++ Suntikan Semangat! ++

Thursday, July 19, 2012

- Status Hati : Dia Milikku 42 -

Assalamualaikum...

Hai2... Salam Ramadan untuk semua :-) Esok dah nak puasa, kan? Jadi, ni nak bagi n3 special sempena bulan puasa ni. SHDM bab 42. :-)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


SEHARI sebelum Ramadan, Kirana pulang ke Kuala Terengganu. Sengaja pulang kerana sudah lama tidak menemui emak dan adik-adik. Ketika dia sampai, kelihatan hanya Khalif yang sedang menonton TV di ruang tamu. Adiknya itu segera menyalami tangannya dan mengangkat begnya masuk ke dalam bilik.
            “Mak mana, dik?” tanya Kirana sambil melabuhkan duduk di atas sebuah sofa. Selendang di kepalanya ditanggalkan.
            Khalif kembali baring di depan TV. “Mak pergi rumah mak long, dia kata nak bincang pasal majlis kahwin kak long,” beritahunya.
            “Majlis kahwin kak long?” Muka Kirana berkerut.
            “Yalah… Mak long kan pandai buat hantaran-hantaran tu semua. Mak nak bincang dengan dialah,” jawab Khalif lagi.
            “Ohh…” Kirana terangguk-angguk. Nampaknya, emak bersungguh benar membuat persiapan padahal masih ada lima bulan setengah sebelum tarikh perkahwinannya tiba. “Kak ngah tak balik ke?” soalnya bila teringatkan adik keduanya itu.
            “Malam sikit kut baru balik.” Mata Khalif tidak lepas-lepas menghadap skrin TV.
            Kirana bangun melangkah ke arah pintu rumah. Kebetulan ketika itu dia ternampak kelibat emak sedang melenggang masuk ke halaman rumah. Kirana menanti hingga emak sampai di depan pintu rumah, kemudian tangan orang tua itu dikucup hormat.
            “Dah lama sampai?” tanya Kamariah.
            “Baru aje. Mak buat apa kat rumah mak long?” Kirana mengikuti langkah emaknya ke ruang tamu. Dilabuhkan duduk di sebelah emaknya itu.
            “Bincang pasal barang hantaran kamulah. Bila nak pergi beli barang-barang tu semua?” Kamariah menghela nafas, melepaskan penat kerana berjalan kaki ke rumah kakaknya yang tidaklah sejauh mana.
            “Tak tahu lagi. Tengoklah nanti bila tak sibuk,” jawab Kirana. Seraut wajah Edryzal terbayang-bayang di matanya.
            “Sya dengan Edry okey ke?” Kamariah mula mengorek rahsia.
            “Okey? Maksud mak?”
            “Kamu berdua tak ada gaduh-gaduh ke? Mak bukan apa, risau jugak kalau hubungan kamu berdua tak okey. Mak ni dah berangan-angan dah nak dapat menantu. Jiran-jiran kita semua mak dah bagitahu. Jangan nanti tak jadi… sudahlah ya?” Kamariah mengingatkan. Harapannya, semoga tali pertunangan Kirana dan Edryzal akan terus tersimpul mati dalam ikatan pernikahan.
            Kirana diam. Sebagaimana besar harapan emak, begitulah juga harapannya. Tetapi hingga ke saat ini, Edryzal tidak pernah sekali pun mengucapkan sayangnya. Hanya sesekali ditunjukkan melalui perbuatan, itu pun lebih banyak yang mengecewakan. “Mak doakan ajelah hubungan Sya dengan dia kekal eh?” pinta Kirana sambil tersenyum.
            “Mak selalu doakan anak-anak mak, terutama Sya ni haa. Anak sulung mak… mestilah mak harapkan yang elok-elok, boleh jadi contoh pada adik-adik,” balas Kamariah. Rambut Kirana yang panjang melepasi paras bahu diusap-usap.
            Khalif tiba-tiba bangun, duduk menghadap emak dan kakaknya. “Alif pun dah teringin sangat nak ada abang. Boleh ajak tengok bola sama-sama nanti.” Dia tersengih menayangkan giginya yang putih kepada Kirana.
            Kirana mencemik. “Tengok TV aje kerjanya. SPM dah tak lama, kan? Pergi study!” arahnya pura-pura marah. Padahal hati cukup senang dengan penerimaan adik bongsunya itu.
            Khalif spontan mencebik.
            “Dah maghrib ni, pergilah mandi, lepas tu solat,” suruh Kamariah pada kedua-dua anaknya itu.
            Khalif mematikan suis TV sebelum menghilangkan diri ke dalam biliknya. Telefon rumah yang tiba-tiba berdering mengejutkan Kirana yang baru membuka langkah untuk ke bilik. Terus telefon itu dihampiri. “Helo, assalamualaikum…”
            “Waalaikumussalam… kak long ke? Kak long, kak long datang ambik Lia boleh tak? Lia nak balik malam ni. Nak puasa kat rumah esok.” Cepat saja ayat-ayat itu meluncur keluar dari mulut Kamalia.
            “Hai… biasanya balik dengan apa?”
            “Malaslah nak naik bas. Pleaselah…” Kamalia melembutkan suaranya, memohon simpati.
            “Yalah, yalah… Nanti lepas maghrib kak long pergi ambik,” putus Kirana.
            “Okey, kak long memang baik. Sebab tu Abang Edry sayang. Peace!” Kamalia terus mematikan talian.
            Kirana meletakkan gagang di tempatnya. Sejenak, kata-kata Kamalia tadi melintas di ruang fikiran. ‘Sebab tu Abang Edry sayang’. Alangkah indahnya kalau semua itu benar…


