++ Suntikan Semangat! ++

Monday, April 9, 2012

- Cerpen : Saat Terakhir -

SUASANA makan malam di restoran ini terasa begitu mendamaikan. Apatah lagi dengan kehadiran insan yang aku cintai di sisiku. Renungannya yang redup itu menambahkan aura romantis di sekelilingku. Aku tertunduk sambil tangan terus bermain-main dengan sudu di tangan.
          “Mayra…”
          Aku mendongak mendengar dia memanggil namaku. Bibirku mengukir senyuman manis buat tatapan matanya. Dia mencapai tanganku dan menggenggamnya dengan erat. Aku hanya membiarkan. Entah kenapa, jantungku tiba-tiba saja berdegup laju.
          “Kita kenal dah lama, kan?” soal Aqil sambil merenung wajahku.
          Aku mengangguk tanpa suara.
          “Saya rasa… dah sampai masanya untuk kita noktahkan hubungan ni dalam satu ikatan perkahwinan…”
          Kata-katanya itu membuatkan aku terpaku. Perkahwinan? Adakah dia sedang melamarku?
          “Mayra…” bisiknya perlahan. Jantungku semakin tidak menentu. “Sudi tak awak jadi isteri saya?”
          Renungan matanya memanah tepat ke dalam anak mataku. Jujur aku katakana, aku dapat melihat sinar cintanya di situ. Cintanya untukku yang memang tiada belah bandingnya. Dia mencintaiku, sama seperti aku mencintainya. Adakah ini masanya untuk aku menerimanya sebagai teman hidupku? Sudah bersediakah aku untuk menggalas tanggungjawab itu? Dan paling penting, adakah aku benar-benar layak untuk menjadi suri di hatinya?
          “Mayra…” Dia memanggil lagi bila tiada jawapan daripadaku. Dapat aku lihat keresahan di wajahnya. Mungkin dia takut kalau-kalau aku menolak.
          “Kenapa awak pilih saya?” Soalan itu meluncur keluar dari mulutku. Aku mahu tahu jawapannya.
          “Saya tak perlukan alasan untuk pilih awak. Bagi saya, awak yang terbaik untuk saya. Awak ajar saya makna cinta. Saya cintakan awak sejak dari awal perkenalan kita, dan saya nak noktahkan hubungan kita ni dalam satu ikatan yang suci…”
          Jawapannya itu benar-benar menyentuh hatiku. Terasa mataku berkaca-kaca. Aku tahu betapa istimewanya aku di matanya. Perlahan-lahan, bibirku mengukir senyuman buat tatapannya. Dia juga tersenyum. Bagiku, aku tidak perlu lagi berkata apa-apa pabila ada perasaan serupa yang terukir di hati kami berdua.

