++ Suntikan Semangat! ++

Thursday, February 16, 2012

- Cerpen : Aku Terima Epalnya! -

Jom sertai group Komuniti E-Novel di Facebook. [klik sini]

Cerpen ni sebenarnya dihantar untuk diadili oleh pihak juri KEN untuk PERADUAN MENULIS CERPEN sempena penerbitan novel Merah Cinta Epal (Kaki Novel) karya Ridha Reewani. Slogannya adalah :

"Rasa Cinta Kita Seperti Manisnya Epal Merah"

 
AKU memejam mata rapat-rapat. Nafasku tarik dalam-dalam sebelum menghembusnya perlahan-lahan. Debaran di dada masih lagi belum surut. Takut membayangkan apa yang akan berlaku sebentar nanti. Aku terlalu berharap agar aku terpilih untuk membuat persembahan pada majlis makan malam kolejku ini nanti. Tetapi sebelum itu, aku harus menghadiri uji bakat terlebih dahulu. Tidak putus-putus aku menitip doa di dalam hati agar segala-galanya berjalan lancar nanti.
            “Syafiqah!”
            Aku terkejut mendengar namaku dipanggil. “Ya!” sahutku sambil menggalas gitarku pada bahu. Langkah kuatur perlahan-lahan untuk masuk ke dalam bilik uji bakat. Jejak saja lantai yang dilapisi karpet tebal itu, mataku hinggap pada tiga susuk tubuh yang sedang duduk di kerusi masing-masing. Kalau tidak silapku, ketiga-tiga mereka adalah seniorku yang bertanggungjawab menguruskan acara nyanyian ini. Yang duduk di kerusi kanan itu Rita, di sebelahnya Bella dan kerusi hujung itu… err… Aku tidak pasti apa namanya kerana aku kurang kenal dengan lelaki itu.
            “Syafiqah… awak pun datang uji bakat?”
            Suara sinis Bella itu membuatkan jantungku mula berdegup tanpa arah. Apakah aku tidak layak untuk datang menguji bakat? Aku memandang ke arah Rita pula yang tersenyum sinis dengan kepala tergeleng-geleng.
            “Kenapa? Salah ke kalau dia nak datang uji bakat?” Lelaki yang aku tidak kenali itu menyampuk tiba-tiba. Ada kerut di dahinya merenung Rita dan Bella.
            Bella ketawa. “Raffi, cuba you tengok dia ni. Penampilan pun dah tak menarik. Kalau dia buat persembahan malam tu nanti, ada ke orang yang nak tengok?”
            “Tapi…” Aku cuba bersuara tetapi Bella sudah memintas.
            “Saya rasa… awak tak payah diuji bakat. Awak boleh keluar sekarang.” Tegas sekali arahan itu membuatkan hatiku tergores. Hina sangatkah aku? Aku tahu, selama ini Bella dan Rita amat tidak menyukai aku. Sejak aku bergelar pelajar di kolej ini, mereka berdua tidak habis-habis mencari salah diriku. Sering kali aku bertanya kepada diri kenapa mereka membenci aku, tetapi aku tidak pernah ketemu jawapannya.
            “Kak Bella… bagilah saya peluang. Saya…”
            Isyarat tangan Bella membuatkan aku terdiam. “Jangan bazirkan masa saya, boleh?”
            Aku mengetap bibir. Terasa mataku panas tiba-tiba. Kepalaku tertunduk.
            “Tunggu apa lagi? Awak boleh keluar sekarang. Ada ramai lagi yang tengah tunggu giliran kat luar tu.” Suara Rita itu menyakitkan gegendang telingaku. Kerdil sungguh rasa diri ini. Tetapi kalau orang dah tak sudi, apa lagi yang harus aku lakukan? Lantas, dengan langkah yang perlahan, aku membawa diri keluar dari bilik itu.