“SYA!”
            Panggilan yang disertai ketukan di pintu bilik itu mengejutkan Kirana yang masih dibuai mimpi. Kirana menggenyeh-genyeh mata yang layu. Dia berusaha melawan rasa kantuk dan bangun dari baringan.
            “Sya, bangunlah. Sahur,” laung Kamariah dari luar bilik.
            “Ya, mak. Nanti Sya keluar,” balas Kirana. Terdengar derap tapak kaki emak meninggalkan biliknya. Kirana turun dari katil sambil membetulkan rambut. Lampu dihidupkan. Telefon bimbit yang terdampar di atas katil dicapai. Berkira-kira mahu menghubungi Edryzal. Lelaki itu bangun sahur atau tidak? Nombor telefon Edryzal didail. Agak lama menanti, barulah panggilannya berjawab.
            “Hmm…” Lemah kedengaran suara Edryzal. Kirana tahu pasti lelaki itu sedang enak dibuai mimpi.
            “Edry, bangunlah… dah waktu sahur ni,” ujar Kirana. Dia yakin, pasti Auntie Dahlia sudah menyiapkan makanan untuk sahur cuma Edryzal yang malas bangun untuk turut serta.
            “Malaslah…” Hanya itu balasan Edryzal.
            “Bangunlah… sahur kan sunat?” pujuk Kirana. Sebagai tunang, dia berasa bertanggungjawab menegur lelaki itu biarpun ada kalanya tindakannya sendiri di luar batasan.
            Edryzal mengeluh. “Aku mengantuk…”
            “Kalau ikut mengantuk, semua orang pun mengantuk. Saya pun mengantuk. Tapi tak bolehlah macam tu. Bangunlah, please…” Nada suara Kirana sungguh lembut sekali.
            Edryzal menghela nafas. Kalah dengan rayuan Kirana. “Yalah, aku bangun…”
            Kirana tersenyum. “Macam tulah. Sayang awak! Bye!” Cepat-cepat talian dimatikan. Telefon bimbit dicampak ke atas katil sebelum berlalu keluar menuju ke dapur.


