BEG besar yang aku
letakkan di atas lokar aku capai dengan kedua-dua belah tangan. Habuk yang
melekat pada kulit beg itu aku sapu menggunakan tuala kecil yang telah aku
basahkan sedikit. Kemudian zipnya aku tarik. Baju-baju yang tergantung di dalam
lokar aku keluarkan satu-persatu. Begitu juga dengan baju-baju yang terlipat di
bahagian bawah. Aku duduk di atas katil lalu mula melipat baju itu dengan
kemas. Kemudian baju-baju itu aku masukkan ke dalam beg.
Wah! Tak sabarnya nak balik kampung.
Seminggu saja lagi, hari raya Aidilfitri bakal menjelma. Tetapi bukan itu yang
aku kisahkan. Sebaliknya, hatiku disapa rasa sedih mengenangkan Ramadan bakal
meninggalkan aku dan semua umat Islam yang lain tidak lama lagi. Mungkin ada
yang tidak percaya kalau aku katakan aku tidak mahu berpisah dengan Ramadan,
tetapi itulah hakikatnya. Aku mungkin bukan orang-orang yang warak, tetapi
setiap kali tiba Ramadan, hatiku akan rasa tenang kerana aku tahu, pada ketika
inilah aku berpeluang melalukan ibadah dengan penuh ketenangan atas nama Allah
Yang Maha Esa.
Sedang aku ralit melipat pakaian
sambil menyanyi-nyanyi kecil, pintu bilik ditolak dari luar. Aku mengangkat
kepala memandang dua orang teman sebilikku, Ema dan Shila melangkah masuk.
“Dari mana?” soalku.
“Teman mak cik ni pergi library
tadi. Huh, penat!” Ema menjawab lalu merebahkan tubuhnya di atas katil.
“Alaa... kejap aje pun,” balas Shila
pula. Tudung di kepala ditanggalkan.
“Oh ya, Dina... tadi ada orang kirim
salam.” Ema bersuara sambil duduk tegak di atas katil. Tangannya menanggalkan
pin yang tersemat elok pada selendang yang menutup kepalanya.
Aku kerutkan dahi. “Siapa?”
“Cuba teka siapa,” ujar Ema.
Keningnya diangkat-angkat tinggi.
“Alah... aku malaslah main
teka-teka!” rengusku. Sungguh aku tak berminat langsung dengan cerita yang
dibuka Ema itu. Bukan jenisku melayan sesiapa saja yang mengirim salam dengan
cara begitu.
Ema mengerling ke arah Shila.
Keningnya diangkat, isyarat supaya Shila memberitahu siapa gerangan yang
mengirim salam itu kepadaku.
Shila mendekati lalu duduk di atas
katilku. “Irdina Safiya... kalau kau nak tahu, Zairil yang kirim salam kat
kau!”
Makin bertambah kerut di dahiku.
Zairil? Ohh, mamat tu. Bukan aku nak perasan atau apa, tapi dia memang
meminatiku. Tetapi aku tidak pernah melayan. Bukan kerana dia tidak kacak atau
apa, tetapi kerana hatiku sendiri belum terbuka untuk mengenali cinta.
Cinta? Bagi aku, biarlah cinta itu
hanya untuk Dia yang di atas sana.
“Macam tu aje?” Ema bersuara tidak
puas hati melihat reaksiku.
“Waalaikumussalam,” jawabku. Tanpa
mempedulikan mereka berdua yang jelas tidak puas hati dengan respon dinginku,
aku meneruskan kerja-kerja melipat pakaian.
Shila merengus. Kemudian dia kembali
semula ke arah katilnya. Ema pula merebahkan semula badannya di atas tilam.
Aku memasukkan baju-baju yang sudah
siap dilipat ke dalam beg. Buat seketika, aku termenung mengingati Zairil. Aku
tak pernah membenci lelaki itu. Malah lelaki itu tak pernah melakukan apa-apa
kesalahan terhadapku. Cuma... aku sendiri yang tidak dapat menerimanya.
