++ Suntikan Semangat! ++

Saturday, February 18, 2012

- Cerpen : Dia Calon Suamiku! -

[Sambungan cerpen Calon Suami Untuk Aku?]


“ERR…” Aku terkial-kial sendiri. Siapa nama dia ya? Lupalah pulak! Aduhaiii! Lantas, dengan lantangnya aku menjerit, “Awak!!!”
            Lelaki itu berhenti melangkah dan berpaling ke arahku. Jari telunjuknya terhala ke muka sendiri dengan muka macam nak mintak penyepak. Aku mengangguk. Kalau bukan sebab aku terdesak, jangan harap aku panggil dia balik! Dia datang menghampiriku.
            “Ya?”
            “Tolong saya. Boleh?” Dengan selambanya aku meminta.
            “Tolong apa?” Alahai, dia buat-buat tak fahamlah pulak!
            “Tolong… err…” Aku mengigit-gigit bibir. “… awak mesti dah tahu pasal saya, kan? Mesti Imah dah cerita kat awak,” ujarku.
            Dia mengangguk. “So?”
            “So… boleh tak tolong saya?” pintaku lagi. Sekarang bukan masa untuk fikir tentang malu. Yang aku mahu, masalah ni harus ada jalan penyelesaian!
            “Hmm…” Dia bagaikan berfikir-fikir. “Maknanya sekarang… awak nak saya berlakon jadi kekasih awak depan mak saudara awak yang akan datang sini minggu depan?”
            Aku mengangguk. Baguslah kalau dia dah tahu. Malas aku nak cerita banyak-banyak.
            “Okey!” Dia senyum pula.
            Aku kerutkan dahi. Macam tu aje? Senangnya! “Betul ke ni?” Aku pula yang jadi ragu.
            Dia mengangguk. Aku telan liur.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
SETELAH berbincang apa yang patut dengan Syah, aku terus menghubungi Auntie Yasmin dengan harapan dia tidak marah dengan keputusan yang telah aku buat ini. Agak lama menanti, barulah kedengaran suara Auntie Yasmin di talian. Aku menarik nafas, cuba menenangkan diri sendiri agar tidak canggung ayat yang bakal keluar dari mulutku nanti.
            “Auntie, Jiha ada benda nak cakap. Tapi sebelum tu, Jiha nak mintak maaf sangat-sangat.” Aku memulakan ayat dengan debaran yang menggila di dada.
            “Baguslah Jiha telefon ni. Auntie pun ada benda jugak nak bagitahu Jiha.” Nada suara Auntie Yasmin gembira semacam. Aku kerut kening. Janganlah ada apa-apa yang tak diingini terjadi…
            “Err… apa dia, auntie?” Aku beranikan diri untuk bertanya.
            “Macam ni, kali ni auntie balik sorang aje, uncle tak jadi ikut. Jiha tak payah datang ambik auntie kat airport, nanti auntie naik teksi aje pergi rumah Jiha. Auntie ingat, nak buat makan-makan sikit kat rumah Jiha malam tu. Okey tak?”
            Aku hembuskan nafas lega mendengar rancangan Auntie Yasmin itu. Tak ada apa yang perlu dirisaukan. “Okey, auntie… tak ada masalah,” balasku.
            “Auntie dah bagitahu kawan auntie tu. Nanti dia akan datang rumah Jiha. Malam tu jugak Jiha bolehlah kenal dengan anak dia tu.”
            Kalau tadi aku hembus nafas lega, sekarang ni aku rasa macam tak boleh bernafas langsung. Semput! Tak sempat aku khabarkan pada Auntie Yasmin tentang Syah, dia sudah pun ada perancangan lain. Apa aku nak buat sekarang ni?!
            “Auntie…” Aku cuba bersuara tetapi Auntie Yasmin terus menyatakan rancangan yang telah diatur kemas dalam kepalanya. Aku terus terdiam bagaikan tidak mampu berkata-kata lagi. Nada suara Auntie Yasmin yang cukup gembira dan teruja itu membuatkan aku tidak sampai hati untuk menghampakannya. Aku mengeluh tanpa sedar.
            “Jiha… okey ke?” tanya Auntie Yasmin tiba-tiba. Mungkin dia hairan kenapa tiba-tiba saja aku mengeluh.
            “Err… okey, tak ada apa, auntie,” dalihku pantas.
            “Kalau macam tu, apa yang Jiha nak bagitahu auntie tadi?”
            Soalannya itu membuatkan aku terdiam. Aku gigit-gigit bibir. Patut ke bagitahu Auntie Yasmin tentang Syah sedangkan semua rancangan sudah pun diatur dengan sempurna? Sudahnya, aku hanya diam tanpa satu perkataan pun keluar dari mulutku.
            “Jiha?” panggil Auntie Yasmin.
            “Err… emm… tak ada apalah, auntie. Jiha dah lupa nak cakap apa tadi.” Cepat-cepat aku menjawab. Dalam diam, aku mengeluh lagi. Ingatkan bila dah jumpa Syah selesailah masalah. Rupa-rupanya makin bertambah adalah!
*=*=*=*=*=*=*=*=*
MASAM wajahku sebaik saja masuk ke rumah. Imah dan Arin yang sedang duduk sembang-sembang di ruang tamu menoleh ke arahku. Dahi masing-masing penuh kerut.
            “Kau dah jumpa Syah?” tanya Imah.
            Aku hempaskan badan ke atas sofa sebelum mengangguk dengan wajah monyok.
            “Dia tak nak tolong kau ke?” tanya Imah lagi.
            “Dia nak…” Lemah jawapanku.
            “Dah tu? Kenapa monyok lagi ni?”
