++ Suntikan Semangat! ++

Saturday, March 3, 2012

- Cerpen : Istimewa Untukmu... Aira Amisya -

~ Sambungan e-novel Aishiteru. Ringkas dan ringan. Harapnya semua suka. Maaf atas kekurangan. Selamat membaca ! :)

-----------------------------------------


USAI solat Subuh, Amisya kembali memanjat katil dan merebahkan badan di situ. Mata dipejam rapat-rapat dengan selimut yang membalut hampir seluruh tubuh. Terasa ada usapan di kepalanya, dia kembali membuka mata. Sebaik melihat wajah Fakhry, dia terus tersenyum.
            “Tak sihat ke?” tanya Fakhry perlahan. Tangannya masih membelai-belai rambut Amisya dengan lembut.
            Amisya menggeleng. “Macam tak sedap badanlah. Aira tak pergi kerja kot hari ni,” ujarnya dengan suara yang dilemahkan.
            “Demam ke?” Pantas tangan Fakhry singgah di dahi Amisya. Biasa-biasa saja. Tak adalah panas mana pun. Dahinya berkerut, hairan.
            Amisya senyum lagi. “Tak adalah, rasa tak sedap badan sikit aje. Abang pergilah siap-siap, kang lambat pulak nak pergi kerja,” suruhnya sambil menolak perlahan tangan Fakhry yang masih berada di kepalanya.
            “Betul ni?” Fakhry masih ragu-ragu.
            Amisya mengangguk. “Tapi sorry… Aira tak boleh sediakan breakfast abang hari ni,” ucapnya.
            Fakhry senyum nipis. Kepalanya terangguk-angguk. “Tak apa. Sayang rehatlah ajelah hari ni. Abang nak siap-siap dulu,” ujarnya lantas bangun menuju ke arah almari untuk mengambil kemeja yang sudah siap digosok isterinya itu malam tadi.
            Amisya hanya memerhati suaminya itu bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Beberapa minit kemudian, Fakhry kembali duduk di sisinya. Amisya bangkit dari baringan, duduk menghadap Fakhry. “Sini… Aira pakaikan tie abang.” Tali leher yang melingkar di leher Fakhry dipegang. Memang semenjak berkahwin, rutin yang satu itu memang sudah menjadi tugasnya. Setelah siap, dia tersenyum manis. “Dah.”
            “Thanks. Abang pergi dulu ya?” Fakhry bangun dari katil.
“Abang balik awal tau hari ni?” Sempat lagi Amisya berpesan.
Fakhry mengangguk sambil tersenyum. “Ya, sayang. Kalau ada apa-apa, call abang,” balasnya pula. Amisya menghulurkan tangan untuk bersalam. Sesudah itu, Fakhry tunduk mengucup dahinya. Langkah suaminya itu dihantar dengan pandangan bahagia sehinggalah bayang Fakhry hilang di sebalik pintu.
            Sebaik terdengar deruan enjin kereta sayup-sayup beredar pergi, Amisya segera menyelak selimut dan turun dari katil. Telefon bimbit yang diletakkan di atas meja solek dicapai. Laju tangannya mendail nombor seseorang.
            “Helo!” Terdengar suara di hujung talian menyapa.
            “Helo, Fiqa. Free tak ni? Aku nak tuntut janji,” ujar Amisya terus ke hajat utama.
            “Janji apa?” Fiqa terpinga-pinga sebentar.
            Amisya menepuk dahi. “Alah kau ni… kan esok anniversary aku. Takkan lupa kot?” Dia mengingatkan rakannya itu. Memang esok merupakan hari ulang tahun perkahwinannya yang pertama. Kerana itulah, dia mahu membuat kejutan lebih awal kepada Fakhry hari ini.
            “Ohh pasal tu…” Terdengar gelak kecil Fiqa. “Emm… freelah sayang oi. Awal-awal lagi aku dah mintak cuti. Bila nak keluar?”
            “Sekarang,” ujar Amisya tidak mahu bertangguh.
            “Gila awal! Mall mana dah bukak masa-masa macam ni?” Fiqa terkejut.
            Amisya menoleh ke arah jam dinding. Hampir ke pukul 8.00 pagi. Dia tersengih. “Eh, tak ada bukak lagi eh masa ni? Hehe…”
