++ Suntikan Semangat! ++

Tuesday, November 13, 2012

- Cerpen : Tentang Kita (intro) -

Demi mengelakkan perasaan MALAS untuk sambung cerpen ni, jadi saya tepek dulu kat sini untuk tatapan kawang2 sume. Jemput baca dulu eh. :)

~~~~~~~~~~

-versi masih belum diedit!-


BAGAIMANA harus aku gambarkan perasaan yang merajai hati ketika menjejakkan kaki ke tanah air tercinta setelah bertahun-tahun menjadi si perantau? Indah. Sayu. Rindu... dan bermacam-macam jenis perasaan lagi, semuanya bagai bersatu dalam hatiku. Lima tahun lebih aku meninggalkan bumi Malaysia dan kini aku pulang semula demi meneruskan hidup. Hidup yang pastinya lebih mencabar kerana ada tanggungjawab baru yang bakal menantiku tak lama lagi.
            Nun jauh di tengah-tengah bangku ruangan menunggu, ayah, ibu, angah dan adik sudah sedia menanti. Aku mempercepat langkahku. Pandangan ayah dan ibu kini terhala ke wajahku. Aku hulurkan senyuman bersama lambaian tangan. Mungkin mereka susah untuk mengecam wajahku memandangkan masa yang berlalu juga telah mengubah cara aku berpakaian. Lebih feminin mungkin?
            Sebaik saja langkah kakiku terhenti di depan ayah dan ibu, aku hulurkan tangan untuk bersalam dengan kedua-duanya. Kupeluk ibu yang kelihatan masih tercengang-cengang.
            “Ibu... ibu tak gembira ke anak ibu dah balik ni?” tanyaku dengan nada mengusik.
            Barulah aku merasakan tangan ibu melingkar di tubuhku. “Ya Allah... Fiya! Lain benar ibu tengok kamu. Hampir-hampir tak cam tadi,” kata ibu lantas menepuk-nepuk bahuku.
            Aku tertawa kecil. Pipi ibu kucium, melepaskan rasa rindu yang membukit untuk orang tuaku itu. Pelukan kuleraikan.
            “Ayah...” panggilku sambil memandang ayah. Dia tersenyum memandangku. Lembut tangannya mengusap kepalaku. Masih tak berubah seperti dulu. Sayu terasa sang hati.
            “Kak long!”
            Aku menoleh ke arah angah dan adik. Kedua-dua adikku itu tersenyum riang memandangku. “Tak nak peluk kak long ke?” tanyaku mengusik. Serentak itu juga kedua-dua mereka berebut-rebut mendapatkanku. Aku tersenyum dalam sebak. Adik-adikku sudah besar sekarang. Jauh bezanya ketika aku meninggalkan mereka dulu. Rindunya aku dengan mereka semua...
            “Fiya sihat? Ada sakit-sakit tak? Okey perjalanan tadi? Jauh tu...” Ibu bertanya risau.
            “Okey, bu. Tak ada apa-apa yang buruk pun. Ibu jangan risau k...” kataku sambil memeluk bahu ibu.
            “Kak long ada bawak balik hadiah untuk adik tak?” Adikku yang bongsu itu tiba-tiba mencelah.
            “Hadiah?” Aku pura-pura terkejut. “Alaa... lupalah, dik. Sorry...”
            “Kak long memang tau! Tak nak kawan,” rajuknya.
            Aku tergelak. “Ni sejak bila pandai merajuk ni ha?” Pipinya yang agak tembam itu kucubit geram. Memang setiap kali berhubung melalui skype, dia asyik mengingatkanku tentang hadiah untuknya. Mustahil untuk aku lupa. Sengaja nak menyakat dia sebenarnya.
            “Mestilah kak long beli hadiah untuk adik-adik kak long,” ujarku kemudian, memujuk. Lebar sengihan di wajah angah dan adik.
            “Dah, dah... jom kita balik dulu. Esok-esok baru cerita pasal hadiah,” celah ayah tiba-tiba.
            “Betul tu. Ibu pun dah masak banyak tadi, semuanya untuk Fiya tau,” tambah ibu pula.
            “Ya ke? Waahhh... mesti best ni! Rindu nak makan masakan ibu,” ujarku manja.
