++ Suntikan Semangat! ++

Sunday, February 12, 2012

- Cerpen : Kerana Sepotong Kek -



“SAFI!”
            Panggilan itu hampir membuatkan Saffiya terloncat kerana terlalu terperanjat. Dia mengurut-urut dada, membuang rasa gamam yang masih belum hilang sambil menarik nafas berulang-ulang kali untuk meredakan ketegangan yang dirasai. Dia menoleh memandang jam di pergelangan tangan kiri. Tidak sampai setengah jam saja lagi, persembahan akan dimulakan. Debaran di dadanya semakin menggila.
            “Safi! Kau buat apa lagi kat dalam tu? Diorang semua dah panggil. Kita kena ada kat belakang pentas sekarang,” panggil Piya lagi bila panggilannya tadi tidak bersahut. Tangannya mengetuk-ngetuk pintu tandas. Entah apa yang Saffiya buat sampaikan sudah hampir sejam berada di dalam pun, masih tak keluar-keluar lagi. “Safi!”
            Saffiya akhirnya membuka juga pintu tandas itu. Wajah pucatnya menjadi tatapan mata Piya.
            “Kau kenapa, beb? Pucat semacam aje.” Piya jadi takut pula melihat riak wajah Saffiya itu. Macam dah tak berdarah.
            “Aku takutlah.” Suara Saffiya sedikit berbisik. Resah.
            “Nak takut apa? Bukannya kita nak pergi berperang. Kita cuma nak berlakon aje, kan? Cepatlah! Stage dah ready, audiences semua dah tunggu dari tadi. Lepas ni turn kita. Jom!” Piya bertindak menarik tangan Saffiya supaya mengikutnya. Namun Saffiya menarik semula tangannya membuatkan langkahnya terhenti. Dia menoleh pada Saffiya dengan kerutan di dahi.
            “Aku berdebarlah, wei. Jantung aku ni sikit lagi nak gugur. Kalau aku tak boleh nak perform macam yang diorang semua harapkan, macam mana?” Saffiya menyuarakan keresahannya. Sebenarnya, bukan dia yang mahu sangat menyertai drama yang akan dilakonkan sebentar lagi. Tetapi kerana dipaksa, dia terpaksa juga turun padang. Sudahlah disuruh memegang watak utama. Alasan mereka, kerana dia punya rupa paras yang boleh menarik hati orang yang memandang dan sangat sesuai memegang watak utama dalam drama itu. Haa sekarang, terpaksalah ditanggung debaran yang semakin menggila ini.
            Piya memegang tangan Saffiya. “Safi, bertenang okey? Tarik nafas dalam-dalam, selawat banyak-banyak. Paling penting, kau kena yakin dengan diri kau. Kau boleh buat! Percayalah,” ujarnya cuba mengembalikan keyakinan Saffiya yang mungkin sudah berada di titik sifar.
            “Kalau tak boleh?” Saffiya masih ragu.
            “Janganlah cakap tak boleh!” marah Piya. “Kau mesti boleh punya. Jom!” Tanpa bertangguh, dia segera menarik tangan Saffiya. Sampai di depan tandas, dia kembali memandang Saffiya. “Ingat, jangan peduli apa kata orang. Kau anggap je semua audiences yang tengok kau tu tak wujud.” Sempat lagi dia berpesan.
            Saffiya sekadar mengangguk. Dalam hati tak henti-henti mengucapkan selawat.
            “Skrip dah hafal, kan?” tanya Piya lagi.
            Saffiya mengangguk lagi.
            Good. Jom!” Lantas, Piya dan Saffiya sama-sama berjalan menuju ke arah belakang pentas di dalam dewan utama.
++++++++++
BABAK pertama sudah pun dimulakan. Di belakang tabir, Saffiya masih ladi mundar-mandir. Cuba meredakan debaran yang semakin terasa. Entahlah, makin dia mencuba, makin kuat pula debaran yang datang. Sorakan yang bergemuruh dari para penonton hampir-hampir membuatnya pitam.
            “Safi!”
            Saffiya berpaling bila mendengar panggilan itu.
            “Lepas ni kau masuk. Ingat tau, jangan nak malukan kitorang.” Amila berpesan dengan muka serius. Dia orang yang paling penting dalam menguruskan persembahan drama itu.
            Saffiya mengangguk tanpa menjawab apa-apa. Hati terus berdoa agar segala-galanya berjalan lancar sebentar nanti. Sebaik isyarat diberikan, dia segera menapak naik ke pentas. Dengan bacaan Basmallah, dia mula keluar dari tabir untuk memulakan lakonannya.
            Princess Madonna! Look, I found a man who was trying to barge into our castle. Do you want me to punish him?” Aizat yang memegang watak sebagai pengawal istana bertanya kepada Princess Madonna.
            “Err…” Saffiya merasakan otaknya kosong kini. Skrip yang sudah dihafal bagaikan terbang melayang dibawa angin tanpa langsung meninggalkan jejaknya. Dia rasa mahu menangis saat ini juga.