            “Kau ni…” Fiqa mengeluh.
            “Kejap lagilah… dalam pukul 10.00 lebih ke. Okey?” Amisya menukar rancangannya.
            “Okey. Laki kau tahu tak ni?”
            “Mestilah tak. Kalau dia tahu, tak jadilah surprise aku,” jawab Amisya sambil bergerak ke arah almari. Mahu mencari baju yang sesuai untuk keluar bersama Fiqa nanti.
            “Habis dia tak pelik ke kau tak pergi kerja hari ni?” Makin berganda rasa hairan Fiqa.
            “Pandailah-pandailah aku. Kau ni pun… itu pun sibuk nak tahu,” bebel Amisya.
            Fiqa ketawa. “Okey, okey, jumpa nanti ye mak cik? Bye!”
            Talian dimatikan.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
“KAU nak masak apa malam nanti, Ami?” Noni yang turut menemani sibuk bertanya kepada Amisya. Dari tadi dia menyorong troli mengikut langkah Amisya dan Fiqa ke sana ke mari. Naik lenguh kaki jadinya. Memang sejak dia sah menjadi isteri kepada Hafizi, dia sudah pun menetap di Kuala Lumpur. Kerana itulah mudah untuknya keluar bersama mereka berdua.
            “Aku ingat nak masak yang simple-simple aje. Lagipun, Ery tak suka makan berat malam-malam,” jawab Amisya sambil mata tidak lepas-lepas memerhati setiap barangan yang tersusun di depan mata.
            “Mestilah kena yang simple. Kalau berat nanti, susah pulak nak tidur!” Dengan selamba Fiqa mengusik sebelum terkekeh-kekeh bersama Noni.
            Amisya berpaling ke arah kedua-duanya dengan tangan bercekak pinggang. “Amboi, amboi… Aku tahulah kau tu dah pregnant. Nak bagi tips kat aku ke ni?” Selamba juga dia membalas.
            Fiqa ketawa lagi. Noni pula sekadar menjeling rakannya itu. “Ami yang kahwin dulu. Asal kau pregnant dulu ek?” Blur mukanya bertanyakan soalan itu.
            “Hah! Yang tu aku rasa better kau pergi tanya Ery kenapa Ami tak pregnant lagi sampai sekarang,” jawab Fiqa. Sesaat dua berlalu sebelum dia dan Noni sama-sama melambakkan tawa. Langsung tidak peduli dengan pandangan orang sekeliling.
            Merah muka Amisya jadinya bila diusik begitu. “Malas aku layan korang!” Dia kembali berpaling mencari barang untuk dibeli.
            Setelah hampir penuh satu troli itu, barulah Amisya berhenti. Troli ditolak menuju ke arah kaunter bayaran. Sesudah itu, Fiqa dan Noni membantunya memasukkan barang-barang ke dalam bonet kereta.
            “Ami, kau hantar aku kat restoran depan tu boleh?” pinta Noni sebaik masuk ke kereta.
            “Nak buat apa kat sana?” Fiqa terlebih dulu bertanya sebelum sempat Amisya membuka mulut.
            “Hubby aku ajak lunch kat sana,” beritahu Noni malu-malu kucing.
            Amisya dan Fiqa berpandangan seketika sebelum masing-masing tersenyum. Amisya memasukkan gear dan mula memandu. Tiba di restoran yang dimaksudkan, dia segera menekan brek. “Kirim salam kat hubby kau ek. Cakap kat dia, aku rindu gila nak gaduh dengan dia.” Sempat Amisya berpesan sebelum sempat Noni turun dari keretanya. Fiqa yang duduk di sebelah sekadar ketawa.
            “Yelah… nanti aku sampaikan salam rindu kau tu!” balas Noni dengan suara yang jelas terkandung nada cemburu. Tetapi dia tahu Amisya hanya bergurau. Bukan dia tidak tahu betapa rapatnya hubungan Amisya dan suaminya itu.
            Amisya tergelak. Tangannya melambai sambil memerhati langkah Noni masuk ke dalam restoran.