            Aku tekupkan muka ke bantal kecil di atas sofa itu. Rasa nak nangis pun ada!
            “Ceritalah betul-betul.” Imah duduk di sebelahku. Tangannya menggoyang-goyangkan bahuku.
            Aku angkat kepala. Kemudian, semuanya aku ceritakan kepada Imah dan Arin. Aku betul-betul perlukan bantuan mereka ketika ini.
            “Hah! Aku ada idea!” Arin tiba-tiba memetik jari.
            “Idea kau dari dulu satu apa pun tak boleh pakai!” marahku. Geram pula bila teringat semua kerja gila yang aku buat kerana mengikut cadangan Arin dulu. Huh!
            “Kali ni gerenti boleh pakai!” Arin meyakinkanku sungguh-sungguh.
            “Apa?” Imah bertanya bagi pihakku.
            “Kau bawak aje Syah jumpa auntie kau masa malam tu nanti. Kau kenalkan Syah pada auntie kau depan kawan auntie kau dengan anak dia tu sekali. Lepas tu, gerenti kawan auntie kau tu tak jadi nak buat kau sebagai menantu dia!” Teruja sungguh kedengaran nada suara Arin itu. Macamlah aku nak setuju dengan cadangan dia tu. Tapi bila fikir-fikir balik, macam okey aje.
            “Kau rasa?” Aku pandang wajah Imah.
            Imah angkat bahu. “Aku tak tahulah. Terpulanglah kat kau nak buat apa pun,” ujarnya.
            Aku mengeluh. Boleh ke cara macam tu?
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
AKU ternanti-nanti kedatangan Syah ke kedai tempat aku bekerja ini. Katanya malam tadi, dia akan sampai tepat pukul 5.00 petang. Tetapi sekarang sudah melepasi 5.30 petang. Janji tak boleh pakai langsung! Kutukku dalam hati.
            Terdengar pintu ditolak dari luar, aku segera menoleh. Terlepas keluhan lega dari mulutku melihat dia di situ. Bukan lega kerana dia selamat sampai tanpa terlibat dalam apa-apa kemalangan, tapi lega sebab penantian aku tamat akhirnya. Syah menghampiriku dengan senyuman di bibirnya. “Ada apa awak nak jumpa saya?” Dia bertanya padaku. Sempat matanya mengerling ke arah rakanku Aina yang sedang menjaga kaunter, menggantikan tempatku.
            Huh, ada hati lagi nak menggatal! Gerutuku dalam hati. “Emm… saya ada benda nak cakap. Tapi bukan kat sini.” Tegas jawapanku. Macam beri arahan pun ada ni.
            Syah mengangguk. “Kalau macam tu, jom pergi minum. Haus.” Tanpa menunggu persetujuanku, dia segera bergerak ke luar kedai. Aku mencapai beg di bawah kaunter. Setelah melambai pada Aina, aku terus mengatur langkah mengikuti Syah.
            “Ada helmet?” Syah bertanya sambil berpaling memandangku.
            Apa punya soalanlah mamat ni tanya. Dah sah-sahlah aku ada helmet. Bukan ke hari-hari aku naik skuter datang sini? “Ada.” Soalannya tetap kujawab juga.
            “Bagus. Naiklah.”
            Aku terkejut mendengar ajakan selambanya itu. Bulat mataku merenungnya. “Naik apa?”
            “Naik motor saya nilah. Cepatlah… karang lambat pulak. Dah petang sangat ni.”
            Eii… aku rasa macam nak sepak je muka selamba badak dia tu. Nak suruh aku naik motor dengan dia? Gila! Baik lagi aku naik kereta sorong daripada naik motor dia tu! “Apasal pulak saya kena naik motor dengan awak?” Aku bercekak sebelah pinggang memandangnya.
            “Kalau awak naik motor dengan saya, cepat sikit sampai. Lagipun…” Dia memandangku atas bawah dengan mata mencerun.
            Amarahku mendidih. “Apa tengok-tengok?!” jerkahku kasar.
            Dia tersenyum-senyum. Geramnya aku saat ini, hanya Allah yang tahu. “Tak ada apalah. Naik aje, saya bukan nak buat apa pun. Setakat awak…” Dia menggeleng-geleng kepala. “… not my typelah…”
            Angkuh sungguh bunyi suaranya itu. Kalau ikutkan hatiku yang sedang menggelegak, dah lama penumbuk ni naik ke  muka dia. Tapi bila memikirkan yang aku betul-betul perlukan pertolongannya, terpaksalah aku paksa hati untuk telan semuanya. “Terima kasih banyak-banyak. Saya boleh naik skuter saya sendiri,” ujarku sambil berjalan mendapatkan skuterku tidak jauh dari tempat dia memarkir motosikalnya.
            Dalam kepala, sempat aku terfikir. Di manalah agaknya Imah jumpa mamat kurang ajar ni? Kalau aku bandingkan perangai dia dengan ciri-ciri lelaki idaman aku, huh… macam jarak antara bumi dengan Planet Pluto! Hatiku terus bermonolog sesama sendiri sehinggalah kami tiba di sebuah restoran.
            “Nak makan apa?” tanya Syah sambil duduk di sebuah kerusi.
            Aku mengambil tempat di depannya. “Tak lapar,” jawabku acuh tak acuh.
            “Minum?” soalnya lagi.
            “Air kosong,” jawabku masih dalam nada yang sama. Ada hal yang lebih penting dalam fikiranku sekarang berbanding makan dan minum.
