal lagi korang dah fikir dan tentukan nak hantar ke penerbit mana, senang untuk korang buat survey, pepandailah usaha untuk approach penerbit tu sendiri. Kat sinilah, perasaan malu tu perlu ditepis jauh2. Rajin2 kanlah diri sendiri untuk bertanya kepada uncle google tentang penerbit yang korang minat tu. Tengok dia punya syarat2 penghantaran manuskrip, format2 yang digunakan, genre2 novel yang biasanya diterbitkan. Tak puas hati lagi, jangan malu2 dan segan2 nak tanya novelis yang dah terbitkan novel dengan penerbit yang korang minat tu. Caranya? Alaa, emel ada, fesbuk ada, twitter ada. Orang kata, dunia sekarang ni di hujung jari aje kan?

Ya, aku memang seorang yang pemalu. Tak percaya? Silakan bertanya kepada sesiapa yang mengenali aku. Ehek~ Tapi bila melibatkan hal penulisan novel, aku sanggup tepis segala rasa malu tu demi sebuah impian. Silalah percaya kenyataan ini. Kalau korang dah cuba tanya dengan memana novelis tapi tak dapat respon, jangan putus asa. Fikir positif, mungkin novelis tu busy, dia ada ramai peminat, hari2 ada aje yang emel, pm tanya macam2 sampai kekadang dah tak terlayan. Ingat, jangan putus asa. Teruskan aje bertanya pada novelis lain pulak. Cuba jugak sampai dapat jawapan. Nak lagi senang, apa kata korang tanya terus direct pada penerbit tu. *yang ni aku tak pernah buatlah sebab malu dan segan saling bertindih. heheh* . Malu bertanya sesat jalan right? :-)

2. Dah dapat jawapan tentang semua tu, korang dah boleh start tulis manuskrip. Tulis tu pulak biarlah ikut format yang dah ditetapkan oleh penerbit yang korang dah pilih tu.

Ni contoh,




Hah camnilah lebih kurang. Masa menulis ni laa memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Macam aku dulu, manuskrip pertama aku ambik masa dalam 3 bulan untuk siapkan. Kalau semangat tak kuat, mental tak kuat, memang manuskrip tu takkan siap. Lagi2 penulis baru macam aku ni. Semuanya memerlukan ketahanan mental dan emosi untuk hadapi tekanan luar dan orang2 sekeliling. Kenapa aku cakap tekanan ni? Hanya orang yang dah melaluinya saja yang faham. :-)

3. Berapa page? Itu pun bergantung pada penerbit tu. Macam aku dulu, KPH aku siapkan dalam 408 pages A4.


Macam mana nak capai ke titik noktah? Again, boleh rujuk dalam n3 Cara Ayumi Menulis tu eh. hehe.

4. Okey, manuskrip dah siap lepas tu nak wat apa? Berbalik pada penerbit tu semula. Ada penerbit yang terima softcopy yang dihantar melalui emel aje, ada penerbit cuma terima hardcopy yang dihantar dengan pos. Maksudnya, kena hantar manuskrip yang dah diprint sepenuhnya. Ni bergantung pada penulis sendirilah. Kalau takde printer sendiri, kena keluarkan duit sikitlah untuk print dekat kedai. Aku pun pernah, sampai berhabis dekat 100 jugak untuk satu manuskrip. Tapi takpe, tak kisahkan berkorban sikit demi impian kita ni? hehe.

Lepas dah dihantar, make sure tanya penerbit tu dah terima ke belum manuskrip yang kita hantar tu. Boleh call aje terus ataupun tanya melalui emel. Ada banyak cara sebenarnya, cuma bergantung pada kita aje sama ada nak buat ke tak. Lepas tu, tunggu ajelah sampai penerbit tu call kita sama ada dia terima untuk terbit atau tidak. Kalau dah lebih tiga bulan takde jawapan gak, koranglah yang kena bertindak sendiri. Call penerbit tu, tanya status manuskrip sendiri. Jangan malu sebab tu hak kita. :-)

5. Ada manuskrip diterima, ada yang ditolak. Bagi yang kena tolak, jangan sedih2. Mungkin belum ada rezeki. Boleh hantar kat lain manuskrip tu atau pun buat manuskrip baru. Yang penting, jangan pernah putus asa. Nangis takpe, tapi janganlah berpanjangan.

Bagi yang dah dapat, langkah seterusnya opkoslah tandatangan surat setuju terbit. Perasaan masa ni usah ceritalah. Kalau boleh menjerit satu dunia, memang dah lama menjerit. hihi.

Ni buktinya KPH dulu tajuknya Kau Inderaku. kehkeh. :P

6. Dah tandatangan surat setuju terbit tu, bukan bermakna akan dapat terbit secepatnya. Macam aku dulu, tunggu setahun lebih baru dapat terbit. Masa nilah SABAR memainkan peranan. Adat penulis baru, kena banyak beralah dengan penulis2 lama, lagi2 yang tiptop masuk carta bestseller tiap2 minggu. Sabar ye... sampai masa, akan dapat jugak terbit.