AKU duduk bersendiri di bawah pokok sambil termenung. Sesekali, keluhan terlepas dari mulutku. Mengingati kisah hidupku sepanjang bergelar pelajar di kolej ini selama hampir setahun ini, hatiku bagai dihimpit kesunyian. Aku tiada teman rapat. Pelajar-pelajar di sini seolah-olah tidak dapat menerima kehadiranku. Aku sedar siapa diriku. Aku tahu, aku tidak sehebat dan semegah mereka semua. Tetapi, apakah aku tidak layak langsung untuk mendapatkan apa yang aku inginkan? Kalau orang lain boleh, kenapa tidak aku?
            Dehaman seseorang mengejutkan aku yang sedang berkhayal jauh. Angananku bubar, digantikan dengan wajah lelaki yang turut sama menjadi juri untuk uji bakat nyanyian yang aku hadiri sebentar tadi. Aku hanya memandang dia mengambil tempat di sebelahku di bawah pokok ini. Dia menghulurkan sesuatu kepadaku. Epal? Aku mengerutkan dahi memandang epal merah itu.
            “Ambillah, makan…” ujar lelaki itu.
            Aku masih ragu. Kenapa dia memberi aku epal itu?
            “Awak tahu tak, epal ni boleh ubat kesedihan orang? Orang yang tengah nangis pun boleh ceria balik lepas makan epal.”
            Aku bagaikan terpaku mendengar kata-katanya itu. Aku tahu itu semua auta. Langsung aku tidak percaya dengan kenyataannya itu. Tetapi entah kenapa, hatiku yang kecewa tadi bagaikan terubat sedikit. Perlahan-lahan epal di tangan kirinya aku ambil.
            “Terima kasih,” ucapku perlahan.
            “Saya Raffi,” ujarnya memperkenalkan diri.
            “Syafiqah,” balasku pula.
            Dia tersenyum memandangku. Bagaimana harus aku menggambarkan senyumannya itu? Amat manis dan hampir membuatkan hatiku ini terpaut padanya.
            “Saya dah lama perhatikan awak…” ujar Raffi sambil tangan kanannya bermain-main dengan sebiji lagi epal.
            “Perhatikan saya?” Aku mengerutkan dahi memandangnya.
            Dia mengangguk. “Saya selalu tengok awak sorang-sorang kat sini.”
            “Saya tak ada kawan…” Perlahan ayat itu kututurkan. Aku tidak tahu kenapa begitu mudah aku berkata begitu padanya. Seolah-olah mengadu pula. Sedangkan, aku tidak kenal siapa dia, dan dia tidak kenal siapa aku. Adakah itu kerana aku mula merasakan ada keserasian antara kami? Tetapi, mustahil dalam masa yang singkat ini aku boleh merasakan semua itu.
            “Kalau macam tu, biar saya yang jadi kawan awak. Boleh?”
            Aku pandang wajahnya dengan rasa tidak percaya. Benarkah dia sudi berkawan denganku?
            Dia tersenyum lagi. “Awak nak menyanyi masa majlis tu nanti, kan?” soalnya.
            Aku diam. Hanya kepalaku yang terangguk-angguk. Memang itu yang aku inginkan. Tetapi, kalau sudah tiada ruang buatku, untuk apa lagi aku berharap?
            “Jom! Ikut saya,” ajaknya sambil bangkit berdiri.
            Aku hairan. “Nak ke mana?”
            Raffi memandang jam tangannya. “Masih ada masa setengah jam lagi sebelum uji bakat tu berakhir. Awak masih ada masa lagi untuk buktikan bakat awak. Jom!”
            Aku terpaku seketika. Mendengar kata-katanya itu, aku merasakan harapan yang tadinya layu kini kembali segar semula. Tanpa ragu, aku mengikut langkahnya kembali ke arah bilik uji bakat yang telah aku tinggalkan tadi. Seperti yang aku jangka, Bella dan Rita terkejut memandang aku.
            “Raffi, kenapa you bawa dia datang sini? Kan ke…”
            Raffi mengangkat tangan, memberi isyarat agar Bella diam. “Kalau kau tak nak uji bakat dia, biar aku yang buat.” Selamba sekali dia berkata-kata sambil duduk di kerusinya. Wajahku dipandangnya dengan senyuman manis. “Awak boleh mula…”
            Aku mengangguk. Jari-jemariku mula memetik gitar yang aku bawa bersama. Lagu kegemaranku, Kisah Dongeng aku nyanyikan dengan sepenuh perasaan. Walaupun dengan hanya menggunakan gitar, aku tetap dapat menghayatinya dengan baik. Usai menyanyi, aku menundukkan kepalaku tanda ucapan terima kasih.
            “Great!” Raffi menepuk tangan tiba-tiba. Aku mengangkat muka, merenungnya dengan rasa tidak percaya. Ketika itu, aku dapat menangkap jelingan tajam Bella dan Rita.

