++ Suntikan Semangat! ++

Monday, June 11, 2012

- Status Hati : Dia Milikku -

Bab 13



SELEPAS tamat penggambaran, Kirana terus mendapatkan keretanya. Setelah menghidupkan enjin, dia teringatkan Edryzal. Jam di dashboard ditoleh sekilas. Sudah pukul 5.30 petang. Perut tiba-tiba terasa lapar memandangkan dia tidak sempat makan tengah hari tadi. Lantas, Kirana mengeluarkan telefon bimbit dari beg tangan untuk menghubungi Edryzal.
            Agak lama Kirana menanti, barulah taliannya berjawab. “Edry, awak ada kat mana sekarang?” tanya Kirana. Tidak peduli apa juga yang difikirkan lelaki itu sekarang.
            “Kat ofis. Kenapa?” tanya Edryzal dengan suara mendatar.
            “Tak balik lagi ke?” Kirana mengerutkan muka.
            “Kalau dah balik, tak adalah aku kat ofis ni.” Sinis Edryzal membalas.
            Kirana terkedu.  Fine!
            “Nak apa kau call aku ni?” tanya Edryzal lagi.
            “Saya ingat nak ajak awak teman saya makan. Saya lapar, tak sempat nak makan tengah hari tadi.” Kirana terus ke hajat utamanya.  Dia menggigit bibir, menanti balasan Edryzal.
            “Aku sibuk.”
            Memang Kirana sudah agak itu yang bakal keluar dari mulut lelaki itu. “Takkanlah teman saya sekejap pun tak boleh?” Tidak semudah itu dia akan mengalah.
            “Sekejap ke, lama ke, aku sibuk. Kau tak faham ke?” Dingin suara Edryzal membalas.
            Kirana menahan perasaan. “Sekejap aje. Please…” Dia melembutkan suara. Kalau cara kasar tak boleh, diharap cara lembut akan dapat melunakkan hati Edryzal yang keras itu.
            “Apasal tak ajak orang lain aje? Kawan-kawan kau ke? Tak pun, kau ajak aje Kak Ema tu. Dia tu bila-bila pun free,” balas Edryzal selamba.
            “Saya boleh ajak orang lain. Tapi masalahnya, saya nak ajak awak. Tak faham bahasa ke?” Kirana memulangkan paku buah keras. Memang dia sakit hati, tapi tetap tidak mahu mengalah.
            Edryzal mengeluh.
            “Kalau awak tak nak makan sekali pun, temankanlah saya sekejap. Susah sangat ke? Kalau awak tak nak pergi jauh-jauh, saya pergi hotel awak sekarang. Makan kat sana pun okey,” ujar Kirana lagi.
            Tiada jawapan balas daripada Edryzal.
            “Atau awak nak saya keluar makan dengan lelaki lain?”
            “So?” Selamba jawapan balas Edryzal.
            “Saya tahu, memang awak tak kisah. Tapi cuba awak bayangkan, kalau mama awak nampak saya keluar dengan lelaki lain, apa yang dia akan fikir? Kalau dia tanya saya, jawapan saya senang aje. Awak yang tak pernah peduli pasal saya.” Kirana separuh mengugut. Biarlah dikata perempuan tak tahu malu sekali pun. Dia tiada cara lain lagi untuk memaksa Edryzal.
            Edryzal merengus. “Kau datang sini. Aku tunggu kat kafe.” Talian dimatikan serta-merta.
            Kirana tersenyum puas.


