++ Suntikan Semangat! ++

Friday, July 6, 2012

- Kau Pemilik Hati... Bawaku Ke Syurga -

Kesinambungan kisah Zafril dan Qarissa... ditulis sepenuh hati dan seikhlas jiwa. Semoga dapat beri para pembaca pengajaran walaupun sebesar kuman. Maaf untuk segala salah silap, sesungguhnya saya pun hamba-Nya yang tidak sempurna dan masih banyak lubang di sana sini... Hayati kisah ni dengan mata hati... semoga dapat merasai mesej yang cuba saya sampaikan... :-)


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


AKU tersenyum memandang kuah tomyam yang sudah siap dimasak di dalam periuk. Puas hati dengan rasanya, aku lantas mematikan suis dapur elektrik. Apron yang melekat pada tubuh aku tanggalkan. Sekejap lagi, aku mahu ke rumah mama. Mama yang mengajak aku ke sana untuk makan tengah hari bersama. Kerana itulah sejak tadi aku bertungkus-lumus memasak kuah tomyam itu. Walaupun sudah setahun lebih mendirikan rumah tangga, aku masih lagi belajar memasak. Masih banyak yang perlu aku baiki untuk memastikan masakanku adalah yang terbaik untuk suamiku.
            Telefon bimbit yang berdering mengalih tumpuanku. Segera aku keluar ke ruang tamu. Telefon bimbit yang terletak di atas meja kopi itu aku capai. Membaca nama suamiku di skrin, bibirku terus melebar. Tidak bertangguh walau sesaat, aku terus menekan punat hijau.
            “Assalamualaikum,” ucapku mesra. Terbayang-bayang raut wajahnya yang kacak itu. Tiga hari berpisah kerana dia terpaksa ke Sarawak untuk menguruskan projek di sana, sudah cukup untuk membuahkan rasa rindu yang tidak terperi di hatiku.
            “Waalaikumussalam, sayang. Tengah buat apa? Rindu abang tak?”
            Itulah soalan yang sudah biasa ditanyakan untuku. Aku tersenyum sambil melabuhkan duduk di atas sofa. “Baru aje siap masak, kejap lagi nak pergi rumah mama. Mestilah rindu... Abang lambat lagi ke nak balik?” ujarku manja.
            “Miss you too, honey. Abang tengah usaha nak settlekan semua benda hari ni. Esok malam abang balik. Okey?” Lembut suaranya membalas. Aah, memang itulah nada yang telah dikhaskan untukku selama ini.
            Aku mengangguk dengan senyuman. “Okey...”
            “Rafique macam mana? Nakal tak bila papa dia tak ada ni?”
            Aku tertawa kecil mendengar soalannya itu. Serta-merta fikiranku terbayangkan wajah anak kami yang baru berusia empat bulan itu. “Nakal... sebijik macam papa dia,” jawabku sengaja mengusik.
            “Eh, papa dia mana ada nakal. Baik aje kat sini tau? Sikit pun tak pandang awek lain,” jawabnya membuatkan aku tertawa.
            “Boleh percaya ke abang ni?” tanyaku masih belum puas mengusik. Walhal dalam hati berbunga rasa indah mendengar kata-katanya tadi. Tahulah aku, hanya aku satu-satunya wanita dalam hatinya.
            “Tentulah boleh... Abang kat sini buat kerja aje tau? Tak ada pun nak merayap pergi cari makwe baru. Duk rindu-rinduan dengan yang kat sana tu aje...” ujar Zafril lagi cuba meyakinkan aku.
            Keningku terangkat. “Ya eh?”
            “Ya, sayang. Lain kali ikut abang datang sini eh? Tak sangguplah nak pisah lama-lama. Asyik teringat-ingat aje... nak buat kerja pun payah...”
            Aku ketawa. Dah mulalah tu dia nak tabur ayat-ayat manis. Alahai, boleh cair hati dibuatnya. Itulah suamiku... Adam Zafril, dia yang sentiasa penuh dengan kasih sayang yang romantis. Tidak pernah jemu mengucapkan cintanya padaku. Setiap patah bicaranya sering saja membuai hati Hawaku. “Kalau Risa ikut, Rafique macam mana?”
            “Bawaklah sekali. Bukan abang suruh tinggal pun...”
            “Susahlah... dahlah dia kecik lagi. Takkanlah dah nak bawak naik flight? Kesian dia...” Aku masih belum puas mengusik. Dapat kubayangkan raut wajah tak puas hatinya kala ini.
            “Hmm... yalah, orang dah tak sudi nak buat macam mana, kan? Okeylah, ada banyak kerja lagi ni. Bye...”
            “Eh, nantilah dulu...” Cepat-cepat aku menahan. Dia diam. Aku tersenyum, tahu dia merajuk. “Sejak bila entah suami Risa ni pandai merajuk...” usikku lagi.
            “Habis, ingat Risa aje yang boleh merajuk? Abang nak jugak rasa sekali sekala...” balasnya.
            Aku tergelak. “Okey, okey... Risa mintak maaf k? Nanti kalau abang pergi lagi, Risa ikut...” ujarku sengaja mahu mengambil hatinya. Walhal aku tahu dia bukannya merajuk betul pun. Sengaja nak mengada-ngada.