Entahlah... Selama hampir 23 tahun aku hidup, aku belum pernah kenal apa itu
erti cinta sesama manusia. Aku akui aku bukanlah perempuan yang baik sangat
tetapi satu prinsipku, aku tak akan pernah jatuh cinta kepada mana-mana lelaki
sebelum tiba waktunya.
Walaupun kadang-kadang sikapku agak
nakal, tapi aku tetap akan pastikan hatiku tidak tercemar dengan noda cinta
yang belum pasti. Memang aku bukan jenis gadis alim yang bertudung labuh dan
berjubah setiap hari. Kalau ke mana-mana, aku lebih suka mengenakan seluar
jean, baju T bersama tudung bawal. Tetapi akan kupastikan seluar yang aku pakai
itu tidak ketat hingga boleh menampakkan bentuk kakiku, baju T yang aku pakai
haruslah longgar, berlengan panjang, tidak jarang dan labuh hingga melepasi
punggung, manakala tudung pula akan kulabuhkan hingga melepasi paras dada. Aku
juga lebih suka berkasut berbanding memakai selipar. Dengan cara itu juga,
aurat kakiku akan terlindung.
Mungkin kadang-kadang aku suka
berborak dengan rakan-rakan lelaki, tetapi aku masih tahu menjaga batas.
Tidaklah berbual sampai ada adegan bertepuk tampar. Perbualan pula lebih
menjurus ke arah hal pembelajaran dan kehidupan seharian. Tak sekali pun aku
cuba melencongkan perbualan kami ke arah yang tidak elok. Kalau ada mana-mana
lelaki yang mahu berkenalan denganku di internet, aku akan menerima selagi
hubungan itu tidak lebih daripada hubungan dengan seorang rakan. Pernah sekali
dulu, seorang lelaki menambah akaun Facebookku. Aku yang tak mahu berfikiran
negatif segera menerima permintaannya itu. Bermula dari saat itu, dia sering
menghantar mesej kepadaku. Bertanyakan diriku, di mana aku belajar, dari mana
aku berasal, dan bila perbualan itu semakin lama semakin ‘jauh’, aku bertindak
memadamkan namanya daripada senarai rakan-rakan Facebookku. Bukan bermaksud
untuk aku bersikap sombong, tetapi memang itulah aku.
Mungkin aku pernah melawan kata-kata
emakku, tapi setiap kali itu juga aku insaf dan memohon maaf daripadanya.
Mungkin juga dulu ada ramai lelaki yang aku minati ketika zaman persekolahan,
tetapi itu semua hanya terpendam di lubuk hati. Tak sekali pun aku ceritakan
kepada sesiapa kerana aku hanya menganggap semua itu sebagai mainan perasaan
dunia seorang remaja.
Aku sentiasa mengingatkan diriku
tentang satu hadis :
Maksudnya : “Sesiapa
yang jatuh cinta, kemudian menyembunyikannya hingga kematian datang
menjemputnya, maka dia adalah seorang yang syahid.” (Riwayat Hakim, Ibn Asakir,
al-Dailami, dan lain-lain).
Dan dalam satu riwayat yang lain
pula maksudnya :
“Sesiapa yang jatuh cinta, lalu dia
memelihara kesucian dirinya dan bersabar hingga meninggal dunia, maka dia
adalah seorang yang syahid.”
Menunganku punah sebaik saja suara
Ema menerjah gegendang telingaku.
“Jom pergi kafe! Kejap lagi dah nak
berbuka dah ni.” Ema pantas mencapai tudungnya. Begitu juga dengan Shila.
“Kau orang turunlah dulu. Aku nak
call mak aku jap,” jawabku lalu mencapai telefon bimbitku di atas meja studi.
