++ Suntikan Semangat! ++

Sunday, February 5, 2012

- Kau VIP di hati ku 6 -

Episod 6

ASHRAF ada latihan lagi hari ini. Jadi, peluang yang ada aku gunakan untuk mengulangkaji pelajar di perpustakaan sekolah. Teringat apa yang baru dipelajari di dalam kelas Biologi tadi. Topik baru yang Cikgu Fatimah ajarkan amat susah untuk kufahami. Setelah membuka kasut, aku menapak ke arah rak yang menempatkan buku-buku untuk pelajar Tingkatan 5.

Setelah mengambil buku yang aku inginkan, aku bergerak mencari meja. Banyak meja yang kosong memandangkan tidak ramai yang berkunjung ke perpustakaan pada waktu ini. Aku duduk di atas kerusi dan mula menyelak helaian pertama buku itu. Membaca apa yang tertulis di situ, kepalaku mula terasa bingung. Susah betul mahu memahami tajuk itu. Aku mengeluh tanpa sedar.

"Eh, Cici rupanya. Ingatkan siapa tadi..."

Aku berpaling ke arah datangnya suara itu. Melihat Fathir di situ, bibirku terus mengukir senyuman manis. Dia mengambil tempat di sebelahku.

"Sorang aje? Yana mana?" soal Fathir mesra. Dia memang selalu begitu denganku.

"Yana dah balik. Saya tunggu Ashraf habis latihan dulu," jawabku.

"Ohh!" Fathir terangguk-angguk. Melihat reaksi wajahnya, aku tahu dia tidak suka bila nama Ashraf disebut. "Awak belajar apa ni?"

"Bio. Tajuk digestion ni susah, kan? Saya tak berapa faham," ujarku. Keluhan kecil terkepas lagi.

"Digestion? Tak ada susah manalah. Nak saya tolong?" Fathir menawarkan bantuan.

Aku memandangnya dengan rasa tidak percaya. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. "Boleh jugak!" ujarku teruja. Buku di tangan aku tolak aku mendekati Fathir. Ternyata, Fathir memang mahir dalam Biologi. Mendengar penerangannya yang cukup teliti, otaknya bagai dapat menyerap semuanya. Aku terangguk-angguk mendengar setiap patah kata yang keluar dari mulutnya. Ralitnya aku hingga tidak sedar jam sudah melepasi angka 5.

Aku mendongak bila perasan ada seseorang sedang berdiri di depanku. Terkejut aku melihat Ashraf di situ. Wajahnya macam biasa, serius tanpa senyuman.

"Nak duduk berapa tahun lagi kat sini? Aku dah nak balik." Sinis kata-kata Ashraf menerjah gegendang telingaku.

Aku mengerling ke arah Fathir yang menyandar di kerusi sambil berpeluk tubuh. Segera aku bangkit berdiri mengemas barang-barangku. "Fathir, saya balik dulu ya? Terima kasih sebab sudi ajar saya tadi," ucapku sambil tersenyum memandang Fathir.

Fathir membalas senyumanku. "Tak ada hallah. Kalau awak ada apa-apa masalah lagi, tak payah segan-segan tanya saya. Ilmu untuk dikongsi, kan?"

Aku mengangguk. Hatiku semakin senang dengan Fathir. Sikapnya yang mesra dan sentiasa senyum itu menjadikan aku selesa berkawan rapat dengannya. Aku mengangkat muka memandang Ashraf. Nyata, dia sedang merenungku tajam. Aku menelan air liur yang terasa pahit tiba-tiba. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia segera berlalu meninggalkan aku yang terpaksa mengikut langkah panjangnya itu.

>>>>>>>>>>

Bunyi ketukan di pintu mengganggu fokusku yang sedang mengulangkaji pelajaran. Aku berpaling ke arah ibu yang sedang melipat pakaian di atas katil. Melihat isyarat di mata ibu, aku segera bangun mendapatkan pintu. Daun pintu aku tarik. Alangkah terkejutnya aku melihat Ashraf tercegat di situ.

"Kau sibuk ke?" tanya Ashraf.

"Err... tak sangat..." Aku jadi gugup tiba-tiba. Aku tahu pasti ada hal penting yang telah membawanya ke bilikku ini.

"Tolong ajarkan aku Add Math," pintanya dengan wajah selamba.

Aku terlopong seketika. Tidak percaya mendengar permintaannya itu. Masakan dia mahu aku mengajarnya di sini? Di bilikku ini?

Seakan faham apa yang bermain di fikiranku, Ashraf pantas berkata, "Bukan kat sini. Kat depan sana tu hah!" Dia menuding ke arah meja makan tidak jauh dari ruang dapur.