            Dia tertawa senang. “Ni yang buatkan abang makin sayang Risa ni...”
            Aku mencebik. “Yalah tu...”
            Dia ketawa lagi.
            Aku mengerling ke arah jam yang tergantung pada dinding. “Okeylah, abang... Dah lewat ni, nanti mama tertunggu-tunggu pulak,” ujarku tanda mahu memutuskan talian walaupun masih belum puas berbual dengannya. Rindu yang berkumpul dalam dada masih belum terlerai sepenuhnya. Tapi kalau melayan lagi, sampai ke petang pun belum tentu habis.
            “Okey, sayang. Abang pun ada kerja lagi lepas ni. Take care tau? Tolong kiss pipi Rafique untuk abang,” pintanya.
            “Rafique aje?” tanyaku. Aish... mengadalah pulak kau ni, Qarissa oii!
            “Sayang nak jugak ke?” Dia buat suara macam orang bodoh. Eii, geramnya!
            “Tak. Tak nak bagi pun tak apa...” rajukku.
            Dia ketawa. “Untuk sayang, nanti bila dah balik sana abang bagi okey? Nak banyak pun boleh!”
            Aku tersenyum dengan kepala tergeleng-geleng. “Okeylah, cik abang sayang...”
            “Kirim salam dekat mama dan papa eh?” pesannya.
            “Insya-Allah...”
            “Love you...” bisiknya perlahan.
            “Love you too,” balasku juga dalam nada yang sama. Selepas berbalas salam, talian terus kumatikan. Sambil merenung wajahnya bersama Rafique di skrin telefon bimbitku, aku teringatkan kisah kami dulu. Kisah bagaimana bermulanya cinta antara aku dan dia. Tak sangka, jodoh yang diatur oleh papaku sendiri akhirnya membawa kami berdua dalam kebahagiaan yang bagai tiada penghujung. Walaupun rumah tangga kami pernah dilandai badai, Alhamdulillah... Allah masih memberikan kami peluang untuk memulakannya sekali lagi.
            Sejenak, aku terkenangkan saat ketika kali pertama aku menatap wajahnya. Ketika itu aku baru saja memulakan kerja di syarikat papa. Hari pertama yang bagiku sangat membosankan. Ketika mahu memasuki lif untuk turun ke bawah, aku terlanggar Zafril yang kebetulan baru saja keluar dari lif yang sama. Jatuh terduduk aku di situ, dan dia dengan selambanya mengutip fail dan kertas-kertas yang jatuh di atas lantai. Masih aku ingat betapa garangnya aku pada waktu itu. Kata-kata yang keluar dari mulut seorang gadis yang sombong dan angkuh, hanya dibalas dengan senyuman dan jawapan yang selamba daripada Zafril.
            “Apa pandang-pandang? Tak pernah tengok orang ke?”
            “Sorry... Saya tak sengaja terlanggar awak tadi,”
            Waktu itu, aku hanya mencebik sinis. Langsung tak peduli dengan kata maaf yang dihulurkan.
“Awak ni siapa? Pekerja baru ke? Macam kenallah...” Dia bertanya lagi.
            “Kalau ya pun nak mengurat, tak payahlah nak guna taktik lapuk tu!” Aku menjawab dengan penuh angkuh.
            Zafril hanya tersenyum sebelum menjawab, “Maaflah... saya bukan nak mengurat. Cuma macam pernah jumpalah...”
            Boleh bayangkan tak betapa malunya aku waktu itu? Itulah... suka sangat menuduh tanpa usul periksa. Siap perasan lagi orang nak mengurat. Kan dah tak pasal-pasal malu sendiri. Sehingga sekarang, setiap kali berbual tentang itu dengan Zafril, dia akan mentertawakanku semahunya. Dan aku, hanya mampu diam sambil buat muka kayu.
            Selama setahun lebih hidup dengannya, Zafril sudah banyak membimbingku menjadi wanita solehah. Dia yang banyak mengajar aku erti kehidupan yang sebenar. Dia yang sering dan tak pernah jemu mengingatkan aku tentang tanggungjawabku pada Yang Maha Esa. Hampir setiap malam jika tiada halangan, dia akan mengejutkanku pada tengah malam untuk bersujud pada-Nya. Aku akui, dia bukanlah manusia yang sempurna. Tetapi dia adalah suami yang cukup sempurna untuk aku.
            Suara tangisan Rafique membunuh lamunanku. Lekas-lekas aku berlari menuju ke tingkat atas. Rafique yang tadinya aku tidurkan di atas katil berteriak kuat. Aku mengangkatnya ke dalam dukunganku. Aku mendodoikannya perlahan-lahan, membaca salawat ke atas Nabi Muhammad dan juga surah-surah pendek untuk meredakan tangisannya. Pipinya yang putih mulus itu kucium lama. Mengalir rasa kasih seorang ibu untuk buah hatiku ini.
            “Kita pergi rumah nenek eh? Sekarang ni, jom mama mandikan Afiq dulu... hmm...” Sekali lagi pipinya kucium sambil membawa anak kesayanganku itu ke bilik mandi.