AKU merenung ke luar
cermin tingkap. Suasana di luar sungguh gelap sekali. Bas yang aku naiki akan
membawaku pulang ke kampung halamanku di Kuala Terengganu. Sambil termenung
melayani lagu-lagu dari mp3, aku teringatkan rakan-rakanku di kampus. Sejak
akhir-akhir ini, mereka sering saja bercakap tentang jodoh. Almaklumlah, semester
terakhir kami akan tamat tak lama lagi jadi sudah ada antara mereka yang
merancang untuk mendirikan rumah tangga.
Aku?
Bagi seorang Irdina Safiya, sudah
aku tetapkan dalam hati aku hanya akan berkahwin selepas aku tamat belajar,
mendapat pekerjaan tetap, dapat membeli sebuah kereta dan rumah sendiri. Tetapi
di sebalik prinsip yang aku tegakkan itu, hati ini tetap tercuit setiap kali
mendengar cerita-cerita tentang perkahwinan. Aku akui hatiku ini masih belum
terbuka untuk mengenali cinta tetapi keinginan untuk berkahwin tetap tumbuh di
sudut hatiku. Kerana bagiku, bercinta selepas kahwin sudah pastinya lebih
indah, bukan?
Bukan tidak ada rakan-rakan lelaki
di kampus yang melamar aku, buktinya si Zairil itu. Tetapi mereka melamarku
untuk dijadikan sebagai teman wanita. Aku tidak mahu begitu. Aku mahu biarlah
hubungan yang bakal kubina itu halal di sisi Allah. Aku tidak mahu menambahkan
dosa yang ada. Selagi belum sampai masanya, biarlah aku terus bersendiri dengan
doa, Allah akan mempertemukan aku dengan seseorang yang boleh menjadi suami
buatku dan bukannya kekasih semata-mata.
Aku tahu aku tak sempurna, tetapi
aku mengharapkan seorang lelaki yang mampu menjadi imamku, yang mampu
membimbingku ke jalan yang benar. Selama ini aku menjaga harga diri, menghindar
segala perkara-perkara yang menghampiri zina kerana aku mahu menyerahkan semua
itu hanya kepada suamiku seorang. Bukankah wanita yang baik itu hanya untuk
lelaki yang baik?
Allah sudah berjanji dalam surah
al-Nur :
Maksudnya : Dan
wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang
baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). (Surah al-Nur 24 : 26)
Lama
berkhayal, aku akhirnya terlelap. Ketika lampu di dalam bas dihidupkan, barulah
aku kembali membuka mata. Jam di tangan aku toleh. Sudah pukul 5.00 pagi. Aku
terus melangkah turun dari bas. Selepas mengambil begku dari tempat menyimpan
barang, aku berlalu mendapatkan sebuah bangku. Telefon bimbit aku keluarkan
dari beg sandangku untuk menghubungi ayah.
“Assamualaikum,” sapa ayah di hujung
talian.
“Waalaikumussalam. Ayah, Dina dah
sampai ni. Dah ada kat terminal,” ujarku.
“Okey, kejap lagi ayah datang
ambik.” Lalu talian dimatikan.
Sementara menunggu ayah datang
menjemput, aku mengeluarkan bekas plastik dari dalam beg. Mujurlah aku sudah
membawa bekal untuk sahur kerana bimbang tidak sempat bersahur di rumah. Walaupun
hanya sekadar roti yang sudah disapu jem, itu sudah cukup untukku. Bukankah
sahur itu sunnah? Walaupun tidak diwajibkan, tetapi ia sangat-sangat digalakkan.
Aku ingat lagi kata-kata seorang ustaz.
“Nabi Muhammad S.A.W. ada bersabda :
Beza antara dan puasa kita dan puasa
Ahli Kitab adalah makan sahur. (Riwayat Muslim).
Maka, kita berpuasa kerana ingin
mengabdikan diri kepada Allah dan melakukan apa yang disukai-Nya pada bulan
Ramadan ini, maka ikutilah sunnah Nabi Muhammad S.A.W. termasuklah bersahur.