SUDAH sebulan aku dan Aqil mendirikan rumah tangga. Kehidupan kami bahagia. Dia selalu berusaha untuk menjadi suami yang terbaik buatku. Kadang-kadang, aku merasakan aku tidak layak untuk berada di sisinya. Tetapi setiap kali aku terkenangkan cintanya yang mendalam buatku, aku mula sedar yang kami memang ditakdirkan untuk bersama. Sesungguhnya aku terlalu bersyukur kerana Allah menyatukan hatiku dengan hatinya.
          Hari ini merupakan hari lahirnya yang ke-27. Awal pagi lagi aku sudah bangun untuk memasak hidangan istimewa untuk sarapan kami. Sedang aku memasak sendirian di dapur, aku terasa pinggangku dirangkul dari belakang sebelum satu kucupan singgah di pipiku. Aku tersenyum memandang suamiku.
          “Masak apa ni? Macam best aje…” kata Aqil. Mungkin dia lupa hari ini merupakan hari jadinya.
          “Tak ada apa pun. Saja nak test skill memasak…” Aku tersengih.
          “Ya ke? Kalau tak best, siap eh…” Dia seolah-olah mengugut.
          Aku tergelak. “Dah, abang janganlah kacau Mayra. Pergi tunggu kat luar, nanti lepas dah siap Mayra panggil abang,” ujarku lembut.
          “Tunggu kat sini tak boleh ke?” Dia buat muka tak bersalah.
          “Aku menggeleng. Kena tunggu kat luar jugak,” tegasku.
          Dia mengeluh. “Okey. Nanti dah siap panggil tau. Jangan lama-lama sangat,” pesannya.
          Aku mengangguk. Lambaian kecilku mengiringi langkahnya keluar dari dapur. Kemudian aku kembali dengan kerja-kerjaku. Semua aku buat dengan teliti untuk memastikan tiada satu pun yang cacat. Setelah selesai semuanya, aku membawa hidangan itu ke ruang makan.
          “Abang, jom makan!” panggilku.
          Tidak sampai berapa saat, Aqil sudah muncul di depanku. “Wah… ni best ni. Kenapa rajin sangat pagi ni? Ada apa-apa yang special ke?” soalnya dengan muka berkerut.
          Aku tersenyum. Sah dia lupa! Aku menghampirinya. “Abang tak ingat ke hari ni ada apa?”
          “Ada apa?” Dia menyoalku semula.
          “Hari ni kan hari jadi abang. Apalah abang ni… Itu pun boleh lupa,” cebikku.
          Dia terpinga-pinga sebentar. Mungkin cuba mengingati semula tarikh hari ini. Aku tersenyum melihat reaksinya itu. “Happy birthday,” ucapku lembut diiringi kucupan penuh kasih ke pipinya. Dia masih lagi terpinga-pinga. Sesaat kemudian, barulah dia tersenyum.
          “Macam mana abang boleh lupa ya?” Aqil tergaru-garu kepalanya sendiri.
          “Abang memang… Entah-entah birthday Mayra pun abang lupa, kan?” Aku sengaja mengujinya.
          Dia tersengih. “Mana ada. Semua tentang Mayra semua abang ingat. Tengok ni… sampai hari jadi abang sendiri pun abang lupa sebab kat fikiran abang ni, cuma ada Mayra seorang aje…”
          Aku tergelak kecil mendengar kata-katanya itu. Tahu dia saja nak bodek. “Dahlah, melayan abang sampai ke lusa tak boleh makan…”
