++ Suntikan Semangat! ++

Tuesday, February 7, 2012

- Kau VIP di hati ku 9 -

Episod 9

AKU tidak tahu kenapa semakin hari Ashraf semakin baik denganku. Setiap hari, dia seolah-olah cuba merapatkan jurang yang pernah dia sendiri cipta antara kami. Aku tidak pasti apakah perasaanku dengan perubahan ini. Sedihkah aku? Semestinya tidak kerana memang ini yang aku harapkan daripada Ashraf. Kalau pun dia tidak dapat membalas perasaan yang sudah tumbuh di hati ini buat dia, sekurang-kurangnya dia masih sudi menjadi rakanku. Gembirakah aku? Entahlah... aku juga tidak pasti kerana aku takut aku yang akan kecewa sekiranya aku mula menaruh harapan agar kemesraan yang dia tonjolkan ini berpanjangan.

Sebaik turun dari kereta, dia tersenyum memandangku dan mengajak aku untuk sama-sama masuk ke kawasan sekolah. Tiada lagi arahan untuk aku membawa beg sekolahnya seperti selalu. Sebaliknya, dia lebih selesa berjalan beriringan denganku menuju ke kelas. Sesekali, terlintas juga di benakku ini adakah dia tidak kisah sekira-kiranya teman-temannya menggosipkan kami berdua? Bukankah dulu dia dengan angkuhnya pernah berkata bahawa aku ini bukan jenis perempuan yang dia inginkan? Sungguh aku bingung dengan sikap Ashraf yang suka berubah-ubah dalam sekejapan waktu.

Sampai di kelas, Fathir sudah menantiku di depan pintu. Senyuman manis tidak pernah lekang di bibirnya buatku. Aku turut membalas senyuman itu. Namun, senyumanku mulai surut bila aku perasan raut wajah Ashraf mula berubah. Tanpa berkata apa-apa padaku, dia segera masuk ke kelas. Aku terkebil-kebil tidak mengerti.

"Cici, lepas sekolah ni awak free tak?" tanya Fathir sekali gus mengalih perhatianku.

Aku memandangnya. "Lepas sekolah? Entahlah... kenapa?"

"Saya ingat nak ajak awak belajar sama-sama kat library. Nak tak?"

Aku berfikir-fikir sebentar. Kalau mengikut jadual, petang ini Ashraf ada latihan bola sepak. Percaya atau tidak, aku sudah menghafal jadual latihan Ashraf. Lantas, aku berpaling pada Fathir semula sebelum mengangguk. Tiada masalah bagiku untuk belajar bersama-sama dengannya. Lagipun, dia memang bijak terutamanya dalam mata pelajaran yang berasaskan Sains.

"Okey, lepas solat zuhur jumpa kat library. Bye!" Fathir melambai sebelum menghilang ke kelasnya yang berselang dua kelas dari kelasku.

Aku tersenyum memandangku. Tidak dapat dinafikan, aku memang senang berkawan dengannya. Dia memang baik. Tidak pernah menyakiti hatiku, dan sentiasa berusaha untuk membuatkan aku tersenyum pabila bersamanya. Langkahku terbantut bila melihat Ashraf tercegat di depan pintu kelas. Entah bila dia muncul pun aku tidak sedar. Aku mendongak memandang wajahnya dengan terpinga-pinga.

"Dia nak apa?" soalnya serius. Tiada lagi senyumannya tadi.

Aku menelan liur. Kenapa aku bagai dapat mengesan nada cemburu pada suaranya itu? "Dia... ajak saya study sama-sama kat library lepas habis sekolah nanti."

"Kau setuju?"

Soalan seterusnya daripada dia membuatkan aku makin hairan. Tetapi, aku tetap mengangguk sebagai jawapan pada soalan itu.

Ashraf diam. Aku semakin resah dengan situasi ini. Kenapa dengan dia? Ingin sekali aku bertanya tetapi akalku segera menegah. Siapa aku untuk bertanya itu ini pada dia? Aku tiada hak.

