++ Suntikan Semangat! ++

Tuesday, February 14, 2012

- Cerpen : Calon Suami Untuk Aku? -

HUJAN rintik-rintik yang mula turun menyimbah bumi membuatkan aku kalut memecut skuter kesayanganku. Sebaik tiba di depan rumah, aku segera membelok masuk. Mujurlah ketika itu pintu pagar terbuka luas memandangkan rakanku Arin baru saja pulang dari tempat kerja. Aku mematikan enjin skuterku dan melompat turun. Helmet di kepala aku tanggalkan. Nasib baik aku sempat sampai sebelum hujan semakin lebat. Terasa bahuku ditepuk, aku berpaling. Arin tersengih-sengih memandangku.
            “Baru balik?” Soalan bodoh lagi bangang ditanyakan oleh Arin itu aku jawab dengan gelengan.
            “Lama dah, tengah baring atas katil ni. Tak nampak?” Aku gelak kuat bila sekali lagi bahuku jadi mangsa tepukannya. “Dah terang lagi bersuluh aku baru balik. Yang pergi tanya jugak kenapa?”
            Arin mencebik. Kami sama-sama melangkah masuk ke dalam rumah. Bau aroma nasi goreng dari arah meja makan terus membuka pintu seleraku seluas-luasnya. Lebih luas daripada pintu rumah yang terbuka ketika aku masuk tadi. Aku terus menerpa ke arah Imah yang sedang menghidangkan makanan di atas meja.
            “Wah! Sedapnya! Kau ni macam tahu-tahu aje aku tengah lapar.” Aku menarik kerusi lalu terus duduk. Masakan Imah memang selalu tepat dengan seleraku. Baru saja aku mencapai senduk, terasa tanganku ditepuk. Aku mendongak.
            “Dah solat? Balik-balik aje terus cari makanan. Pergi solat dulu!” arah Imah. Caranya itu benar-benar mengingatkan aku pada ibu saudaraku yang kini menetap di Singapura kerana mengikut suaminya yang bekerja di sana. Aku memucung. “Aku laparlah weh…” rengekku meminta simpati.
            “Antara makan dengan solat, yang mana lebih penting?” Imah sudah bercekak pinggang merenungku tajam.
            Aku telan liur. Tanpa menjawab apa-apa, aku segera bangun dan berlalu ke bilikku yang terletak di tingkat atas. Beginilah hidupku sehari-hari. Pagi-pagi sudah turun untuk ke tempat kerja. Kerja aku bukannya hebat pun. Jurujual kat kedai buku aje. Disebabkan aku kerja di kedai buku, aku berpeluang untuk membeli novel-novel terbaru yang sampai di situ.
            Novel? Ya, aku memang gila novel. Walaupun gajiku tidaklah hebat sangat, tapi aku tak pernah terlepas beli novel baru setiap bulan. Hobiku itu membuatkan aku sering berkhayal untuk bertemu dengan lelaki pujaanku, sepertimana yang diceritakan di dalam novel. Kebanyakannya haruslah kaya, kacak, berpendidikan tinggi, bergaya dan semua yang positif-positif tu, aku suka. Selalu juga aku ceritakan angan-anganku itu kepada Imah dan Arin. Dan, jawapan yang aku terima…
            “Beranganlah kau, Jiha! Mana kau nak cari lelaki macam tu? Pergilah cari sampai hujung dunia pun, kau takkan jumpa lelaki macam dalam novel tu!”
            Pedas lagi bisa betul jawapan tu. Tapi aku tak kisah. Walaupun Arin dan Imah bersepakat mengatakan tiada lelaki yang menepati ciri-ciri lelaki idaman aku tu, aku tetap takkan putus asa menunggu. Menunggu dan terus menunggu. Tetapi, sampai bila? Boleh ke cinta tu datang kalau aku tunggu tanpa buat apa-apa?
            Usai solat asar, aku segera melipat telekung dan menyangkutnya pada penyidai. Baru saja aku melangkah setapak ke muka pintu bilik, telefon bimbitku sudah pun berdering. Aku terus menjawabnya sebaik membaca nama yang tertulis di skrin. “Auntie Yasmin!” seruku gembira. Rindu sungguh aku dengan ibu saudaraku itu. Yalah, lepas ibu dan ayah aku meninggal, dialah tempat aku menumpang kasih. Sementelah, aku ni anak tunggal.
            “Ni apa main terjah-terjah macam ni? Bagilah salam dulu…” tegur Auntie Yasmin.
