++ Suntikan Semangat! ++

Saturday, February 4, 2012

- Kau VIP di hati ku 4 -

Episod 4

SAMPAI di rumah, aku terkejut mendengar suara riuh Aunty Aisyah. Kalut orang tua itu menghampiriku yang baru saja menapak masuk ke dalam rumah.

"Cici! Kenapa dengan kaki tu? Kenapa jalan terhincut-hincut ni?" tanya Aunty Aisyah dengan nada panik.

Aku tersenyum melihat reaksinya itu. Sempat kukerling ke arah Ashraf yang hanya buat tidak dengar. Selamba saja dia berjalan masuk dan menghempaskan badan di atas sofa di ruang tamu. "Tak ada apalah, aunty. Cici cuma jatuh kat sekolah tadi. Tak teruk pun, sakit sikit aje," ujarku berlapik, tidak mahu Aunty Aisyah risau lagi. Aku tahu dia sayangkan aku ibarat aku ini anak kandungnya.

Aunty Aisyah menghela nafas panjang. "Macam mana boleh jatuh pulak ni?" Dia berpaling memandang Ashraf yang terbaring di atas sofa. "Ash! Macam mana Cici boleh jatuh?"

"Kenapa tanya Ash pulak? Manalah Ash tahu!" jawab Ashraf tanpa memandang mamanya.

Aku menelan air liur. Sudahku agak yang dia tidak akan mengaku. Mustahil dia mahu memberitahu mamanya bahawa dialah punca aku jatuh tadi. Dan aku, semestinya tidak akan mengadu. "Tak ada apalah, aunty," sampukku. "Aunty tak payahlah risau, Cici sakit sikit aje. Nanti okeylah ni..." ujarku, cuba menenangkan Aunty Aisyah.

Aunty Aisyah menggeleng-gelengkan kepalanya. "Lain kali hati-hati tau? Dah, pergi masuk bilik. Rehat dulu," suruhnya lembut.

Aku mengangguk dan berjalan perlahan-lahan menuju ke arah bilikku. Aku tahu waktu ini ibu masih sibuk di dapur. Sampai di depan pintu bilik, telingaku sempat menangkap perbualan Aunty Aisyah dan Ashraf dari arah ruang tamu.

"Ash! Mama nak tanya ni. Ash ke yang buat Cici jatuh tadi?" tanya Aunty Aisyah dengan nada serius.

Ashraf berdecit. "Apa mama ni? Main tuduh-tuduh pulak. Dah dia nak jatuh, manalah Ash tahu. Kenapa mama nak tuduh Ash pulak?" Nadanya jelas tidak puas hati. Sudah pastilah dia marah kerana mamanya seolah-olah menyebelahiku.

"Macamlah mama tak tahu yang Ash tu suka sangat buli Cici. Jangan ingat bila Cici tak pernah mengadu, mama tak tahu apa yang Ash buat kat dia!" marah Aunty Aisyah lagi.

Ashraf bangun dari sofa. Dengusan nafasnya sempat singgah di telingaku. "Yalah! Dia tu kan anak emas mama! Apa saja yang Ash buat kalau berkaitan dengan dia, mesti Ash yang salah, kan?" Dia mencapai beg sekolahnya dan melangkah laju naik ke tingkat atas.

"Ash! Ashraf! Mama tak habis cakap lagi!" Aunty Aisyah melaung memanggil Ashraf. Tetapi Ashraf langsung tidak peduli.

Aku menolak daun pintu bilik dan menapak masuk ke dalam. Di pintu bilik, aku bersandar. Kenapa hatiku tetap menyayanginya walaupun aku tahu betapa bencinya dia padaku?

>>>>>>>>>>

Aku menyarung kasut. Sesudah sempurna ikatannya, aku bangun mencapai beg dan menyangkutnya ke bahu.

"Ash, tolong tengok-tengokkan Cici ni. Kaki dia sakit lagi tu. Jangan asyik tahu nak membuli aje." Aunty Aisyah berpesan kepada Ashraf ketika aku menghulurkan tangan kepadanya untuk bersalam.

Ashraf buat muka bosan. Pasti dia tidak suka diarah begitu oleh mamanya. Yalah... siapalah aku di matanya?