          “Kita makan tulat ajelah…” katanya selamba dan kemudian ketawa.
          Aku jegilkan mata ke arahnya. Geram. “Dah, jangan nak  ngada-ngada. Jom makan, penat masak ni tau?” Aku lembutkan suara. Sengaja nak pikat hati dia.
          Dia tersenyum. “Okey, jom…” Tanganku ditarik dan kami sama-sama duduk di atas kerusi menikmati sarapan pagi.

AKU tersentak mendengar bunyi deringan telefon bimbitku. Tumpuanku pada kerja terganggu serta-merta. Namun bila membaca nama suamiku di skrin, automatik senyuman manis terukir di bibirku. Aku menjawab panggilannya itu. “Assalamualaikum…” ucapku.
          “Waalaikumussalam, sayang. Sibuk ke?” soalnya mesra. Nada yang memang tidak asing lagi untukku.
          “Kalau cakap sibuk?” balasku, sengaja mahu bergurau. Sungguh aku rindu padanya waktu ini. Walaupun baru berpisah tak sampai satu hari, aku tetap rindu padanya.
          “Kalau sibuk tak apalah. Tak ada orang nak layan abang kan…” Nadanya sudah bertukar kepada nada rajuk. Aku tergelak kecil.
          “Tak adalah, Mayra gurau aje. Ada apa abang call waktu-waktu macam ni? Biasanya dah dekat nak balik baru abang call. Itu pun cuma nak cakap abang dah sampai kat bawah,” gurauku.
          Dia tertawa kecil. “Abang call nak ajak dating.”
          Aku mengerutkan dahi. Mimpi apa pulak tiba-tiba nak ajak dating? “Dating?” soalku hairan.
          “A’ah…”
          “Bila?”
          “Nanti lepas habis kerja. Sebelum turun, sayang solat Asar dulu tau? Takut nanti balik lambat pulak,” pesannya.
          Aku masih lagi hairan. Tak pernah-pernah dia ajak aku jalan-jalan lepas kerja. Biasanya kalau nak keluar, dia lebih suka keluar hujung minggu. Katanya, waktu itu waktu cuti jadi tidak perlu pening kepala fikir pasal kerja. Masa rehat yang ada mahu dihabiskan hanya bersamaku seorang.
          “Sayang? Dengar tak ni? Ke tak sudi nak keluar dengan abang?”
          Aku tersentak mendengar soalannya itu. “Hisy, ada pulak cakap macam tu. Mestilah sudi… Mayra dah rindu sangat dengan abang ni tau?” ujarku, memujuk.
          “Betul?”
          “Yalah…”
          “Abang pun rindu Mayra. Rasa nak jumpa Mayra sekarang jugak…”
          “Sekarang kan kerja. Abang ni mabuk eh?”
          “Tak adalah. Cuma takut nanti tak sempat…”
          Jantungku berdetak laju. Tak sempat? Apa maksud kata-katanya itu? Aku rasa tidak sedap hati tiba-tiba. Ya Allah… janganlah ada apa-apa yang berlaku nanti, doaku di dalam hati.
          “Okeylah, jumpa petang nanti ya? Love sayang forever…” ucapnya sebelum talian diputuskan.
          Aku termangu-mangu buat beberapa saat. Masih lagi berfikir-fikir kemungkinan yang bakal berlaku. Hisy, apa yang aku melalut ni? Insya-Allah tak jadi apa-apa. Aku memujuk diri sendiri sambil hati terus berdoa agar semuanya okey nanti.