            Aku tersengih-sengih sambil menggaru kepala. “Assalamualaikum, auntie…” ucapku.
            “Waalaikumussalam. Sihat?” tanya Auntie Yasmin.
            Aku duduk di birai katil. “Sihat. Auntie bila nak balik sini? Jiha rindu sangat dengan auntie ni…” Sengaja aku buat suara manja.
            “Auntie telefon ni sebab nak bagitahu Jiha pasal nilah. Hujung bulan ni auntie balik sana,” ujar Auntie Yasmin membuatkan aku hampir terlompat kesukaan.
            “Betul ke, auntie? Auntie tak main-main, kan?” Sungguh aku gembira dengan khabar itu. Kalau mengikut kiraanku, hanya tinggal dua minggu saja lagi sebelum sampai akhir bulan ni. Tak sabarnya!
            “Betullah… Kali ni, auntie bawak balik hadiah special untuk anak saudara kesayangan auntie ni,” tambah Auntie Yasmin.
            Aku mengerutkan dahi. Sepatutnya, aku gembira bila ada hadiah untukku. Tetapi entah kenapa hatiku terasa lain macam pula. “Hadiah apa, auntie?”
            Auntie Yasmin tergelak kecil. “Macam ni… bulan lepas auntie ada jumpa kawan lama auntie kat sini. Dia tengah bercuti. Lepas tu, auntie selalu contact dengan dia sampai sekarang. Sembang punya sembang, akhirnya dia bagitahu auntie dia nak cari calon isteri untuk anak dia tu. Dia mintak tolong auntie kalau-kalau auntie ada kenal mana-mana anak dara untuk dijodohkan dengan anak dia tu. Dah tak orang lain dalam kepala auntie ni melainkan Jiha…”
            Penerangan panjang lebar Auntie Yasmin itu membuatkan aku terbangun dari duduk. Bermimpikah aku?
            “Auntie nak kenalkan Jiha dengan anak dia lepas auntie balik nanti. Jiha okey tak?”
            “Auntie… kenapa auntie tak tanya Jiha dulu pasal hal ni?” Aku mengeluh. Jantungku sudah berdegup tanpa arah. Aduhai!
            “Auntie ingat Jiha tak ada masalah dengan rancangan ni. Yalah… bukan ke dulu Jiha pernah cakap dengan auntie yang Jiha nak kahwin? Cuma Jiha tak ada calon. Sebab tu auntie nak Jiha kenal dengan anak kawan auntie ni…”
            Aku terdiam. Part ni aku lupa nak cerita tadi. Memang sebelum ni aku pernah cakap kat auntie yang aku nak kahwin. Aku teringin sangat nak berumah tangga. Tapi masalahnya, aku belum ada calon. Adakah ini peluang terbaik untuk aku?
            “Tapi, auntie…” Aku masih ragu-ragu. Hujung kuku aku gigit-gigit.
            “Auntie bukan nak suruh Jiha kahwin terus. Kenal-kenal aje dengan dia dulu. Kalau serasi, kita teruskan. Kalau tak, auntie takkan paksa,” ujar Auntie Yasmin. Lembut sekali nada suaranya seolah-olah memujuk hatiku. Sanggupkah aku mengecewakannya?
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
SAMPAI ke tengah malam, aku masih lagi teringat-ingat kata-kata Auntie Yasmin lewat petang tadi. Aku cuba tepis, tapi aku tak mampu. Makin aku cuba lupa, makin kuat pula ayat-ayat tu melekat kemas kat ingatan aku ni. Bila aku ceritakan pada Imah dan Arin, kedua-duanya gelak besar. Aku tarik muncung panjang.
            “Jiha, macam mana kalau lelaki tu gemuk? Tak pun, hodoh? Atau… pendek mungkin?” Arin buat gaya orang berfikir. Menyampah betul aku tengok.
            “Kau ni macam doakan aje...” jelingku geram.
            “Tak adalah doakan. Aku cuma kesiankan kau ni ha… Bukan ke kau cakap nak kahwin dengan lelaki ala-ala hero novel tu? Kalau lelaki tu tak macam yang kau harapkan, apa kau nak buat?”
            Soalan Arin tu buat aku termangu-mangu. Hisy, seram memikirkannya!
            Imah duduk di sebelahku. Aku pandang wajahnya. “Aku nak bagi alasan apa kat auntie aku nanti?”
            “Kau tak nak jumpa lelaki tu dulu ke?” Imah balas soalanku dengan soalan.