Besarnya rahmat Allah, sehingga seseorang yang bangun bersahur agar dia
bertenaga esoknya ketika berpuasa, dihitung sebagai ibadah yang diberi
ganjaran.”
Nampak saja kereta ayah berhenti di
depan kawasan hentian bas, aku segera mengangkat beg dan mendapatkan kereta
itu.
SAMPAI di rumah, aku
masuk ke bilik. Berehat-rehat seketika di atas katil sementara menanti azan
Subuh berkumandang. Surau di kampung ini dekat saja dengan rumahku, jadi aku
mampu mendengar azan yang dilaungkan dengan jelas, apatah lagi pada waktu pagi
begini.
Baru saja meletakkan kepala ke
bantal, azan Subuh kedengaran syahdu. Entah kenapa, hatiku bagai tersentuh
mendengar suara yang melaungkan azan itu. Lenggoknya cukup merdu sekali. Hatiku
bagaikan dipukau untuk seketika.
Siapa yang melaungkan azan itu?
Kenapa selama ini aku tidak pernah mendengar suaranya? Kenapa baru kali ini
suaranya singgah di telingaku, hingga meninggalkan kesan yang mendalam dalam
hatiku?
Menyedari fikiran dan perasaanku
sudah jauh melencong, aku pantas beristighfar. Setiap laungan azan itu aku
sambut perlahan. Habis saja azan dilaungkan, aku segera turun dari katil.
Tanganku mencapai tuala sebelum terus menghilang ke dalam bilik mandi. Aku mahu
membersihkan diri terlebih dahulu sebelum sujud menghadap-Nya.
BERBUKA dengan
keluarga memang merupakan saat yang aku tunggu-tunggu. Sekali lagi azan yang
berkumandang bagai menyejukkan seluruh hatiku. Tidak keterlaluan aku katakan,
aku hampir terkhayal mendengar suara yang sangat merdu itu. Aku tertanya-tanya
sendiri, siapa dia di sebalik suara itu? Siapa dia yang melaungkan azan itu?
Siapa dia?
Sedikit hairan, kenapa suaranya
tidak kedengaran ketika azan Zuhur dan Asar tadi?
“Dina... menung apa lagi tu? Dah
masuk waktu ni. Nah, ambik kurma ni.”
Emak menegur sekali gus membunuh
lamunanku. Aku pantas mencapai sebiji kurma di tangannya. Ya Allah... betapa
jauhnya aku berkhayal hingga tertangkap oleh emakku sendiri. Tidak. Tidak
sepatutnya aku membiarkan diriku hanyut begitu, apatah lagi dalam bulan Ramadan
yang mulia ini. Siapa pun dia, dan betapa tertariknya hatiku ini padanya, aku
tidak boleh mencemarkan bulan yang penuh barakah ini dengan perasaan yang masih
belum pasti.
Selesai mandi dan menunaikan solat
Maghrib, aku berjalan beriringan dengan emakku menuju ke surau untuk menunai
solat Isyak dan juga solat sunat Tarawih. Dan sekali lagi malam itu, hatiku
terpaut mendengar suara yang melaungkan azan. Bukan saja azan yang dilaungkan,
malah suara yang sama juga yang mengimamkan solat kami semua malam itu.
Walaupun suaranya itu mampu menggetar jiwaku, aku tetap berusaha sesungguh hati
untuk khusyuk dalam setiap rakaat solat yang aku lakukan.
Selesai mengaminkan doa, aku menyalami
tangan jemaah-jemaah wanita yang lain. Kemudian aku mengikut langkah emak turun
dari surau. Ketika mahu menyarung selipar, mataku tiba-tiba terpandangkan
seorang lelaki sedang berdiri di depan pintu surau sambil berbual-bual dengan
beberapa jemaah yang lain. Memandang wajah lelaki itu, aku bagaikan terpegun
seketika. Wajahnya yang kacak dengan senyuman manis terukir di bibir, dan juga
air mukanya yang bagaikan bercahaya itu menggetarkan hati Hawaku.