            Syah mengangguk-angguk. Tangan kanannya diangkat untuk menggamit pelayan. Namun, tiada seorang pelayan pun yang perasan panggilannya itu. Aku buat muka bosan. Melihat aku yang seakan-akan mencabarnya, dengan lantang dia menjerit. “Hoi! Tak nampak ke ada customer datang ni?!”
            Aku yang terkejut hampir saja terbangun dari duduk. Isyarat kuberi padanya agar memperlahankan suara. Namun dia langsung tidak peduli.
            “Air teh tarik satu, air kosong satu!” Dia membuat pesanan dengan nada suara yang masih sama.
            Aku tutup muka dengan kedua-dua belah tangan. Rasa mahu menyorok bawah meja pun ada ni. Malunya bila semua orang tengok aku. Sempat aku melihat seorang pelayan mengangguk padanya sambil berlalu ke arah dapur. Aku tatap muka Syah dengan tajam. “Gila eh? Nak satu dunia dengar kau buat order?” tanyaku dalam nada perlahan tetapi tegas.
            “Dah diorang tak nampak saya panggil. Nasiblah…” Muka Syah langsung tak bersalah. Aku menghela nafas. Sabar Jiha, sabar…
            “Awak nak cakap apa dengan saya? Cakaplah…” Syah bersandar pada kerusi sambil merenung wajahku.
            Aku cuba tenangkan hati. Bercakap tentang Auntie Yasmin tak boleh dalam nada marah. Nanti Syah tak jadi pula nak tolong aku. “Macam ni…” Aku telan liur, membetulkan saluran tekak agar ayat yang bakal aku tuturkan nanti tak tersangkut-sangkut jadinya. “Petang esok, auntie saya sampai sini. Malam tu pulak, dia nak buat makan-makan kat rumah sewa saya. Dia jemput sekali kawan dia dengan anak kawan dia tu untuk kenal dengan saya,” ceritaku satu-persatu. Aku tengok reaksi Syah biasa-biasa aje. Dia faham ke tak cerita aku ni?
            “Jadi?”
            “Jadi… saya nak awak datang rumah saya malam esok, jumpa dengan auntie saya. Saya akan kenalkan awak sebagai kekasih saya pada auntie saya. Dan awak…” Jari telunjukku terhala ke arahnya. “Mesti beri lakonan yang terbaik depan auntie saya nanti. Saya tak nak dia ragu apa-apa. Faham?”
            Dia renung wajahku. Aku alihkan wajah ke arah lain. Tiba-tiba saja, jantungku berdegup pantas dari biasa melihat renungannya itu. Ish! Apa yang aku mengarut ni? Fokus, Jiha… fokus… bisikku dalam hati.
            “Kalau yang tu…” Bicaranya terhenti ketika seorang pelayan datang menghantar pesanan kami. “Terima kasih,” ucap Syah lembut. Sempat mengenyitkan mata ke arah pelayan perempuan yang aku kira usianya belum mencecah 20 tahun itu.
            Aku kerling mukanya dengan tajam. Entah kenapa hatiku jadi tidak senang melihat caranya itu. Gatal tak bertempat!
            “Kalau yang tu… tak menjadi masalah pun pada saya.” Syah menyambung ayat yang tergantung tadi sesudah pelayan itu berlalu.
            “Semudah tu?”Aku pula yang jadi tak percaya. Sering kali juga aku terfikir, kenapa Syah dengan senang mahu membantuku? Aku mahu bertanya tetapi tidak pernah terluahkan.
            Dia mengangguk. Sempat menayangkan giginya yang putih bersihnya kepadaku. Hensem jugak! Sempat lagi aku memuji. Sebaik tersedar, terus aku menggeleng-gelengkan kepala. Jangan jadi gila, Jiha! Ingat, ini cuma lakonan. L.A.K.O.N.A.N! Tak mungkin dan tak boleh jadi sebaliknya! Okey?
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
WAKTU yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba juga. Eh, silap! Bukan waktu yang ditunggu-tunggu, tapi waktu yang langsung aku tak harap berlaku ni tiba juga akhirnya. Aku tak sanggup nak bayangkan apa yang akan berlaku nanti. Melihat Auntie Yasmin dengan senyuman manisnya menanti kedatangan rakannya, aku telan liur. Macam mana agaknya reaksi Auntie Yasmin nanti lepas aku kenalkan dengan Syah nanti?
            “Auntie…” Aku memanggil. Tak sanggup rasanya menahan debaran yang semakin menggila ni. Auntie Yasmin berpaling padaku. “Jiha ada benda nak bagitau auntie ni. Tapi auntie jangan marah tau?” ujarku.
            “Apa dia?” Tenang Auntie Yasmin membalas.
            “Sebenarnya…” Tidak sempat aku berkata lanjut bila telingaku menangkap bunyi enjin kereta dari luar rumah. Aku ketap bibir rapat-rapat.
            “Hah! Tu kawan auntie dah datang.” Meluru Auntie Yasmin menuju ke arah pintu rumah. Aku hanya memandang dari arah ruang tamu. Tidak sampai berapa saat, Auntie Yasmin masuk semula ke dalam rumah dengan seorang wanita separuh abad yang sungguh cantik bergaya, bersama seorang lelaki yang berjalan di belakangnya. Buat seketika, aku terpegun memandang lelaki itu. Kacak. Sungguh kacak! Senyumannya saja sudah cukup mencairkan hatiku yang memandang. Kalaulah boleh, aku tidak mahu mengalih pandanganku daripadanya walaupun hanya untuk sesaat!
            “Jiha, kenalkan ni kawan auntie, Auntie Laila.”