            Aku diam sebentar. Berfikir-fikir. Kemudian, aku menggeleng. “Aku takut kalau nanti aku tak suka lelaki tu.”
            “Serius tak nak jumpa? Kalau lelaki tu menepat ciri-ciri yang kau nak tu, melepas tau?”
            Aku geleng lagi. Apa pun alasannya, aku tetap takut. Bukan aku tidak kasihankan Auntie Yasmin. Tetapi aku lebih kasihankan diriku sendiri. Memanglah aku nak sangat kahwin, tapi bukan dengan cara begini. Biarlah aku yang mencari sendiri lelaki itu tanpa perlu orang tengah atau bantuan sesiapa.
            So, kau nak buat apa?” Imah pandang muka aku.
            Aku memuncungkan bibir. Kemudian, aku menjongket bahu.
            “Satu cara aje!” sampuk Arin membuatkan kepalaku tertoleh ke arahnya.
            “Kita cari calon suami untuk kau. Nanti bila auntie kau balik sini, kau perkenalkanlah lelaki tu kat auntie kau. Gerenti dia takkan paksa kau lagi. Nak?” Arin mengangkat-angkat keningnya.
            Aku ternganga. “Gila! Nak cari mana?”
            “Alah… yang tu kita fikir kemudian. Soalnya sekarang, kau nak ke tak nak? Say yes or no!”
            Muka Arin nampak bersungguh benar. Tetapi hatiku masih lagi ragu. Boleh percaya ke?
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
YES!”
            Itulah jawapan aku yang akhirnya menjerat aku dalam rancangan bodoh lagi gila ni. Entah apalah yang aku fikirkan ketika memberi jawapan kepada Arin tempoh hari. Sudahnya, dia membuat rancangan untuk mencari calon suami untukku di dalam Facebook. Ala-ala Cinta Muka Buku lagu Najwa Latif tu…
            “Hah! Yang ni hensem!”
            Aku memandang ke arah skrin laptop milik Arin itu. Jelas kelihatan wajah seorang lelaki sedang tersenyum di dalam gambar profilnya. Belum sempat aku bagi jawapan, Arin dah pun add si mamat yang langsung aku tak kenal tu.
            “Ahmad Kamarul…” Arin menyebut perlahan nama mamat tu.
            Ahmad Kamarul… Aku ulang sebut dalam hati. Ragu-ragu. Boleh jalan ke cara ni? Kalau Kamarul ni orang jahat, macam mana?
            “Dia dah accept friend request!” Arin terjerit kesukaan.
            Uish, pantas dan efisien! Tergeleng-geleng kepalaku seketika. Arin tiba-tiba menolak laptop itu dekat denganku. Aku mengerutkan dahi, tak faham.
            “Mulakan chat dengan dia,” suruh Arin.
            Mataku terbuntang luas. Gila! Tak pernah-pernah aku buat sebelum ni tau?
            “Buat ajelah! Ni aje cara yang ada tau?” paksa Arin.
            Kelat mukaku jadinya. Namun, arahannya itu aku turutkan juga. Penuh debar aku memulakan chatting dengan si mamat bernama Kamarul tu. Takut juga kalau dia tak layan. Eh, dia layanlah! Tersengih aku sekejap.
            “Pandai-pandailah kau ayat dia. Lama-lama nanti sangkutlah tu!”
            Aku pandang wajah Arin. Eh, dia ni betul ke tak? Tak ke nanti menjatuhkan maruah aku sebagai seorang wanita sejati? Aku cebik bibir. Nak tak nak, aku buat juga apa yang Arin suruh.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
MULA-MULA memang aku yang mulakan perbualan antara aku dan Kamarul. Tapi cuma sekali itu saja. Esoknya, dia pula yang mencariku di Facebook. Bukan aku nak perasan, tapi memang dia macam dah sangkut benar dengan aku. Hampir seminggu berkenalan di Facebook, dia akhirnya ajak aku jumpa face to face. Mula-mula tu, aku cuaklah juga. Sumpah aku tak pernah buat kerja-kerja macam ni! Kalaulah Auntie Yasmin tahu, mesti dia tak mengaku aku ni anak saudara dia lagi.
            “Buat selamba dahlah. Lagipun, kau dah tak ada banyak masa, Jiha. Tinggal lagi seminggu sebelum auntie kau balik tau?”
