++ Suntikan Semangat! ++

Tuesday, February 7, 2012

- Kau VIP di hati ku 8 -

Episod 8

HARI minggu itu, Yana datang ke rumah untuk belajar bersama-sama denganku. Senyuman manisku menyambutnya di depan pintu rumah.

"Mama Ashraf tak marah ke aku datang ni?" tanya Yana dalam nada sedikit berbisik. Panjang lehernya meninjau-ninjau ke dalam rumah.

Aku tersenyum kecil kemudian menggeleng. "Mama dia okey. Jom!" Tangannya aku tarik untuk masuk ke dalam rumah.

"Untung kau, Cici. Mama Ashraf dah anggap kau macam anak dia. Jangan nanti jadi menantu sudahlah ya!" Yana mengusikku. Mungkin dia tidak sedar kata-katanya itu menyentap jantungku. Mungkin pada dia, itu cuma sekadar gurauan tetapi padaku, itu perkara yang serius. Mana mungkin Ashraf mahu menerima aku sebagai isterinya? Melihat raut wajahku yang berubah keruh, Yana bertindak memegang tanganku. "Sorry, Cici... aku tak ada niat pun..."

Aku tersenyum sambil menggeleng. "Tak apa, aku faham," balasku. Kenapalah aku perlu berfikir jauh hingga ke alam perkahwinan? Semua itu masih jauh untuk dicapai. Dan, tidak mustahil seandainya aku akan bertemu lelaki lain setelah menjejakkan kaki ke menara gading nanti. Tetapi, mampukah aku menggantikan tempat Ashraf di hatiku dengan yang lain?

"Jom mula." Aku mencapai buku yang telah tersedia di atas meja. Yana hanya mengangguk. Kami memulakan sesi pembelajaran hari itu dengan subjek Matematik. Sambil belajar, kami berkongsi macam-macam cerita dan sesekali diselitkan dengan tawa kecil.

Tawaku mati bila tiba-tiba aku terpandangkan Ashraf sedang melangkah turun dari tingkat atas. Yana turut menoleh ke arah yang sama. Ashraf hanya buat tidak nampak akan kami berdua. Dia hanya berjalan terus menuju ke dapur, seolah-olah aku dan Yana tidak wujud di ruang makan ini.

"Apasal mamat tu? Serius aje muka dia." Yana berbisik di telingaku. Siapa lagi yang dia maksudkan kalau bukan Ashraf.

Aku menjongket bahu. Aku menyangkakan hubunganku dengan Ashraf semakin baik. Tetapi ternyata aku silap. Ashraf semakin jauh dariku setelah peristiwa pada hari sukan tempoh hari. Aku tidak pasti kenapa dia perlu marah begitu denganku. Adakah hanya kerana aku tidak pergi menonton perlawanannya? Tetapi, bukankah aku yang sepatutunya marah padanya kerana kata-kata pedihnya tempoh hari? Sungguh, aku tidak mengerti dengan sikap lelaki itu.

"Pelik betullah. Jarang sangat aku tengok mamat tu senyum," gumam Yana dengan bibir tercebik. Aku tahu dia memang kurang suka dengan Ashraf.

"Tak apalah... lagipun dah biasa," balasku, ingin menutup terus cerita tentang Ashraf. Sesungguhnya, aku tidak suka mendengar Yana berkata yang tidak-tidak tentang Ashraf. Seteruk mana pun dia, dia tetap lelaki yang istimewa di hatiku.

>>>>>>>>>>

Aku terserempak dengan Fathir di tangga. Seperti biasa, senyuman manis pasti dihulurkan buatku. Aku membalas senyumannya.

"Nak ke mana?" tanya Fathir.

"Bilik guru, nak jumpa Cikgu Mastura kejap," jawabku. Kami melangkah beriringan menuruni tangga.

"Kebetulan saya pun nak pergi bilik guru jugak ni."

"Nak buat apa?"

"Ada hal sikit," jawab Fathir, seakan tidak mahu aku tahu tujuan sebenarnya mahu ke bilik guru.

Aku mengangguk dan tersenyum tanda tidak kisah. Entah di mana silapnya, kakiku tiba-tiba tidak berpijak dengan betul. Membuatkan aku terjatuh di atas tangga tanpa sempat berpaut apa-apa. "Aduh!" jeritku kesakitan. Buku laliku terasa sengal.

"Cici! Awak okey? Macam mana boleh jatuh ni?" Fathir kalut menyoalku.

Aku memejam mata. Rasa mahu menangis pun ada. Sakit sangat-sangat hingga aku tidak mampu menjawab soalan Fathir.

"Cici!"

Aku tersentak mendengar namaku dipanggil kuat. Aku membuka mata dan mendongakkan muka. Percaya atau tidak, Ashraf sedang berlari menuruni tangga mendapatkan aku. Aku kejung di situ, bagaikan berada di alam mimpi.

"Kau okey? Sakit tak? Nak aku tolong?" Nada suara Ashraf kedengaran panik sekali.