            Setelah menghantar Fiqa pulang ke rumahnya, Amisya segera mengangkut barang-barang masuk ke dapur. Sedang berfikir-fikir menu apa yang mahu dimasakkan untuk Fakhry nanti, telefon bimbit yang diletakkan di ruang tamu berbunyi. Bergegas Amisya keluar dari dapur untuk menjadi panggilan itu. Membaca nama Fakhry di skrin, bibirnya terus mengukir senyuman manis.
            “Hai sayang. Abang nak pergi meeting ni, sekali dengan lunch. Sayang dah makan?” Lembut suara Fakhry menyapa pendengaran Amisya.
            “Belum, baru aje nak masak ni…”
            “Masak?” Fakhry terkejut. “Sayang dah sihat ke?”
            Mendengar soalan itu, Amisya terus menekup mulut. Macam mana boleh terlepas cakap ni? “Err…”
            “Nak abang hantarkan makanan? Nanti lepas habis meeting abang singgah rumah. Sorrylah lambat sikit… abang kena pergi meeting dulu…”
            “Tak, tak apa tak apa.” Cepat-cepat Amisya menahan. “Aira boleh makan apa-apa aje yang ada nanti. Abang jangan risau,” ujarnya.
            “Betul ni?” Fakhry masih ragu.
            “Emm…” Amisya mengangguk. Seolah-olah Fakhry ada di depannya saat itu.
            “Tapi kan…”
            “Abang, Aira okey. Abang janganlah risau. Abang pergi aje meeting tu, siapkan kerja cepat-cepat. Nanti abang balik awal tau?” Amisya melembutkan suara. Tidak mahu suaminya itu risau. Lagipun, dia bukannya sakit betul pun. Olok-olok aje.
            “Hmm… okeylah kalau macam tu. Aira jangan buat kerja berat-berat tau? Kalau ada apa-apa, terus call abang.” Fakhry mengulangi pesanannya pagi tadi.
            “Okey,” balas Amisya sebelum mematikan talian. Bibirnya mengukir senyuman. Kalau diikutkan, sepatutnya esoklah hari ulang tahun perkahwinan pertamanya dengan Fakhry tetapi memandangkan dia mahu membuat kejutan, terpaksalah dibuat juga hari ini. Telefon bimbit diletakkan semula di atas meja sebelum dia kembali ke dapur.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
SETELAH memastikan solekannya di mukanya hampir sempurna tanpa ada cacat-cela, barulah Amisya puas hati. Rambut yang disanggul cantik dibetul-betulkan. Dia bukannya suka bersolek, tetapi demi Fakhry, dilakukan juga. Dia mahu menjadikan malam ini malam yang istimewa antara mereka berdua. Sesudah pasti gaun malam yang dipakai tidak nampak pelik bila tersarung di tubuhnya, dia tersenyum. Cantik jugak aku ni! Sempat lagi dia memuji diri sendiri.
            Amisya melangkah turun ke tingkat bawah. Hidangan yang dimasak sendiri siang tadi sudah elok terhidang di atas meja makan. Hampir sempurna. Jam yang tergantung di dinding ruang tamu ditoleh. Sudah hampir pukul 8.30 malam tetapi bayang Fakhry masih juga tidak kelihatan. Amisya menarik kerusi lalu duduk. Sabar menanti kepulangan suaminya itu.
            Hampir setengah jam berlalu, bayang Fakhry masih tidak kelihatan. Amisya gelisah sendiri. Mundar-mandir dia di ruang makan itu. Sekejap duduk, sekejap kemudian berdiri semula. Tetap disabarkan hati untuk terus menunggu. Ketika berpaling ke arah jam beberapa ketika kemudian, jarum sudah menunjukkan pukul 9.40 malam. Bosan menunggu, Amisya akhirnya membuat keputusan untuk menghubungi Fakhry. Agak lama dia menanti, barulah panggilannya berjawab.
            “Abang kat mana ni? Tadi janji nak balik awal,” tanya Amisya dengan suara yang tertahan. Tidak mahu Fakhry dapat mengesan rasa geram dan marah yang cuba disembunyikan. Kalau boleh, dia tidak mahu berlaku sebarang pergaduhan antara mereka malam ini.
            “Eh, dah pukul berapa ni?” Nada suara Fakhry jelas terkejut.