RAFIQUE aku letakkan di atas kerusi yang sudah dikhaskan untuknya di dalam kereta. Aku tidak mahu tingkahnya yang kadang-kadang lasak itu membuatkan dia terjatuh dari kusyen kereta. Selepas yakin dengan keselamatannya, barulah aku mula memandu ke rumah mama. Sambil memandu, sempat lagi fikiranku menerawang jauh mengingati suamiku. Teringat apa yang jadi sewaktu menyambut ulang tahun perkahwinan kami yang pertama.
            Ketika itu, aku sedang mengandungkan Rafique. Usia kandunganku ketika itu sudah pun mencecah enam bulan. Tiba-tiba saja, aku mengidamkan pizza. Bukan pizza yang dibeli atau ditempah, tetapi pizza yang dibuat sendiri oleh suamiku.
            “Sayang, abang mana reti nak buat pizza. Kalau setakat masak nasi goreng ke, buat lauk cincai-cincai tu bolehlah abang masak. Tapi pizza...”
            “Alaa... Risa nak jugak! Tak kira, abang tetap kena masakkan pizza untuk Risa!” Aku berkeras. Tetap mahukan pizza hasil air tangannya.
            Zafril menggaru-garu kepalanya. Hendak tergelak aku melihatnya, tetapi aku tetap menahan. Dia mengeluh panjang. “Abang nak buat macam mana?”
            “Resepi banyak apa kat dalam internet. Abang cari ajelah, mesti ada punya,” ujarku tidak mahu mengalah.
            Dia menggeleng-gelengkan kepala. Redup renungannya menghala ke wajahku. Aku tahu, dia cuba meminta simpati tetapi aku tetap berdegil.
            “Empat bulan Risa bawak perut ni tanpa abang. Kalau Risa mengidam nak makan apa-apa, abang tak ada pernah ada dengan Risa. Salah ke kalau kali ni Risa nak makan masakan abang?” Aku bersuara sedih. Bukan dibuat-buat, tetapi itulah yang aku rasai waktu itu.
            Dia menghela nafas. Tubuhku ditarik ke dalam pelukannya. “I’m sorry, okay?” ucapnya. Dahiku dikucup perlahan.
            Kolam mataku berkaca tiba-tiba. Aku menundukkan kepala.
            “Okey, okey... Abang janji, nanti abang buatkan pizza tu untuk sayang. Okey?” Zafril mencuit daguku.
            Aku mendongak memandang wajahnya. “Janji?”
            Dia mengangguk sambil tersenyum. “Janji.”
            Dan aku terus memeluknya dengan erat. Aku tahu dia pasti akan menunaikan apa saja permintaanku. Walaupun pada awalnya dia tidak tahu bagaimana mahu memasakkan pizza untukku, dia tetap berusaha. Sampailah pada malam ulang tahun perkahwinan kami yang pertama, dia menghidangkan pizza hasil air tangannya sendiri untukku. Walaupun rupanya langsung tiada rupa pizza yang sebenar, aku tetap gembira. Keharuan menyapa sudut hatiku.
            “Tak sedap eh?” Zafril menyoal perlahan. Raut wajahnya berkerut. Mungkin bimbang dengan penerimaanku.
            Aku tersenyum memandangnya. Walaupun rasanya tidak seperti yang aku harapkan, tetapi aku tetap gembira kerana dia sudi memenuhi permintaanku. “Kurang...” jawabku jujur.
            Dia mengeluh kecewa. “Sorry...” ucapnya.
            Aku tersenyum. “Kenapa pulak sorry?”
            “Yalah, sebab abang tak mampu nak penuhi permintaan sayang. Padahal bukannya berat sangat pun...”
            Aku memegang tangannya, sekali gus mematikan kata-katanya. “Ada tak Risa mintak abang masak sedap-sedap?” tanyaku.
            Dia terdiam dengan muka blur. Aku senyum lagi. “Walaupun kurang sedap, Risa dah cukup happy sangat sebab abang sudi masakkan untuk Risa. Abang jangan risau, Risa akan habiskan jugak pizza ni. Okey?” Sebelah mata aku kenyitkan padanya.
            Dia terkejut hingga hampir ternganga. “Eh, tak payahlah... Nanti kang Risa muntah pulak makan pizza yang tak sedap ni...”
            “Tak apa, Risa okey. Walaupun kurang sedap, tapi Risa nak makan jugak. Tahu tak sebab apa?”
            Dia menggeleng.
            “Sebab pizza ni... abang yang masak,” sambungku. Dua tiga saat berlalu sebelum aku dapat melihat senyuman manis pada bibirnya. Dahiku dikucup sayang.
            “Thanks, sayang...”
            “Sama-sama,” balasku bersama perasaan riang yang tak dapat diceritakan.
            Aku membelok masuk ke halaman rumah papa dan mama. Kedatanganku disambut dengan senyuman oleh kedua-dua orang tuaku itu. Berebut-rebut kedua-duanya mahu mendukung dan mencium Rafique. Aku yang melihat, hanya mampu tertawa senang hati.