            Piya yang memegang watak sebagai dayang istana memberi isyarat mata kepada Saffiya agar meneruskan lakonan. Namun Saffiya tetap diam. Piya mengeluh dalam diam. Dia pula yang jadi risau. Lantas, tanpa dibantu skrip yang sepatutnya, dia bergerak ke depan. “I’m sorry, your highness. But, don’t you think it is a rude thing to barge into our castle without going through a correct way? What if this man was sent by other country to ruin ours?” Piya memandang wajah Saffiya sambil memberi isyarat agar Saffiya berkata sesuatu. Kalau pun tidak mengikut skrip yang asal, sekurang-kurangnya gadis itu tetap bersuara dan memainkan peranannya sebagai watak utama dalam drama itu.
            Saffiya berkira-kira sendiri apa yang perlu dijawab. Semua mata para penonton terhala ke arahnya, membuatkan lututnya hampir terasa longgar. Dia memandang lelaki yang sedang duduk melutut di depannya dengan kepala tertunduk. “Who are you?” Dia bertanya pada lelaki itu.
            Lelaki itu mendongak memandang wajahnya sekilas sebelum kembali tertunduk.
            What’re you doing here? Who asked you to come here? We have our rules! Who do you think you are? Barging into here without having my permission?” Saffiya tidak tahu apa yang sedang dilalutkannya itu.
            Piya dan beberapa pelakon lain yang berada di atas pentas itu mulai cemas. Lelaki yang sedang tertunduk sebagai pesalah itu pula mengangkat muka dengan wajah terpinga-pinga. Dia tidak faham apa yang sedang berlaku. Kenapa skripnya berlainan sekali? Bila masa pula ia ditukar?
            Para penonton mula berbisik sesama sendiri. Saffiya semakin panik. Dia mengerling ke arah Piya. Jelas, Piya sedang merenungnya dengan pandangan simpati. Saffiya menelan liur. Tidak sanggup lagi rasanya untuk terus memalukan diri sendiri begitu. Lantas, tanpa amaran, dia terus berlari ke belakang tabir dan turun dari pentas.
            “Safi!” Piya yang terkejut segera mengejar Saffiya. Mereka yang lain terus terpinga-pinga. Suasana dalam dewan itu terus hingar-bingar dengan suara-suara penonton yang jelas tidak puas hati.
            “Safi!”
            Saffiya tidak dapat lari lagi bila Amila sudah memanggil namanya. Takut-takut dia memandang gadis itu.
            “Apa kau buat ni, ha? Aku suruh kau berlakon! Bukannya lari turun pentas macam ni! Kau tahu tak apa yang penonton-penonton tu cakap? Memalukan!” hambur Amila bengang. Sakit sungguh hatinya dengan apa yang baru berlaku tadi.
            “Kak… saya mintak maaf, tapi saya memang tak boleh…”
            “Aku bukan nak dengar alasan kau! Aku tak kira, aku nak kau pergi naik pentas tu balik. Kita mulakan dari awal!” Tegas suara Amila.
            Saffiya hampir teresak di situ tetap ditahan agar air matanya tidak jatuh.
            “Kak Mila, boleh tak bagi Safi rest kejap? Dia tertekan sangat agaknya. Kita bagi group lain perform dulu. Boleh tak?” Piya yang kasihankan Saffiya segera menyampuk. Saffiya sahabatnya. Jika bukan dia yang menolong, siapa lagi?
            Buntang mata Amila memandang Piya. “Kau pun sama! Yang pergi memandai tukar skrip tu kenapa?!”
            Piya tertunduk. Dia cuma mahu membantu. Tak pasal-pasal kena ‘basuh’ sekali. Dia mengerling ke arah Saffiya. Simpati.
            “Dah, dah… tak payah nak gaduh-gaduh.” Suara Puan Madihah menarik perhatian kesemua mereka yang ada di belakang pentas itu.
            We stop this drama here. Saffiya doesn’t look she’s ready.
            But, madam…”
            This is my decision. Just cancel it!” Tegas suara Puan Madihah membalas sebelum dia terus menghilang.
            Amila memandang Saffiya dengan renungan tajam. Dia jelas-jelas tidak puas hati. “Penat-penat aku uruskan semua ni, aku bazirkan masa aku buat skrip, buat tu, buat ni, tolong korang praktis tapi ni yang aku dapat? Semuanya sebab kau!” Bahu Saffiya ditolak kasar sebelum dia terus beredar dengan hati yang panas. Terasa mahu dilempar segala barang yang ada di sekeliling saat itu.
            Saffiya tidak tahu apa yang harus diucapkan saat ini. Yang pasti, dia berasa sangat lega. Lafaz syukur diucapkan dalam hati. Cuma yang terkilannya, dia telah mengecewakan semua ahli kumpulannya. Dia mengeluh.
            Piya memegang bahu Saffiya. “Dah, tak payah nak sedih-sedih. Madam Madi tu macam faham aje apa yang kita rasa, kan?” Dia tersenyum.
            “Kita?” Saffiya memandang Piya dengan rasa hairan.
            “Sebenarnya, aku pun tak nak join drama ni. Tapi sebab kesiankan kau, terpaksalah aku tawarkan diri nak jadi dayang istana. Huh, menyampah!” Piya mencebik. Geramnya pada Amila menggunung tinggi. Sudahlah memaksa Saffiya, kemudian sesuka hati nak marah pula.