SEJAK itu, hubungan aku dengan Raffi semakin baik. Hampir setiap hari dia datang mencariku. Sungguh, aku benar-benar terharu dengan sikapnya yang benar-benar mengambil berat akan diriku. Dia juga selalu menemani aku setiap kali aku mahu berlatih menyanyi untuk persembahanku nanti.
            Aku sudah bersedia untuk persembahanku malam ini. Dalam debaran menanti giliran di belakang pentas, Bella dan Rita tiba-tiba datang mendekatiku. Melihat mereka, debaran di hatiku semakin menjadi-jadi. Apa sebabnya, aku sendiri tidak pasti. Tetapi hatiku bagai dapat menghidu sesuatu yang buruk bakal berlaku.
            “Hmm… cantiknya penyanyi kita ni malam ni. Siap pakai reben lagi…” Bella mencuit rambut yang aku ikat satu dengan reben ini. Aku tertunduk. Sungguh aku tidak berani berdepan dengan kedua-dua gadis ini.
            “Ada hati nak pikat Raffilah tu!” tambah Rita pula. Wajahnya jelas menunjukkan betapa bencinya dia pada aku.
            “Kak… saya tak ada niat…”
            “Kau diam!” tengking Bella membuatkan mulutku terus terkunci rapat. “Aku nak kau tarik diri sekarang juga.” Amaran itu dibisikkan rapat di telingaku. Walaupun nadanya perlahan, tetapi kedengaran cukup tajam hingga menggores sekeping hatiku ini. Saat ini, aku terlalu berharap agar Raffi ada di sisi untuk mempertahankanku.
            “Sedar sikit diri tu siapa. Langsung tak layak nak bergandingan dengan Raffi. Dia hak aku!”
            Mataku terasa panas mendengar kata-kata itu. Sempat aku menangkap jelingan sinis kedua-duanya sebelum mereka beredar pergi. Rasa sebak mula menghuni ruang hatiku. Kata-kata yang cukup pedih itu bagai menyedarkan aku akan hakikat sebenar. Aku memang tidak layak untuk Raffi. Aku dan Raffi ibarat langit dan bumi. Walaupun aku sedar hatiku ini sudah mula disapa rasa cinta buat lelaki itu, aku harus menoktahkan segala-galanya di sini. Biarlah aku sendiri yang menghancurkan angan-angan yang aku bina sendiri ini sebelum hatiku terluka lebih parah. Aku tahu aku hanya bertepuk sebelah tangan. Biarpun Raffi selalu ada untukku sejak aku mengenalinya, tetapi aku tahu dia tidak pernah menganggapku lebih dari seorang rakan. Aku tiada makna untuknya. Kata-kata Bella tadi benar-benar menyedarkan aku akan hakikat itu.
            Aku tidak perlukan masa yang panjang untuk berfikir. Aku sedar di sini memang bukan tempatku. Ada baiknya jika aku tarik diri sekarang sebelum semuanya terlambat. Lantas, langkah kaki kuatur perlahan-lahan untuk keluar dari dewan ini. Namun, langkahku terbantut ketika tiba di muka pintu. Raffi tercegat di situ, merenungku dengan dahi berkerut.
            “Nak ke mana?” soalnya.
            Aku diam mencari jawapan. Jika aku menyatakan keputusanku, apakah agaknya reaksinya? “Err…”
            “Awak nak tarik diri?” Tekaannya itu hampir-hampir membuatkan aku menangis. Sesungguhnya, Raffi sentiasa mengerti rasa hatiku. “Kenapa?” soalnya lagi.
            “Tempat saya bukan kat sini…”
            “Siapa kata?” pintasnya.