Aku masih terpinga-pinga. Rasa sakit tadi seolah-olah telah pergi dan digantikan dengan rasa hairan yang bertimpa-timpa. Fathir pula sudah terdiam tanpa dapat berkata apa-apa.

"Jom, aku bawak kau pergi bilik rawatan." Ashraf cuba membantuku bangun.

Aku cuba menepis tangannya. Tidak enak pula rasanya jika ada orang lain yang melihat. Tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu membantuku bangun. Lantas, apa lagi yang boleh aku lakukan memandangkan aku juga tidak mampu untuk berdiri sendiri pada waktu ini?

>>>>>>>>>>

Di bilik rawatan, Ashraf menemaniku. Aku tidak tahu bagaimana mahu mengungkapkan perasaanku tika ini. Kenapa tiba-tiba saja Ashraf jadi prihatin begini denganku? Bukankah sejak hari sukan tempoh hari dia sudah kembali menjaga jarak denganku? Apa yang telah merasuk lelaki itu hingga sikapnya boleh berubah-rubah dalam sekelip mata?

"Dah rasa okey?" soal Ashraf. Nadanya lembut, tidak kasar seperti selalu.

Aku mengangguk. Terasa bibirku lumpuh hingga tidak mampu untuk mengeluarkan suara.

Ashraf bangun, memandang ke arah Fathir yang sedang menantiku di pintu bilik itu. "Kau pergilah balik kelas dulu. Aku boleh temankan Cici kat sini," arahnya pada Fathir.

Aku terkebil-kebil. Kepalaku makin bingung. Adakah aku sedang bermimpi?

"Kenapa pulak kau nak sibuk-sibuk teman dia?" Fathir membalas dengan kasar. Raut wajahnya tegang sekali.

Ashraf tetap buat muka selamba. "Aku bertanggungjawab jaga Cici kat sekolah. Kau kalau tak tahu apa-apa, baik tak payah menyibuk." Sinis sekali kata-katanya itu.

Fathir merengus.

Aku cepat-cepat menyampuk sebelum keadaan menjadi semakin tegang. "Fathir, awak pergilah dulu. Nanti tak pasal-pasal awak kena marah dengan cikgu," ujarku. Jelas, aku memilih Ashraf untuk tetap bersamaku di bilik ini.

Ashraf mengerling ke wajahku. Dapat aku lihat senyuman nipis pada bibirnya. Akukah yang berkhayal atau adakah dia yang sudah tidak waras?

Fathir menghela nafas. Dia berpaling memandangku. "Okeylah, saya pergi dulu. Kalau ada apa-apa, bagitahu saya," pesannya.

Aku mengangguk. Fathir segera beredar tanpa memandang Ashraf lagi. Aku berusaha untuk turun dari katil tempat aku duduk tadi. Ashraf cepat-cepat memaut lenganku. Aku yang terkejut segera menepis.

"Aku cuma nak tolong. Boleh ke kau jalan ni?" tanya Ashraf dengan wajah selamba.

Jantungku sudah berdegup tanpa arah. Kedudukan kami begitu dekat sekali. Mujurlah pintu bilik rawatan ini terbuka luas. Kalau tidak, pasti sudah mengundang salah faham pelajar lain. Aku mengangguk. "Boleh." Sedaya upaya aku berusaha untuk melangkah menjauhinya.

Ashraf mengikut langkahku dari belakang. Sampai di tangga, aku teragak-agak untuk naik. Kakiku masih lagi terasa sakit. Aku mengerling ke arah Ashraf. Lelaki itu nampak santai sekali dengan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket seluar.

"Naiklah, aku ikut kat belakang. Kalau kau nak jatuh, aku tolong," ujarnya tenang.

Tidak dapat tidak, terbit juga rasa terharu di hatiku. Mahu juga dia menolong aku, gadis yang selama ini tidak pernah berharga di matanya. Aku membuka langkah, perlahan-lahan menaiki tangga untuk pulang ke kelas.

>>>>>>>>>>

"Cici! Jom pergi kantin. Lapar ni," ajak Yana sambil tersenyum memandangku.

Aku menjeling ke arah kakiku. Masih sakit. Bagaimana aku mahu berjalan ke kantin dalam keadaan begini? "Kau pergi soranglah. Kaki aku sakit lagi, tak larat nak jalan banyak-banyak..." ujarku lembut, tidak mahu dia terasa hati.

Yana memuncung. "Alah... tak bestlah kau tak ada. Jomlah, aku pimpin kau. Ya? Ya?" Dia buat muka kasihan. Tergelak aku melihat raut wajahnya itu. Aku mahu menemaninya seperti selalu tetapi keadaan kakiku tidak mengizinkan.

"Sorry sangat-sangat," ucapku.

Tidak kusangka, ketika itulah Ashraf datang mendekatiku. "Kau nak makan apa? Biar aku pergi belikan."

Kata-katanya itu membuatkan aku terpaku. Aku mengerling ke arah Yana. Ternyata, rakannya itu terlongo tidak percaya.

>>>>>>>>>>

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...