            Saffiya terdiam. Terbit rasa terharu di hatinya. Tak sangka, rupa-rupanya Piya juga terpaksa sepertinya.
            “Eh, dahlah cakap hal ni. Aku malas dah nak ingat. Semua dah settle, kan? Jom kita pergi tukar baju, lepas tu kita pergi beli makanan. Aku lapar ni!” ajak Piya sambil bergerak ke bilik persalinan diikuti Saffiya.
++++++++++
SAFFIYA dan Piya tertinjau-tinjau booth yang didirikan berderet-deret di dalam kawasan kampus. Seronok juga kalau dapat buat event begini sesekali. Semua pelajar boleh bekerjasama membuat pelbagai aktiviti yang mereka sukai. Namun malang nasib bagi Saffiya dan Piya yang terpaksa menyertai drama yang langsung tidak mereka minati.
            “Nak makan apa, Safi? Banyak sangat makanan jual ni. Tak tahu nak pilih apa,” tanya Piya sambil melilau-lilaukan matanya.
            “Hmm… ada jual kek tak? Aku rasa macam nak makan keklah,” jawab Saffiya.
            “Kek?” Piya memandang Saffiya dengan wajah pelik. “Tengah-tengah panas ni nak kek? Serius?”
            Saffiya mengangguk.
            Piya mengeluh. “Okey… jomlah cari kek. Kat hujung sana tu ada booth yang jual kek.” Tangan Saffiya ditarik menghampiri booth itu. Mata Saffiya terus liar memerhatikan kek-kek yang dijual.
            “Nak kek apa, dik?” Lelaki yang menjaga booth itu bertanya. Senyumannya manis bergula-gula.
            “Emm… kek strawberi ada tak?” tanya Saffiya. Teringin sekali dia mahu makan kek perisa strawberi. Dalam keadaan hati kecewa begini, pasti enak kalau dapat makan kek kegemarannya itu.
            “Kek strawberi? Kek tu dah habis, dik. Baru aje tadi ada orang beli. Kek lain nak? Banyak lagi ni. Yang ni, kek blueberry.” Lelaki itu menunjuk ke arah kek yang dimaksudkan. “Sedap jugak ni…”
            Saffiya mengeluh. Bertambah-tambah rasa hampanya.
            “Memang habis terus ke, bang? Tak ada sikit pun tinggal?” Piya menyampuk. Memang dalam banyak hal, dialah yang selalu menjadi ‘penyelamat’ kepada Saffiya.
            “Tak ada, dik. Memang dah habis,” ujar lelaki itu lagi.
            Piya memandang Saffiya. “Kek lain nak? Banyak lagi yang best ni…”
            Saffiya menggeleng. “Kau belilah. Aku tak ada selera nak makan.” Kemudian, dia terus beredar meninggalkan Piya yang masih memandangnya dengan mata terkebil-kebil.
++++++++++
SAFFIYA mengambil tempat di sebuah bangku, jauh dari pelajar-pelajar lain yang masih sibuk dengan aktiviti masing-masing. Dia mengeluh. Kenapalah nasib sangat tidak menyebelahinya hari ini?
            Dia tersentak bila tiba-tiba perasan ada sesuatu diletakkan di atas meja di depannya. Dia berpaling. Kek strawberi! Hampir terbangun dia dari bangku. Seorang lelaki yang tidak dikenali duduk di depannya. Ada senyuman pada bibir lelaki itu. “Ambiklah kalau awak nak,” ujarnya.
            Saffiya terpinga sebentar. “Err… awak bagi saya ke?”
            “Tak, bagi kat orang belakang awak,” jawab lelaki itu.
            Saffiya spontan berpaling. Tiada sesiapa di belakangnya. Yang ada hanyalah pagar yang dibina tinggi. Mendengar tawa lelaki itu, dia kembali berpaling.
            “Awak ni lurus sangatlah. Patutlah senang-senang aje orang pijak,” ulas lelaki itu selamba. Dia menyandar di bangku sambil menyilangkan kaki.
            Saffiya tidak mengerti. “Maksud awak?”
            “Saya tengok persembahan awak tadi,” jawab lelaki itu.
            “Err…” Saffiya tertunduk. Malu sungguh bila mengingati kejadian itu. entah mana nak diletak muka, dia sendiri tidak tahu. “Saya tahu saya tak pandai berlakon. Memang layak jadi bahan ketawa orang aje…”
            “Saya tak kata macam tu pun,” pintas lelaki itu pantas.
            Saffiya kembali mendongak.
            Lelaki itu senyum lagi. “Dahlah, lupakan ajelah pasal tu. Tadi saya nampak awak nak beli kek, tapi kek ni dah habis. Ambillah yang ni, saya tak makan pun lagi.” Dia menolak bekas kek di depannya supaya dekat dengan Saffiya.
            “Err tapi… ni awak punya, kan? Tak naklah saya.” Saffiya menggeleng-geleng.
            “Tak apa, saya bagi awak. Ambillah…”
            “Berapa harganya? Biar saya bayar…” Saffiya bersedia mengeluarkan dompet dari begnya tetapi terhenti bila mendengar suara lelaki itu.