Ya Allah... tak pernah lagi aku
merasakan perasaan sebegini terhadap mana-mana lelaki yang pernah aku jumpa.
Siapa dia? Kenapa dia terlalu menarik hatiku?
“Dina... tunggu apa lagi ni? Jomlah
balik.”
Suara emak sekali lagi membunuh
khayalanku. Terperangkap dengan kegugupanku, aku lantas mengukir senyuman
sambil menggelengkan kepala. “Tak ada apalah, mak. Jom balik.” Giliran aku pula
yang mengajak.
Emak mengerutkan dahinya
memandangku. “Betul ke Dina ni? Kenapa mak tengok lain macam aje kamu ni?”
Jelas riak curiga terpeta pada wajahnya.
Aku menggeleng lagi, tetap cuba
menafikan tekaannya itu. “Betul, Dina tak apa-apa. Jomlah balik, mak.” Lalu
lengannya aku paut sebelum kami sama-sama berjalan pulang ke rumah.
Sambil berjalan, otakku masih tidak
mampu memadamkan seraut wajah yang bagaikan sudah terakam kemas dalam fikiran.
Menyedari diriku sudah jauh berkhayal memikirkan lelaki yang bukan muhrimku,
aku cepat-cepat beristighfar dalam hati. Tidak sepatutnya aku membiarkan
perasaan itu menguasai diri hingga melalaikan diriku sendiri.
PETANG keesokannya, aku
mengikut emak ke bazaar Ramadan. Aku berjalan beriringan dengannya dari satu
gerai ke satu gerai. Tidak tahu apa yang harus aku beli, lalu aku hanya
mendiamkan diri. Menanti penuh sabar sehinggalah emak selesai membeli kuih-muih
untuk berbuka nanti.
“Assalamualaikum, Mak Cik Yati.”
Tiba-tiba satu suara menegur. Aku
tersentak. Suara itu... Tidak sempat otakku cuba mencerna siapa pemilik suara
itu, suara emak sudah pun menyahut.
“Waalaikumussalam. Eh, Elman. Buat
apa kat sini? Tak kerja ke hari ni?” Ramah sekali suara emak kedengaran.
Aku menoleh ke sisi. Dan alangkah
terkejutnya aku pabila melihat lelaki yang aku nampak di surau malam tadi
sedang tercegat berdiri di sebelah emak. Wajahnya manis sekali dengan senyuman
di bibir. Aku terpegun di situ. Pesona pada dirinya membuatkan aku tidak mahu
berpaling ke arah lain walaupun sesaat.
“Kerja, mak cik. Tapi bulan-bulan
puasa ni memang saya balik awal sikit daripada biasa. Lagipun tadi mak saya
yang suruh datang sini beli kuih untuk berbuka nanti,” jawab lelaki yang
dipanggil Elman oleh emak itu.
Elman... Nama itu kubisikkan
perlahan dalam hati. Suaranya... Adakah dia yang melafazkan azan dan
mengimamkan solatku di surau malam tadi?
“Ohh ya ke...”
Kata-kata emak yang seterusnya sudah
tidak aku dengari lagi kerana mindaku sibuk memikirkan siapakah gerangan lelaki
yang bernama Elman ini. Memandang dirinya, aku terasa seluruh ruang hatiku
bagaikan disimbah salju. Dinginnya terasa...
Namun, dia langsung tidak menoleh
pandang ke arahku. Sama ada dia tidak nampak aku di sini, ataupun dia memang
tidak mahu memandang. Mustahil dia tidak nampak kelibatku di sini. Bukankah aku
sedang berdiri tegak di sebelah emak?
Ternyata, dia terlalu menjaga
pandangannya. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arahku membuatkan aku malu
sendiri. Betapa mata ini terlalu asyik menilik wajahnya, hingga aku lupa segala
rasa malu. Ya Allah... ampunkan kelalaian aku tadi, bisikku dalam hati.