            Atas kata-kata berupa nasihat dan galakan tulah, aku setuju untuk jumpa dengan Kamarul. Aku ajak Arin, tapi dia tak mahu ikut. Imah pula sibuk dengan benda lain. Terpaksalah aku pergi sorang-sorang ke restoran yang dah ditetapkan.
            Aku melilaukan mata mencari petak parkir yang kosong untuk skuter kesayanganku ini. Sebaik nampak saja petak kosong tu, aku terus membelok masuk. Agaknya, aku terlambat tekan break yang terus buatkan aku terlanggar motosikal yang terparkir kat petak sebelah. Aku mula menggelabah. Terus aku terloncat turun dari skuterku setelah mematikan enjin.
            “Motor aku!”
            Aku terkejut mendengar suara itu. Terus aku berpaling ke kanan. Seorang lelaki sedang berlari-lari anak mendapatkan motosikal yang dah jatuh tergolek tu. Apa yang mampu aku buat waktu tu, reda ajelah…
            Lelaki itu memandang ke arahku. “Buta ke? Tak nampak motor aku ni ada kat sini? Kalau tak reti nak bawak motor tu, baik tak payah bawak!”
            Ewah! Ewah! Cantiknya bahasa dia! Geram aku dah berbakul-bakul waktu ni. “Sorrylah… saya bukan sengaja.” Nada suara tetap kurendahkan. Tak mahu nanti dikatakan kurang ajar pula sedangkan hati aku ni dah rasa panas semacam waktu ni.
            “Lain kali, tengok kiri kanan dulu sebelum masuk tu. Ini tak, main redah aje!” bebel lelaki itu lagi.
            Aku dah mula ‘angin’ tapi aku tetap sabarkan hati. Aku sedar, memang silapku motosikal itu terjatuh. Lelaki itu mengangkat motosikalnya dan memanjat naik. “Tak pandai bawak motor tu, buatlah cara tak pandai. Menyusahkan aje!”
            Aku yang baru mahu melangkah, terus terhenti mendengar kata-kata sinis lagi pedas itu. Mencerlung mataku merenung lelaki itu. “Excuse me!”
            “Apa?” Lelaki itu membalas renunganku.
            Aku merengus. Kalau tadi aku boleh sabar sebab kesalahan memang dipihakku, sekarang ni tak lagi. “Saya tahulah motor awak ni motor mahal! Tapi janganlah sesuka hati aje nak marah orang! Kan saya dah mintak maaf tadi! Nak saya buat apa lagi baru awak nak puas hati?” Aku tahu, suaraku yang kuat bagaikan guruh di musim hujan ini sudah menarik perhatian orang-orang keliling. Namun mataku tetap fokus pada wajah lelaki sombong itu. Wajahnya nampak terkejut. Hah, baru kau tahu siapa aku kan!
            Dia memakai helmet. Tanpa menjawab apa-apa, dia terus memceut motosikalnya pergi dari situ. Aku merengus geram. Ketika berpaling, aku perasan seorang lelaki sedang merenungku dengan pandangan pelik. Aku balas pandangan itu. Kalau tidak salah, lelaki itu macam… macam… err… Kamarul?!
            Muka aku dah kelat semacam. Malunya aku bila dia turut menyaksikan kejadian tadi. Mesti dia cop aku ni perempuan tak tahu malu! Rasa macam nak sorok muka bawah skuter aje masa ni!
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
“DIA cakap apa?” tanya Arin.
            “Dia tak cakap apa-apa pun. Terus blah macam tu aje. Tadi aku tengok dia dah tak ada dalam friend list aku. Dia dah unfriend aku kot…” jawabku dengan bibir memuncung. Teringat pula kejadian siang tadi. Ni semua mamat motor tu punya pasal! Tak pasal-pasal aku dah hilang peluang nak dapat calon suami. Dahlah tempoh masa tinggal seminggu aje lagi. Masalah, masalah…
            “Jiha, cuba tengok mamat tu. Boleh tahan hensem.” Arin memuncungkan bibir ke arah seorang lelaki yang sedang duduk bersendirian di hujung restoran.
            So?”
            “Pergilah tegur dia. Mana tahu kali ni jadi.” Arin mengenyitkan sebelah matanya.
            Aku bulatkan mata besar-besar. “Ni lagi satu rancangan gila! Aku tak nak!” ujarku keras. Biarlah kalau ada orang lain dengar pun.