SELESAI solat Asar, aku turun ke bawah. Aqil sudah sedia menanti di dalam kereta. Aku segera masuk ke sebelahnya sambil menghulur tangan untuk bersalam. “Dah lama ke abang sampai?” tanyaku.
          “Taklah, baru aje sampai tadi,” jawabnya sambil tersenyum manis dan mula memandu.
          “Kita nak ke mana?” tanyaku lagi. Wajahnya yang tenang memandu aku renung. Entah kenapa, saat ini aku merasakan bagai tidak mahu berpisah langsung dengannya. Walaupun cuma untuk sesaat.
          “Kita jalan-jalan kat taman. Nak?” Dia tersenyum memandangku sekilas.
          Aku mengangguk. Walaupun hatiku masih dipalit rasa hairan, aku tetap turutkan keinginannya. Tidak mengapa. Ke mana saja aku sanggup, asalkan ada di sisinya.
          Sepanjang  berada di taman itu, tidak sekali pun dia melepaskan tanganku. Kata-katanya juga lembut dan membuai perasaanku. Dia langsung tidak peduli dengan pandangan orang sekeliling. Yang dia tahu, aku ini isterinya dan dia mahu aku sentiasa gembira di sisinya. Aku akui, aku bahagia ketika ini. Aku bahagia dengan kasih sayang yang dia curahkan padaku. Tetapi kenapa aku tetap rasa tak sedap hati? Seolah-olah, ada sesuatu yang bakal berlaku. Sesuatu yang bakal membawanya pergi jauh dariku.
          “Dah dua bulan kita kahwin. Mayra bahagia hidup dengan abang?” Aqil bertanya sambil merenung ke dalam anak mataku.
          Aku mengangguk tanpa ragu. “Tak pernah sesaat pun Mayra rasa tak bahagia hidup dengan abang,” jawabku jujur. Sesungguhnya, aku terlalu mencintai dirinya.
          Dia tersenyum. Jari-jemariku dielus lembut. “Abang minta maaf kalau abang pernah sakitkan hati Mayra tanpa abang sedari. Abang terlalu sayangkan Mayra. Kalau boleh, abang nak Mayra selalu senyum bila dengan abang. Setitis air mata pun abang tak nak ada kat pipi Mayra…”
          Kata-katanya itu menyentuh hatiku. Mataku berkaca-kaca. Ya Allah… kenapa dengan dia? Kenapa aku rasakan setiap saat ini, dia semakin jauh dariku? Jangan, Ya Allah… tolong jangan ambil dia daripadaku. Aku tidak sanggup kehilangannya. “Abang jangan cakap macam tu. Mayra bahagia hidup dengan abang. Bahagia… sangat-sangat…”
          Dia tersenyum. Mutiara jernih di birai mataku dikesat dengan hujung jarinya. Kemudian jari-jariku dibawa ke bibirnya, dikucup penuh kasih yang mendalam. Aku terharu dengan perlakuannya.
          Dia mengajakku singgah di sebuah masjid untuk solat Maghrib. Kemudian, dia membawaku ke sebuah restoran untuk makan malam. Aku hanya mengikut ke mana saja dia membawaku pergi. Tidak kisah andai ke bulan sekali pun, asalkan dia sentiasa ada di sisiku.
          Aku perasan, dia sentiasa berusaha membuat aku tersenyum sepanjang hari ini. Setiap tutur katanya lembut sekali. Seolah-olah dia tidak mahu aku lupa walaupun cuma satu patah perkataan. Sentuhan di tanganku membuat aku menoleh padanya.
          “Abang nak tengok purse Mayra boleh?” pintanya.
          Pelik aku dengan permintaannya itu. “Buat apa?”
          “Saja…” jawabnya sambil tersenyum.
          Aku turutkan juga permintaannya. Dompet aku hulurkan kepadanya. Dia membuka dompet pemberiannya itu. Matanya terpaku pada sekeping gambar yang aku letakkan di dalamnya. Gambar aku dan dirinya sewaktu pernikahan kami. Gambar itu tidak pernah aku buang dari dompetku sejak hari pertama aku bergelar isterinya. Bagiku, gambar itu membawa seribu erti buat kami berdua.
          “Abang mintak Mayra janji dengan abang boleh tak?” Dia merenungku penuh harapan.
          Aku mengangguk saja.
          “Janji dengan abang, walau apa pun yang jadi, Mayra jangan buang gambar ni ya? Walaupun lepas ni mungkin abang dah tak ada lagi dengan Mayra, Mayra kena janji yang Mayra takkan buang gambar ni. Takkan sesekali.” Dia merenung tepat ke mataku. Rasa sebak kembali menguasai diriku. Apa maksudnya? Adakah dia mahu meninggalkan aku?
          “Kenapa abang cakap macam tu?” tanyaku dengan suara bergetar. Air mata tak dapat kusembunyikan lagi. Pantas dia menyeka air itu.
          “Apa abang cakap? Abang tak nak tengok ada setitis pun air mata Mayra jatuh, kan? Kenapa nangis, sayang?”
          Kalau tidak memikirkan di mana kami berada sekarang, pasti aku sudah memeluk dirinya erat. Aku tidak sanggup lagi mendengar kata-katanya yang seterusnya. Makin aku mendengar, aku merasakan dia semakin jauh dariku. “Abang nak tinggalkan Mayra?”
          Dia tersenyum. “Tak, sayang. Abang akan sentiasa ada di sisi Mayra…”
          “Tapi…” Aku masih mahu berkata-kata tetapi isyarat tangannya menghalangku untuk terus bersuara.
          “Sekarang ni abang nak Mayra makan. Makan kenyang-kenyang. Jangan fikir apa-apa pun. Okey, sayang?” suruhnya sambil mengelus pipiku perlahan.
          Aku menahan air mata agar tidak gugur lagi. Suasana romantis ini tidak mahu aku noktahkan sampai bila-bila. Aku mengangguk bersama rasa sebak yang bagai tiada penghujungnya.