7. Tiba masa untuk terbit, dapatlah tengok cover. Perasaan masa ni, lagilah macam nak berguling2 atas jalan raya. Tapi masa takde keretalah, kang tak pasal2 tak sempat nak peluk novel tu dah arwah dulu. hahaaaa. Lepas tu tiba masa untuk sain royalti. Lepas tu, lepas tu dan lepas tu, pepandailah pomot untuk lariskan jualan buku. Jangan takat bergantung sepenuhnya kepada penerbit ye, ingat tu. *jangan jadi macam aku. hekhek*

8. Okey... itu aje kut yang dapat dikongsi. Harap dengan sikit panduan ni, aku dah dapat tolong uolss semua ya. Mungkin panduan aku ni tak berguna untuk sesetengah penulis sebab sekarang ni ramai penulis e-novel yang dapat tawaran daripada penerbit sendiri untuk terbitkan buku. Bertuah badan kan? Takpe, mungkin aku tak termasuk dalam 'golongan elit' itu. hewhew.

Sekian, terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca. Ada salah silap, harap dimaafkanlah ye. Aku pun baru belajar, umur pun belum cukup 19 tahun. Pemikiran tak berapa nak matang lagi jadi tutup mata ajelah kalau ada salah tu ye. Aku share ni untuk kawan2 yang lain jugak. Semoga ada manfaat. Terima kasih. :')

psssttt... kepada yang menunggu giliran untuk manuskrip diterbitkan, I wish u all the best! ;-)

~end


Saturday, August 4, 2012

- Review KPH by Rinsya Chasiani -

Assalamualaikum...

Pertama sekali, nak ucap berbanyak2 terima kasih kepada 2 orang kanda saya yang dah banyak sangat berjasa, Kak Yusnida Tajudin dan Kak Rinsya Chasiani. Kami rapat, jadi tak heran kalau ada orang kata BFF. Rapat cane tu? Rapat dalam erti kata... errr... susah nak explain. Hanya kami ber3 saja yang tahu. keh3.

Pagi ni Kak Rinsya buat review KPH kat group Kami Cinta Novel dan juga Blog E-Novel. Siyes rasa nak berguling2 masuk bawah sofa. Erk. 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~

dah baca novel Kau Pemilik Hati karya Ayumi Syafiqah .. (lama dh smpai ke tngn tapi tak terbaca-baca sbb xda mood nak membaca.)


Overall story, gaya bahasa matang, tak kebudak-budakan wlupun penulis tang budak lagi dari saya. About Zafril & Qarrisa Puteri... Kahwin paksa ni sbb Qarissa yang takmo ADam Zafril tapi Adam kipas susah nak mati Qarissa. Awal-awal tu gaduh je keje. Bukan Adam yg cari gaduh tapi Qarissa yang salu tak puas hati kat Adam. 

Adam Zafril ni nampak beria tapi bila tengok dia ada migrain, nampak mcm hensem pulak laki tu sbb endure dia punya sakit. 


Lepas dorang kawen, ada fitnah daripada ex-boy Qarissa sbb Qarissa ni dolu gila serius sosial suka masuk pub ada ciri-ciri bad girl even x la smpai minum arak or serah tubuh kat lelaki kan, 

masa tu Adam merajuk , kan ke dia syg kat Qarissa sngt-sangat. & Qarissa pun dah mula syg kat suami dia tu... Ada la konflik berat antara dorang , bermain perasaan jugak masa baca . 



Tapi part paling sentap bilamana Adam Zafril balik ke rumah n dlm keadaan migrain, Qarissa nak tolong tapi Adam Zafril berkali-kali cakap "Tak payah!" , lepas tu muntah lagi... n blabla... (masa ni air mata dh meleleh. huhuhu..)



Bila kebenaran terserlah depan mata, takat Adam Zafril pujuk si Qarissa bila Qarissa dh bawak diri tu lawak sakan. mcm takde cara lain. nasib baik je Qarissa penyabo.

n yg best cerita ni semua watak dpt ending yang tingtong... wlupun jahat2 Ikhwan tu, dia dpt jugak kawen ~ hihihi...



Petikan dlm novel :



Zafril : "Sampai bila?"

Qarissa : "Sampai saya betul-betul sedia untuk terima awak. Saya perlukan masa untuk berfikir,"
Zafril : "Ambiklah sebanyak mana masa yang awak nak. Saya akan tunggu..."



(serius gentleman pakwe. hihihi)



scene nak tido dlm bilik pun ada gak rebut2.



Qarissa : " Kan hari-hari Risa tidur dengan abang?"

Zafril : "Bukan tu!"
Qarissa : "Ok tapi dengan satu syarat.. ABang kena tidur dalam bilik Risa,"
Zafril : "Laa.. kan semalam dah tidur kat bilik Risa. Malam ni bilik abanglah pulak..."
Qarissa : "Bilik abang tak best, tak ada aircond."



(cool city woman?)



scene sentap .



Qarissa : "Abang nak ubat? Risa ambilkan ya?"