            Aku menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Auntie Laila.
            “Ni ke Wajihah? Emm… manis orangnya.” Aku tersenyum mendengar pujian Antie Laila itu. Manis ke aku ni?
            “Yang ni anak auntie, Izhar…” Auntie Laila memperkenalkan anak lelakinya kepadaku.
            Izhar tersenyum lagi memandangku. Aku kaku buat seketika. Bagaimana mahu aku ungkapkan situasi ini? Sungguh, aku tak pernah bertemu lelaki sekacak Izhar secara empat mata. Auntie Yasmin mencuit pinggangku. Aku faham dengan isyarat matanya itu. Pasti dia tahu apa yang sedang aku fikirkan saat ini. Arin dan Imah yang muncul dari arah tangga, terus menerpa ke arah kami. Tanpa segan silu kedua-duanya memperkenalkan diri kepada Auntie Laila dan Izhar.
            Bunyi enjin motosikal dari luar rumah mengejutkan aku. Ketika ini, wajah seseorang muncul di ingatan. Syahrizal! Bagaimana aku boleh terlupa tentang lelaki itu? Rasanya sekarang, aku tidak perlukan kehadirannya lagi kerana hatiku seakan-akan sudah terpaut pada Izhar. Tetapi, bagaimana aku mahu menghalang semuanya bilamana dia sudah muncul di sini mengikut rancangan yang kami berdua atur sendiri?
            “Assalamualaikum!” Ucapan salamnya kedengaran. Kuat suaranya itu menarik perhatian Auntie Yasmin, Auntie Laila, Izhar dan tentunya dua orang teman serumahku itu. Imah memandangku. Aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan ketika ini.
            “Siapa tu?” Pertanyaan Auntie Yasmin tidak mampu aku jawab. Dalam aku terkial-kial itulah, Syah sudah pun melangkah masuk ke dalam rumah tanpa dijemput. Kerutan di hati Auntie Yasmin menyapa pandanganku.
            Syah tersenyum ke arahku. Tangannya diangkat. “Hai!”
            “Jiha, siapa ni?” Auntie Yasmin bertanya padaku.
            “Err…” Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan saat ini.
            “Ni kawan saya, auntie!” Imah bertindak menyelamatkan keadaan. Dia bergegas menghampiri Syah yang nampak terpinga-pinga. “Saya saja ajak dia datang malam ni. Tak apa kan, auntie?”
            “Ohh… kawan Imah rupanya. Tak apa, auntie tak kisah.” Auntie Yasmin tersenyum. Spontan keluhan lega keluar dari mulutku. Perasan yang Izhar sedang merenungku, aku berpaling padanya. Senyuman aku hulurkan. Dia membalas juga dengan senyuman manis membuatkan hatiku bergetar hebat.
            “Jemputlah makan. Penat saya masak tadi lepas sampai dari airport tadi. Jiha ada jugak tolong sikit-sikit…” Becok suara Auntie Yasmin menceritakan itu dan ini kepada Auntie Laila dan juga Izhar. Aku yang baru saja membuka langkah mengikut mereka ke ruang makan terus terhenti bila terasa tanganku ditarik. Aku berpaling pada Imah.
            “Kau pergi settlekan sendiri dengan Syah,” bisik Imah rapat di telingaku sambil matanya diisyaratkan ke arah Syah. Aku telan liur. Mahu atau tidak, terpaksalah aku ikut arahannya itu.
            “Auntie, Jiha nak jawab call kejap,” ujarku pada Auntie Yasmin, terpaksa menipu.
            Auntie Yasmin mengangguk dari arah ruang makan. Aku segera mengatur langkah mendekati Syah. “Kita cakap kat luar,” ujarku dan tanpa menunggu jawapannya, aku segera berlalu ke luar rumah. Syah mengikutku di belakang. “Saya rasa, rancangan kita sampai setakat ni aje kot,” ujarku.
            Syah mengerutkan dahinya. “Maksudnya?”
            “Saya…” Aku telan liur berkali-kali. Kenapa tiba-tiba saja aku rasa tak sampai hati ni? Bukannya dia kisah pun pasal rancangan ni! Dia tak kisah, habis aku? Aku pening sendiri dengan apa yang sedang berladung di hati. “Saya rasa, saya suka dengan pilihan auntie saya…”
            “Jadi maknanya, awak tak nak kita teruskan lakonan nilah?” Syah nampaknya mula faham dengan maksud yang cuba aku sampaikan.
            Aku mengangguk.
            Syah menghela nafas. Rautnya berubah mendung tiba-tiba. Kenapa ya? Aku tidak pasti apa kenapa tetapi hatiku teringin sangat tahu. Aku masih mahu bersuara tetapi dia sudah memintas bicaraku.
            “Okeylah kalau macam tu. Tak ada guna lagi saya kat sini, kan? Saya pergi dulu. Bye!” Dia mengangkat tangannya ke arahku sebelum berpaling menuju ke arah motosikalnya.
            Tanpa aku sedar, kakiku bergerak mengikut langkahnya. “Syah…” Aku cuba memanggil. Dia berpaling ke arahku. Senyumannya dihulurkan kepadaku.
            “Saya doakan awak bahagia dengan dia. Pilihan auntie awak tentu yang terbaik, kan?”