            Aku menunduk. Kolam mataku terasa panas. Apa yang perlu aku lakukan sekarang?
            “Bella dengan Rita ada cakap apa-apa ke pada awak?”
            Aku diam. Tidak mahu menceritakan perkara sebenar.
            “Dia orang cakap apa?” Raffi tetap mendesak agar aku bercerita.
            Aku menggeleng-geleng. “Tak cakap apa-apa. Cuma saya yang nak tarik diri. Saya tak yakin dengan diri saya…” Aku tidak tahu sama ada dia percaya atau tidak. Yang pasti, aku sudah tiada alasan lain lagi. Aku tidak mahu memburuk-burukkan nama Bella dan Rita di depannya.
            Raffi mengeluh. Aku memberanikan diri memandangnya. “Saya minta maaf…” Aku tidak tahu untuk apa ucapan maaf itu. Tetapi hatiku mendesak agar aku berkata begitu. Adakah aku sudah mengecewakannya?
            “Awak tak patut tarik diri…”
            “Tapi…”
            “Iqa, dengar sini.” Raffi merenung tepat ke dalam mataku. “Awak kena yakin dengan diri awak. Percaya yang awak boleh buat. Kalau orang lain boleh, kenapa awak tak boleh?”
            Aku diam. Hati dan perasaan terus berperang sesama sendiri.
            “Satu yang saya nak awak tahu, awak terlalu penting untuk saya. Saya akan selalu ada untuk awak, tak kira apa saja yang jadi.”
            Kata-katanya itu ibarat salju yang menyejukkan seluruh ruang hatiku. Sungguh, aku terharu. Betapa pentingnya aku ini buat dirinya. Adakah kata hatinya serupa dengan kata hatiku?
            “Awak tetap nak tarik diri?” Dia bertanya lagi.
            Aku menunduk. Jujurnya, aku masih tiada jawapan. Aku masih ragu dengan diriku sendiri.
            “Okey… saya takkan paksa awak. Masih ada masa lagi untuk awak fikir masak-masak. Kalau awak rasa tak nak teruskan…” Dia mengangkat kedua-dua tangannya. “… terpulang pada awak.”
            Aku diam merenungnya. Dia membuka langkah meninggalkan aku. Tidak sampai beberapa saat, dia kembali berpaling ke arahku dan menghampiriku semula. “Untuk awak…” Sebiji epal merah dihulurkan kepadaku. Aku merenung epal itu dengan mata berkaca. Perlahan-lahan aku menyambutnya.
            Tanpa berkata apa-apa lagi, dia terus beredar pergi. Aku memandang langkahnya dengan rasa sebak yang tidak terperi. Ingin sekali aku menahannya, dan memintanya untuk terus di sisiku memberiku semangat. Aku benar-benar perlukan dirinya saat ini. Epal di tangan aku renung dengan pandangan kabur. Sejenak, aku teringat kata-kata Raffi tempoh hari.
            “Kalau awak rasa sunyi atau sedih, awak makanlah epal. Dengan cara tu, awak akan rasa saya ada dekat dengan awak.”
            Aku merasakan bagai ada satu semangat baru mengalir masuk ke dalam tubuhku bila teringatkan kata-kata itu. Aku tahu, Raffi benar-benar memaksudkan kata-kata itu. Aku mula sedar betapa pentingnya aku di matanya. Tak kisahlah apa saja kata Bella dan Rita, aku tetap harus percaya pada diriku sendiri. Dan aku yakin, Raffi sentiasa ada untuk memberi aku semangat. Lalu, dengan gitar yang masih tersangkut di bahu, aku kembali melangkah masuk ke dalam dewan.