“Okeylah, mak cik. Saya minta diri
dulu ya?” Dia meminta diri tidak lama kemudian.
“Yalah,” balas emak pula.
Aku hanya mengerling dengan ekor
mata. Sebaik saja kelibatnya menghilang, barulah aku menghalakan pandanganku ke
wajah emak. Asakan hati tidak dapat kutahan lagi. Aku benar-benar mahu tahu
siapa dia dan bagaimana emak boleh mengenalinya.
“Mak... siapa tadi tu?” Aku bertanya
tanpa bertangguh.
“Ohh... tadi tu? Tulah Elman Yazeed,
anak Mak Cik Azizah yang baru pindah ke kampung kita tu,” jawab emak.
Aku terdiam. Sekali lagi namanya
kubisik perlahan dalam hati. Elman Yazeed... Anak Mak Cik Azizah? Ohh, patutlah
aku tidak pernah nampak dia sebelum ini. Rupa-rupanya dia baru saja berpindah
ke kampung kami. Persoalan yang bermain di benakku kini sudah berjawab.
“Kalau Dina nak tahu, dialah yang
imamkan solat Isyak dan Tarawih kat surau tahun ni. Muda lagi orangnya, tapi
dah mampu jadi imam. Sejuk perut mak dia mengandungkan dia...”
Kata-kata emak itu makin meyakinkan
aku akan telahanku tadi. Aku pasti, dia bukan saja imam di surau, tetapi dia
juga yang melaungkan azan setiap kali waktu Subuh, Maghrib dan Isyak. Mungkin
kerana pada waktu siang dia bekerja, maka dia tidak berkesempatan untuk memikul
tugas mengazankan waktu Zuhur dan Asar. Aku berandaian sendiri. Tanpa sedar,
bibirku menguntum senyuman manis.
AKU termenung sendiri
di bilik selepas pulang dari surau malam itu. Fikiranku tidak habis-habis
membayangkan wajah Elman. Bukan cuma wajahnya, tetapi juga suaranya. Tidak
dapat aku nafikan, peribadinya benar-benar menarik hati, memikat jiwaku.
Ya Allah... aku sudah jatuh cinta!
Ya, aku akui memang aku sudah jatuh
cinta. Perasaan yang aku membuai hatiku ini tidak pernah aku rasai terhadap
mana-mana lelaki yang aku kenali. Aku yakin aku tidak silap dalam menilai hati
sendiri. Memang hatiku kini sedang dilamun cinta kepada Elman Yazeed.
Aku meraup tapak tangan ke muka. Ya
Allah... apa yang harus aku lakukan sekarang? Aku tidak mahu hanyut dalam
perasaan ini. Aku takut kalau-kalau perasaan ini salah. Dan paling aku takut,
kalau-kalau dia bukan jodohku.
Dalam kebimbangan hati, aku
terpandangkan sebuah buku yang terletak elok di atas meja. Buku itu aku capai.
Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul karya Fatimah Syarha Mohd Noordin.
Kalau tidak silap, buku itu sudah lama aku beli tetapi belum berkesempatan
untuk membacanya. Lalu, aku meniarap di katil. Helaian pertama aku selak
sebelum aku terus hanyut menghayati kisah yang tertulis dalam buku itu.
Ralit membaca, aku tidak sedar bila
masanya aku terlelap. Sebaik terjaga, jarum jam sudah menghala ke pukul 3.00
pagi. Aku lantas bangkit dari baringan. Setelah berfikir-fikir seketika,
akhirnya aku memutuskan untuk menunaikan ibadah Qiamullail. Aku akui sebelum
ini aku belum pernah melakukan ibadah itu walaupun aku tahu tentangnya. Lalu
aku terus turun dari katil dan melangkah menuju ke bilik mandi untuk mengambil
wuduk.