ESOKNYA selepas menghantar Rafique ke rumah umi, aku memandu menuju ke rumah Shamin. Awal-awal lagi aku sudah berjanji untuk pergi ke masjid bersama-sama dengannya. Memang setiap hari Ahad, masjid yang terletak dekat dengan rumah Shamin mengadakan ceramah agama. Bayaran sedikit pun tidak dikenakan. Ilmu ikhlas yang mahu diperturunkan oleh Ustazah Habsah. Jadi tidak salah rasanya kalau aku mahu menyertai ceramah itu. Bukannya satu kerja yang sia-sia, malah aku boleh mendapatkan banyak ilmu agama yang sangat cetek dalam diriku ini. Mendengar dan mengamal, insya-Allah balasannya pahala daripada Yang Maha Esa.
            “Allah menjadikan wanita itu sebagai makhluk yang sangat istimewa. Wanita dijadikan sebagai anak, isteri dan juga seorang ibu...”
            Aku mendengar dengan penuh asyik. Setiap patah kata yang keluar dari mulut ustazah itu aku cuba fahami dan cuba menghayatinya dengan mata hati. Tidak perlu buku catatan, cukup sekadar menyimpan semuanya dalam fikiran dengan niat ikhlas kerana Allah Taala.
            “Sesungguhnya, nikmat Allah itu terlalu besar untuk mahkluk yang bernama wanita. Bukan saja pangkat ibu yang sungguh mulia, tetapi juga pangkat seorang isteri. Isteri-isteri kaum Mukminin yang beriman kepada Allah dan Rasul akan menjadi pendamping suaminya di syurga kelak dan akan memperoleh kenikmatan yang sama dengan penghuni-penghuni syurga yang lain... sesuai dengan amalnya di dunia selama ini...”
            “Tentunya setiap wanita Islam di muka bumi ini mahu menjadi penghuni syurga, bukan? Persoalannya, bagaimana mahu menjadi wanita yang dipilih Allah untuk menjadi penghuni syurga? Hakikatnya, wanita yang bakal menjadi penghuni syurga adalah seorang wanita yang taat kepada Allah dan Rasulnya.
Ada banyak ciri-ciri wanita penghuni syurga ni. Yang pertama, wanita itu haruslah bertaqwa. Allah S.W.T telah menggambarkan dalam Al-Quran tentang beberapa ciri orang yang bertaqwa...
            Di antara Firman-Nya yang bermaksud : Iaitu mereka yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dan mereka yang beriman dengan Kitab al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka meyakini akan adanya (kehidupan) akhirat, Mereka itulah yang mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beroleh kejayaan... (al-Baqarah : ayat 2-5).”
            “Ciri yang kedua, beriman kepada Allah S.W.T., Malaikat-Malaikat-Nya, Kitab-Kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, hari kiamat, dan beriman kepada takdir yang baik mahu pun yang buruk. Ciri yang ketiga, bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembahkan melainkan Allah Yang Satu, bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji bagi yang mampu...”
            Aku menunduk. Timbul keinsafan dalam diriku mendengar setiap patah kata-kata itu. Terasa betapa banyaknya kekurangan dalam diriku ini.
            “Yang keempat, ihsan... iaitu beribadat kepada Allah seakan-akan melihat Allah. Walaupun dia tidak dapat melihat Allah, dia tahu Allah melihatnya...
            Yang kelima, ikhlas beribadah semata-mata kepada Allah, tawakkal kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul-Nya, takut terhadap azab Allah, mengharap rahmat Allah, bertaubat kepada-Nya, dan bersabar atas segala takdir-takdir Allah serta mensyukuri segala kenikmatan yang diberikan kepadanya...”
            Aku terus ralit mendengar. Banyak lagi ciri-ciri yang disenaraikan Ustazah Habsah. Makin aku mendengar, semakin aku terasa betapa banyaknya kekurangan pada diriku ini. Betapa ceteknya pegangan agamaku selama ini. Timbul kesedaran dalam diriku untuk membaiki semuanya ke arah yang lebih baik.
            “Itulah ciri-ciri wanita ahli syurga. Adakah kita semua ini termasuk dalam golongan itu? Mungkin ya, mungkin jugak tidak. Masa yang ada inilah peluang untuk kita perbaiki mana yang silap dan setiap kekurangan dalam diri kita...” ujar ustazah itu lagi.
            “Ustazah, tadi ustazah ada menyebut tentang isteri kaum Mukminin yang taat kepada Allah dan Rasul. Boleh tak ustazah jelaskan lagi tanggungjawab seorang isteri kepada suaminya? Maksud saya, bagaimana mahu menjadi seorang isteri yang sempurna di mata suami dan mengikut syariat Islam...” Salah seorang yang hadir dalam ceramah itu mengemukakan soalan. Aku diam, sabar menanti jawapan daripada Ustazah Habsah.
            Ustazah itu tersenyum panjang sebelum menjawab, “Nabi S.A.W ada bersabda yang bermaksud : Sesiapa sahaja isteri yang meninggal dunia sedang suaminya reda terhadap pemergiaannya, maka ia akan masuk syurga...”
            “Cuma persoalannya, bagaimana mahu menjadi isteri yang disayangi dan diredai suami? Bukanlah sesuatu yang sukar ya, puan-puan. Adalah wajib bagi seorang isteri untuk merendahkan pandangannya di hadapan suaminya, tidak khianat terhadap suaminya ketika ketiadaannya termasuk juga hartanya, menunaikan hajat suami bila diajak oleh suaminya biarpun sewaktu sibuk atau susah, meminta izin suaminya untuk keluar dari rumah...”
            “Nabi S.A.W.. bersabda bermaksud : 4 perempuan yang berada di neraka adalah perempuan yang kotor mulutnya terhadap suaminya; suaminya tiada di rumah dia tidak menjaga dirinya dan jika suaminya bersamanya ia mengherdiknya, perempuan yang memaksa suaminya untuk memberi apa yang di luar kemampuan si suami, perempuan yang tidak mempunyai tujuan hidup kecuali makan, minum dan tidur dan ia enggan berbakti kepada Allah S.W.T. dan enggan berbakti kepada suaminya (seorang isteri yang bersifat begini akan dilaknati Allah S.W.T. kecuali bertaubat), wanita yang tidak menutupi dirinya dari kaum lelaki dan keluar rumah dengan menampakkan perhiasannya dan memperlihatkan kecantikannya (untuk menarik kaum lelaki)...”