"Ash, dengar tak mama cakap ni?" Aunty Aisyah meninggikan suaranya. Dia bercekak pinggang memandang Ashraf yang masih selamba wajahnya.

"Dengar, ma!" jawab Ashraf bersama keluhannya.

Aku tersenyum hambar. "Cici pergi dulu, aunty," ujarku meminta diri.

Aunty Aisyah mengangguk. Aku berpusing dan melangkah ke arah kereta. Ashraf sudah pun mengambil tempatnya di belakang. Seperti biasa, perjalanan menuju ke sekolah hanya sunyi sepi, cuma ditemani lagu-lagu yang terpasang di radio. Sampai di sekolah, aku segera keluar dari kereta. Walaupun kakiku masih terasa sakit, aku tetap cuba melawannya sekuat hatiku. Aku menghulurkan tangan kepada Ashraf, dengan niat mahu membawa begnya seperti biasa. Tetapi aku terkedu dengan reaksinya. Dia hanya buat-buat tidak nampak dan terus berjalan masuk ke dalam pagar sekolah dengan menggalasnya begnya sendiri.

Kenapa dia begitu? Adakah kerana pesanan mamanya tadi, maka dia tidak mahu menyuruh aku membawa begnya lagi? Kasihankah dia padaku? Tidak mahu terus berteka-teki begitu, aku mengikut langkahnya masuk ke kawasan sekolah dengan langkah yang sedikit terhincut-hincut. Suara seseorang menegur mematikan langkahku.

"Hai, Cici!" Fathir melambai sambil menghampiriku.

Aku tersenyum memandangnya.

"Kaki sakit lagi?" tanya Fathir sambil memandang ke arah kakiku.

Aku mengangguk. "Dah tak sakit sangat, tapi jalan masih lagi tak betul," ujarku.

"Jom, saya temankan awak pergi kelas," ajak Fathir. Dan aku tanpa ragu terus bersetuju. Tidak kusangka, Ashraf tiba-tiba berpaling dan merenungku tajam. Terus terbantut niatku untuk melangkah bersama Fathir menuju ke kelas.

Ashraf menghampiriku. "Mama suruh aku jaga kau. Ikut aku!" Tanganku ditarik tanpa sempat aku berkata apa-apa. Walaupun kakiku masih sakit, terpaksalah aku mengikut juga langkahnya yang panjang dan laju. Sempat aku berpaling melihat reaksi Fathir. Ternyata, lelaki itu terkejut hingga tidak mampu berbuat apa-apa.

>>>>>>>>>>

Sebaik tiba di depan pintu kelas, Ashraf melepaskan tanganku. Caranya yang kasar itu hampir membuatkan aku terjatuh lagi. Aku terkedu memandangnya yang sedang merenungku tajam.

"Kau jangan mengada-ngada eh? Kalau aku nampak lagi kau dengan mamat tu, siap kau!" Usai memberi amaran padaku, Ashraf segera masuk ke kelas. Wajahnya yang tadinya tegang terus ceria bila bertemu rakan-rakannya.

Hatiku terus dipalu rasa hairan. Kenapa dia boleh berubah dengan mendadak? Bukankah tadi dia langsung tidak pedulikan aku? Kenapa tiba-tiba saja dia tidak mahu melihat aku bersama Fathir? Apa yang telah merasuk lelaki itu? Adakah... dia cemburu melihat aku bersama Fathir?

Ish! Jangan perasan, Cici! Sedar sikit siapa kau di mata dia. Langsung tak berharga! Aku tergeleng-geleng dengan kebodohanku sendiri. Aku sudah tahu Ashraf membenciku, kenapa perlu aku mempersoalkan semua itu lagi? Lantas, aku berjalan masuk ke kelas seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebentar tadi.

>>>>>>>>>>

4 comments:

Hananorisa said...

ashraf jeles? haha..nice..

[AYUMI AFIQAH] said...

jeles tp x nk ngaku. EGO. hehe..

Misz Mardha said...

Yeah , really2 EGO . Boys kan ? HAHA .

[AYUMI AFIQAH] said...

betul2.. haha :D

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...