Zafril yang kujam : "Tak payah nak kisahkan pasal abang ni! Pergilah ...dot dot dot (x smpai hati nak tulis )
Qarissa : "Abang nak Risa urutkan?" 
Zafril :Tak payah aku kata! Pekak ke?!"



(masa ni Qarissa betul2 bimbang kat Zaf sbb nampak migrain teruk. tapi tu la ego seorang Zafril dah memuncak kan? tengah degil namati... hiii geram...)



Scene main tarik tali :



Qarissa : "Apa awak nak buat ni?"

Zafril : "Kenapa? Takut? Nak takut apa, abangkan suami Risa?"



-cerita biasa-biasa dari penulis biasa yang mampu membuat air mata jatuh di akhir cerita... :)



~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Eheh. Smile and say Alhamdulillah. :')

Terima kasih banyak2 kak buat review ni. Terharu sangat sampai tak tahu nak kata apa lagi dah. Sob3.


Ni gambar aku dengan anak2 Kak Yus. Aku yang tudung peach baju putih, sebelah tu pulak my lovely cousin Atin! :')

~end


Wednesday, August 1, 2012

- Cerpen : Anugerah Terindah Ramadan -



BEG besar yang aku letakkan di atas lokar aku capai dengan kedua-dua belah tangan. Habuk yang melekat pada kulit beg itu aku sapu menggunakan tuala kecil yang telah aku basahkan sedikit. Kemudian zipnya aku tarik. Baju-baju yang tergantung di dalam lokar aku keluarkan satu-persatu. Begitu juga dengan baju-baju yang terlipat di bahagian bawah. Aku duduk di atas katil lalu mula melipat baju itu dengan kemas. Kemudian baju-baju itu aku masukkan ke dalam beg.
            Wah! Tak sabarnya nak balik kampung. Seminggu saja lagi, hari raya Aidilfitri bakal menjelma. Tetapi bukan itu yang aku kisahkan. Sebaliknya, hatiku disapa rasa sedih mengenangkan Ramadan bakal meninggalkan aku dan semua umat Islam yang lain tidak lama lagi. Mungkin ada yang tidak percaya kalau aku katakan aku tidak mahu berpisah dengan Ramadan, tetapi itulah hakikatnya. Aku mungkin bukan orang-orang yang warak, tetapi setiap kali tiba Ramadan, hatiku akan rasa tenang kerana aku tahu, pada ketika inilah aku berpeluang melalukan ibadah dengan penuh ketenangan atas nama Allah Yang Maha Esa.
            Sedang aku ralit melipat pakaian sambil menyanyi-nyanyi kecil, pintu bilik ditolak dari luar. Aku mengangkat kepala memandang dua orang teman sebilikku, Ema dan Shila melangkah masuk.
            “Dari mana?” soalku.
            “Teman mak cik ni pergi library tadi. Huh, penat!” Ema menjawab lalu merebahkan tubuhnya di atas katil.
            “Alaa... kejap aje pun,” balas Shila pula. Tudung di kepala ditanggalkan.
            “Oh ya, Dina... tadi ada orang kirim salam.” Ema bersuara sambil duduk tegak di atas katil. Tangannya menanggalkan pin yang tersemat elok pada selendang yang menutup kepalanya.
            Aku kerutkan dahi. “Siapa?”
            “Cuba teka siapa,” ujar Ema. Keningnya diangkat-angkat tinggi.
            “Alah... aku malaslah main teka-teka!” rengusku. Sungguh aku tak berminat langsung dengan cerita yang dibuka Ema itu. Bukan jenisku melayan sesiapa saja yang mengirim salam dengan cara begitu.
            Ema mengerling ke arah Shila. Keningnya diangkat, isyarat supaya Shila memberitahu siapa gerangan yang mengirim salam itu kepadaku.
            Shila mendekati lalu duduk di atas katilku. “Irdina Safiya... kalau kau nak tahu, Zairil yang kirim salam kat kau!”
            Makin bertambah kerut di dahiku. Zairil? Ohh, mamat tu. Bukan aku nak perasan atau apa, tapi dia memang meminatiku. Tetapi aku tidak pernah melayan. Bukan kerana dia tidak kacak atau apa, tetapi kerana hatiku sendiri belum terbuka untuk mengenali cinta.
            Cinta? Bagi aku, biarlah cinta itu hanya untuk Dia yang di atas sana.
            “Macam tu aje?” Ema bersuara tidak puas hati melihat reaksiku.
            “Waalaikumussalam,” jawabku. Tanpa mempedulikan mereka berdua yang jelas tidak puas hati dengan respon dinginku, aku meneruskan kerja-kerja melipat pakaian.
            Shila merengus. Kemudian dia kembali semula ke arah katilnya. Ema pula merebahkan semula badannya di atas tilam.
            Aku memasukkan baju-baju yang sudah siap dilipat ke dalam beg. Buat seketika, aku termenung mengingati Zairil. Aku tak pernah membenci lelaki itu. Malah lelaki itu tak pernah melakukan apa-apa kesalahan terhadapku. Cuma... aku sendiri yang tidak dapat menerimanya. Entahlah... Selama hampir 23 tahun aku hidup, aku belum pernah kenal apa itu erti cinta sesama manusia. Aku akui aku bukanlah perempuan yang baik sangat tetapi satu prinsipku, aku tak akan pernah jatuh cinta kepada mana-mana lelaki sebelum tiba waktunya.
            Walaupun kadang-kadang sikapku agak nakal, tapi aku tetap akan pastikan hatiku tidak tercemar dengan noda cinta yang belum pasti. Memang aku bukan jenis gadis alim yang bertudung labuh dan berjubah setiap hari. Kalau ke mana-mana, aku lebih suka mengenakan seluar jean, baju T bersama tudung bawal. Tetapi akan kupastikan seluar yang aku pakai itu tidak ketat hingga boleh menampakkan bentuk kakiku, baju T yang aku pakai haruslah longgar, berlengan panjang, tidak jarang dan labuh hingga melepasi punggung, manakala tudung pula akan kulabuhkan hingga melepasi paras dada. Aku juga lebih suka berkasut berbanding memakai selipar. Dengan cara itu juga, aurat kakiku akan terlindung.
            Mungkin kadang-kadang aku suka berborak dengan rakan-rakan lelaki, tetapi aku masih tahu menjaga batas. Tidaklah berbual sampai ada adegan bertepuk tampar. Perbualan pula lebih menjurus ke arah hal pembelajaran dan kehidupan seharian. Tak sekali pun aku cuba melencongkan perbualan kami ke arah yang tidak elok. Kalau ada mana-mana lelaki yang mahu berkenalan denganku di internet, aku akan menerima selagi hubungan itu tidak lebih daripada hubungan dengan seorang rakan. Pernah sekali dulu, seorang lelaki menambah akaun Facebookku. Aku yang tak mahu berfikiran negatif segera menerima permintaannya itu. Bermula dari saat itu, dia sering menghantar mesej kepadaku. Bertanyakan diriku, di mana aku belajar, dari mana aku berasal, dan bila perbualan itu semakin lama semakin ‘jauh’, aku bertindak memadamkan namanya daripada senarai rakan-rakan Facebookku. Bukan bermaksud untuk aku bersikap sombong, tetapi memang itulah aku.
            Mungkin aku pernah melawan kata-kata emakku, tapi setiap kali itu juga aku insaf dan memohon maaf daripadanya. Mungkin juga dulu ada ramai lelaki yang aku minati ketika zaman persekolahan, tetapi itu semua hanya terpendam di lubuk hati. Tak sekali pun aku ceritakan kepada sesiapa kerana aku hanya menganggap semua itu sebagai mainan perasaan dunia seorang remaja.
            Aku sentiasa mengingatkan diriku tentang satu hadis :
            Maksudnya : “Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian menyembunyikannya hingga kematian datang menjemputnya, maka dia adalah seorang yang syahid.” (Riwayat Hakim, Ibn Asakir, al-Dailami, dan lain-lain).
            Dan dalam satu riwayat yang lain pula maksudnya :
            “Sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia memelihara kesucian dirinya dan bersabar hingga meninggal dunia, maka dia adalah seorang yang syahid.”
            Menunganku punah sebaik saja suara Ema menerjah gegendang telingaku.
            “Jom pergi kafe! Kejap lagi dah nak berbuka dah ni.” Ema pantas mencapai tudungnya. Begitu juga dengan Shila.
            “Kau orang turunlah dulu. Aku nak call mak aku jap,” jawabku lalu mencapai telefon bimbitku di atas meja studi.