Pada sujud terakhir dalam Tahajud,
aku memohon dengan setulus hati agar hatiku ini sentiasa tenang melalui apa
saja. Juga aku memohon, andai Elman memang diciptakan untukku, semoga Allah
melorongkan jalan untuk kami bersatu. Andai benar dia untukku, satukanlah
hatiku ini dengan hatinya. Namun andai dia bukan untukku, maka Kau bantulah aku
untuk menghapuskan segala rasa ini dari hati sebelum perasaan ini semakin
bercambah untuknya.
Sesungguhnya, aku hanya mahu cinta
dalam hatiku ini untuk insan yang mencintai Allah. Dan juga aku berharap moga
insan yang mencintaiku juga mencintai Allah melebihi segala-galanya di dunia
ini.
Aku
titipkan juga hembusan doa pengasih yang pernah diajar oleh Rasulullah S.A.W..
Maksudnya
: Ya
Allah jadikanlah hamba-Mu ini menyintai orang yang beriman dan jadikanlah orang
yang beriman menyintaiku. (Riwayat Muslim).
Selesai
bersolat Witir, aku mencapai naskhah al-Quran. Dalam kedinginan dinihari, aku
melagukan bacaan-bacaan kitab suci itu dengan penuh khusyuk. Tiada lain yang
aku harapkan melainkan hanya reda-Nya.
TARAWIH terakhir aku
tunaikan dengan penuh rasa sayu. Sayu... seolah-olah ini kali terakhir aku
berpeluang menunaikan solat itu. Sesungguhnya, hati ini terlalu berat mahu
melepaskan Ramadan kali ini pergi. Dalam kesyahduan hati, mataku sempat lagi
mencuri pandang ke arah Elman. Dia tetap dengan senyumannya, ralit berbual
dengan para jemaah lelaki tanpa sikit pun menoleh ke arahku.
Aku menundukkan kepala. Terasa
malunya diri ini, seolah-olah hanya aku yang memasang angan yang tinggi
sedangkan dia tidak pernah sekali pun peduli akan kehadiranku.
Aku berserah kepada Allah S.W.T..
Andai benar ada jodoh antara aku dan dia, aku berdoa semoga Allah menunjukkan
jalan kepadaku. Tetapi kalau tidak, aku reda dengan ketentuan-Nya. Mungkin ini
merupakan sebahagian daripada ujian Allah untuk menguji seteguh mana iman dalam
diriku ini.
Hari raya menjelang juga akhirnya.
Selepas menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri, aku mula sibuk dengan
urusan di rumah. Aku mengaku bukanlah pandai sangat memasak. Masakanku masih
belum dapat menandingi masakan emak. Tetapi aku tetap menyumbang tenaga dalam
menyediakan juadah pada pagi raya itu. Dalam kemeriahan yang dirasai, aku tidak
mahu perasaan kecewa dalam diri ini mencemarkan semuanya. Bersama senyuman di
bibir, aku menyambut kedatangan tetamu-tetamu yang bertandang.
TIBA hari raya yang
ketiga, aku mengikut kawan-kawanku mengadakan ‘konvoi raya’ dari rumah ke
rumah. Seronok menghabiskan masa dengan mereka semua hingga aku terlupa
seketika tentang Elman. Tiada guna aku terus memasang angan-angan yang belum
pasti. Aku tidak mahu terlalu berharap kerana takut nanti aku juga yang akan
terluka.
Pulang ke rumah petang itu, aku
dikejutkan dengan satu berita oleh emak. Mendengar kata-kata yang keluar dari
mulut emak, duniaku bagaikan berhenti berputar untuk seketika.
“Tadi keluarga Mak Cik Azizah datang
merisik Dina.”
“Untuk siapa, mak?” Jantungku sudah
mula berdegup kencang.
“Untuk anak dia, Elman Yazeed.”
Aku terdiam tanpa suara. Elman
Yazeed? Benarkah rombongan itu datang merisikku untuk Elman? Benarkah?
Sesungguhnya, aku tidak dapat menyembunyikan perasaanku yang pastinya ketika
ini sangat gembira. Elman Yazeed...