"Ash... ke..." Aku tidak tahu apa yang harus aku katakan. Raut wajahnya mendung, tidak lagi serius seperti tadi. Sukar untuk aku baca apa sebenarnya yang tersirat di hati dia saat ini.

Ashraf menghembus nafas. Tanpa berkata apa-apa, dia berpaling dan kembali masuk ke kelas. Aku memandang langkahnya dengan kerutan di hati. Ashraf... dia memang pelik. Langsung aku tidak faham apa yang dia rasakan. Terkadang aku terfikir, kenapalah aku boleh jatuh sayang pada orang seperti dia?

>>>>>>>>>

Seperti yang telah dijanjikan, aku ke perpustakaan sekolah setelah mengerjakan solat zuhur di surau sekolah. Fathir sudah sedia menanti aku di situ. Aku tersenyum sambil mendekatinya. "Nak belajar apa hari ni?" tanyaku sambil duduk di depannya.

"Awak?" Dia mengalih soalan padaku.

"Emm... rasa macam nak belajar Chemistry. Awak tolong saya boleh? Banyak benda yang saya tak faham..." ujarku sambil mengeluarkan buku teks dan latihan Chemistry.

"Yang mana?"

"Bab 2... yang ada lukis-lukis struktur tu semua. Pening sangat!" kataku.

Dia tergelak kecil. "Boleh? Biar saya ajar awak..." katanya.

Aku tersenyum senang. Jika dinilai dari segi hati budi dan sikap, aku rasakan Fathir jauh lebih baik dari Ashraf. Kalaulah Ashraf tiada di hatiku, pasti sudah lama aku jatuh hati pada lelaki di depanku ini. Tetapi, kedudukan Ashraf yang kukuh di hatiku seolah-olah menghalang semua itu daripada berlaku.

>>>>>>>>>>

"Cukuplah!" Ashraf menjerit, sekali gus mengejutkan rakan-rakannya yang masih asyik berlatih. Dia mengeluh penat sambil berjalan ke tepi padang. Dia duduk di bawah pokok, bersandar pada batangnya. Keluhan terlepas lagi dari mulutnya.

"Kau kenapa, Ash? Macam tak ada semangat aje aku tengok. Tengok bola pun dah macam tak ada nafsu," tegur Tam pelik. Kata-katanya itu disambut dengan gelak Ayie dan Mus.

Ashraf tidak menjawab. Sememangnya saat ini moodnya sudah terbang melayang. Fikirannya hanya dipenuhi dengan seraut wajah.

Ayie menepuk bahu Ashraf. "Asal ni, bro? Tak bestlah macam ni. Ada masalah ceritalah kat kitorang," ujarnya. Tam dan Mus mengangguk-angguk setuju.

Ashraf menghela nafas panjang. Tangannya meramas-ramas rambut. "Korang rasa, patut ke aku bagitahu Cici perasaan aku?"

"Perasaan kau? Perasaan apa?" Tam bingung.

"Kalau kau nak bagitahu dia yang dia bukan taste kau, baik tak payah. Menangis tak berlagu Cici tu nanti..." sampuk Mus pula. Tidak perlu diberitahu pun, dia tahu yang Cici memang menyukai Ashraf. Cuma Ashraf yang berperasaan sebaliknya.

"Apa kau merepek ni?" Ashraf mengerutkan muka memandang Mus.

Mus terpinga-pinga. Dia memandang Ashraf, Ayie dan Tam bersilih ganti. "Aku salah cakap ke?"

Tam tiba-tiba ketawa. "Aku rasa, aku tahu apa yang dah melanda kau ni, Ash. Kau sebenarnya suka kat Cici tu, kan?" tekanya. Memang dia sudah agak perkara itu tetapi Ashraf sering menafikan.

Ashraf terdiam dengan kepala menunduk.

"Ya ke, Ash? Tapi bukan ke hari tu kau cakap..." Mus masih tak faham. Blur!

"Tak payah nak berlagak sangatlah, Ash... Kalau dah suka tu, mengaku aje. Tak payah nak buat-buat cool. Karang kalau kena sambar, baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah!" Ayie menyindir. Betul-betul kena atas kepala Ashraf!