“WEH, kau ni asal termenung jauh aje?” Shamin menegur, terus membuatkan lamunanku bubar. Aku menoleh ke arahnya dengan wajah terpinga-pinga.
            “Kau ni... tengah drive pun boleh berangan? Kau jangan, Risa... Kang dengan aku sekali jadi arwah,” bebel Shamin.
            Aku tergelak kecil sambil terus fokus memandu. “Tak adalah, aku cuma teringat apa yang ustazah cakap tadi. Kena sebijik dekat muka aku ni tau?”
            “Yang mana?” Shamin buat muka blur.
            “Eh, takkan dah tak ingat kut? Kau pakai memori apa kat kepala tu?” gurauku sambil ketawa.
            “Banyaklah kau punya memori!” Shamin memuncung.
            Aku tersengih. “Tak adalah... cuma aku teringat kenangan lama. Yalah... kau tahulah aku dulu macam mana, kan?” balasku tenang.
            “Kalau kau rasa kau teruk, aku pun dua kali lima aje tau? Silap-silap, lagi teruk daripada kau.” Shamin mengeluh panjang. “Dahlah, tak payah ingat lagi. Yang penting sekarang, kita sama-sama dah berubah. Kau dah ada anak, aku pun tak lama aje lagi dah nak kahwin. So... it’s time for us to think about our future! Okey?” Shamin tersenyum manis memandangku.
            Aku membalas senyumannya itu. Kepalaku mengangguk-angguk. Benar, apa yang telah berlaku biarkan berlalu. Yang penting, kami berdua sudah berusaha untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.
            “Dan mohonlah ampun kepada Tuhanmu kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengasih (Surah Hud : 90).”