AKU merenung ke luar cermin tingkap. Suasana di luar sungguh gelap sekali. Bas yang aku naiki akan membawaku pulang ke kampung halamanku di Kuala Terengganu. Sambil termenung melayani lagu-lagu dari mp3, aku teringatkan rakan-rakanku di kampus. Sejak akhir-akhir ini, mereka sering saja bercakap tentang jodoh. Almaklumlah, semester terakhir kami akan tamat tak lama lagi jadi sudah ada antara mereka yang merancang untuk mendirikan rumah tangga.
            Aku?
            Bagi seorang Irdina Safiya, sudah aku tetapkan dalam hati aku hanya akan berkahwin selepas aku tamat belajar, mendapat pekerjaan tetap, dapat membeli sebuah kereta dan rumah sendiri. Tetapi di sebalik prinsip yang aku tegakkan itu, hati ini tetap tercuit setiap kali mendengar cerita-cerita tentang perkahwinan. Aku akui hatiku ini masih belum terbuka untuk mengenali cinta tetapi keinginan untuk berkahwin tetap tumbuh di sudut hatiku. Kerana bagiku, bercinta selepas kahwin sudah pastinya lebih indah, bukan?
            Bukan tidak ada rakan-rakan lelaki di kampus yang melamar aku, buktinya si Zairil itu. Tetapi mereka melamarku untuk dijadikan sebagai teman wanita. Aku tidak mahu begitu. Aku mahu biarlah hubungan yang bakal kubina itu halal di sisi Allah. Aku tidak mahu menambahkan dosa yang ada. Selagi belum sampai masanya, biarlah aku terus bersendiri dengan doa, Allah akan mempertemukan aku dengan seseorang yang boleh menjadi suami buatku dan bukannya kekasih semata-mata.
            Aku tahu aku tak sempurna, tetapi aku mengharapkan seorang lelaki yang mampu menjadi imamku, yang mampu membimbingku ke jalan yang benar. Selama ini aku menjaga harga diri, menghindar segala perkara-perkara yang menghampiri zina kerana aku mahu menyerahkan semua itu hanya kepada suamiku seorang. Bukankah wanita yang baik itu hanya untuk lelaki yang baik?
            Allah sudah berjanji dalam surah al-Nur :
            Maksudnya : Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). (Surah al-Nur 24 : 26)
Lama berkhayal, aku akhirnya terlelap. Ketika lampu di dalam bas dihidupkan, barulah aku kembali membuka mata. Jam di tangan aku toleh. Sudah pukul 5.00 pagi. Aku terus melangkah turun dari bas. Selepas mengambil begku dari tempat menyimpan barang, aku berlalu mendapatkan sebuah bangku. Telefon bimbit aku keluarkan dari beg sandangku untuk menghubungi ayah.
            “Assamualaikum,” sapa ayah di hujung talian.
            “Waalaikumussalam. Ayah, Dina dah sampai ni. Dah ada kat terminal,” ujarku.
            “Okey, kejap lagi ayah datang ambik.” Lalu talian dimatikan.
            Sementara menunggu ayah datang menjemput, aku mengeluarkan bekas plastik dari dalam beg. Mujurlah aku sudah membawa bekal untuk sahur kerana bimbang tidak sempat bersahur di rumah. Walaupun hanya sekadar roti yang sudah disapu jem, itu sudah cukup untukku. Bukankah sahur itu sunnah? Walaupun tidak diwajibkan, tetapi ia sangat-sangat digalakkan. Aku ingat lagi kata-kata seorang ustaz.
            “Nabi Muhammad S.A.W. ada bersabda :
            Beza antara dan puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur. (Riwayat Muslim).
            Maka, kita berpuasa kerana ingin mengabdikan diri kepada Allah dan melakukan apa yang disukai-Nya pada bulan Ramadan ini, maka ikutilah sunnah Nabi Muhammad S.A.W. termasuklah bersahur. Besarnya rahmat Allah, sehingga seseorang yang bangun bersahur agar dia bertenaga esoknya ketika berpuasa, dihitung sebagai ibadah yang diberi ganjaran.”
            Nampak saja kereta ayah berhenti di depan kawasan hentian bas, aku segera mengangkat beg dan mendapatkan kereta itu.