DALAM perjalanan pulang ke rumah, tidak sekali pun dia melepaskan tanganku. Walaupun tekun memandu, dia tetap tidak mahu melepaskan aku. Aku juga tidak menghalang. Entah kenapa, aku bagai dapat merasakan inilah kali terakhir aku akan merasai sentuhannya. Ya Allah… kenapa aku berperasaan begini?
          “Sayang…” panggilnya.
          Aku menoleh ke arahnya.
          “Sayang ingat tau… Apa saja yang jadi lepas ni, sayang kena kuat lalui hari-hari yang mendatang. Jangan jadi wanita yang lemah. Ya?”
          Aku gelengkan kepala. “Mayra akan kuat selagi abang ada. Abang jangan tinggalkan Mayra…”
          Dia menggenggam erat tanganku. Wajahku direnung. Renungannya aku balas. Kami hanyut buat seketika sehinggakan terlupa di mana kami berada. Sedar-sedar saja, ada sebuah lori di depan sedang menghala ke arah kami. “Abang!!!” Aku terjerit kuat sebelum segala-galanya menjadi gelap dan kelam.

“ABANG!!!” Aku terjaga dari lena yang panjang. Aku menoleh memerhatikan sekelilingku. Hampir semuanya putih. Terasa bahuku disentuh, aku menoleh ke sebelah kiriku pula. “Ibu…” panggilku perlahan.
          Ibu tersenyum memandangku. Namun masih dapat aku lihat matanya yang bengkak dan merah. Aku terpinga seketika. “Ibu… kenapa ibu nangis? Err… Abang Aqil mana? Bukan ke tadi dia ada dengan Mayra? Mana dia, bu?” Aku bertanya cemas. Tangan ibu aku genggam erat.
          “Mayra…” Ibu membawa aku ke dalam pelukan. Aku semakin tidak mengerti.
          “Ibu… kenapa ni? Mayra tanya mana Abang Aqil? Mayra nak jumpa dia. Dia okey, kan? Kan, ibu?” Aku mula tidak tentu arah. Mindaku seolah-olah baru dapat berfungsi. Aku teringat semula apa yang telah berlaku. Waktu itu aku bersama suamiku di dalam kereta. Kami dalam perjalanan pulang ke rumah. Dan tiba-tiba…
          “Mayra kena sabar ya sayang?” Ibu melepaskan pelukan. Wajahku direnung dalam.
          Aku masih keliru. “Ibu… mana Abang Aqil?” Buat kesekian kalinya aku bertanya. Suaraku bertukar nada. Perlahan dan hampir saja tidak kedengaran.
          “Aqil dah tak ada, sayang. Allah lebih sayangkan dia…”
          Aku terpaku di situ. Air mata lebat menuruni pipi. Nyawaku seolah-olah melayang. Pergi bersama Aqil yang sudah menghadap-Nya. Jiwaku terasa kosong. Ya Allah… kenapa Kau ambil dia dariku? Kenapa, ya Allah?
          “Mayra…”
          “Ibu tipu, kan?” soalku perlahan.
          Ibu menggeleng.
          “Tak. Ibu tipu. Ibu tipu! Abang Aqil ada lagi! Mayra nak jumpa dia! Mayra nak jumpa dia!” Aku bagaikan diserang histeria. Kenyataan bahawa suamiku sudah pergi buat selama-lamanya tidak dapat aku terima. Ya Allah… beratnya ujian buat hamba-Mu ini…
          Ibu memelukku erat-erat. “Sabar, Mayra… Jangan macam ni, nak…”
          Rontaanku semakin lemah. Peritnya hati ini hanya Dia yang mengerti. Abang… kenapa pergi tinggalkan Mayra? Soalan itu hanya mampu aku tanya dalam hati kerana aku yakin, dia tidak akan mungkin memberikan aku jawapan.

PUSARA yang masih merah tanahnya aku renung dengan mata berkaca. Aku sudah penat menangis. Aku sudah puas merintih. Namun yang pergi tetap pergi. Tak mungkin akan kembali lagi. Dan aku sedar, aku harus reda dengan semuanya.
          Aku mengusap perutku perlahan. Di situ ada benih cintaku bersama Aqil. Dia tidak tinggalkanku seorang diri. Ada zuriat yang dia hadiahkan untukku. Aku bersyukur kerana Allah menyelamatkan kandunganku ketika kemalangan itu walaupun mungkin tidak terjangkau dek  fikiran manusia. Namun bagiku, itulah kuasa Allah. Siapalah kita sebagai manusia untuk melawannya.
          Aku menyentuh tanah kubur itu perlahan-lahan, seperlahan titisan jernih yang menitis di kedua-dua belah pipiku. Tidak aku sangka hari itu adalah saat-saat terakhir aku bersama dirinya. Sungguh… aku terlalu merinduinya. Kalaulah diberi pilihan, aku ingin sekali pergi bersamanya. Tetapi aku sedar, yang pergi tetap takkan kembali. Dan yang hidup, harus teruskan hidup.
          “Abang… Mayra sayang abang. Sampai bila-bila pun, hanya abang seorang kat hati Mayra. Mayra janji Mayra akan cintakan abang sampai akhir hayat Mayra. Abang tunggu Mayra kat sana ya? Mayra sayang abang…” Aku merebahkan kepala di atas pusaranya bersama air mata yang masih terus menitis. Sejenak, aku teringat pesanannya. Dia tidak mahu aku menangis. Dia mahu aku kuat mengharungi segala-galanya. Lambat-lambat jariku menyapu titisan jernih itu.
          Ya Allah… aku tahu Kau lebih menyayangi suamiku. Maka aku mohon, Kau berilah aku kekuatan untuk terus menghadapi dugaan-Mu ini. Beri aku ketabahan, Ya Allah…