            “Tak payah bayar, saya ikhlas bagi awak. Ambil aje…” ujar lelaki itu. Senyumannya yang cukup memikat itu bagai menarik Saffiya untuk terus menerima kek itu.
            Thanks,” ucap Saffiya.
            “Saya Hakimi.” Hakimi memperkenalkan diri.
            “Saffiya.” Perlahan Saffiya membalas.
            “Kenapa awak nampak sedih aje? Ada masalah ke?” tanya Hakimi. Entah kenapa, bila memandang wajah mendung gadis itu, hatinya bagai diasak dengan satu rasa. Satu rasa yang seolah-olah mahu melindungi gadis itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu berperasaan begitu.
            Saffiya diam. Dia belum mengenali Hakimi. Bagaimana mungkin dia menceritakan perihal masalahnya kepada lelaki itu.
            “Saya tahu kita belum kenal rapat. Tapi saya ni good listener tau? Kalau nak cerita apa-apa, saya sudi dengar,” ujar Hakimi seakan tahu apa yang bermain di fikiran Saffiya.
            Saffiya memandang wajah Hakimi. Melihat renungan lelaki itu, hatinya jadi dingin tiba-tiba. “Sebenarnya… saya kena paksa join drama tu. Kak Amila yang paksa saya untuk pegang watak utama. Saya tak nak… tapi…”
            “Dia paksa awak jugak?” potong Hakimi.
            Saffiya mengangguk. “Dia bagi saya tempoh dua minggu untuk berlatih. Hari ni kena perform. Saya tak ready lagi, tapi saya tak ada pilihan. Saya tetap kena buat jugak. Tapi…” Dia menunduk. Malunya bila mengenangkan hal tadi.
            Hakimi terus mendengar.
            “Entah kenapa tiba-tiba saya rasa blank. Otak saya kosong, langsung saya dah tak ingat skrip yang saya dah hafal. Sebab tu jadi lintang-pukang macam tu tadi…” Saffiya tergelak kecil. Sekadar menutup rasa hati yang sebenarnya hampa dan terkilan. “Disebabkan tu, Kak Amila marah. Bila Madam Madi cakap tak payah teruskan, lagilah dia marah dengan saya.” Keluhan dilepaskan sebaik habis bercerita.
            Hakimi masih merenung wajah Saffiya. Dia mengangguk.
            “Kenapa angguk?” Saffiya pelik.
            Hakimi tersenyum. “Faham dengan cerita awak.”
            Saffiya diam lagi. Sudah tidak tahu apa yang harus dikatakan. Saat itulah, baru dia tersedar. Dia bukannya kenal Hakimi, tetapi sudah sesedap rasa meluahkan perasaan. Entah apalah yang Hakimi fikirkan tentang dirinya ini.
            “Amila tu memang macam tu… Nak kena ikut suka hati dia aje,” kata Hakimi tiba-tiba. Riak wajahnya selamba sekali. Nampak bosan pun ada bila menyebut nama Amila.
            “Awak kenal Kak Amila ke?”
            “Bukan setakat kenal. Dia tu classmate saya. Tahan ajelah dengan perangai dia hari-hari…”
            “Ohh…” Barulah Saffiya faham kini. Itu bermakna, Hakimi juga merupakan seniornya. Tetapi dia memang tidak pernah kenal lelaki itu sebelum ini.
            “Terima kasih sebab sudi dengar cerita saya,” ucap Saffiya.
            Hakimi senyum lagi. Manis sungguh wajahnya dengan senyuman itu. “No sweat. Lagipun, saya pun tak suka jugak Amila tu. Menyemak!”
            Kening Saffiya berkerut. Tidak faham apa maksud Hakimi. Menyemak?
            “Safi!”
            Panggilan itu mengejutkan Saffiya. Dia berpaling. Terus terbangun dari duduknya sebaik ternampak Amila sedang berjalan mendekatinya. Panjang umur!
            Amila terkejut melihat Hakimi sedang duduk di depan Saffiya dengan gaya selamba. Lelaki itu langsung tidak kisah dengan kedatangannya. Dia buat-buat tak nampak aje!
            “Err… ada apa, Kak Mila?” tanya Saffiya gugup. Janganlah hendaknya gadis itu marah lagi.
            Serius wajah Amila menentang pandangan Saffiya. “Pagi esok, aku nak kau dengan yang lain-lain berkumpul macam biasa. Kita ada projek baru.” Arahan dikeluarkan.
            “Err… projek baru? Maksud Kak Mila… drama baru?” Saffiya terasa penglihatannya gelap tiba-tiba. Mampus!
            Amila mengangguk. Kali ini dia dapat melihat reaksi Hakimi. Lelaki itu jelas tidak senang. Kenapa pulak ek?
            “Saya kena berlakon lagi ke…”
            “Yalah! Kau tetap kena pegang watak utama.” Keputusan Amila muktamad. Tiada kompromi.
            “Tapi, kak…” Saffiya cuba membantah tetapi Hakimi sudah menyampuk tiba-tiba.
            “Kau kenapa nak paksa-paksa orang? Dah dia tak nak, tak payahlah nak paksa.” Selamba saja wajah Hakimi ketika menuturkan kata-kata itu. Saffiya pula terkejut beruk!
            Amila membulatkan mata memandang Hakimi. Tidak menyangka Hakimi akan menyebelahi Saffiya. Sudahlah rasa bengangnya pada Saffiya masih belum hilang, kini Hakimi, lelaki yang dipujanya itu pula menyokong Saffiya. Hampir-hampir membuatnya ‘meletup’!