AKU melilaukan mata ke segenap ruangan lapangan terbang itu. Dari jauh, aku sudah nampak kelibat Zafril sedang melambai ke arahku sambil membawa bagasi miliknya. Aku tersenyum, dengan harapan dia tidak perasan raut mendung yang sejak petang tadi menghiasi wajahku. Sabar aku menunggu sehingga dia datang menghampiri.
            “Assalamualaikum...” ucapnya bersama senyuman.
            “Waalaikumussalam,” balasku. Tangannya kucapai dan kukucup penuh hormat. “Abang sihat? Ada sakit-sakit tak?” tanyaku manja.
            Zafril tersenyum. “Sihat, sayang. Cuma rindu kat sayang dengan Rafique aje,” jawabnya.
            Aku buat muka. Kononnya tak percaya dengan apa yang dikatakannya.
“Betul... Nasib baik kita kat tempat awam sekarang. Kalau tak dah lama abang peluk cium sayang kat sini jugak tau?” ujarnya dengan muka yang dibuat-buat serius.
Aku tertawa halus. Lengannya kupaut mesra. “Jom balik,” ajakku.
“Rafique mana?” Dia bertanya sewaktu kami berjalan mendapatkan kereta yang terletak di tempat parkir.
“Tadi Risa hantar kat rumah umi. Nanti kita singgah rumah umi kejap k?” jawabku. Tanganku menekan kunci penggera kereta.
Zafril mengangguk sambil memasukkan begnya ke dalam bonet belakang kereta. “Sini kunci...” pintanya.
“Nak buat apa?” Aku bertanya dengan lagak bodoh.
“Nak makan. Lapar...” jawabnya selamba.
Pantas aku mencubit lengannya.
“Aduh... sakitlah, sayang. Orang baru aje balik, dah dapat cubitan. Bukannya nak bagi kiss ke, hug ke...”
“Haa dah, jangan nak mengarut,” pintasku laju membuatkan dia ketawa.
“Sinilah kunci... biar abang drive,” pintanya lagi. Tangan kanannya ditadahkan di depan mataku.
“Abang kan baru sampai, mesti penat, kan? Jadi apa kata abang duduk kat sebelah tempat pemandu tu, rehat. Biar Risa yang drive.” Aku memberi cadangan sambil tersenyum manis semanis-manisnya.
Dia angkat kening. “Abang tak biasalah duduk sebelah kalau naik kereta dengan Risa. Bak sini kunci, biar abang drive...”
“Tak payah. Abang rehat aje, biar Risa yang drive,” balasku juga tak mahu mengalah. Kunci kereta di tangan aku sembunyikan ke belakang, seolah-olah dengan cara itu dia tidak akan dapat mengambilnya.
Dia tersenyum, penuh makna. “Betul ni?”
Aku mengangguk sungguh-sungguh.
“Degil eh? Orang nak drive tak nak kasi...” Pipiku dicubit perlahan.
“Alaaa... abang tu yang tak tahu bersyukur tau? Orang dah suka rela nak drive ni, terima ajelah... Tak payah nak banyak songeh. Dah, dah... pergi masuk,” arahku pura-pura tegas.
Zafril ketawa sebelum terus masuk ke kereta. Aku pula masuk ke tempat memandu.