            Kenapa aku dapat menangkap nada sedih dan terluka dalam dua baris ayatnya itu? Dan, kenapa hatiku juga merasakan hal yang serupa. Hatiku mahu menghalang, hatiku mahu menahan dia daripada pergi tetapi akalku melarang. Mulutku sudah pun terkunci rapat. Seolah-olah kuncinya telah hilang hingga menyebabkan aku tidak mampu bersuara lagi hatta untuk satu patah perkataan sekali pun. Sudahnya, aku hanya mampu memandang Syah memecut motosikalnya pergi meninggalkan aku di situ dengan perasaan yang aku sendiri tidak mengerti.
            “Jiha! Apa yang lama sangat kat luar tu? Cakap dengan siapa?”
            Aku berpaling bila mendengar suara Auntie Yasmin. Dia tercegat di muka pintu memandangku. “Err… tak ada siapalah, auntie. Nak masuklah ni,” dalihku sambil cepat-cepat melangkah masuk ke rumah. Kenapa diriku jadi tak keruan tiba-tiba?
            “Mana kawan Imah tadi? Tak nampak pun. Dah balik ke dia?” Auntie Yasmin bertanya sambil berpaling pada Imah yang berdiri di ruang tamu merenungku. Imah mengalih pandangan ke wajah Auntie Yasmin.
            “Hmm… a’ah! Dia dah balik, ada urgent katanya,” jawab Imah.
            Auntie Yasmin mengangguk dan kembali ke ruang tamu sambil menarik tanganku. Aku memandang Imah. Imah membalas pandanganku itu dengan isyarat mata yang tidak dapat aku fahami.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
SEJAK itu, hubunganku dengan Izhar semakin rapat. Aku sedar, Izhar cuba mengambil hatiku dari sehari ke sehari. Sikapnya yang penyayang dan sangat mengambil berat itu menyentuh hatiku. Ternyata, dia benar-benar menepati ciri-ciri lelaki yang selama ini aku idam-idamkan. Pilihan Auntie Yasmin memang tepat. Dia tidak salah memilih dalam menetapkan siapa bakal suamiku. Tetapi, kenapa hatiku ini tetap merasakan kekosongan? Kenapa aku tidak gembira sedangkan lelaki yang selama ini aku tunggu-tunggu sudah muncul di depan mata?
            Pulang dari bertemu Izhar, Imah sudah menantiku di muka pintu rumah. Dia berpeluk tubuh memandang aku yang baru saja turun dari skuterku. Perlahan langkahku kuatur masuk ke dalam rumah.
            “Monyok aje muka tu. Aku rasa ada something wronglah dengan kau ni.” Kata-kata Imah itu menarik aku untuk berpaling padanya.
            “Apa yang wrongnya?” tanyaku semula dengan muka blur. Aku tak ada mood ketika ini.
            “Bukan ke sepatutnya kau happy sebab kau dah jumpa lelaki yang selama ni kau idam-idamkan? Izhar tu… hampir perfect tau?”
            Aku diam mengatur langkah ke ruang tamu. Di sofa, aku rebahkan badan yang terasa penat. “Entahlah, Imah… memanglah dia tu memenuhi taste aku tapi… hati aku ni rasa kosong. Rasa macam…”
            “Macam bukan dia yang kau tunggu selama ni?” Imah mengambil tempat di sebelahku. Aku tatap mukanya dengan pandangan ragu. Benarkah itu yang berselirat di hatiku ketika ini?
            “Kau ada jumpa Syah lagi?” tanya Imah.
Sebaris nama yang dia sebutkan itu menyentap jantungku. Entah kenapa, hatiku bagai dapat merasakan satu getaran. Getaran yang aku sendiri tak tahu apa maksudnya. Mungkinkah… getaran rindu?
            “Kau ada jumpa dia lagi?” Imah mengulangi soalannya.
            Aku geleng kepala. Lepas malam tu, aku dah tak jumpa Syah lagi. Telefon dia pun tak. Dengar khabar pasal dia lagilah tak. Syah macam dah hilang ditelan bumi.
            “Aku pun dah lama tak jumpa dia. Bila aku ajak keluar lepak, ada aje asalan dia,” cerita Imah.
            Aku bagaikan dapat merasakan sesuatu. Tiba-tiba saja aku jadi tidak sedap hati. Namun, dengan pantas aku menafikan. Tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan tentang lelaki itu. Dia bukan siapa-siapa pun dalam hidupku. Dia langsung tiada kepentingan bagi aku. Sikit pun tak!
            “Tak ada masa aku nak ingat pasal dia…” Itulah jawapanku sambil bangun mencapai beg untuk naik ke tingkat atas.
            “Betul ke kau tak ingatkan dia langsung?”
            Soalan Imah itu membantutkan langkahku. Aku berpaling memandangnya. “Kenapa tanya aku soalan bodoh tu? Dah tentu-tentulah aku tak ingat dia. Aku dengan dia bukan ada apa-apa pun. Dia tu…”
            “Betul?” Imah bertanya lagi, seakan mahukan kepastian yang sebenar-benarnya daripadaku. Aku diam. Merenungnya tanpa kelip. Betulkah aku langsung tidak mengingatinya sedangkan setiap malam sebelum tidur hanya wajah dia yang mengisi benakku? Benarkah dia langsung tiada kepentingan dalam hidupku sedangkan hilangnya dia membuahkan rasa rindu di hatiku?
            “Aku rasa, kau sebenarnya dah jatuh cinta dengan dia. Cuma kau yang tak sedar…”