            “Aku bukan nak paksa. Tapi hanya dia yang sesuai pegang watak tu.” Amila melembutkan suara. Dengan Hakimi, dia tidak boleh bercakap kasar.
            Hakimi buat muka bosan. “Berlambak lagi orang lain boleh berlakon. Susah-susah sangat, kau buat audition. Aku gerenti, ramai yang datang nak test bakat nanti.” Tenang saja dia menyuarkan cadangan tanpa memandang wajah Amila.
            Amila mengetap gigi. Sakit hati mendengar kata-kata Hakimi itu. Selama ini, lelaki itu memang tidak pernah kisah dengan kewujudannya. Hanya dia yang terhegeh-hegeh.
            “Kak Mila…” panggil Saffiya takut-takut.
            Amila berpaling pada Saffiya dengan wajah garang. “Ingat, berkumpul esok! Tolong maklumkan pada yang lain. Aku tak nak dengar apa-apa alasan!” Sesudah itu, dia terus beredar pergi dengan perasaan bengang yang menggunung tinggi.
            Saffiya kembali duduk di depan Hakimi. Wajahnya monyok sekali, hingga mengundang simpati lelaki itu.
            Hakimi membetulkan duduknya. “Kenapa tak melawan?”
            “Dia senior. Apa hak saya nak melawan?” Saffiya tertunduk. Mengutuk kelemahan diri sendiri. Sampai bilalah dia mahu menjadi mangsa buli orang lain?
            Hakimi mengeluh tanpa disangka-sangka. Dia bangun. “Awak makanlah kek ni. Apa-apa hal, kita jumpa esok.”
            Saffiya terkejut mendengar kata-kata itu. Dia mendongakkan kepala memandang Hakimi. “Esok?”
            Hakimi tersenyum sambil mengangguk. “Yes, your highness Princess Madonna.” Kemudian dia tergelak kecil dan terus beredar pergi.
            Saffiya terkebil-kebil sendiri. Tiba-tiba saja, dia terasa hatinya benar-benar dekat dengan lelaki itu.
++++++++++
“EII! Aku rasa nak jerit kuat-kuat aje! Kenapalah minah tu suka sangat menyusahkan kita? Tak tahu ke hari-hari minggu ni orang nak rehat? Macam bagus sangatlah dia tu!” Piya membebel-bebel sendiri. Sakit hatinya dengan arahan Amila yang diterima malam tadi. Sesuka hati mengarah orang membuat apa yang dia suruh. Banyak lawa muka berjerawat tu!
            Saffiya hanya diam sehingga mereka tiba di tempat yang dijanjikan. Rakan-rakan yang lain sudah berkumpul di situ, termasuk Amila. Gadis itu berdiri sambil berpeluk tubuh memandang Saffiya dan Piya mengambil tempat masing-masing. Saffiya dengan wajah tunduk sementara Piya dengan muka sardin.
            Amila bergerak ke depan dengan penuh gaya. “Kali ni, kita akan buat persembahan khas sempena makan malam tahunan yang akan berlangsung tiga minggu dari sekarang.”
            Mendengar kata-kata Amila itu, Piya dan Saffiya sama-sama mengeluh.
            “Saya dah buat skrip drama yang kita akan perform. Temanya masih sama, dan pelakon utamanya pun masih sama.”
            Semua mata terhala ke arah Saffiya. Saffiya menelan liur. Kelat rasanya.
            “Kamu semua boleh baca ni…” Amila mengedarkan kertas-kertas di tangan kepada mereka semua yang ada di situ. Ketikah itulah, pintu bilik tempat mereka berkumpul itu ditolak dari luar. Muncul seseorang di situ. “Kimi!” serunya, terkejut melihat lelaki itu di situ.
            Saffiya ikut sama menoleh. Sama seperti Amila, dia juga terkejut.
            Hakimi menutup pintu. Dengan selamba dia berjalan masuk dan menarik kerusi lalu duduk di sebelah Saffiya. Dua helai kertas ada di tangan Saffiya. Dicapai satu tanpa berkata apa-apa.
            “Kimi… apa kau buat kat sini?” tanya Amila.
            “Aku nak join drama ni,” jawab Hakimi. Serentak, semua mata terhala ke arahnya. Kesemua mereka tersenyum, bukti bahawa itu persetujuan dari mereka. Hakimi menghela nafas lega dalam diam.
            Saffiya memandang Hakimi dengan rasa tidak percaya. Adakah ini maksud kata-kata lelaki itu semalam?
            “Kau nak join? Tapi…”
            “Aku rasa cerita ni macam best je. Aku nak pegang watak James ni. Boleh?”
            Gaya selamba Hakimi itu membuatkan semua mereka yang ada di situ tergelak kecil. Ada juga yang tersenyum sampai nampak gigi. Saffiya masih dalam keadaan tidak percaya. Tanpa sedar hatinya makin terpaut dengan Hakimi.
            “Err… tapi watak James dah ada yang pegang. Kan, Shafik?” Amila berpaling ke arah Shafik yang duduk di depannya.