WALAUPUN jam sudah menunjuk ke arah 11.00 malam, aku tetap menyediakan makanan untuk Zafril. Katanya, dari tengah hari tadi dia belum sempat menjamah apa-apa makanan dan dia rindu mahu makan masakanku. Entah apa yang bestnya masakanku yang langsung tak best tu. Bila aku katakan padanya begitu, dia dengan senyuman menjawab, “Biarlah tak best bagi orang lain, tapi dah cukup best bagi abang. Kalau sayang masak hati nyamuk cecah sos pun abang telan tau? Air tangan isteri tu kan pengikat hati suami?”
            Aku tersenyum mengingati kata-katanya itu. “Tunggu apa lagi? Makanlah... Tadi cakap lapar, kan?” tanyaku bila melihat dia hanya diam duduk di kerusi makan. Malah asyik pula dia merenung wajahku.
            “Duduk sini kejap...” Zafril menarik tanganku untuk duduk di sisinya. Aku menurut.
            “Kenapa?” tanyaku hairan.
            “Kenapa abang tengok sayang tak berapa nak ceria aje hari ni? Ada yang tak kena ke?” soalnya perlahan. Nadanya itu benar-benar menyentuh hatiku.
            Aku menggeleng. “Tak adalah, Risa biasa aje...”
            “Tak biasa. I can feel it...” bisiknya.
            Aku terdiam. Tunduk merenung jemari sendiri. Tiba-tiba aku terasa jemariku digenggam erat.
            “Cuba cakap dengan abang... Kenapa ni? Ada apa-apa yang jadi ke sepanjang abang kat Sarawak?” Dia tetap mendesakku untuk bercerita.
            Aku hembus nafas panjang. Wajahnya aku tatap. “Abang... abang rasa Risa okey tak?”
            Zafril mengerutkan dahi memandangku. “Maksudnya?” Jelas dia tidak faham dengan maksud soalanku tadi.
            “Tak adalah...” Aku serba salah mahu berterus terang apa yang aku rasakan ketika ini. “Risa rasa... Risa tak layak untuk hidup sebagai isteri abang. Banyak sangat benda yang kurang dalam diri Risa. Kadang-kadang Risa rasa... abang berhak dapat wanita yang lebih baik daripada Risa. Risa tak layak untuk lelaki yang baik macam abang...” Esakan yang cuba kutahan akhirnya keluar juga. Aku menunduk bersama air mata yang menitis perlahan ke pipi.
            “Ya Allah...” Zafril mengeluh panjang. “Kenapa cakap macam tu? Abang tak pernah rasa Risa tak layak untuk abang...”
            “Tapi...”
            “Sayang... dengar sini.” Tanganku digenggam erat-erat. Perlahan kepalaku diangkat untuk memandang wajahnya. Dia merenung redup ke dalam anak mataku. “Abang tak pernah harapkan wanita yang sempurna sebagai isteri abang sebab abang tahu, abang sendiri pun tak sempurna. Cukuplah abang ada seorang isteri yang boleh gembirakan abang masa abang sedih, yang boleh bagi semangat pada abang tiap kali abang jatuh, yang boleh jaga abang masa abang sakit, yang mampu sayang dan cintakan abang walau apa pun yang terjadi...”
            Aku terdiam. Kata-katanya itu meresap masuk jauh ke dalam hatiku. Sungguh aku tersentuh... terharu dengan keikhlasan yang dia tunjukkan untukku.
            “Allah dah pernah duga kita, tapi Risa tetap setia dengan abang, tetap terima abang, tetap maafkan segala salah dan silap abang selama ni. Itu semua dah cukup untuk abang. Qarissa Puteri Binti Rashid... hanya Risa satu-satunya wanita di hati abang. Insya-Allah... sampai bila-bila selagi Allah tak tarik nyawa abang...” bisiknya lagi. Tanganku yang masih dalam genggamannya dikucup lembut.
            Hatiku disapa keharuan. Tanpa kata-kata, aku terus memeluknya dengan erat. Bagaikan tidak mahu melepaskannya lagi. Hanya Allah yang tahu betapa dalam cintaku buat dirinya. Dan aku tahu cintanya buatku juga begitu.
            “Dahlah... jangan sedih-sedih lagi. Lepas ni, abang tak nak dengar sayang cakap macam tu. Sayang isteri yang cukup sempurna untuk abang. Abang selalu reda dengan apa yang sayang buat, sebab abang nak Allah hadiahkan syurga untuk sayang nanti...” ucap Zafril lagi.
            Aku tunduk mengucup tangannya. “Terima kasih, abang...” ucapku sendu.
            Dia mengusap kepalaku sebelum menghadiahkan satu ciuman pada ubun-ubunku. Dalam hati, aku melafazkan syukur kepada Yang Maha Kuasa. Sesungguhnya, aku terlalu bersyukur kerana dikurniakan suami sesempurna Zafril. Dia yang mampu membawaku ke syurga kelak...