            “Dah nak dekat pukul 10.00 ni!” Amisya mengetap bibir. Nampak sangat Fakhry langsung tak ingatkan dirinya. Buat penat aje bersiap lawa-lawa, siap masak hidangan special lagi tu! Hatinya menggerutu sebal.
            “Alamak, sayang… sorry, abang betul-betul tak sedar. Tadi lepas maghrib abang ingat nak sambung kerja sikit lagi. Tak sedar pulak dah…”
            “Abang janji nak balik awal!” ungkit Amisya sebelum sempat Fakhry menghabiskan ayatnya.
            “Sorry… abang banyak kerja lagi ni…” Fakhry memberi alasan.
            Amisya menghentak kaki ke lantai. Geram teramat sangat. Mujur Fakhry tiada di depan mata. Kalau tidak, ada jugak yang kena baling kuali nanti. “Tak apalah kalau macam tu. Abang buatlah kerja abang tu…” Nada rajuk sudah menyelit pada suara Amisya.
            “Sayang, bagi abang 15 minit je lagi. Nanti abang balik.” Fakhry cuba memujuk. Suaranya dilembutkan.
            “Tak payah. Siapkanlah kerja abang tu. Tak payah balik terus pun tak apa. Tidur aje kat ofis. Senang!” Habis berkata-kata, Amisya segera memutuskan talian. Bukan itu saja, telefon bimbit itu pun dimatikan terus. Dia berpaling ke arah hidangan yang tersedia di atas meja. Dengan hati yang sebal, dia mengangkat segala pinggan, piring, gelas dan semua yang ada di atas meja itu ke dapur semula. Hidangan yang belum bersentuh dibuang ke dalam tong sampah. Tanpa membasuh pinggan-pinggan itu semua, dia berlalu naik ke bilik di tingkat atas dengan hati yang sarat dengan rasa kecewa.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
TERADA kucupan lembut di dahinya, Amisya membuka mata. Dalam keadaan mamai itu, dia boleh nampak Fakhry sedang tersenyum ke arahnya. Amisya segera berpaling membelakangi Fakhry. Rajuknya malam tadi masih belum surut. Makin bertambah adalah.
            “Sayang, bangunlah. Kita solat Subuh sama-sama,” ujar Fakhry. Bahu Amisya disentuh lembut.
            Amisya masih memejam mata. Rasa kantuk masih bergayut di kedua-dua matanya. Walaupun malam tadi dia tidur awal, masih belum puas juga untuk terus tidur.
            “Sayang, bangunlah. Karang terlepas Subuh pulak,” panggil Fakhry lagi. Dia tahu Amisya marah padanya. Memang patut pun isterinya itu marah. Sudah terang lagi bersuluh kesalahan berada di pihaknya. Hanya Allah yang mengerti perasaannya ketika melihat isi tong sampah malam tadi. Dengan pinggan mangkuk yang memenuhi ruang singki, cukup untuk memberinya jawapan apa yang telah berlaku.
            Amisya paksa dirinya untuk turun dari katil. Tanpa mempedulikan Fakhry, dia segera bangun menuju ke arah bilik mandi.
            Usai solat Subuh, Amisya turun ke dapur. Marah macam mana pun, tanggungjawab seorang isteri tetap tidak akan dilupakan. Setelah membersihkan ruangan singki, dia beralih ke arah peti ais. Mencari bahan untuk dibuat sarapan. Melihat bahan-bahan yang ada di dalam peti itu, akhirnya dia memutuskan untuk memasak nasi goreng saja. Lebih dari cukup untuk mengalas perut sebelum ke tempat kerja.
            Sedang dia menghidangkan sarapan di atas meja, terasa pinggangnya dipeluk dari arah belakang sebelum satu ciuman singgah di pipinya. Amisya menolak perlahan tangan Fakhry sambil berpaling.
            “Nak ke mana? Temankan abang makan dulu,” pinta Fakhry lembut.
            “Nak pergi bersiap, kang lambat pulak pergi kerja. Abang makanlah dulu.” Dingin Amisya membalas. Tanpa mempedulikan Fakhry lagi, dia mengatur langkah untuk naik ke bilik. Walaupun bibir ingin sekali bertanyakan kenapa Fakhry berpakaian santai dan langsung tiada rupa orang mahu pergi ke pejabat, dia tetap diamkan diri.