Aku tidak segera memberikan jawapan
sebaliknya aku meminta tempoh masa untuk berfikir. Dalam solat Istikharah, aku
memohon agar Allah memberi petunjuk kepadaku jalan mana yang harus aku pilih.
Mimpi indah menemani tidurku. Aku
yakin inilah petunjuk daripada Allah Yang Maha Esa. Dalam hati, aku mengucap
syukur kerana Dia akhirnya menemukanku dengan seorang lelaki yang beriman, yang
mampu menjadi imamku dan membimbingku agar terus berada di jalan-Nya.
Selepas seminggu beraya, tiba
masanya untuk aku pulang semula ke kolej. Sebelum pulang, keputusan yang telah
aku buat, aku suarakan kepada emak dan ayah. Ternyata mereka berdua gembira
kerana aku menerima lamaran yang dihantar. Aku pula, sudah pastinya lebih
gembira daripada mereka berdua kerana orang yang aku cintai dalam diam,
rupa-rupanya merasai perasaan yang sama denganku.
Kata ayah, biarlah kami berdua
bertunang dahulu. Mengikut apa yang baru dirancang dalam kepala, pertunangan
kami akan dilangsung dalam masa sebulan dari sekarang. Dan sebaik saja semester
terakhirku tamat, kami berdua akan dinikahkan.
Begitulah... Walaupun Elman tidak
pernah mengenaliku secara rapat, tetapi Allah telah menggerakkan hatinya untuk
datang menghulur lamaran. Rasullah S.A.W.. bersabda bermaksud :
“Jika Allah memasukkan ke dalam hati
seseorang keinginan untuk melamar seorang wanita maka dibolehkan baginya
melihat wanita tersebut.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah).
Dalam
perjalanan pulang ke kampus menaiki bas, aku termenung sendiri sambil merenung
ke luar cermin tingkap. Senyuman manis menghiasi bibirku. Aku tidak kisah
berjauhan dengannya, kerana berjauhan begini lebih selamat, boleh mengelakkan
fitnah dan juga perkara-perkara yang menjurus ke arah penzinaan. Bukankah
bercinta selepas kahwin itu lebih manis dan indah?
Inilah
anugerah Ramadan daripada Allah S.W.T.. untukku. Anugerah terindah dalam
hidup... yang tak mungkin akan dapat aku rasai tanpa keizinan daripada-Nya.
Alhamdulillah...
TAMAT.
Terima kasih sudi luangkan baca cerpen ni. Mintak maaf kalau ada salah info atau salah apa2 kat dalam ni. Saya masih belajar lagi dan lepas ni insya-Allah akan ada lagi cerita yang diselitkan dengan nilai islamik macam ni. :)
~end



8 kata-kata comel:
Ayu, I really do not know how you do it. You do have magic in words. Tak ada romance scene pun dalam cerpen nie, but it is indeed the most romantic touch that I've ever felt from you. Eh, baca cerpen Melayu, komen in English pula. Sorry yer sayang...
Anyway, this is really a gem.
Kak Aziela ... ohh, terima kasih kak. Rasa nak guling2 ni. Terharu sangat2. heheeee. Tu semua ilham daripada Allah, ayu cuma tulis apa yang Dia sampaikan. Harap2 boleh bagi 'sesuatu' untuk orang lain dan ayu sendiri. Thanks tau kak. :')
One more thing dear.. akak sharekan pasal cerpen nie dalam blog akak..heheheheehe
Ohh takpe.. dah tengok dah tadi. hehee. thank u kak! :D
Sweet stroy . . 3x baca tuu ringkas tapi menarik .
hehe.. terima kasih :)
kak ayumi!!!! best cite akak??? terharu dengan bait2 ayat akak..
raye thun nie blik mne kak?? xD
Ohh.. jangan terharu sgt. ehek~ Raya ganu la dik , mana lagi. hehee
Post a Comment