++ Suntikan Semangat! ++

Saturday, February 4, 2012

- Kau VIP di hati ku 5 -

Episod 5

HARI ini, aku sudah berjanji dengan Fathir untuk makan bersama dengannya waktu rehat nanti. Tidak lama selepas loceng dibunyikan, Fathir sudah muncul di depan pintu kelasku. Aku dan Yana menghampirinya dengan senyuman di bibir.

"Jom!" ajak Fathir dengan nada ceria.

Yana terlebih dulu mengikut Fathir. Ketika aku baru membuka langkah, aku terdengar namaku dipanggil.

"Cici!"

Aku berpaling ke arah Ashraf dengan wajah sedikit terpinga. Tidak percaya dia memanggilku dengan panggilan Cici. Bukankah selama ini dia selalu menggelarkan aku sebagai patung?

"Sinilah!" panggilnya sedikit kasar. Mungkin geram melihat aku yang hanya memandangnya dengan wajah terpinga. Aku segera melangkah mendapatkannya.

"Kau pergi beli air kotak dengan kerepek untuk aku kat koperasi. Cepat!" arahnya. Kemudian, dia berpaling memandang rakan-rakannya yang hanya tersengih-sengih ke arahku.

"Err... tapi Ash... saya nak pergi makan dengan Fathir..." Aku cuba membantah tetapi Ashraf sudah memotong.

"Aku bagi masa 10 minit. Cepat!"

Aku terus terdiam. Nampaknya, aku tidak boleh membantah arahannya. Dia menghulurkan duit kepadaku. Aku menyambutnya dan kemudian berpaling ke pintu kelas. Fathir dan Yana masih menantiku di situ. Aku mendekati mereka.

"Kenapa, Cici?" tanya Yana sambil memegang lenganku.

"Ashraf suruh aku belikan makanan untuk dia. Korang berdua pergilah makan dulu ek?" ujarku dengan senyuman. Tidka mahu kedua-dua mereka tahu betapa terkilannya aku ketika ini.

"Alah... kan dah janji nak makan sama?" Fathir seolah-olah tidak bersetuju.

Aku mengukir senyuman buatnya. "Sorry sangat-sangat, tak boleh join korang," ucapku, penuh rasa bersalah. Tetapi, tiada apa yang boleh aku lakukan melainkan mengikut saja perintah Ashraf.

Yana mengeluh. "Yalah, kitorang pergi dulu. Tapi nanti kau pergi kantin tau? Sempat lagi nak makan," ujarnya.

Aku mengangguk. Lambaianku mengiringi langkah kedua-duanya yang semakin menghilang. Kemudian, aku membawa langkahnya menuju ke arah koperasi sekolah.

>>>>>>>>>>>
 
Setelah mendapatkan sekotak air dan kerepek untuk Ashraf, aku kembali semula ke kelas. Kedua-duanya aku hulurkan kepada lelaki itu. Dia menyambut dengan wajah tanpa riak.

"Bakinya..." Aku hulurkan duit baki kepadanya. RM 3.20.

"Simpanlah," ujarnya tanpa memandangku. Straw dimasukkan ke dalam mulut.

Aku terkebil-kebil memandangnya. Melihat dia terus bersembang dengan Mus, Ayie dan Tam, aku segera berpaling. Masih sempat jika aku mahu makan di kantin. Perutku sudah mula bernyanyi keroncong. Namun, belum sempat aku keluar dari kelas, Ashraf sudah memanggilku semula. Aku kembali memandang wajahnya.

"Kau hantarkan buku ni ke bilik guru. Bagi kat Cikgu Adim." Arahan seterusnya keluar dari mulut Ashraf.

Aku terlopong seketika. Adakah dia sengaja tidak mahu membenarkan aku makan? Ikutkan hati, mahu saja aku menolak dan menyatakan keinginanku. Tetapi, siapalah aku untuk membantah. Lagipun, bukankah dia VIP di hatiku? Lalu, buku di tangannya aku ambil tanpa langsung berkata apa-apa.

Selesai menghantar buku itu kepada Cikgu Adim, aku memandang jam di tangan. Tidak sampai seminit lagi, masa rehat akan tamat. Tidak sempat aku berbuat apa-apa bila loceng sudah pun dibunyikan. Aku mengeluh. Nampaknya, terpaksalah aku menahan rasa laparku sehingga waktu sekolah tamat nanti.

>>>>>>>>>>

Malang nasibku bila Ashraf ada latihan bola sepak selepas tamat waktu sekolah. Perutku sudahlah lapar. Bagaimana aku mahu bertahan sehingga petang nanti? Aku bergerak menuju ke kantin dengan harapan masih ada makanan yang dijual. Namun, hampa yang aku dapat bila melihat ruangan kantin yang sudah pun kosong. Aku menapak ke arah pondok tepi pagar sekolah. Penuh dengan pelajar-pelajar. Akhirnya aku membuat keputusan untuk menunggu saja di padang sekolah. Aku duduk di bawah pokok sambil memerhatikan Ashraf dan rakan-rakan yang sedang memanaskan badan sebelum memulakan latihan.

Perutku terasa pedih. Sungguh, aku tersangat-sangat lapar. Tanganku menekan-nekan perut, dengan harapan agar rasa itu dapat dikurangkan. Aku terkejut bila tiba-tiba Ashraf menghampiriku. Kerepek di tangannya dihulurkan kepadaku. Aku tercengang dan terpaku tanpa kata.

"Ambiklah, aku tak makan pun tadi," ujarnya tenang. Aku memandang kerepek pisang di tangannya. Aku yakin, itulah kerepek yang aku belikan untuk dia tadi. Melihat aku yang terus membisu bagai orang hilang peti suara, dia bertindak meletakkan kerepek itu di atas begku. "Makanlah," ujarnya dengan suara perlahan. Kemudian, dia berpaling dan berlari ke tengah padang untuk memulakan latihan.

Aku memandang dia. Kemudian, aku tunduk memandang kerepek yang dia beri. Hatiku bergetar satu rasa secara tiba-tiba. Rasa yang akhirnya membuahkan senyuman manis pada bibirku. Walaupun kata-katanya sering menggores hatiku, dan setiap tindak-tanduknya selalu membuatku makan hati, aku tahu masih ada sifat baik pada dirinya.

>>>>>>>>>>

2 comments:

Hananorisa said...

sweet..baik jugak si ash ni..

[AYUMI AFIQAH] said...

a'ah.. ego je lebih tuh. huhu

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...