            “Tak kisah pun, kak. Alang-alang Abang Kimi nak join, apa salahnya dia yang pegang watak ni. Lagipun, ada lagi watak lebih ni. Saya pegang yang sampingan punya pun tak apa,” jawab Shafik. “Kan, kawan-kawan?” Dia berpaling pada yang lain.
            “Betul!” Mereka semua menjawab serentak.
            Hakimi tersenyum pada mereka tanda ucapan terima kasih.
            “Kalau macam tu…” Amila berpaling pada semua. “Biar saya yang pegang watak Victoria. Dan Safi, akan jadi Vanessa.”
            Yang lain-lain mula berbisik sesama sendiri. Piya pula terpinga-pinga tidak mengerti.
            Hakimi mengangkat tangan, membuatkan semua mata terhala ke arahnya. “Kau dah tetap dari awal, kan? So, aku rasa semua dah sebulat suara setuju Safi yang akan pegang watak Victoria.”
            “Betul tu. Kitorang sokong Safi yang pegang watak Victoria,” sampuk Piya. Dia memberi isyarat pada yang lain-lain. Mereka semua mengangguk-angguk setuju.
            Amila mengetap bibir. Renungannya tajam pada wajah Saffiya yang hanya menunduk.
            “Boleh kita start praktis sekarang?” Piya bersuara tiba-tiba.
            “Okey!” Kasar Amila menjawab.
            Piya tersenyum-senyum. Dalam hati menggeletek ketawa. Dia menoleh ke arah Saffiya. Nyata gadis itu sedang tersenyum ke arah Hakimi dan dibalas oleh lelaki itu. “Ehem… balik nanti kau kena cerita kat aku dari awal sampai akhir,” bisiknya di telinga Saffiya sebelum bangun untuk memulakan latihan.
            Saffiya sekadar tersenyum.
++++++++++
I’M sorry, James…” Saffiya tunduk dengan wajah sedih. Kelopak matanya dipenuh air jernih. Menghayati watak yang sedang dipegang.
            I love you…” ucap Hakimi pula, membalas sebagai James.
            I know. I’m sorry. Will you forgive me?” Saffiya merenung Hakimi dengan mata berkaca.
            Hakimi mengangguk. “Will you marry me?”
            Saffiya tersenyum. “I will. I love you, James…
            I love you too,” balas Hakimi.
            Cut!” Kuat suara Amila mengejutkan mereka yang ada di situ.
            Saffiya terus menjarakkan kedudukannya dengan Hakimi. Air jernih yang masih memenuhi kolam mata disapu pantas.
            Enough for today! Kita sambung petang esok.” Arahan keluar dari mulut Amila. Dia mencapai beg. Tanpa bertangguh lagi, dia segera melangkah keluar dari bilik itu.
            “Safi! Power kau punya lakonan! Feeling habis! Aku pun rasa nak nangis tadi.” Piya tergelak-gelak suka.
            Saffiya sekadar tersenyum. Malu pun bila mengingatkan lakonannya tadi. Pasti selepas ini dia akan rasa kekok  berdepan dengan Hakimi.
            “Safi…” panggil Hakimi.
            Saffiya berpaling. Piya segera bergerak ke tepi, seolah-olah memberi peluang kepada Saffiya dan Hakimi.
            “Nah… untuk awak,” ujar Hakimi sambil menghulurkan bekas polisterin di tangannya.
            “Apa ni?” Saffiya mengerutkan muka.
            “Kek strawberi. Ambillah, saya bagi awak,” ujar Hakimi lagi. Bibirnya masih tidak lekang dengan senyuman.
            “Err…” Saffiya termati kata. Lidah jadi kelu tiba-tiba.
            “Saya tahu awak suka kek ni, kan? Ambillah, I bought it for you,” ujar Hakimi lagi.
            “Ehem! Ehem!” Piya menyenggol lengan Saffiya. Dia menutup mulut menahan gelak.
            Saffiya menjeling Piya. Mukanya sudah memerah.
            “Jumpa esok. Bye!” Hakimi melambai sebelum terus menghilang.
            How sweet! Mana dia tahu kau suka kek strawberi?” Piya memulakan siasatan. “Oh! Aku tahu, kau dengan dia dah pernah jumpa sebelum ni, kan? Cepat cerita kat aku!”
            Saffiya mengigit-gigit bibir bawahnya. “Boleh, tapi lepas aku makan kek ni. Okey?” Dia tergelak kecil lalu bergerak menghampiri beg yang diletakkan di atas kerusi.
+++++++++++
PIYA melilau-lilaukan mata mencari Saffiya. Ish! Mana pulak minah ni? Asal sampai masa nak perform aje, mesti dia hilang! Dalam kekalutan itulah, telefon bimbitnya berdering.
            “Kimi, dah jumpa Safi? Jenuh saya cari dia tak jumpa-jumpa!” keluh Piya.
            “Tak apa, biar saya yang cari.” Talian dimatikan.
            Hakimi bergerak ke arah bangku di yang terletak di jauh di tepi pagar. Dalam kegelapan malam, di situ dia boleh nampak dengan jelas Saffiya sedang duduk seorang diri. Dia mendekati dan mengambil tempat di depan gadis itu. Saffiya yang tersentak tidak sempat melarikan diri.
            “Awak buat apa kat sini? Kan kejap lagi kita dah nak perform? Stage pun dah ready,” tanya Hakimi sambil merenung tepat ke wajah Saffiya yang sedang menunduk.