            Fakhry mengeluh kecil melihat reaksi dingin Amisya itu. Belum sempat kaki Amisya menjejak anak tangga pertama, dia segera bersuara. “Nanti Aira kemaskan baju ye?”
            Kata-katanya itu berjaya membuat Amisya berhenti melangkah. Spontan kepalanya tertoleh ke arah Fakhry. Mukanya berkerut. “Nak buat apa kemas baju?”
            Fakhry tersenyum sambil melangkah mendekati Amisya yang masih statik di depan tangga. “Hari ni kita keluar nak? Abang nak celebrate anniversary kita,” jelasnya.
            Amisya terdiam tanpa suara. Tidak berkelip matanya menatap wajah Fakhry.
            Fakhry memeluk pinggang Amisya. “Happy anniversary, sayang. Abang mintak maaf pasal malam tadi. Kalau abang tahu Aira nak buat surprise, sumpah abang takkan balik lambat,” ucapnya perlahan, cukup romantis kedengaran di telinga Amisya hingga membuatkan isterinya tidak mampu berkata apa-apa.
            “Sayang… dengar tak ni?” tegur Fakhry bila melihat Amisya terus diam.
            “Err… dengar… tapi…”
            “Jom, kita makan dulu lepas tu nanti kemas baju sama-sama.” Fakhry menarik tangan Amisya untuk kembali ke ruang makan.
            “Tapi… Aira kerja hari ni…”
            “Tadi abang dah called Farizul. Dia cakap tak apa kalau Aira tak masuk kerja hari ni. Abang dah ‘booking’ Aira,” ujar Fakhry, sekali gus membuatkan Amisya terdiam. Terkebil-kebil matanya tidak berkelip.
            “Err…” Masih ada yang ingin ditanyakan Amisya tetapi suara seakan-akan tersekat di kerongkong. Sudahnya, dia hanya mengikut langkah Fakhry kembali ke ruang makan.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
SUNGGUH Amisya tidak menyangka Fakhry mahu membawanya ke Cameron Highland. Sampai saja di atas bukit yang berhawa dingin itu, mereka terus mendaftar masuk di sebuah hotel. Selesai semua urusan, Fakhry membawa Amisya ke Ladang Strawberi. Melihat suasana di situ, hati terasa damai. Rasa terharu menyelinap masuk ke dalam hati Amisya.
            “Abang nak bawak pergi jauh-jauh tak boleh. Kat ofis tu kerja berlambak-lambak lagi. Nantilah… bila dah lapang sikit, abang ambik cuti. Kita pergi honeymoon sekali lagi. Okey?”
            Lembut suara Fakhry menampan gegendang telinga Amisya. Dia berpaling merenung wajah suaminya itu dengan mata berkaca. “Ini pun dah cukup untuk Aira,” ucapnya, terharu.
            Fakhry tersenyum. “Kalau kita ada anak, mesti lagi best, kan?”
            Amisya merenung wajah Fakhry. “Aira mintak maaf…” Kepalanya menunduk kemudiannya. Sebak tiba-tiba.
            “Kenapa nak mintak maaf?”
            “Sebab Aira masih tak dapat beri zuriat untuk abang,” ucap Amisya sayu. Kolam matanya sudah dipenuhi air. Hanya menanti masa untuk gugur menuruni pipi.
            Fakhry tersenyum. Tubuh Amisya ditarik rapat padanya. “Abang tak kisah. Mungkin belum rezeki kita. InsyaAllah bila sampai masanya nanti, Allah akan bagi jugak. Sabar ya?” pujuknya. Air jernih di birai mata Amisya dikesat dengan hujung jarinya.
            Amisya tersenyum dan mengangguk. Cintanya buat Fakhry bagaikan terus bercambah dari hari ke hari. Hanya satu doanya, moga Allah terus merestui cinta mereka hingga ke hembusan nafas yang terakhir.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
p/s --> Thanks baca. Kalo tak keberatan, komenlah... heheee ^__^
~end