EDRYZAL hanya diam sepanjang menemani Kirana makan. Matanya meliar ke sekitar kafe. Memandangkan jam sudah hampir ke angka 7, sudah tidak ramai yang mengunjungi kafe itu.
            “Cepatlah sikit makan tu. Dah nak dekat maghrib ni.” Edryzal bersuara juga akhirnya.
            Kirana memandang jam tangan. “Belum pukul 7.00 lah. Sempatlah tu nak solat,” jawabnya dengan riak wajah selamba.
            Edryzal merengus. “Kau datang sini, tak takut ke ada peminat nampak?” Entah bagaimana soalan itu boleh keluar dari mulutnya.
            “Kalau diorang nampak, apa ek diorang akan fikir? Illsya Kirana dilihat masuk ke hotel untuk berjumpa dengan seorang lelaki?” Kirana tersenyum mengena. “Dan lelaki tu, dah sah-sahlah awak. Kena gosip dengan awak, saya tak kisah,” balasnya masih selamba. Sudah mendapat ‘formula’ bagaimana mahu melawan kata-kata sinis Edryzal.
            Edryzal terdiam. Terkena dia dengan kata-kata gadis itu. Kalaulah apa yang dikatakan itu menjadi kenyataan, pasti dia juga akan terkena tempias populariti Kirana. Ish, manalah mama jumpa minah senget ni?
            “Nak sikit?” Kirana menawarkan daging stik di dalam pinggannya.
            Edryzal hanya menjeling sekilas.
            Kirana tertawa kecil. Dia tahu Edryzal marah. Tapi tak mengapa, dia tetap tidak akan putus asa. “Kak Ema dengan Yus dah balik ke?” soalnya. Sekadar mahu mengajak Edryzal berbual.
            Edryzal menyandar di kerusi. “Dah.”
            “Dua-dua dah balik?” tanya Kirana lagi.
            “Dah. Tak dengar ke?” Edryzal menekan suara.
            “Dengar, cuma nak kepastian.” Kirana mencemik. “Habis, kenapa awak tak balik lagi?”
            “Aku balik malam biasanya,” jawab Edryzal perlahan. Matanya terhala ke arah lain.
            “Kenapa? Banyak kerja ke? Kak Ema dengan Yus tak banyak kerja pulak ek?” Becok mulut Kirana bertanya itu dan ini.
            “Kalau aku balik awal pun, bukannya ada apa yang aku boleh buat,” balas Edryzal, sekadar melayan pertanyaan Kirana.
            “Habiskanlah masa dengan family. Saya ni kan, kalau boleh nak aje balik kampung, spend time dengan keluarga saya. Tapi tulah, dah kerja nak buat macam mana? Kerja saya tak menentu. Merata tempat saya pergi. Awak kan kerja kat sini aje. Daripada duduk kat ofis tu sampai malam, baliklah rumah. Dapat jugak dinner sama-sama dengan family,” celoteh Kirana sesuka hatinya. Kalau di awal perkenalan dia sering gugup berdepan dengan Edryzal, kini tidak lagi setelah di‘belasah’ oleh kata-kata Edryzal yang menyakitkan hati tempoh hari.
            “Banyak cakap pulak kau ni, kan?” Edryzal rimas.
            Kirana tersengih. “Saya kan pengacara, mestilah cakap banyak. Awak tengok tak rancangan Jejak Santai yang saya hoskan tu?” soalnya lagi.
            “Tak,” jawab Edryzal sepatah.
            “Kenapa tak tengok? Cerita tu best tau? Ramai yang bagi feedback positif kat saya,” cerita Kirana lagi tanpa diminta. Jus epal di dalam gelas disisip perlahan.
            Edryzal diam. Tidak berminat menyampuk cerita Kirana itu.
            “Hari tu saya buat penggambaran kat sini. Kalau awak ada, tentu saya temu ramah awak jugak. Tapi hari tu, saya cuma jumpa Kak Ema dengan Yus aje,” sambung Kirana lagi.
            Edryzam tetap diam. Hanya memasang telinga mendengar cerita Kirana walaupun dia sudah mula berasa bosan.
            “Edry, awak dengar tak apa saya cakap ni?” tanya Kirana bila Edryzal hanya menyepi tanpa sebarang reaksi.
            “Aku dengarlah.” Edryzal mengeluh bosan.
            “Dah tu kenapa diam aje?”
            “Habis kau nak aku cakap apa?” Edryzal merenung wajah Kirana.
            Kirana terdiam. Dia memang selalu kalah dengan renungan itu. “Tak apalah. Saya pun dah habis makan. Nak balik dah pun,” balasnya, sedikit berjauh hati.
            “Dah habis? Bagus. Aku pun banyak lagi kerja nak buat kat atas tu.” Edryzal bangun. “Tahu jalan keluar, kan? Kat depan tu aje pintu.” Habis berkata-kata, dia terus berlalu tanpa mengukirkan walau sebaris senyuman untuk Kirana. Senyuman daripada para pekerja juga hanya dipandang sepi.
            Kirana memandang langkah Edryzal dengan rasa tak puas hati. Macam tu punya kayu pun, ada juga ek orang minat? Gumam hatinya geram.


