++ Suntikan Semangat! ++

Friday, October 5, 2012

- Cerpen : Tersesat Menuju Hatimu (intro) -


Aku tersesat menuju hatimu
Beri aku jalan yang indah
Izinkan kulepas penatku
Tuk sejenak lelap di bahumu
Dapatkah selamanya kita bersama
Menyatukan perasaan kau dan aku
Semoga cinta kita kekal abadi
Sesampainya akhir nanti selamanya...

SEKEPING kertas yang masih dalam genggaman, aku letakkan perlahan-lahan di atas katil. Pandanganku kini terarah ke segenap sudut ruang kamar ini, kamar yang telah menjadi saksi cintaku bersama Fakhrul. Dan kini, kamar ini juga yang bakal menjadi saksi perpisahan dua hati yang saling mencintai. Perlahan, langkah kaki kuatur menghampiri pintu bilik. Beg yang terletak di tepi pintu itu aku bawa keluar bersama. Bagai ternampak-nampak setiap adegan yang pernah aku lalui bersama Fakhrul di segenap sudut rumah ini. Setiap gelak tawa, gurau senda dan suka duka kehidupan kami bersama.
          Aku menunduk menahan tangis. Kolam mataku basah tiba-tiba. Ternyata, aku gagal lagi dalam membendung perasaan sendiri. Mana mungkin aku mampu melupakan semuanya begitu saja? Aku tahu semua itu sukar. Teramat sukar bagiku. Tetapi apa lagi pilihan yang aku ada? Aku sudah tidak mampu lagi untuk terus bertahan di sini, mempertahankan mahligai yang boleh roboh bila-bila masa saja.
          Aku memegang dada yang terasa perit. Sekuat hati aku bertahan. Aku tidak mahu menangis lagi. Cukuplah selama ini aku menjadi teman setia sang air mata. Mulai saat ini, aku harus belajar untuk hidup tanpa dia di sisi. Langkah kuatur perlahan ke arah pintu rumah. Perlahan aku menguak daun pintu. Sebelum berpaling keluar, sempat aku menoleh sekali lagi, memerhati setiap sudut ruang dalam rumah itu. Seolah-olah mengharapkan dinding putih yang kaku itu akan menghalang langkah kakiku. Tersenyum pedih dengan kebodohan sendiri, aku akhirnya menguatkan hati untuk melangkah keluar.
          ‘Ya Allah... redailah pemergiaanku ini. Maafkan aku kerana terpaksa meninggalkan dia. Ini bukan pintaku... tapi aku tiada pilihan lain lagi...’


“DIA tahu?”
          Soalan Munirah itu aku jawab dengan gelengan lemah. Terdengar Munirah mengeluh. Sebelah tangannya mencekak pinggang sambil merenung wajahku.
          “Kau tahu tak apa kau buat ni? Kau sedar tak, Sha?”
          Aku angguk pula. Namun kepalaku masih lagi tunduk, tidak berani menentang renungannya.
          “Tapi dia tu suami kau! Kau sedar tak dosa seorang isteri keluar rumah tanpa izin suami?” Suara Munirah naik tinggi.
          Aku mengangkat muka. “Habis kau nak aku buat apa, Mun? Terus tinggal kat situ macam tunggul kayu?” Wajah Munirah kurenung dengan pandangan kabur. “Malam ni...” Suaraku tersekat-sekat. “Malam ni... dia akan nikah dengan Yurul. Atau mungkin aku patut kata... dia orang berdua dah pun sah jadi suami isteri?”
          Tiada jawapan daripadanya. Munirah melabuhkan duduk di depanku. Kalau tadi wajahnya tegang, kini wajah itu berubah redup, penuh dengan simpati. Dia menarikku ke dalam pelukannya. Air mata yang tadinya aku tahan, kini sudah tak terbendung lagi. Sepuas-puasnya aku menangis di bahunya.
          “Nangislah, Sha... aku ada kat sini untuk kau...”
          Esakanku makin kuat. Betapa peritnya menghadapi kenyataan suami yang aku cintai sepenuh hati sudah pun melafazkan kabul untuk mengikat gadis lain menjadi suri dalam hidupnya. Lebih menyakitkan apabila gadis itu adalah pilihan orang tuanya sendiri. Sedangkan aku? Aku ini isterinya. Isteri... yang tak pernah diiktiraf.
          Munirah meleraikan pelukan. Jemarinya menyapu air mata yang masih berlinangan di pipiku. “Buat masa ni, kau duduklah sini dulu. Lagipun aku duduk sorang aje lepas kau pindah dulu. Bilik kau dulu tu masih tetap akan jadi bilik kau.”
          Aku menunduk terharu. Betapa Munirah tetap sahabat terbaikku dunia akhirat. “Thanks, Mun. Aku tak tahu macam mana nak balas budi baik kau...” ucapku sebak.
          Munirah menggeleng kecil. Ada senyuman di bibirnya. “Dah, sekarang aku nak kau pergi masuk bilik, rehat. Tidur cukup-cukup, jangan fikir apa-apa lagi. Okey?”
          Aku mengangguk. Munirah kemudiannya bangun meninggalkanku di situ. Aku menoleh ke arah beg pakaianku yang terletak di tepi sofa. Fikiranku melayang mengingati Fakhrul. Apa yang sedang dilakukan sekarang? Risaukah dia dengan kehilanganku? Atau adakah dia sudah tidak peduli lagi tentang aku?
          Aku bangkit mencapai beg lalu masuk ke bilik yang sudah lama aku tinggalkan. Di atas katil, aku rebahkan badan yang terasa penat. Penat menangisi apa yang telah terjadi. Tanganku mencapai telefon bimbit dari dalam beg tangan. Telefon bimbit itu aku hidupkan setelah berjam-jam membiarkan ia mati. Serentak itu juga bertalu-talu SMS masuk ke telefon bimbitku. Berpuluh-puluh panggilan tidak dijawab. Semuanya daripada Fakhrul. Melihat namanya di skrin, air mataku tumpah lagi. Ya Allah... beratnya dugaan-Mu ini.