            “Mengarut!” Aku geleng kepala sambil pura-pura ketawa. Padahal hati terasa pedih semacam. Benarkah aku sudah jatuh cinta pada Syahrizal? Bukankah selama mengenalinya, begitu banyak perkara tentang dirinya yang aku tidak suka? Jika dibandingkan Syah dengan Izhar, Izhar jauh lebih sempurna. Tetapi, benarkah kesempurnaan itu yang menjanjikan sesebuah kebahagiaan?
            “Aku tak mengarut, Jiha…”
            Aku mengangkat tangan, memberi isyarat agar Imah diam. “Esok, Izhar ajak aku ke rumah dia jumpa parents dia,” beritahuku. Seolah-olah dengan cara itu, Imah tidak lagi menyebut perihal Syah. Ternyata, rakanku itu terus diam dengan helaan nafas panjang. Aku terus mengatur langkah untuk naik ke tingkat atas.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
AKU bersiap ala kadar. Sungguh, aku langsung tiada mood untuk berjumpa dengan mama dan papa Izhar. Kalau tempoh hari aku sudah bertemu mamanya, kini sudah tiba masanya untuk aku bertemu papanya mula. Ketika melangkah menuruni tangga, telingaku sempat menangkap perbualan Imah dengan seseorang. Aku mengintai. Imah sedang memakai di depan pintu dengan sebelah tangan memegang telefon bimbit.
            “Ya, aku nak turunlah ni. Jumpa nanti,” kata Imah. Aku tidak tahu dengan siapa dia sedang bercakap tetapi hatiku bagai penasaran ingin tahu.
            Imah mengeluh tiba-tiba. “Aku ingatkan kau dah tak nak ambik tahu pasal dia lagi dah…”
            Hatiku bergetar mendengar perkataan ‘dia’ itu. Kenapa naluriku kuat mengatakan ‘dia’ yang dimaksudkan itu adalah aku?
            “Dia ada date malam ni. Dah janji nak jumpa parents bakal suami dia tu.” Nada suara Imah yang agak sinis itu membuat aku berasa tersindir. Aku semakin yakin memang aku yang menjadi topik perbualan ketika itu. Cuma persoalannya, dengan siapa dia sedang bercakap? Mungkinkah… Syahrizal?
            “Tak payahlah kau nak risau pasal dia lagi. Dia bukan peduli pasal kau pun. Biar aje dia kahwin dengan mamat tu…”
            Aku merasakan kolam mataku panas. Pedas sungguh kata-kata Imah itu.
            “Suka hati kaulah! Aku nak drive ni. Jumpa nanti.” Imah mematikan talian sambil melangkah keluar dari rumah. Pintu rumah ditutup rapat.
            Aku turun perlahan-lahan ke tingkat bawah. Kebetulan ketika itu Arin baru saja muncul dari dapur. “Eh, dah siap?” Nadanya yang ceria itu makin membuatkan aku terasa sebak. “Eh, kenapa ni? Kau nangis ke?” Arin kalut melihat kolam mataku dipenuh air jernih.
            “Jiha, kau okey tak ni? Kenapa tiba-tiba nangis ni?” Arin memegang bahuku. Nadanya cemas sekali.
            “Arin… aku…” Payah untuk aku meluahkannya.
            “Kenapa? Ceritalah,” pinta Arin.
            Aku menggeleng. “Aku tak tahu, Arin… kenapa hati aku rasa kosong? Kenapa aku langsung tak happy sejak aku kenal Izhar?” Soalan yang aku tidak tahu jawapannya itu aku tanyakan pada Arin. Berharap dia dapat memberikan aku jawapan pasti.
            Arin menghela nafas. Dia merenungku. “Kau tak sepatutnya tanya aku. Sepatutnya, tanya hati kau tu sendiri…”
            Aku diam. Tanya hati aku sendiri? Lama aku begitu, cuba mengintai masuk ke dalam hati sendiri. Menyelami ke dasarnya apa sebenarnya yang aku inginkan. Bukankah selama ini lelaki seperti Izhar yang aku cari-cari? Begitu banyak persoalan yang bermain di minda hingga akhirnya menemukan aku pada satu jawapan. Wajah Arin aku pandang dengan mata berkaca-kaca.
            Arin mengangkat kening memandangku. “Dapat jawapan?”
            Aku diam. Hanya kepalaku yang mengangguk.
            “Apa jawapannya?” tanya Arin.
            “Aku… aku sebenarnya…” Aku memejam mata seketika. Air mata kukesat dengan hujung jari. “Aku sebenarnya cintakan Syah! Walaupun dia bukan lelaki yang selama ni aku idamkan, tapi dia dah buat aku jatuh cinta pada dia dengan cara dia sendiri. Sikap dia yang jujur dan telus yang buatkan hati aku terpaut. Dan…” Bicaraku terhenti di situ. Aku merenung lantai. “Aku tak perlukan lelaki yang sempurna untuk sempurnakan hidup aku.”
            Arin tersenyum. Dia bergerak mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja makan. Entah siapa mahu dihubungi, aku tidak tahu. Aku memasang telinga mendengar kata-katanya. “Imah, kau pergi mana?”
            Imah? Adakah dia menghubungi Imah?
            “Saja nak tahu,” ujar Arin lagi. “Ohh… restoran tu. Kau tolong tapaukan nasi goreng untuk aku boleh? Thanks. Daaa!” Arin mematikan talian sambil berjalan menghampiriku. “Syah sekarang ada kat restoran Masakan Sedap tu. Pergilah,” ujarnya.
            Aku memandangnya dengan rasa tak percaya. Arin mengangguk, meyakinkanku. Sungguh aku tak sangka, rupa-rupanya Arin seorang sahabat yang boleh diharapkan. Walaupun sebelum ni dia banyak ‘pengaruh’ buat benda yang tak sepatutnya, tapi sekarang aku boleh nampak keikhlasan dia yang sebenar-benarnya. Tanpa amaran, aku terus memeluk tubuhnya erat-erat. “Terima kasih, Arin!” ucapku terharu.