            Arin mendekatkan bibirnya ke telingaku. “Pergi ajelah… Aku tengok mamat tu hensemlah weh. Kena dengan taste kau, kan?”
            “Tapi…” Aku cuba membantah tetapi ayat Arin yang seterusnya buat aku terdiam dan terpaku.
            “Tempoh masa untuk kau cari calon suami tinggal seminggu aje lagi tau? Sanggup?”
            Aku gigit bibir. Betul ke cara macam ni? Tak melampau sangat ke? Aku mengaku, aku memang tak seberani Arin!
            Akhirnya, aku turutkan juga arahan Arin itu. Aku melangkah perlahan-lahan mendekati lelaki yang tak kukenali itu. Dengan penuh debaran, aku duduk di depannya. “Hai…” Aku tambahkan gula dua kilo dalam senyumanku. Agak-agak, dia terpikat tak ye?
            Lelaki itu memandangku dengan kerutan di dahi. Yalah! Siapa tak pelik bila tiba-tiba ada awek cun duduk kat depan, kan? Sempat lagi aku perasan! “Emmm… saya Wajihah.” Aku memperkenalkan diri.
            “Remy,” ujar lelaki itu.                             
            Aku senyum lagi. Dia pun senyum juga. Kacak habis! “Awak… sorang aje ke?” Entah sejak bila aku pandai bercakap dengan orang lelaki macam tu. Ibu, ayah… ampunkan anakandamu ini…
            “Tak, tengah tunggu…”
            “Sayang!”
            Aku berpaling. Seorang gadis cantik baru saja tiba dan tercegat di sisi meja. Lelaki itu bangkit berdiri, menyambut ketibaan gadis itu. Erk… siapa ni?
            “Kenalkan, my wife, Reena.”
            Ayat Remy itu buat aku hampir pitam! Cepat-cepat aku bangun menghulur salam. Senyuman manis Reena aku balas dengan senyum kelat-kelat masam. “Err… maaflah, tadi saya ingat kawan saya. Rupanya bukan pulak… Pergi dulu ye?” Aku terus berpusing mendapatkan Arin yang sudah gelak sampai pecah perut. Amboi! Dia yang bagi cadangan, dia pulak yang gelakkan aku! Apa punya kawanlah macam ni!
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
AKU tongkat dagu merenung ke luar pintu kedai. Keluhan terlepas lagi. Tinggal lagi empat hari saja. Apa yang patut aku buat sekarang? Menyerah aje ke? Patut ke aku ikut je cadangan Auntie Yasmin tu? Tak kenal maka tak cinta, kan? Tiba-tiba, aku teringat perbualan dengan Imah di rumah malam tadi.
            “Aku ada idea untuk kau,” kata Imah.
            “Apa?” Aku yang sedang menikmati Maggie perisa kari terus tertoleh ke arahnya.
            “Aku ada sorang kawan. Apa kata kau jumpa dia dulu? Mana tahu, dia boleh tolong kau.”
            “Maksud kau… blind date?!”
            Imah mengangguk. Aku terus terbuntang biji mata. Aduhai!
            “Bukanlah blind date sangat. Kau cuma perlu jumpa dia. Lepas tu, kau pandai-pandailah cakap dengan dia pasal masalah kau. Kau mintak dia tolong kau berlakon jadi kekasih kau depan Auntie Yasmin nanti. Aku yakin, dia mesti tak kisah tolong kau.”
            Hampir tercekik aku dibuatnya. “Kau nak suruh aku berlakon depan Auntie Yasminlah ni?”
            Imah angguk lagi. “Ni je cara yang ada. Mana kau nak cari calon suami dalam masa tak sampai seminggu ni? Lainlah kalau kau tawarkan sejuta!”
            Perbualan itu tamat begitu saja kerana aku tidak memberi sebarang jawapan. Jujurnya, aku buntu. Perlu ke buat sampai begitu? Bukannya aku terdesak sangat pun. Err… silap! Ya, memang aku terdesak sekarang ni. Terdesak sangat-sangat!
            Tiba-tiba pintu kedai terbuka dari luar. Seorang lelaki melangkah masuk. Aku terus terbangun dari kerusi melihat wajah lelaki itu. Bukankah ini…
            Ya! Aku yakin inilah lelaki yang aku jumpa kat tempat parkir motosikal tempoh hari. Motosikal dialah yang aku terlanggar hari tu. Macam mana dia boleh ‘sesat’ datang sini pulak ni?