SEDANG asyik menonton TV bersama Kamalia di ruang tamu, Kirana terdengar suara emak melaung memanggil namanya. Lekas-lekas dia bangkit dan berjalan menuju ke dapur. “Ada apa, mak?”
            “Mari sini, tolong mak masak. Orang nak kahwin ni tak boleh dah nak malas-malas. Kena rajin buat kerja rumah, masak untuk suami. Air tangan isteri tu penambat hati suami,” celoteh Kamariah sambil tangannya cermat memotong sayur.
            Kirana menghampiri emak yang berdiri di sisi meja. “Yalah… Sini Sya potongkan,” pintanya sambil menghulur tangan pada emak.
            Pisau dan sayur bertukar tangan. “Nanti mak nak Sya masak satu lauk. Lauklah apa-apa pun, untuk kita berbuka nanti.”
            Kirana mengangguk. “Mak, mak bagilah sikit tips-tips untuk orang yang nak kahwin ni, mak…” Kirana tersengih memandang emak. Sengihan yang penuh erti. Dia yakin, emak pasti tidak lokek menurunkan ilmu.
            Kamariah menarik kerusi dan duduk di depan Kirana. “Orang kahwin ni, Sya… kenalah banyakkan bersabar. Isteri kena ikut semua cakap suami. Apa yang suami suka, itulah yang kita kena buat. Bila suami balik kerja kenalah sambut. Sambut tu pulak… mestilah dengan senyuman, pakai lawa-lawa. Hilang penat suami tu bila tengok isteri dia lawa untuk dia…”
            Kirana mendengar dengan tekun setiap patah kata yang keluar dari mulut emaknya.
            “Kalau nak keluar rumah, mintak izin suami dulu. Edry bagi tak Sya kerja nanti?” Kamariah bertanya sambil merenung wajah Kirana.
            “Dia cakap… tak bagi Sya buat Jejak Santai tu. Tapi entahlah, tak bincang betul-betul pun lagi.” Mata Kirana lurus menatap pisau di tangan. Teringat luahan spontannya awal pagi tadi. Rasa-rasanya, itu kali pertama dia mengucapkan sayang pada lelaki itu. Entah apalah yang difikir Edryzal, dia sendiri tidak tahu. Tidak berani ambil tahu.
            “Kalau dia tak bagi kerja, Sya tak payahlah kerja. Tapi kalau Sya nak kerja jugak, bincang elok-elok dengan dia. Lagi satu, bila dah kahwin nanti jangan senang-senang sangat nak keluar jumpa lelaki lain. Jaga batas pergaulan. Jangan terlampau mesra dengan lelaki lain sampai buatkan dia cemburu. Memanglah cemburu tu tandanya sayang, tapi kalau dah keterlaluan sangat… nanti tak pasal-pasal rumah tangga pulak yang tergadai,” tambah Kamariah lagi panjang lebar.
            Kirana mengangguk-angguk faham. Bila dia sudah sah menjadi isteri Edryzal nanti, akan dipraktikkan segala apa yang diberitahu emak. Dia berjanji akan cuba menjadi isteri yang baik. Cuma masalahnya… bahagiakah perkahwinannya nanti jika hingga ke saat ini Edryzal masih lagi dingin dengannya?



*-*-*-*-*

Okeyyyy... sorry kalau n3 ni tak memuaskan hati uolls. Sorrryyyyy sangat3. Esok kan dah puasa, tak elok tau nak marah2. hewhew~ K next time update lagik k! Thank youuuu. for reading. :-D


~...




2 kata-kata comel:

Aziela said...

Akak suka..akak suka. Sweetnya Edryzal tu bila kalah dengan rayuan Kirana. Sanggup juga dia bangun. Tu dah tanda sayang dah tu...

[AYUMI SYAFIQAH] said...

Kak Aziela ~ hehehe... Sweet kan dia? hik3.. perasan >__<

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
... BioLa Tak BeRdawAi ... Blogger Template by Ipietoon Blogger Template