-Sayang... kenapa off phone? Tolonglah jawab call abang, I need you.

-Tolong jangan hukum abang macam ni. Percayalah, kalau boleh abang tak nak buat semua ni. Abang terpaksa. Please, Raisha sayang...

-Abang nak jumpa Sha tapi mama tak bagi abang keluar sampai malam ni. So please, answer my phone call.

-Malam nanti lepas dah settle semua abang janji akan balik sana. Tunggu abang.

-Sayang... where are you? Kenapa tak ada kat rumah? Sha pergi mana?

-Raisha... kenapa pergi tinggalkan abang macam ni? Tolonglah balik, sayang...

         Sungguh aku tak sanggup untuk membaca mesej-mesej yang seterusnya. Lantas laju jemariku memadam semuanya. Aku tak mahu dengar rayuannya, aku tak mahu ambil tahu lagi tentang dirinya. Semua itu akan membuatkan aku rasa tambah berdosa.
Teringat kenangan lalu. Ketika pertama kali aku bertemunya. Kami berkenalan dan bercinta dan akhirnya dia melamarku untuk menjadi suri hidupnya. Kedua-dua orang tuaku merestui perkahwinan kami tapi sebaliknya yang berlaku dalam keluarga Fakhrul. Mamanya menolak diriku mentah-mentah. Aku tak tahu kenapa. Oleh sebab itu, ibu dan ayahku memutuskan aku tidak boleh mengahwini Fakhrul selagi kami tak mendapat restu daripada mamanya. Bukan aku tak berusaha untuk melembutkan hati Puan Rokiah, tapi semuanya tetap gagal.
Lalu Fakhrul mengusulkan cadangan untuk kami bernikah di luar pengetahuan Puan Rokiah. Pada waktu itu, aku buta dalam menilai mana yang baik, mana yang buruk. Walau ibu dan ayahku membantah keras, aku tetap berdegil dengan keputusanku. Kerana keputusan itulah, aku nekad meninggalkan rumah ibu dan ayahku untuk mengikut Fakhrul tinggal di Kuala Lumpur. Aku tak endahkan rayuan dan tangisan ibu dan ayahku. Yang aku tahu, aku ingin hidup bersama Fakhrul, lelaki yang aku cintai sepenuh hatiku.
Memang kami bahagia. Fakhrul seorang suami yang sempurna untukku, tapi dia sering kalah apabila melibatkan mamanya. Pada awalnya aku faham apabila dia selalu melebihkan mamanya dalam setiap hal kerana aku sedar, mamanya sudah tidak punya siapa-siapa lagi di dunia ini selain dirinya. Tapi keadaan itu semakin lama semakin memburuk hingga ada kalanya aku merasakan, diriku ini tak bermakna apa-apa di mata Fakhrul. Pernah sekali, dia tidak datang menjengukku hampir sebulan. Alasannya, mamanya tak mengizinkannya keluar rumah dan pulang lewat malam lagi.
Tak lama selepas itu, dia datang padaku dengan satu berita yang telah menghancur-lumatkan sekeping hatiku ini. Puan Rokiah meminta dia menikahi Yurul, gadis yang sudah mendapat tempat di hati Puan Rokiah sedari dulu lagi. Bukan permintaan itu yang melukakan aku, sebaliknya persetujuan yang diberikan Fakhrul telah menoreh luka yang sangat dalam di hatiku. Betapa tegarnya dia memperlakukan aku begitu. Daripada mengakui bahawa dia sudah punya aku sebagai isterinya, dia lebih memilih untuk menuruti permintaan mamanya.
Sejak itu aku mula terfikir hala tuju hubungan yang kami bina ini. mungkinkah air mata yang menjadi teman setiaku sehari-hari ini kerana aku sudah menderhaka kepada ibu dan ayahku? Sejak itu juga, rasa rindu yang selama ini aku tanam dalam hati kembali membuak-buak. Benar, aku rindu ibu dan ayahku. Tapi aku belum punya kekuatan untuk berdepan dengan mereka lagi. Jika aku pulang, masih mahukah mereka memaafkanku dan menerima aku semula?
Puas aku berfikir, akhirnya ini keputusan yang aku ambil. Aku mahu pulang ke kampung, kembali meraih kasih ibu dan ayahku. Kalau perlu merayu, aku sanggup asalkan mereka sudi mengampunkan aku. Biarlah semua tentang Fakhrul aku noktahkan di sini. Aku nekad, tidak akan pernah kembali lagi padanya. Aku sedar betapa berdosanya aku kerana melukai suamiku sendiri, tapi aku tak punya pilihan lain lagi.