*-*-*-*-*-*-*-*-*-*


Tak pernah terfikir olehku
Tak sedikit pun kubayangkan
Kau akan pergi tinggalkan kusendiri
Begitu sulit kubayangkan
Begitu sakit kurasakan
Kau akan pergi tinggalkan kusendiri


Di bawah batu nisan kini
Kau telah sandarkan 
Kasih sayang kamu begitu dalam
Sungguh ku tak sanggup ini terjadi
Kerna kusangat cinta
Inilah saat terakhirku melihat kamu
Jatuh air mataku menangis pilu
Hanya mampu ucapkan 
Selamat jalan kasih


Satu jam saja
Kutelah bisa cintai kamu kamu kamu di hatiku
Namun bagiku melupakanmu
Butuh waktuku seumur hidup
Satu jam saja
Kutelah bisa sayangi kamu di hatiku
Namun bagiku melupakanmu
Butuh waktuku seumur hidup
Di nantiku...
....................................................

p/s --> Ilham untuk menulis cerpen ni sebenarnya datang dalam mimpi dan saya nampak, cerpen ni sangat sesuai dengan lagu Saat Terakhir nyanyian ST 12. Kebetulan beberapa hari kebelakangan ni, mood saya tak berapa nak okey. Asyik nak sedih memanjang. Jadi, terciptalah semangat untuk tulis cerpen macam ni. Saya tahu ramai yang tak suka dengan cerita yang endingnya sedih. Tapi ingatlah... mati itu pasti. Sambil saya mengingatkan diri orang lain, saya jugak mengingatkan diri saya sendiri. Diharap moga cerpen nidapat memuaskan hati pembaca. Komen sikit... hehe.. terima kasih banyak2... :)

~end

15 comments:

mimi syafiqah said...

ayumi..cerpen pun leh buat org sedih,..gud job sis...

RinsyaRyc said...

sedih weh.... hhuhu

MissxYana said...

T_T
cerpen yg sweet n sad!!

[AYUMI SYAFIQAH] said...

kak mimi syafiqah ~ hehe... thanks kak <3

MissxYana ~ thanks awak sudi baca n komen. :)

[AYUMI SYAFIQAH] said...

Kak Rinsya ~ sedih ek? lyn sedih skali skala apa salahnya.. hihihi

Anonymous said...

akak ayumi, sedih baca cerpen ni...air mata xboleh nk tahan...

[AYUMI SYAFIQAH] said...

Anonymous ~ yeke.. hehe.. x pe lain kali x wt sedih dah.. hihi

Aziela said...

Maaf sangat2. Akak terpaksa skip2 baca sebab empangan dah nak pecah. Kang menangis dalam opis, kantoii pula skodeng novel time keje..

[AYUMI SYAFIQAH] said...

Kak Aziela ~ mula2 ingatkan akak skip sbb x best. hehehe... ok x wt dh sedih pasni.. hihi

ena rin said...

ayumi kenapa sedih sgt akak ni jenis cpt menitiskan air mata tak kisahlah cerita tv atau novel apa2 lah..

Miss N said...

wah ! best sangatx kak.. tangan akaq macam ada magic larh. buat cerita apa pun best.. tip-top.. gudluck ! ;)

Miss N said...

wah ! best sangatx kak.. tangan akaq macam ada magic larh. buat cerita apa pun best.. tip-top.. gudluck ! ;)

Miss N said...

wah ! best sangatx kak.. tangan akaq macam ada magic larh. buat cerita apa pun best.. tip-top.. gudluck ! ;)

Anonymous said...

akak ayumi...please reply.. dr mana dpt nama Aqil tu ? :D

[AYUMI SYAFIQAH] said...

@ Anonymous - Dapat dari nama samaran crush dulu2 haha :D

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...