SAMPAI di rumah, aku masuk ke bilik. Berehat-rehat seketika di atas katil sementara menanti azan Subuh berkumandang. Surau di kampung ini dekat saja dengan rumahku, jadi aku mampu mendengar azan yang dilaungkan dengan jelas, apatah lagi pada waktu pagi begini.
            Baru saja meletakkan kepala ke bantal, azan Subuh kedengaran syahdu. Entah kenapa, hatiku bagai tersentuh mendengar suara yang melaungkan azan itu. Lenggoknya cukup merdu sekali. Hatiku bagaikan dipukau untuk seketika.
            Siapa yang melaungkan azan itu? Kenapa selama ini aku tidak pernah mendengar suaranya? Kenapa baru kali ini suaranya singgah di telingaku, hingga meninggalkan kesan yang mendalam dalam hatiku?
            Menyedari fikiran dan perasaanku sudah jauh melencong, aku pantas beristighfar. Setiap laungan azan itu aku sambut perlahan. Habis saja azan dilaungkan, aku segera turun dari katil. Tanganku mencapai tuala sebelum terus menghilang ke dalam bilik mandi. Aku mahu membersihkan diri terlebih dahulu sebelum sujud menghadap-Nya.


BERBUKA dengan keluarga memang merupakan saat yang aku tunggu-tunggu. Sekali lagi azan yang berkumandang bagai menyejukkan seluruh hatiku. Tidak keterlaluan aku katakan, aku hampir terkhayal mendengar suara yang sangat merdu itu. Aku tertanya-tanya sendiri, siapa dia di sebalik suara itu? Siapa dia yang melaungkan azan itu? Siapa dia?
            Sedikit hairan, kenapa suaranya tidak kedengaran ketika azan Zuhur dan Asar tadi?
            “Dina... menung apa lagi tu? Dah masuk waktu ni. Nah, ambik kurma ni.”
            Emak menegur sekali gus membunuh lamunanku. Aku pantas mencapai sebiji kurma di tangannya. Ya Allah... betapa jauhnya aku berkhayal hingga tertangkap oleh emakku sendiri. Tidak. Tidak sepatutnya aku membiarkan diriku hanyut begitu, apatah lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Siapa pun dia, dan betapa tertariknya hatiku ini padanya, aku tidak boleh mencemarkan bulan yang penuh barakah ini dengan perasaan yang masih belum pasti.
            Selesai mandi dan menunaikan solat Maghrib, aku berjalan beriringan dengan emakku menuju ke surau untuk menunai solat Isyak dan juga solat sunat Tarawih. Dan sekali lagi malam itu, hatiku terpaut mendengar suara yang melaungkan azan. Bukan saja azan yang dilaungkan, malah suara yang sama juga yang mengimamkan solat kami semua malam itu. Walaupun suaranya itu mampu menggetar jiwaku, aku tetap berusaha sesungguh hati untuk khusyuk dalam setiap rakaat solat yang aku lakukan.
            Selesai mengaminkan doa, aku menyalami tangan jemaah-jemaah wanita yang lain. Kemudian aku mengikut langkah emak turun dari surau. Ketika mahu menyarung selipar, mataku tiba-tiba terpandangkan seorang lelaki sedang berdiri di depan pintu surau sambil berbual-bual dengan beberapa jemaah yang lain. Memandang wajah lelaki itu, aku bagaikan terpegun seketika. Wajahnya yang kacak dengan senyuman manis terukir di bibir, dan juga air mukanya yang bagaikan bercahaya itu menggetarkan hati Hawaku.
            Ya Allah... tak pernah lagi aku merasakan perasaan sebegini terhadap mana-mana lelaki yang pernah aku jumpa. Siapa dia? Kenapa dia terlalu menarik hatiku?
            “Dina... tunggu apa lagi ni? Jomlah balik.”
            Suara emak sekali lagi membunuh khayalanku. Terperangkap dengan kegugupanku, aku lantas mengukir senyuman sambil menggelengkan kepala. “Tak ada apalah, mak. Jom balik.” Giliran aku pula yang mengajak.
            Emak mengerutkan dahinya memandangku. “Betul ke Dina ni? Kenapa mak tengok lain macam aje kamu ni?” Jelas riak curiga terpeta pada wajahnya.
            Aku menggeleng lagi, tetap cuba menafikan tekaannya itu. “Betul, Dina tak apa-apa. Jomlah balik, mak.” Lalu lengannya aku paut sebelum kami sama-sama berjalan pulang ke rumah.