DALAM kedinginan dinihari, aku bersujud kepada Dia Yang Maha Esa, Dia yang tidak pernah tidur, Dia yang tidak pernah jemu mendengar setiap doa hamba-hamba-Nya. Berimamkan Zafril, aku memohon dengan hati yang penuh rasa hina, merayu agar rumah tangga kami sentiasa dilimpahkan rahmat-Nya sehingga ke akhir hayat kami berdua.
            “Ya Allah ya Tuhanku, Engkau Yang Maha Pengampun, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang... ampunkanlah segala dosa-dosa kami, dosa-dosa orang-orang tua kami, doa seluruh umat-Mu di muka bumi ini. Ya Allah... Engkau Yang Maha Besar, Yang Maha Menentukan setiap sesuatu yang terjadi atas muka bumi ini... Kami memohon pada-Mu dengan penuh rasa kerdil, kurniakan keluarga kami rahmat-Mu. Semoga setiap langkah yang kami ambil dipenuhi dengan reda daripada-Mu. Berikanlah kami kekuatan untuk melalui setiap dugaan yang Engkau turunkan kepada kami. Kurniakanlah kami zuriat-zuriat yang soleh dan solehah, yang bersujud hanya untuk-Mu... Sesungguhnya, hanya Engkaulah Tuhan yang layak disembah. Engkau Yang Maha Besar, Ya Rabb...”
            Air mataku menitis jatuh ke pipi. Aku bersyukur pada-Mu ya Allah atas nikmat yang Engkau kurniakan pada diriku ini. Tiada apa lagi yang aku harapkan dalam dunia ini selain kebahagiaan dan kesejahteraan yang berkekalan hingga ke akhir hayat. Semoga Engkau terus membimbing hatiku ini ke jalan yang Engkau redai... jalan yang akan membawaku ke syurga-Mu yang abadi...

Inilah mahar ku untuk mu
Seperti ini ku mampu
Sepenuh hati ku berikan
Sebagai wujud cinta ku

Mahar ku untuk mu tulus ku serahkan
Kepada diri mu satu yang ku pilih
Mahar ku untuk mu aku karunia 
Yang ALLAH berikan pada ku untuk mu

Terimalah sebaris doa
Semoga engkau bahagia
Dan ku nyanyikan lagu ini
Persembahan cinta suci

Mahar ku untuk mu tulus ku serahkan
Kepada diri mu satu yang ku pilih
Mahar ku untuk mu aku karunia 
Yang ALLAH berikan pada ku untuk mu

Mahar ku untuk mu tulus ku serahkan
Kepada diri mu satu yang ku pilih
Mahar ku untuk mu aku karunia 
Yang ALLAH berikan pada ku untuk mu

Mahar ku untuk mu tulus ku serahkan
Kepada diri mu satu yang ku pilih
Mahar ku untuk mu aku karunia 
Yang ALLAH berikan pada ku untuk mu
........................
“ … dan barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan yang besar.” (QS. An Nisa’ : 13).

-TAMAT-

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sob3~ *ambik tisu lap air mata* Sedih... sebab lepas ni saya akan berpisah dengan Zafril dan Qarissa... Tak dapat lagi nak berkisah pasal diorang ni. Nanti kalau rindu, bacalah KPH lagi k? hehe~ Maaf untuk segala kekurangan, kalau ada salah info ke apa. Almaklumlah, ilmu agama masih lagi cetek di dada ini. Tapi saya berusaha untuk menambahkannya dari hari ke hari. Semoga puas hati dengan karya saya kali ni. Terima kasih semua... <3<3<3

~end



13 comments:

RinsyaRyc said...

agak blurr2 sikitla sbb akak x baca full story. tpi overall best... lagi2 diselitkan ayat2 al-Quran. n akak suka part outstation g sarawak tu. muehehee..

[AYUMI SYAFIQAH] said...

yelah.. kena baca KPH dulu. hehek~ mmg teringatkan akak pun masa tulis part sarawak tu.. hehe

dila dyna said...

best!!! amboi mengidam pizza ko ek risa?? gud job ayu...bnyk terselit ilmu agama dlm ni. thumbs up 4 u dear ^_^

[AYUMI SYAFIQAH] said...

hekhekhek~ jeles ke? :P
thanks kak... :')

NiA DaRnEs(Nur Ain Syahira) said...

wahhh...tenang je ble bce nvel yg t'selit bhn2 islamik...good job ummi...=)....tmt...

Yusnida Tajudin said...

Baru berkesempatan utk menjengah.. suatu pendekatan yg sgt baik dlm menjalankan ibadah, saling mengingati.. moga ada bahagian utk Ayu di sana nanti..

Anonymous said...

Like

[AYUMI SYAFIQAH] said...

NiaDarnes ~ Thanks Ain :')

Kak Yus ~ Insya-Allah, aminnnn... :')

Anonymous ~ Thanks sudi jengah sini n tinggalkan komen... :')

Wan Ros said...

dah beli novel....best...nak gak bab ni dalam novel.....tahniah penulis...

[AYUMI SYAFIQAH] said...

Wan Ros ~ hehe.. terima kasihhh :')

Anonymous said...

Waaaa .. So Sweet !!

Cahaya Princess said...

Suka lirik lagu ni ....Maharku Untukmu - Alief....
nice short story... Goood job writer....

Cahaya Princess said...

Suka lirik lagu ni ....Maharku Untukmu - Alief....
nice short story... Goood job writer....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...