            Lelaki itu mendekati aku yang masih berdiri di meja kaunter pembayaran. Dia nampak terkejut melihat aku di situ. Pasti dia sudah dapat mengecam wajahku ini. Aku buat muka selamba. “Nak cari buku apa?” tanyaku.
            “Bukan nak cari buku. Nak cari orang,” jawabnya.
            Aku mengerutkan dahi. Waktu ini, hanya aku seorang yang menjaga kedai. Siapa pula yang dia nak cari?
            “Kenal tak dengan… Wajihah?”
            Aku terkejut mendengar nama itu meniti di bibirnya. Wajihah? Bukankah itu namaku? Ya! Memang itu namaku. Adakah dia sedang mencariku? “Ada apa nak cari dia? Kenapa dengan dia?”
            “Hmm… Sebenarnya, kawan saya yang suruh saya datang sini. Dia cakap, Wajihah tu tengah ada masalah dan dia nak saya tolong. Dan kalau awak tak keberatan, boleh bagitahu siapa Wajihah tu?” Nadanya tenang. Kontra sekali dengan caranya memarahi aku tempoh hari.
            Aku terkelip-kelip mata sebentar. Kawan dia? Siapa yang dia maksudkan? Kawan dia tu kenal aku ke? “Err… maaflah ye. Tapi Wajihah tak ada sekarang. Malam nanti baru dia masuk kerja.” Aku menipu. Suka-suka hati aku je.
            “Ya ke?” Dia buat muka tak percaya.
            Aku angguk dengan sepenuh keyakinan. Alah, bukan dia tahu pun!
            Dia terangguk-angguk. Kemudian, dia berpaling membelakangiku sambil mengeluarkan handphone dari poket seluar. Entah kenapa, teringin pula aku tahu siapa yang mahu dihubungi. Panjang leherku memasang telinga mendengar butir-butir percakapannya.
            “Mah, kau cakap Wajihah tu kerja time ni. Apasal budak ni cakap dia kerja malam nanti?”
            Mah? Erk! Aku dah mula jadi tak keruan! Macam mana kalau Mah tu Imah?
            “Tak. Budak ni cakap Wajihah masuk kerja malam nanti. Yang mana satu betul ni?”
            Budak ni? Haish! Panas sekejap telinga dengar panggilan tu.
            “Budak ni?” Lelaki tu berpaling padaku. Matanya meneliti aku dari atas hingga bawah. Amboi! Amboi! Nak aje aku korek biji mata tu!
            “Pakai t-shirt merah dengan jeans hitam. Rambut ikat satu aje,” ujar lelaki itu lagi.
            Aku semakin berdebar-debar. Apa maksud semua ini? Adakah lelaki itu yang dimaksudkan Imah malam tadi?
            “Ooo…” Lelaki itu terangguk-angguk pula. Kemudian dia ketawa. “Okey, bye.” Talian dimatikan. Kemudian, dia menoleh padaku. “Cik Wajihah?”
            Aku buat muka selamba. “Ya?” balasku.
            Dia tersenyum sambil kembali berdiri tegak di depanku. “Saya Syahrizal. Panggil aje Syah. So… ada apa-apa yang boleh saya tolong awak?”
            Aku diam. Tolong? Tolong apa ye?
            “Imah bagitahu saya, awak tengah terdesak nak cari calon suami. Kalau awak nak saya tolong, saya tak kisah…” Selamba sekali si Syah ni berkata-kata. Aku menjeling wajahnya dengan ekor mata. Betul ke dia tak kisah?
            “Nak ke tak nak ni?” tanya dia lagi.
            Aku berfikir-fikir. Orang dah offer tu, Jiha! Apa lagi yang kau tunggu? Terima ajelah! Bukan betul-betul pun. Olok-olok aje! Aku ketap bibir kuat-kuat. Masih tak ada jawapan.
            Dia melilaukan mata ke sekeliling kedai. Melihat aku masih tiada jawapan, dia akhirnya bersuara semula. “Kalau awak tak nak saya tolong, tak apa. Saya pergi dulu. Assalamualaikum…” Dia tunduk. Kemudian, berpaling dan mengatur langkah ke arah pintu kedai.
            Aku tercengang di situ. Salamnya aku jawab dalam hati. Apa aku nak buat ni? Dia satu-satunya harapan aku sekarang. Patut ke aku terima bantuan dia? Langkahnya semakin hampir dengan pintu kedai. Aku terus berperang dengan perasaan sendiri. Aku buntu!
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
 p/s --> Nantikan sambungannya nanti. :)