NYANYIAN perlahan Edryzal terhenti bila terdengar suara mama memanggil namanya. Tanpa bertangguh, dia segera turun ke balkoni dan kembali ke bilik. Mama dilihatnya sudah bertenggek di birai katilnya. Edryzal mendekati.
            “Buat apa kat atas tu?” tanya Dahlia.
            “Ambil angin aje,” jawab Edryzal sambil menyandarkan gitarnya di sisi katil.
            “Edry dengan Kira macam mana? Okey?” tanya Dahlia tanpa bertangguh lagi. Dia cukup suka sekiranya Edryzal dapat menerima Kirana. Dia tahu anak lelakinya itu pernah terluka kerana seorang perempuan. Dan harapannya, Kiranalah pengubat luka di hati Edryzal.
            “Biasa aje,” jawab Edryzal acuh tak acuh. Sebenarnya, dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan hubungannya dengan Kirana. Langsung tiada rupa orang yang bakal berkahwin.
            “Kenapa? Edry tak cuba baik-baik dengan dia ke?” Dahlia mengorek cerita.
            Edryzal mengeluh. “Entahlah, ma…”
            “Janganlah macam tu. Mama rasa, Kira tu memang sesuai dengan Edry. Dia tu budak baik, cantik pun cantik. Walaupun bertudung, dia tak pernah kalah bila bergaya tau? Nak banding dengan perempuan bandar yang lain, dia jauh lebih cantik.” Pujian Dahlia melambung tinggi pada Kirana. Wajah Edryzal direnung lembut.
            Edryzal menggaru kepala yang tidak gatal. Tidak tahu apa yang harus dijawab.
            “Boleh mama tahu, apa perasaan Edry pada Kira?” tanya Dahlia lagi.
            “Edry baru aje kenal dia, ma. Tak tahu lagi macam mana,” jawab Edryzal terus terang. Dia akui, Kirana memang menarik hati. Tetapi, hatinya masih belum merasakan apa-apa perasaan istimewa pada gadis itu. Dan tidak keterlaluan jika dia mengatakan, dia setuju untuk berkawan dengan Kirana hanya kerana itu kemahuan mamanya. Dia tidak mahu mama kecewa jika dia menolak.
            “Kalau mama masuk meminang dia, macam mana?” cadang Dahlia tiba-tiba.
            Spontan kepala Edryzal tertoleh pada mama. Bulat matanya merenung wajah mama yang jelas ceria dengan hasrat hatinya itu.
            “Mama masuk meminang dia. Edry tunang dulu dengan dia. Bila dah lama sikit, baru kahwin. Macam mana?” Dahlia jelas teruja dengan cadangannya itu. Dia tahu, Edryzal pasti akan setuju. Edryzal tidak seperti Yusrizal. Walaupun luarannya Edryzal nampak lebih keras daripada Yusrizal, tapi Edryzal lebih menurut kata berbanding adik kembarnya itu.
            “Mama serius ke ni?” Edryzal bertanya, ingin kepastian.
            “Yalah. Kenapa, Edry tak setuju?”
            Edryzal diam seketika. “Suka hati mamalah. Kalau tu yang mama nak, Edry ikut aje,” jawabnya akhirnya. Malas berfikir panjang.
            Dahlia tersenyum lebar. “Betul ni?”
            Edryzal mengangguk.
            “Okey, nanti mama bincang dengan papa. Lepas tu kita hantar rombongan ke rumah Kira ya?”
            Edryzal hanya diam mendengar rancangan mamanya itu.




*-*-*-*-*



~bersambung~




3 comments:

Wan Ruzana said...

eiiiiii hati kayu btol si Edry ni aigooo

[AYUMI SYAFIQAH] said...

jangan marah dia. hehekkk >___<

NiA DaRnEs(Nur Ain Syahira) said...

hish edry ni...jual mhl btul laa...tp bgus laa ikut ckp mama dia tuh..=)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...