"Betul tu. Aku tengok Fathir budak baru tu pun macam tengah intai peluang aje nak mengurat Cici tu. Hari-hari kot tunggu Cici kat depan kelas pagi-pagi. Tak pun, ajak makan sama kat kantin. Tadi pulak aku nampak dia pergi library, nak belajar sama-sama dengan Cicilah tu..." tambah Tam pula. Dia dan Ayie memang sekepala.

Ashraf masih lagi diam membisu. Dia nampak semua itu. Bukannya dia buta hingga tidak mampu menilai. Melihat cara Fathir memandang Cici pun, dia sudah dapat mengagak apa yang tersirat di hati lelaki itu. Yang pasti, apa yang tersirat di hati mereka kini sama. Dia memang menyukai Cici, tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan. Dia tidak sedar bilakah perasaan itu tumbuh di hatinya. Ia tumbuh dengan sendirinya, tanpa sempat dia menahan. Kini, dia merasakan sudah tewas sebelum berlawan. Fathir semakin mendapat tempat di hati Cici.

"Ohh..." Mus mula faham dengan situasi yang berlaku. "Maksudnya sekarang ni, kau memang suka Cici, kan?" Dia tergelak tiba-tiba. "Itulah... dulu sombang sangat. Bukan taste kau konon!" ejeknya sambil ketawa lagi.

"Diamlah kau! Kalau setakat nak menambahkan sakit hati aku, baik tak payah!" marah Ashraf. Tercuit rasa marahnya mendengar tawa Mus itu. Seolah-olah Mus sengaja mahu membakar hatinya. Lebih-lebih lagi bila mengenangkan kemesraan Fathir dan Cici yang semakin terserlah dari sehari ke sehari.

Mus terdiam. Dijeling Tam dan Ayie yang tersengih-sengih. "Relakslah, Ash... tak terlambat lagi kalau kau nak pikat Cici tu. Beritahu dia perasaan kau..." Ayie seolah-olah memberi semangat.

Tam mengangguk. "Betul tu, Ash. Bukan ke kau pernah cakap kat kitorang yang Cici tu ada simpan perasaan kat kau?"

"Itu dulu, sebelum dia kenal Fathir. Sekarang aku tak tahu..."

"Kalau tak tahu, kenalah cari tahu!" tambah Ayie. Dia mengangkat kening bila Ashraf memandangnya.

Ashraf berfikir-fikir maksud yang cuba disampaikan Ayie itu. Lama dia begitu sebelum terasa seolah-olah ada mentol yang sedang menyala di atas kepalanya. "Aku pergi dulu. Jumpa esok!" Dia bangkit berdiri, mencapai beg dan berlari meninggalkan Mus, Ayie, Tam dan beberapa orang lagi ahli pasukan bola sepak.

"Gambate!!!" jerit Ayie dan Tam serentak sementara Mus masih dengan wajah terpinganya.

>>>>>>>>>>

Selesai belajar, aku dan Fathir menapak keluar dari perpustakaan. Aku duduk memakai kasut, begitu juga dengan Fathir. Kemudian, aku mencapai beg dan menyangkutnya ke bahu. "Terima kasih sebab sudi ajar saya tadi. Saya balik dulu," ujarku meminta diri.

"Err... Cici!" Panggilan Fathir menyekat langkahku. Aku kembali berpaling padanya.

"Emm... saya... saya ada benda nak cakap dengan awak," ujarnya. Suaranya yang tersekat-sekat itu mengundang rasa pelik di benakku.

"Apa dia?" Tenang aku bertanya.

"Hmm... macam ni..." Dia berhenti seketika. Seolah-olah mencari ruang untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. Tidak semena-mena, aku pula yang berdebar-debar.

"Saya sebenarnya..." Dia menghela nafas. Seakan sukar benar untuk dia bersuara. "Saya sebenarnya... saya suka awak..."