Aku tersengih. Malu dengan fikiranku yang entah apa-apa tadi. "Err... tunggu kejap ya?" Aku berpaling ke arah ibu yang sedang merenungku. "Bu, Cici nak ajar Ash buat kerja sekolah," ujarku seakan meminta izin. Melihat anggukan ibu, aku terus menapak keluar dari bilik.

"Tak payah tutup pintu, Cici." Sempat ibu mengarahku. Aku tahu, ibu mahu memerhatikan kami dari dalam bilik. Arahannya aku turuti. Aku melangkah ke arah ruang makan mengikut Ashraf. Melihat dia duduk, dia turut duduk di depannya.

"Tajuk apa yang awak tak faham?" Aku memulakan.

"Yang ni." Dia menunjuk dengan pensel di tangannya.

"Ohh yang ni..." Aku membaca soalan yang dia tunjukkan. Soalan tajuk Integration. "Emm... pinjam pensel?" pintaku sambil memandangnya.

Dia menghulurkan pensel di tangannya kepadaku. Aku menyambut. "Ada kertas kosong tak?" Takut juga aku kalau dia marah dengan permintaanku ini. Tetapi aku sedikit terkejut melihat dia menghulurkan apa yang aku minta. Dalam diam, aku menghembus nafas lega. "Macam ni..." Aku mula mengajarnya menyelesaikan soalan yang bagiku agak sukar itu. Aku melakar cara pengiraan di atas kertas kosong yang diberikan tadi sambil mulutku becok menerangkan itu dan ini. Sesudah itu, aku memandang wajahnya. Sekali lagi aku terkejut bila mendapati dia sedang merenungku. "Err... awak... faham tak?" soalku gagap.

Dia bagaikan terpinga. "Hmm?" Duduknya dibetulkan, cuba berlagak tenang. "Emm... faham. Yang ni pulak? Kenapa bila aku buat, tak dapat pun jawapan?" soalnya sambil menunjuk soalan yang seterusnya dengan jari.

Aku tunduk membaca soalan itu. Sama seperti tadi, aku mula menerangkan cara pengiraan untuk soalan itu. Sesekali mataku mengerling ke arah wajahnya yang nampak khusyuk mendengar peneranganku. Kepalanya pula terangguk-angguk. Tiba-tiba saja aku terasa lucu. Tidak sedar bibirku sudah pun mengukir senyuman.

"Faham tak?" tanyaku. Entah kenapa saat ini aku merasakan dia bukan Ashraf yang aku kenali selama ini. Dia berubah menjadi Ashraf yang baru. Dan semestinya, hatiku amat menyenangi perubahannya itu.

Dia mengangguk. Entah betul entah tidak, aku sendiri tidak pasti. "Thanks," ucapnya. Dapat aku lihat senyuman nipis di bibirnya. Membuatkan hatiku bagai terbang di awangan untuk seketika.

>>>>>>>>>>

Ketika aku sedang berbual dengan Yana, aku ternampak kelibat Fathir sedang melintasi pintu kelasku. Dia berdiri di situ sambil melambai ke arahku. Isyarat supaya aku datang menghampirinya.

Yana menyenggol lenganku. "Pakwe kau datang," bisiknya di telingaku. Dia tergelak kecil.

"Mengarut!" Aku mencebik sebelum bangun mendapatkan Fathir. "Ada apa? Nampak happy semacam aje," tegurku.

"Memang happy pun! Saya ada benda nak bagitahu awak ni," ujarnya dengan suara teruja. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.

"Apa dia? Ceritalah," gesaku tidak sabar. Semakin hari, hubunganku dengan Fathir semakin rapat dan mesra.

"Saya dapat masuk team basketball sekolah!"

"Iya?" Aku teruja mendengar berita itu. Aku tahu betapa Fathir berharap dapat menyertai pasukan bola keranjang sekolah. Sudah semestinyalah aku tumpang gembira untuk dia. "Tahniah!" ucapku.

"Terima kasih," balas Fathir masih tersenyum.

"Cici!"

Aku berpaling mendengar panggilan itu. Huda sedang berjalan mendapatkanku. "Ada apa?"

"Baik masuk dalam sekarang. Aku takut cikgu nampak. Sekarang kan waktu belajar," ujar Huda perlahan di telingaku. Mungkin dia tidak mahu Fathir rasa bersalah kerana menemuiku waktu-waktu begini.

Aku mengangguk padanya. "Fathir, saya masuk dulu ya? Nanti kita borak lagi." Aku pantas meminta diri.

Fathir mengangguk. Sempat aku melambai padanya sebelum dia beredar pergi. Aku berpaling dan berjalan masuk semula ke dalam kelas. Ketika mahu duduk di tempatku, mataku sempat menangkap aksi Ashraf yang memberi isyarat 'bagus' ke arah Huda. Sementara Huda pula membalas dengan isyarat 'no hallah!'. Aku tercengang sendiri. Apakah maksudnya?

>>>>>>>>>>

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...