LAGU yang menjadi pilihanku pada malam itu adalah lagu Someone’s Watching Over Me. Dengan penuh penghayatan, bait-bait lirik lagu itu aku nyanyikan mengikut alunan petikan gitarku ini.
So I won’t give up
No, I won’t break down
Sooner then it seems life turns around
And I will be strong
Even when it all goes wrong
When I’m standing in the dark I still believe
Someone’s watching over me
            Sebaik saja lagu itu selesai aku nyanyikan, tepukan gemuruh memenuhi seluruh dewan. Entah bagaimana aku mahu ungkapkan perasaanku ini. Melihat senyuman pada bibir mereka semua, aku terasa diriku benar-benar dihargai. Sebaik turun dari pentas, aku terus mencari Raffi. Aku mahu menemuinya. Namun hampa bila kelibatnya tiada di mana-mana. Aku duduk sendiri di belakang pentas sambil memegang epal yang dia berikan padaku tadi. Epal itu aku renung. Entah kenapa saat ini, aku benar-benar mengharapkan kehadirannya di sisi. Dalam kesunyian itulah, aku terasa kerusi di sebelahku ditarik. Aku terus mengangkat kepala. Alangkah terkejutnya aku melihat dia dengan selambanya duduk di sebelahku.
            Raffi tersenyum memandangku. “Tahniah,” ucapnya.
            Aku diam. Rasa terharu membelit hatiku. “Semuanya sebab awak. Kalau awak tak ada, dah lama saya tarik diri,” ucapku.
            Dia tersenyum manis. “Ucap terima kasih kat epal tu…” Bibirnya dimuncungkan ke arah epal di tanganku.
            Aku mengerutkan dahi. “Kenapa pula?”
            Raffi mengambil epal di tanganku dan menggenggamnya erat. “Ada sesuatu yang awak perlu tahu…”
            “Apa…”
            “Saya cintakan awak.”
            Mulutku terus terkunci rapat sebaik ucapan keramat itu meniti keluar dari bibirnya. Aku terpaku merenungnya tanpa kelip. Jikalau ini mimpi, aku berharap agar aku terus tidur tanpa perlu bangun-bangun lagi.
            “Epal ni tanda cinta saya pada awak. Ingat pesanan saya, setiap kali awak rasa sunyi atau sedih, awak makanlah epal. Dengan cara tu, awak akan rasa saya sentiasa ada dekat dengan awak dan beri awak semangat setiap masa.”
            Mataku berkaca-kaca. Ucapannya benar-benar menyentuh kalbuku. Ingin sekali aku membalas kata-katanya itu tetapi lidahku ini seakan-akan kelu untuk berkata-kata. Lantas, epal di tangannya aku ambil semula. Tidak perlu kata-kata, senyuman pada bibirku ini sudah cukup memberikan jawapan. Aku tidak peduli lagi apa saja kata Bella dan Rita kerana aku tahu, aku akan sentiasa kuat dengan adanya Raffi di sisiku.
-TAMAT-

10 comments:

Eimma said...

best!

[AYUMI AFIQAH] said...

thanks. cerpen suka2 je.. hehe :)

Izzatie said...

best cerpen nie..sweet je..

[AYUMI AFIQAH] said...

thanks dik. :)

naisma said...

cerpen yg menarik.

[AYUMI AFIQAH] said...

thanks lg, lg dn lg.. hehe :)

Anonymous said...

Best2 . Sweet sangat . :)

[syaza]

[AYUMI AFIQAH] said...

mekasih.. :)

[AYUMI AFIQAH] said...

mekasih.. :)

ena rin said...

amat menarik sgt.....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...