            Sambil berjalan, otakku masih tidak mampu memadamkan seraut wajah yang bagaikan sudah terakam kemas dalam fikiran. Menyedari diriku sudah jauh berkhayal memikirkan lelaki yang bukan muhrimku, aku cepat-cepat beristighfar dalam hati. Tidak sepatutnya aku membiarkan perasaan itu menguasai diri hingga melalaikan diriku sendiri.


PETANG keesokannya, aku mengikut emak ke bazaar Ramadan. Aku berjalan beriringan dengannya dari satu gerai ke satu gerai. Tidak tahu apa yang harus aku beli, lalu aku hanya mendiamkan diri. Menanti penuh sabar sehinggalah emak selesai membeli kuih-muih untuk berbuka nanti.
            “Assalamualaikum, Mak Cik Yati.”
            Tiba-tiba satu suara menegur. Aku tersentak. Suara itu... Tidak sempat otakku cuba mencerna siapa pemilik suara itu, suara emak sudah pun menyahut.
            “Waalaikumussalam. Eh, Elman. Buat apa kat sini? Tak kerja ke hari ni?” Ramah sekali suara emak kedengaran.
            Aku menoleh ke sisi. Dan alangkah terkejutnya aku pabila melihat lelaki yang aku nampak di surau malam tadi sedang tercegat berdiri di sebelah emak. Wajahnya manis sekali dengan senyuman di bibir. Aku terpegun di situ. Pesona pada dirinya membuatkan aku tidak mahu berpaling ke arah lain walaupun sesaat.
            “Kerja, mak cik. Tapi bulan-bulan puasa ni memang saya balik awal sikit daripada biasa. Lagipun tadi mak saya yang suruh datang sini beli kuih untuk berbuka nanti,” jawab lelaki yang dipanggil Elman oleh emak itu.
            Elman... Nama itu kubisikkan perlahan dalam hati. Suaranya... Adakah dia yang melafazkan azan dan mengimamkan solatku di surau malam tadi?
            “Ohh ya ke...”
            Kata-kata emak yang seterusnya sudah tidak aku dengari lagi kerana mindaku sibuk memikirkan siapakah gerangan lelaki yang bernama Elman ini. Memandang dirinya, aku terasa seluruh ruang hatiku bagaikan disimbah salju. Dinginnya terasa...
            Namun, dia langsung tidak menoleh pandang ke arahku. Sama ada dia tidak nampak aku di sini, ataupun dia memang tidak mahu memandang. Mustahil dia tidak nampak kelibatku di sini. Bukankah aku sedang berdiri tegak di sebelah emak?
            Ternyata, dia terlalu menjaga pandangannya. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arahku membuatkan aku malu sendiri. Betapa mata ini terlalu asyik menilik wajahnya, hingga aku lupa segala rasa malu. Ya Allah... ampunkan kelalaian aku tadi, bisikku dalam hati.
            “Okeylah, mak cik. Saya minta diri dulu ya?” Dia meminta diri tidak lama kemudian.
            “Yalah,” balas emak pula.
            Aku hanya mengerling dengan ekor mata. Sebaik saja kelibatnya menghilang, barulah aku menghalakan pandanganku ke wajah emak. Asakan hati tidak dapat kutahan lagi. Aku benar-benar mahu tahu siapa dia dan bagaimana emak boleh mengenalinya.
            “Mak... siapa tadi tu?” Aku bertanya tanpa bertangguh.
            “Ohh... tadi tu? Tulah Elman Yazeed, anak Mak Cik Azizah yang baru pindah ke kampung kita tu,” jawab emak.
            Aku terdiam. Sekali lagi namanya kubisik perlahan dalam hati. Elman Yazeed... Anak Mak Cik Azizah? Ohh, patutlah aku tidak pernah nampak dia sebelum ini. Rupa-rupanya dia baru saja berpindah ke kampung kami. Persoalan yang bermain di benakku kini sudah berjawab.
            “Kalau Dina nak tahu, dialah yang imamkan solat Isyak dan Tarawih kat surau tahun ni. Muda lagi orangnya, tapi dah mampu jadi imam. Sejuk perut mak dia mengandungkan dia...”
            Kata-kata emak itu makin meyakinkan aku akan telahanku tadi. Aku pasti, dia bukan saja imam di surau, tetapi dia juga yang melaungkan azan setiap kali waktu Subuh, Maghrib dan Isyak. Mungkin kerana pada waktu siang dia bekerja, maka dia tidak berkesempatan untuk memikul tugas mengazankan waktu Zuhur dan Asar. Aku berandaian sendiri. Tanpa sedar, bibirku menguntum senyuman manis.