14 comments:

amorey chenyonye said...

best.ala pendek sangat.bila scroll kat bawah saya harapkan masih panjang tapi dah habis plak...cik writter cam nak cepat sangat habiskan.hehehe..meng terbaeklah..teruskan berkarya k.

[AYUMI AFIQAH] said...

hahaha... dh x de idea nk wt panjang2. tulis ni pun sbb dah rindu sgt kt couple ni. hehehe..
pape pun thanks ye bg komen.. ^__^

RinsyaRyc said...

klau pnjang kang jadila novel... hahaha.... smbung part 2 . tpi siyes best...
tu la balik lewat, ingat keje x ingat bini... *seb baik x de anak lagik... hehehehe

[AYUMI AFIQAH] said...

amisya nk wt kejutan. tp last2 dia yg terkejut.. hahahaa

EngkuNoni EngkuAlam said...

terbaikkkkk ummi..noni suke sbb bab 1 pon name noni ade dah..bhaha..untung laa lepas kawen noni duk KL..kuo ngan piqah ngan ummi sokmo plok tuh..dop bosan laa..terima kasih laa ummi letak name noni lam kisah ery ngan ami ni.. :)

[AYUMI AFIQAH] said...

hihihihi... kena ada sbb antara wtak penting *erk.. yeke penting? hehhee...
sama2 noni... thanks jgk spend time baca cite nih..hihihi

NiA DaRnEs(Nur Ain Syahira) said...

so sweetnye...suke3

[AYUMI AFIQAH] said...

sweet eh? hehehe :)

miss liya said...

kenapa pendek sangat?? ><

[AYUMI SYAFIQAH] said...

Sebab dia pendek la.. hahhaa

aQiS said...

lahh, lps bce scroll bwh. igtkan ade lgi.... mmg TERBAEKK! best! igtkan nk smbong lgi psl dorg Honeymoon sbb best sgat.. hehe :D

Anonymous said...

Best ... hara nanti ader sambungan...

Dalilah :) said...

Sedihnye kne brpisah ngn Amisyaa, Fakhry and Fizi! Mmg feeling habes la bce novel ni. smpai tk sdar dh bce episod lastt, huhu :'( Awy, CONGRATESS Penulis krna brjye hbeskan e-novel yg brjye bt sy mnangis sbb tacink, HAHA^^

Anonymous said...

Its 2016 and i still re read aishiteru. I'm looking for chapter 23 and above and can't find. Can you please paste it back? Teringin nak baca balik. Thanks.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...