++ Suntikan Semangat! ++

Monday, May 14, 2012

- KPH extra -




TIGA kali deringan kedengaran sebelum panggilan itu berjawab. Shafni menghidupkan pembesar suara sebaik sahaja terdengar suara Qarissa menyambut panggilan itu.
            “Waalaikumussalam, kak... Akak sihat?” Shafni menceriakan suara agar Qarissa tidak syak apa-apa. Dia mengerling sekilas ke arah Zafril yang khusyuk mendengar suara Qarissa. Mungkin sedang melepaskan rindu yang melangit di hatinya.
            “Sihat... Fini?” balas Qarissa dalam nada suara yang sama. Gembira hatinya mendapat panggilan daripada adik iparnya itu.
            “Fini pun sihat. Akak macam mana kat sana? Okey?” tanya Shafni lagi. Matanya melekat pada sekeping kertas yang sudah tertulis segala soalan yang ‘wajib’ ditanya pada Qarissa. Siapa lagi yang tulis kalau bukan Zafril.
            “Okey. Alhamdulillah... Keluarga Kak Salma boleh terima akak dengan baik. Dia orang anggap akak macam keluarga dia orang jugak,” cerita Qarissa ceria.
            “Iya?” Shafni menoleh pada Zafril. Abangnya itu dilihatnya tersenyum nipis. Lega barangkali. “Baguslah kalau macam tu. Habis tu bila akak nak balik sini?” Diaju pula soalan yang seterusnya.
            Qarissa diam beberapa saat sebelum menjawab, “Boleh ke orang terima akak kalau akak balik sana?”
            Jantung Zafril berdetak mendengar soalan itu. Terasa hingga ke dasar hati.
            “Kenapa akak cakap macam tu?” tanya Shafni bila melihat riak wajah Zafril berubah.
            Terdengar Qarissa ketawa kecil. “Betullah, kan? Akak tak diperlukan kat sana. Baik akak kat sini. Hati pun tenang,” balasnya dengan suara mendatar, tanda hati tidak bersetuju dengan kata-katanya itu.
            Zafril tidak sanggup lagi mendengar. Dia terus merampas telefon bimbit itu dari tangan Shafni. Sepantas kilat juga Shafni menyambar kembali.
            “Abang!” marah Shafni dengan mata terjegil.
            Qarissa terkejut. Kaku dia seketika.
            Zafril mengeluh. Dia bangun dan terus berlalu keluar. Shafni hanya mendengar enjin kereta dihidupkan sebelum terus kereta Zafril itu dipecut laju.
            “Fini? Ke... kenapa tu?” Cuak Qarissa bertanya. Adakah...
            “Err... tak ada apalah, kak. Fini ada kat mall ni. Tadi ada siapa entah yang langgar Fini. Nasib baik tak jatuh handphone ni.” Shafni mereka cerita. Perasaan bersalah makin menebal.
            “Ohh...” Qarissa tidak terkata apa. Hatinya rasa lain macam.
            “Hmm... okeylah, kak. Fini dah sampai kat kaunter. Nanti ada masa Fini telefon akak lagi. Bye.” Shafni terus mematikan talian.


*-*-*-*-*



Bila kepercayaan semakin hilang, cinta yang sekian lama mekar mula memudar...



No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...