AKU termenung sendiri di bilik selepas pulang dari surau malam itu. Fikiranku tidak habis-habis membayangkan wajah Elman. Bukan cuma wajahnya, tetapi juga suaranya. Tidak dapat aku nafikan, peribadinya benar-benar menarik hati, memikat jiwaku.
            Ya Allah... aku sudah jatuh cinta!
            Ya, aku akui memang aku sudah jatuh cinta. Perasaan yang aku membuai hatiku ini tidak pernah aku rasai terhadap mana-mana lelaki yang aku kenali. Aku yakin aku tidak silap dalam menilai hati sendiri. Memang hatiku kini sedang dilamun cinta kepada Elman Yazeed.
            Aku meraup tapak tangan ke muka. Ya Allah... apa yang harus aku lakukan sekarang? Aku tidak mahu hanyut dalam perasaan ini. Aku takut kalau-kalau perasaan ini salah. Dan paling aku takut, kalau-kalau dia bukan jodohku.
            Dalam kebimbangan hati, aku terpandangkan sebuah buku yang terletak elok di atas meja. Buku itu aku capai. Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul karya Fatimah Syarha Mohd Noordin. Kalau tidak silap, buku itu sudah lama aku beli tetapi belum berkesempatan untuk membacanya. Lalu, aku meniarap di katil. Helaian pertama aku selak sebelum aku terus hanyut menghayati kisah yang tertulis dalam buku itu.
            Ralit membaca, aku tidak sedar bila masanya aku terlelap. Sebaik terjaga, jarum jam sudah menghala ke pukul 3.00 pagi. Aku lantas bangkit dari baringan. Setelah berfikir-fikir seketika, akhirnya aku memutuskan untuk menunaikan ibadah Qiamullail. Aku akui sebelum ini aku belum pernah melakukan ibadah itu walaupun aku tahu tentangnya. Lalu aku terus turun dari katil dan melangkah menuju ke bilik mandi untuk mengambil wuduk.
            Pada sujud terakhir dalam Tahajud, aku memohon dengan setulus hati agar hatiku ini sentiasa tenang melalui apa saja. Juga aku memohon, andai Elman memang diciptakan untukku, semoga Allah melorongkan jalan untuk kami bersatu. Andai benar dia untukku, satukanlah hatiku ini dengan hatinya. Namun andai dia bukan untukku, maka Kau bantulah aku untuk menghapuskan segala rasa ini dari hati sebelum perasaan ini semakin bercambah untuknya.
            Sesungguhnya, aku hanya mahu cinta dalam hatiku ini untuk insan yang mencintai Allah. Dan juga aku berharap moga insan yang mencintaiku juga mencintai Allah melebihi segala-galanya di dunia ini.
Aku titipkan juga hembusan doa pengasih yang pernah diajar oleh Rasulullah S.A.W..
Maksudnya : Ya Allah jadikanlah hamba-Mu ini menyintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman menyintaiku. (Riwayat Muslim).
Selesai bersolat Witir, aku mencapai naskhah al-Quran. Dalam kedinginan dinihari, aku melagukan bacaan-bacaan kitab suci itu dengan penuh khusyuk. Tiada lain yang aku harapkan melainkan hanya reda-Nya.