Mendengar kata-kata itu, aku terdiam. Suka? Suka yang macam mana? Kalau diukur hanya dengan perkataan 'suka' itu, aku juga suka akan dirinya. Tetapi, cuma setakat itu. Bukan suka yang terselit perasaan sayang yang melebih untuk seorang kawan, apatah lagi cinta.

"Saya suka awak, sejak dari hari pertama saya kenal awak..." luah Fathir lagi.

Aku mengalih anak mataku ke arah lain. Hatiku jadi tidak keruan tiba-tiba. Dia suka aku? Fathir suka aku? Kalaulah Ashraf yang meluahkan kata-kata itu saat ini, pasti akulah insan yang paling gembira. Tapi... entahlah, aku tidak tahu apa yang harus aku jawab.

"Saya tahu mungkin awak tak suka saya..." Fathir menunduk.

"Bukan macam tu," tahanku. "Saya... saya bukan tak suka awak. Tapi, saya cuma anggap awak macam kawan saya. Awak kawan baik saya, selain Yana," terangku. Aku tidak mahu hubungan persahabatan kami terputus hanya disebabkan luahannya tadi. Aku masih mahu berkawan dengannya.

Fathir mengukir senyuman buatku. Tetapi aku tahu, senyuman itu ada terselit duka. Adakah aku sudah mengecewakannya?

"Saya mintak maaf..." ucapku perlahan, penuh rasa bersalah.

Fathir menggeleng. "Tak apa, saya faham." Dia tersenyum lagi. "Tapi... kalau awak tak keberatan nak bagitahu saya, ada orang lain ke kat hati awak?" soalnya pula.

Aku tersentap mendengar soalan itu. Fathir tidak pernah tahu siapa yang ada di hatiku. Perlukah aku memberitahunya? Kalaulah dia tahu di hatiku ada terlukis cantik nama Ashraf, apakah perasaannya? Mungkin juga dia akan tersenyum mengejek kerana dia tahu betapa bencinya Ashraf padaku. Tiba-tiba saja, aku jadi malu untuk mengaku. Aku tunduk sebelum menggeleng perlahan.

Fathir tersenyum tiba-tiba. "Kalau macam tu, saya masih ada peluang, kan?" Suaranya berubah ceria semula.

Aku merenung wajahnya. "Tapi..." Aku tidak mahu dia berharap padaku. Aku tidak mahu itu berlaku kerana aku tidak mahu dia kecewa nanti. Jadi sebelum itu berlaku, ada baiknya kalau dia melupakan aku terus.

"Awak jangan risau, saya takkan paksa. Saya sedar, tak lama lagi kita dah nak exam, kan? Saya tak akan paksa awak terima saya. Saya akan tunggu," ujar Fathir. Dapat aku lihat keikhlasan di sebalik sepasang matanya itu.

Aku jadi terharu tiba-tiba. Bila mengenangkan kemungkinan bahawa dia akan melupakan aku sesudah kami menjejakkan kaki ke menara gading nanti, aku terus tersenyum dan mengangguk. Aku sendiri tidak pasti adakah perasaanku pada Ashraf akan berkekalan atau tidak, jadi tiada salahnya jika aku menerima kata-kata Fathir itu. Kan?

Aku berpaling setelah meminta diri dan mula melangkah menuruni tangga. Namun, langkahku terhenti bila perasan ada seseorang sedang duduk di sebalik tangga. Ashraf! Terkejut aku melihat dia di situ. Pada saat itu juga, dia berpaling padaku. Aku gugup. Adakah dia dengar apa yang aku dan Fathir cakapkan tadi? Tanpa sebab, aku jadi kecut perut tiba-tiba.

Ashraf tidak berkata apa-apa. Tapi aku dapat lihat wajahnya keruh sekali. Dia berpaling. Tanpa menunggu lagi, dia mula mengatur langkah meninggalkan aku yang masih terpaku di situ.

>>>>>>>>>>

2 comments:

Misz Mardha said...

How sweeeeaaattt . Haha . Agak dah citer die mcm ni . :D

[AYUMI AFIQAH] said...

sape yg sweet tu ek? hehehee... :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...