#-#-#-#-#


Ada ke yang baca? Kalau ada, mekasih banyak2. Actually tak sempat nak sambung cerpen ni disebabkan kekangan masa dan jugak kerosakan mood yang berlaku sejak 2 menjak ni. Tapi demi mengelakkan blog ni sunyi dan berhabuk, aku tampallah jugak hasil karya pendek ni. Sambungannya insyaAllah akan ada. Ya Allah, tolonglah bagi hamba-Mu ini kekuatan semangat. Aminnnnnn.


~to be continued~

9 comments:

dila dyna said...

alaaaaaaaaaa...ape pendek sgr ni ayu??? akak bru nk feeling2 haha...cis x gune pnye fakhrul!!!

Anonymous said...

Fakhrul tu x layak jadi suami. Dsj lah ajak menikah smbunyi tp x brani pulak btahu maknya. habis isteri ni apa nk jadi?

rieha farihah said...

lorrrrrrrrrr baru je nak berfeeling baca cerita ni.sekali to be continue la pulak.

Anayli Lieyanna said...

alaaa~ nak lagi .... x abiz feel lg . :(

Anonymous said...

laaa....baru nk feeling2.cepat2 smbung k

Aziela said...

Berilah kekuatan untuk Ayu, Amiin. Kami nie semua setia menanti nie Ayu. Fakhrul tu memang x layak jadi suami kalau tak dapat nak imbangkan tanggungjawab untuk ibu dan isteri. Cis..cis... (Tu lah, kawen lari kan..hihihihi. Opsss!)

u-nai said...

sambung3x....baru nak feeling, dah abis baca .....sambung ye :)

norihan mohd yusof said...

kekadang perkhawinan tampa restu ibubapa,payah utk menuju jalan bahgia...redha lah andai itu ketentuan nye...tapi caya hai sang isteri,ade hikmah di sebalik nye...come on lh fakhrul be gentle n fair lh pd ur wife.......sedeh lah dekkkkkkk n tk puas akak n ggggg panjang lh cikit dek ciput sngt!hehe

Anonymous said...

Ayumi....

Jgn lupa ya re upload continue cerpen ni ..
.kesian kak ita sb x tau kesinambungannya

Apa jdi dgn fakhrul dan raisha... Apakah pemergian raisha kosong tnpa benih cinta mrk...

P/s baca blk pm kita....hehehe

Rgds
Kak itasukri..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...