            Arin ketawa. “Sama-sama. Dah, pergi cepat!”
            Aku mengangguk dan terus melangkah keluar dari rumah. Ketika itu juga, Izhar tiba dengan BMWnya. Dia keluar dari kereta. Di tangannya ada sekuntum ros merah. Aku menghampirinya. “Iz, saya mintak maaf. Saya tak boleh ikut awak malam ni. Saya rasa, sampai sini aje kot hubungan kita. Lain kali, awak tak payah datang jumpa atau cari saya lagi. Cakap kat mama awak, cari orang lain untuk jadi menantu dia. Saya tak boleh teruskan hubungan ni.” Senafas ayat-ayat itu aku kututurkan. Kemudian, aku berlari mendapatkan skuterku. Tanpa menghiraukan Izhar yang cuba menahanku, aku terus memecut skuterku pergi. Pergi mencari calon suamiku yang sebenar-benarnya.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
SEBAIK tiba di restoran itu, aku segera mengatur langkah masuk ke dalam. Langkahku yang tergesa-gesa itu mati sebaik saja aku ternampak kelibat Imah bersama kekasihnya Ridwan, dan juga Syah yang duduk di satu meja. Aku mendekati perlahan-lahan.
            “Muka kau ni macam orang mati bini. Tau?” Suara Imah membuatkan langkahku terhenti lagi. Mujurlah mereka semua tidak nampak diriku ketika ini.
            Syah tarik muka. Sebijik macam budak kecik merajuk. “Imah, kau tahu aku cintakan dia, kan? Macam mana aku nak bertenang kalau aku tahu dia pergi jumpa bakal mertua malam ni?”
            Aku tersentak. Namun di sebalik itu, ada rasa bahagia menyentuh tangkai hati. Benarkah Syah juga mencintaiku?
            “Habis tu, kau nak buat apa? Aku suruh kau berusaha, kau tak nak!” marah Imah pula.
            “Bukan aku tak nak. Tapi aku tak naklah rosakkan hubungan orang. Diorang kan dah nak kahwin…” Perkatan ‘kahwin’ itu disebut dalam nada perlahan.
            “Siapa kata?!” Tidak tahan lagi, aku terus menyampuk. Tiga pasang mata tertoleh ke arahku. Itu belum campur lagi dengan pelanggan-pelanggan yang lain. Imah dan Ridwan melopong memandangku, sementara Syah pula sudah terbangun dari duduknya.
            “Jiha… awak buat apa kat sini? Bukan ke sepatutnya…”
            “Saya tunggu awak datang pujuk saya, tapi awak tak datang pun!” ujarku. Entah dari mana aku dapat kekuatan itu, aku sendiri tidak tahu. Wajahnya aku tatap tajam.
            “Err…” Syah terkial-kial menjawab soalanku. Dia menoleh pada Imah dan Ridwan. Pasangan kekasih itu hanya mengangkat bahu sambil tersenyum-senyum. Syah kembali memandangku. “Bukan ke… awak dah tak perlukan saya lagi? Awak dah setuju dengan pilihan auntie awak dan awak tak nak teruskan lagi lakonan kita.”
            Aku menggeleng-geleng. “Tak, saya silap. Saya keliru dengan perasaan saya sendiri. Saya cuma tertarik dengan Izhar sebab rupa dia. Akal saya pilih dia sebab dia pilihan auntie saya tapi… hati saya pilih awak sebab awak pilihan saya dari awal lagi,” ujarku, penuh maksud mendalam.
            Dia merenungku tanpa kelip. Pasti tidak menyangka aku akan mengucapkan kata-kata indah sebegitu. Aku sendiri pun tak sangka sebenarnya. Bila aku perasan semua orang tengah tengok aku, barulah aku rasa malu. Syah masih lagi diam. Dan aku, dah tak sanggup berdiri kat situ untuk jadi tontonan ramai. Lalu, aku berpaling dan berlari keluar dari restoran itu. Baru saja aku mahu memanjat naik skuterku, terasa tanganku dipegang. Aku berpaling.
            “Saya cintakan awak,” ucap Syah sambil merenung tepat ke dalam mataku. Aku kaku tanpa kata. “Bila saya setuju untuk jadi kekasih awak, saya bukan berlakon. Saya memang dah mula jatuh hati pada awak sejak mula-mula awak marah saya lepas awak jatuhkan motor saya hari tu. Mungkin dah memang jodoh kita, kita dipertemukan lagi. Sebab tu saya setuju untuk berlakon depan auntie awak. Saya janji dengan diri saya, saya takkan sia-siakan peluang yang awak dah bagi pada saya. Tapi sayang… saya tak sempat tunaikan janji saya bila awak sendiri dah jatuh hati dengan pilihan auntie awak tu…”
            Panjang lebar luahannya itu membuatkan aku terharu. Rupa-rupanya kata hati kami sama, cuma aku yang lambat sedar. “Saya mintak maaf…”
            Dia menggeleng. “Saya yang patut mintak maaf,” balasnya. Renungannya benar-benar menusuk ke kalbuku.
            Aku diam membalas renungannya. Saat ini, aku yakin pilihanku tidak silap lagi. Memang dialah calon suami yang aku nanti-nantikan selama ini. Dia tidak sekacak Izhar, tetapi dia punya hati yang benar-benar tulus. Setulus cintanya buat diriku.
-TAMAT-       