13 comments:

RinsyaRyc said...

takut lak dia salah pilih .. huhu .. x berani la pi kenal2 kat fb la .. adoiii.. berani sungguh .. *penghayatan terlebih la pulak*

akak tunggu smbungan ! best sesangat!

[AYUMI AFIQAH] said...

nk bg karakter giler2 skit. mnjadi x? hehehee... ok nnti ada masa sy smbung. :)

Anonymous said...

akak cepat samung ye..x sabar..heheh

[AYUMI AFIQAH] said...

orait darling. akak cuba curi masa smbung k. :)

missfie_za&Lynn_are said...

beshx2.... ade smbungan rupenye... hehe.. tp mmg besh... x sbr nk tau pe yg blaku sterusnya....

[AYUMI AFIQAH] said...

mekasih.. nnti ada sambungannye.. :)

Anonymous said...

Anonymous said...

erk..memang xsangka nama heroin dy sejibik nama saya.. hehe.. first time baca cerpen or novel guna nama Wajihah.. :) pelik..tp agak teruja sebenarnya.. huhu.. thanks.. xsabaq nanti sambungannya~~ ;)

!x0r@ said...

Salam cik penulis. cerpen ni kat mana sambungannya ya? Pertama kali sampai blog ni.. tertarik pulak dengan cerpen ni =)

cahaya azura said...

ixora..sambungannya Dia Calon Suamiku! selalu2 la singgah blog ni sbb penulis blog ni mmg berbakat. novel2 ayumi syafiqah pn best tau.. ^_^

!x0r@ said...

Terima kasih Cahaya Azura.. Err,nama kita sama la.. ehheh.. Btw, saya dah jumpa sambungan cerpen ni. Mmg best.. tp untung laa heroin tu sbb senang jmpa jodoh.. really wish can be like her~

'Atiqah Mahmud said...
This comment has been removed by the author.
PUTERI ASYIQIN said...

Bestttt ✌✌✌ nanti visit blog saya pulak . Harissa asyiqin ✌

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...