            “Ibu tahu...” sahut ibu sambil tersenyum.
            Dalam perjalanan pulang, riuh kereta dengan cerita-cerita kami tiga beradik. Sempat juga aku perhatikan sekeliling. Sudah banyak perubahan yang berlaku. Lima tahun. Mungkin kedengaran sekejap bagi sesetengah orang, tapi itu sudah cukup lama untuk mengubah Kuala Lumpur menjadi lebih maju. Pun begitu, lima tahun juga masih belum cukup untuk aku menghapuskan perasaan yang sejak sekian lama merantai hati. Mana tidaknya, sekian lama ‘melarikan’ diri, hanya nama dia yang tetap terukir di hatiku.
            Kata ibu, aku pergi ke sana kerana ingin merawat hati yang luka. Kerana itulah sepanjang tempoh aku di sana, tak pernah sekali pun aku pulang ke sini. Cuti yang ada aku habiskan dengan melancong ke negara-negara lain bersama rakan-rakanku. Bukan tak rindu, tapi aku sanggup menepis perasaan itu hanya kerana hati aku belum cukup kuat untuk berdepan dengan kenyataan yang telah aku lalui.
            Entah bagaimana keadaan dia sekarang? Sihatkah dia? Bahagiakah dia? Paling penting, masih ingatkah dia tentang diriku ini? Atau namaku sudah terpadam terus dari kamus hidupnya? Ahh... peritnya menanggung rindu pada seseorang yang telah lama menghuni hatiku ini.
            Dua bulan lagi, majlis pernikahanku akan berlangsung. Aku bersetuju saja ketika ibu mengkhabarkan berita ada seseorang datang menghulur lamaran. Aku sudah beristikharah dan aku yakin memang itu yang terbaik untuk aku. Lagipun, bukankah restu orang tua itu yang penting? Walaupun aku mengenali bakal suamiku itu hanya pada nama, tapi kalau dah memang dia jodohku, aku yakin Allah akan meniupkan perasaan itu dalam hatiku juga nanti.
            Sampai di rumah, tiada lain yang kulakukan selain terus menjamu makanan yang terhidang. Rindunya aku dengan air tangan ibu. Usai makan, aku terus bawa masuk semua begku ke dalam bilik. Sambil duduk di birai katil dan memerhati sekeliling bilik yang telah lama aku tinggalkan, aku tiba-tiba teringatkan sesuatu. Lalu aku bingkas menghampiri almari.
            Aku yakin almariku ini tak berusik kerana itulah keadaan di dalamnya masih lagi sama seperti dulu. Perlahan-lahan aku menyelongkar baju-baju yang terlipat di bahagian bawah dan akhirnya menemukan aku pada sebuah buku berkulit tebal. Diari.
            Diari itu aku keluarkan. Kusapu habuk yang melekat pada kulitnya. Entah bagaimana harus aku ungkapkan perasaanku kala ini. Segala-galanya terasa memberat di jiwa. Kolam mataku basah tidak semena-mena. Perlahan helaian pertama diari itu aku selak.
            Masih seperti dulu. Kisah yang tercatat di dalamnya takkan pernah berubah walau bagaimana pun aku berharap ia akan terjadi. Kenangan yang tercipta bertahun-tahun dulu bagaikan tertayang semula di depan mataku. Setitis air mataku gugur juga untuk ke sekian kalinya...

~~~~~~~~~~


Assignment dah berlipat kali ganda bertambah2, test dan presentation pun dah makin memberatkan otak. Tapi daku akan cuba jugok sambung nanti. Terima kasih sebab sudi baca! *kalau ada la yang baca kan. :P *


~to be continued~


2 comments:

norihan mohd yusof said...

best!baru intro ciput jer but menarik dek,n nk gggg....

Anonymous said...

nak lagi.. best la.. kalau wat novel pun best gak

cik do

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...