p/s --> Maaf atas kekurangan. Kesudian membaca amatlah dihargai. :)

~end

9 comments:

sewanovel said...

BINGOo!! ... AKak memang nak syahrizal! first2 saket ati tau sbb dia pilih izhar... at last, dia pilih jugak syah <3 <3 suke3 >_<

naisma said...

cerpen yg menarik...best.

[AYUMI AFIQAH] said...
This comment has been removed by the author.
[AYUMI AFIQAH] said...

sewanovel --> sy pun nak syahrizal. tak nak bg kt izhar.. hehehe

naisma --> thankssss :)

Biar Jemari Berbicara... said...

ouch!! rasa cam balik jadi 20yrs old la plak.. hehehe.. suka2..

[AYUMI AFIQAH] said...

yeke kak yus? akak mesti comel masa 20yrs old kan? kekeke... thanks kak :)

ena rin said...

best sgtttttttt dan terbaikkkk

ena rin said...

best sgtttttttt dan terbaikkkk

Anonymous said...

ohho..ini endingnya rupanya.. :)
even actually saya pun xsuka sngt la heroin ni dgn syah..huhu..apepun..just nice..^^ wajihah.. itu buat saya rasa pelik plus aneh plus ... argh~~ bila nama sendiri jdik watak utama.. haha..kelakarnya..thanks.. xsangka btui.. :-)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...