            “Awak… saya takutlah. Kalau jadi macam hari tu, macam mana? Nanti mesti Kak Mila marah lagi.” Saffiya menyuarakan keresahannya. Debarannya kini tidak usah diceritakan. Kalaulah boleh nampak, pasti tiada orang yang akan percaya.
            “Safi, trust yourself. Awak boleh buat. Kita dah berlatih, kan?” Hakimi cuba memujuk.
            “Tapi… saya takut…” Saffiya merasakan tangannya ketar.
            Hakimi beralih tempat di sebelah Saffiya. “Safi, dengar sini. Awak tak payah takut. Saya yakin awak boleh buat. Percaya dengan diri awak sendiri. Buktikan pada Amila, yang awak boleh buat lebih baik daripada apa yang dia tahu. Beat her,” ujarnya, memberi kata-kata semangat agar debaran Saffiya dapat diatasi.
            Saffiya terdiam. Seakan-akan terpegun mendengar kata-kata Hakimi itu.
            “Awak ada saya. Saya akan tolong awak. Promise!” Hakimi mengangkat tangan kanannya.
            Saffiya tersenyum. “Err… awak, saya rasa macam…”
            “Macam apa?” Hakimi pula yang berdebar-debar.
            “Macam…” Saffiya menghembus nafas. “Macam nak makan kek strawberi!”
            Mendengarkan itu, Hakimi terus tergelak. Saffiya kalau ada masalah, pasti akan mencari kek strawberi. Dia sudah masak benar dengan sikap gadis itu. “Okey, okey… lepas habis perform nanti, saya bagi awak makan kek strawberi tu.”
            “Sungguh?”
            Hakimi mengangguk. “Saya ada bawakan untuk awak, tapi saya tak boleh bagi sekarang. Lepas perform nanti, saya bagi. Tapi awak kena janji dengan saya, awak kena buat betul-betul masa perform nanti. Lepas tu, baru saya bagi awak kek strawberi tu. Okey?”
            Saffiya tidak berkelip memandang Hakimi. Melihat senyuman lelaki itu, debaran yang tadinya menggila bagaikan hilang dalam sekelip mata. Dia turut sama tersenyum dan mengangguk dengan penuh yakin.
++++++++++
SEBAIK saja isyarat diberikan, Saffiya terus bersedia untuk naik ke pentas. Sempat dia menangkap isyarat ‘good luck’ daripada Hakimi. Dia tersenyum dan melangkah naik ke pentas.
            Mom, I’m sorry if I interrupt you. But, I think Vanessa is right. She has the right to choose her own mate.” Dengan penuh keyakinan, Saffiya melafazkan skrip yang sudah dihafal di dalam kepala.
            Di belakang tabir, Hakimi tersenyum. Hatinya rasa berbunga tiba-tiba. Tidak sabar menanti hingga persembahan drama itu tamat nanti.
++++++++++
WILL you marry me?”
            I will. I love you, James…
            I love you too…
            Serentak itu, dewan itu gamat dengan tepukan gemuruh dari para penonton. Ada yang tidak henti-henti bersorak. Hakimi dan Saffiya saling bertatapan. Mood yang sepatutnya dibawa di dalam drama seolah-olah terbias hingga ke alam realiti. Nun di sebalik tabir, sepasang mata memandang dengan penuh benci. Menyesal kerana memaksa Saffiya memegang watak utama. Menyesal!
++++++++++
“MANA saya punya kek?” Saffiya meminta sambil menadahkan tangan di depan Hakimi.
            “Kek? Kek apa?” Hakimi pura-pura tak faham.
            Saffiya mengecilkan anak mata memadang Hakimi yang tersenyum-senyum. “Awak dah janji nak bagi saya kek kalau saya buat elok-elok masa perform tadi. Mananya?” pintanya lagi. Tidak puas hati bila Hakimi masih buat-buat tidak faham.
            “Oh! Kek tu…” Hakimi tergelak kecil. “Ikut saya.” Dia bergerak ke arah begnya.
            Saffiya mengikut saja. Ketika Hakimi menghulurkan kek itu kepadanya, dia terus menyambut dengan senyuman. “Terima kasih!” ucapnya riang.
            Hakimi ikut tersenyum. “Jangan makan sekarang. Tunggu balik hostel nanti.”
            “Laa… kenapa pulak?” Saffiya tidak puas hati dengan ‘undang-undang’ itu.
            “Kalau awak sayang saya, ikut apa saya kata. Boleh?” Hakimi mengenyitkan sebelah matanya sebelum terus berlalu meninggalkan Saffiya di situ.
            Saffiya yang terkejut seakan kejung di situ. Dirinya terasa seolah-olah sedang terbang di awangan!
++++++++++
BEKAS polisterin yang diletakkan di atas meja dicapai. Dia baru saja selesai mandi, dan kini mahu menikmati kek yang pastinya lazat itu. Penutupnya dibuka. Sebaik matanya terlihat isi di dalam, dia mengerutkan dahi. Ada sehelai kertas yang terselit di bawah sepotong kek strawberi yang dilapik dengan pelapik khas. Dia mengambil kertas itu dan membuka lipatannya.