TARAWIH terakhir aku tunaikan dengan penuh rasa sayu. Sayu... seolah-olah ini kali terakhir aku berpeluang menunaikan solat itu. Sesungguhnya, hati ini terlalu berat mahu melepaskan Ramadan kali ini pergi. Dalam kesyahduan hati, mataku sempat lagi mencuri pandang ke arah Elman. Dia tetap dengan senyumannya, ralit berbual dengan para jemaah lelaki tanpa sikit pun menoleh ke arahku.
            Aku menundukkan kepala. Terasa malunya diri ini, seolah-olah hanya aku yang memasang angan yang tinggi sedangkan dia tidak pernah sekali pun peduli akan kehadiranku.
            Aku berserah kepada Allah S.W.T.. Andai benar ada jodoh antara aku dan dia, aku berdoa semoga Allah menunjukkan jalan kepadaku. Tetapi kalau tidak, aku reda dengan ketentuan-Nya. Mungkin ini merupakan sebahagian daripada ujian Allah untuk menguji seteguh mana iman dalam diriku ini.
            Hari raya menjelang juga akhirnya. Selepas menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri, aku mula sibuk dengan urusan di rumah. Aku mengaku bukanlah pandai sangat memasak. Masakanku masih belum dapat menandingi masakan emak. Tetapi aku tetap menyumbang tenaga dalam menyediakan juadah pada pagi raya itu. Dalam kemeriahan yang dirasai, aku tidak mahu perasaan kecewa dalam diri ini mencemarkan semuanya. Bersama senyuman di bibir, aku menyambut kedatangan tetamu-tetamu yang bertandang.


TIBA hari raya yang ketiga, aku mengikut kawan-kawanku mengadakan ‘konvoi raya’ dari rumah ke rumah. Seronok menghabiskan masa dengan mereka semua hingga aku terlupa seketika tentang Elman. Tiada guna aku terus memasang angan-angan yang belum pasti. Aku tidak mahu terlalu berharap kerana takut nanti aku juga yang akan terluka.
            Pulang ke rumah petang itu, aku dikejutkan dengan satu berita oleh emak. Mendengar kata-kata yang keluar dari mulut emak, duniaku bagaikan berhenti berputar untuk seketika.
            “Tadi keluarga Mak Cik Azizah datang merisik Dina.”
            “Untuk siapa, mak?” Jantungku sudah mula berdegup kencang.
            “Untuk anak dia, Elman Yazeed.”
            Aku terdiam tanpa suara. Elman Yazeed? Benarkah rombongan itu datang merisikku untuk Elman? Benarkah? Sesungguhnya, aku tidak dapat menyembunyikan perasaanku yang pastinya ketika ini sangat gembira. Elman Yazeed...
            Aku tidak segera memberikan jawapan sebaliknya aku meminta tempoh masa untuk berfikir. Dalam solat Istikharah, aku memohon agar Allah memberi petunjuk kepadaku jalan mana yang harus aku pilih.
            Mimpi indah menemani tidurku. Aku yakin inilah petunjuk daripada Allah Yang Maha Esa. Dalam hati, aku mengucap syukur kerana Dia akhirnya menemukanku dengan seorang lelaki yang beriman, yang mampu menjadi imamku dan membimbingku agar terus berada di jalan-Nya.
            Selepas seminggu beraya, tiba masanya untuk aku pulang semula ke kolej. Sebelum pulang, keputusan yang telah aku buat, aku suarakan kepada emak dan ayah. Ternyata mereka berdua gembira kerana aku menerima lamaran yang dihantar. Aku pula, sudah pastinya lebih gembira daripada mereka berdua kerana orang yang aku cintai dalam diam, rupa-rupanya merasai perasaan yang sama denganku.
            Kata ayah, biarlah kami berdua bertunang dahulu. Mengikut apa yang baru dirancang dalam kepala, pertunangan kami akan dilangsung dalam masa sebulan dari sekarang. Dan sebaik saja semester terakhirku tamat, kami berdua akan dinikahkan.
            Begitulah... Walaupun Elman tidak pernah mengenaliku secara rapat, tetapi Allah telah menggerakkan hatinya untuk datang menghulur lamaran. Rasullah S.A.W.. bersabda bermaksud :
            “Jika Allah memasukkan ke dalam hati seseorang keinginan untuk melamar seorang wanita maka dibolehkan baginya melihat wanita tersebut.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah).
Dalam perjalanan pulang ke kampus menaiki bas, aku termenung sendiri sambil merenung ke luar cermin tingkap. Senyuman manis menghiasi bibirku. Aku tidak kisah berjauhan dengannya, kerana berjauhan begini lebih selamat, boleh mengelakkan fitnah dan juga perkara-perkara yang menjurus ke arah penzinaan. Bukankah bercinta selepas kahwin itu lebih manis dan indah?
Inilah anugerah Ramadan daripada Allah S.W.T.. untukku. Anugerah terindah dalam hidup... yang tak mungkin akan dapat aku rasai tanpa keizinan daripada-Nya. Alhamdulillah...

TAMAT.

~~~~~~~~~~~~~~

Terima kasih sudi luangkan baca cerpen ni. Mintak maaf kalau ada salah info atau salah apa2 kat dalam ni. Saya masih belajar lagi dan lepas ni insya-Allah akan ada lagi cerita yang diselitkan dengan nilai islamik macam ni. :)

~end


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...