            Hai Cik Saffiya, pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih sebab awak sudi ikut arahan saya untuk makan kek ni lepas balik hostel. Itu bermakna, awak memang sayangkan saya, kan? Hehehe…
      Safi, saya ada sesuatu nak bagitahu awak. Tapi saya harap, awak jangan gelakkan saya tau? Saya tahulah saya selalu nampak macho depan semua orang tapi bila sampai bab-bab cenggini, rasa malu tu, memang tak boleh nak ceritalah. Awak akan faham lepas awak baca surat ni nanti.
      Safi, awak mungkin tak tahu yang saya dah mula sukakan awak masa kali pertama saya tengok berlakon jadi Princess Madonna hari tu. Tak tahulah kenapa, tapi saya boleh tengok keikhlasan awak masa tu. Saya tak tahulah orang lain tapi serius, itulah yang saya nampak pada awak. Lepas tu pulak, saya ternampak awak pergi beli kek. Awak nak kek strawberi tapi kek tu dah habis. Saya tahu awak kecewa. Saya pun cari jalan untuk dekati awak. Mungkin dah memang jodoh kita kot (awak jangan marah dengan statement ni ya), kebetulan masa tu saya dah beli kek strawberi tu. Saya pun gunakan kek tu untuk dekati awak dan berkenalan dengan awak. Bila saya tahu Amila paksa awak untuk berlakon jadi watak utama drama seterusnya, saya rasa peluang saya cerah untuk dekati awak. Mungkin awak tak tahu kot. Sebelum ni, Amila pernah offer saya untuk berlakon drama dia (bunyi macam pengarah hebat je dia tu kan) tapi saya tolak. Saya tak minatlah berlakon-berlakon ni, lagi-lagi kalau dengan dia. Buang masa saya aje, kan?
      Tapi bila saya tahu awak berlakon untuk drama tu, tiba-tiba saya jadi berminat. Untung-untung, dapat berlakon jadi hero awak. Hehehe. Nasib saya baik bila semua orang setuju (saya tak rasuah diorang k? hehe). Peluang tu saya gunakan sebaik mungkin. Masa saya cakap ‘I love you’ pada awak melalui watak James, percayalah saya betul-betul maksudkannya. Dan saya pun boleh rasakan perasaan yang sama bila awak cakap ‘I love you’ pada saya melalui watak Victoria tu. Betul, Safi… saya boleh rasa perasaan awak. (kalau saya salah sekali pun, tak payahlah awak betulkan sebab saya tak nak yang betul. Biarkan saya terus salah kalau tu boleh buat saya gembira)
      Saya takkan paksa awak terima saya. Tapi kalau awak terima, buktikannya dengan makan kek yang saya buat sendiri ni. Saya tak tahu sedap ke tak. Tapi at least, saya cuba jugak demi awak. Tapi kalau awak tak terima, awak boleh buang aje kek ni. Mulai esok, kita akan tetap jadi kawan dan saya akan kekal jadi supplier kek strawberi untuk awak. Tapi bukan yang saya buat sendiri, yang belilah ye. Hehehe…
      Tu je kot nak bagitahu. Terima kasih sudi baca sampai habis. Saya tak pandai nak karang ayat bunga-bunga. Yang macam ni dah okeylah kot. Akhir kata, selamat merasa kek tu (kalau sudilah kan…). Selamat malam, Saffiya.
Sekian,
James dunia realiti.
            Saffiya melipat semula kertas itu dan letakkannya di atas meja. Bibirnya mengukir senyuman. Tidak disangka, Hakimi dapat merasai perasaan sebenarnya yang dicurahkan melalui lakonan. Dan, dia sangat bersyukur kerana tidak bertepuk sebelah tangan.
            Bekas polisterin itu dirapatkan dengannya. Sepotong kek strawberi yang terletak elok di dalamnya direnung penuh minat. Dicuit sedikit krimnya dan dimasukkan ke dalam mulut. Hmm, sangat sedap! Mungkinkah, ini rasa yang dirasai oleh mereka yang dilamun cinta?
-END-

p/s --> Cerita ni diilhamkan dari teater yang aku tonton kat KL semalam dan English Week yang akan bermula esok kat kampus aku. Skrip yang ada cite ni aku wat sendiri untuk radio drama grup aku. Terima kasih sudi baca. Komen ye? :)
~end

6 comments:

missfie_za&Lynn_are said...

besh.. sweet jew... kerana sepotong kek... sy suke mkn kek n tertarik nak bace cerpen nie... mmg besh.. sweet jew... hehe...

[AYUMI AFIQAH] said...

asal2 nk wat kek coklat, tp bila tgk cover tu ada kaler pink trpksa laa tukar wat strawberi. hehehe... pape pun mekasih baca n bg komen. :)

ena rin said...

wow bestnya tak dpt nak di luahkan dgn kata2....cerpen best sgtlah dan ?????????




ena rin said...

wow bestnya tak dpt nak di luahkan dgn kata2....cerpen best sgtlah dan ?????????




Diana Azhar said...

best! rasa lapar pulak bila baca cerpen ni hihi

Hal Soffy said...

luv your way of writing. simple but berkesan.tidak berjela-jela atau membosankan. teknik tersendiri.menjadi inspirasi buat saya mula ingin menulis lagi. keep up the good work....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...