++ Suntikan Semangat! ++

Monday, February 6, 2012

- Cerpen : Aku Yang Tersakiti -

Pernahkah kau merasa
Jarak antara kita
Kini semakin terasa
Setelah kau kenal dia
Aku tiada percaya
Teganya kau putuskan
Indahnya cinta kita
Yang tak ingin kuakhiri
Kau pergi tinggalkanku
Tak pernahkah kau sedari
Akulah yang kau sakiti
Engkau pergi dengan janjimu
Yang telah kau ingkari
Oh Tuhan tolonglah aku
Hapuskan rasa cintaku
Aku pun ingin bahagia
Walau tak bersama dia
Memang takkan mudah bagiku tuk lupakan segalanya
Aku pergi untuk dia…

NABILAH mengesat air mata yang membasahi pipi. Alunan lirik lagu yang seolah-olah merobek-robek sekeping hati miliknya bagai terngiang-ngiang di telinga. Kalau sebelum ini segala cerita yang tidak enak yang keluar dari mulut rakan-rakan tentang Aidil tidak pernah dihindari. Tetapi setelah melihat sendiri buktinya, dia merasakan dirinya sangat bodoh. Bodoh kerana percaya pada lelaki yang pernah berjanji untuk setia selama-lamanya dengannya biarpun jarak memisahkan mereka. Dia bodoh kerana menaruh harapan untuk hidup bahagia dengan lelaki itu sedangkan di hati Aidil sudah terukir nama gadis lain semenjak bergelar pelajar universiti. Mengenangkan semua itu, air matanya menitis lagi.
            “Nabilah!”
            Panggilan itu menyentakkan Nabilah. Segala khayalannya tadi terbang dibawa angin pantai yang sungguh damai. Dia berpaling. Melihat lambaian Anis, bibirnya terus mengukir sebaris senyuman. Dia menanti gadis itu mendekatinya.
            “Dah lama sampai? Sorry aku buat kau tertunggu-tunggu,” ucap Anis sambil duduk di sebelah Nabilah. Pandangan dihalakan ke arah air laut yang membiru. Tenang rasa hati melihat ombak yang cukup cantik beralun.
            “Tak adalah lama sangat. Tapi sempatlah jugak nak berkhayal sampai ke Korea,” gurau Nabilah sambil tergelak kecil. Sengaja mengenakan rakannya itu.
            Anis menjeling. “Sampai Korea ke… sampai kat hati?” Meleret suaranya membalas.
            Nabilah terus terdiam mendengar soalan itu.
            Anis mengeluh. Bahu Nabilah dipaut erat. “Kau ingat dia lagi?” soalnya perlahan, takut menyinggung perasaan Nabilah walau hakikatnya dia dapat melihat ada sebaris kedukaan yang dipendam di sebalik senyuman yang terukir pada bibir gadis itu.
            “Aku tak pernah lupa dia…” Perlahan Nabilah menjawab.
            “Come on, Bilah! Dia bukan ingat kau pun. Masuk U aje, terus cari lain. Dia ingat kau ni apa? Tunggul kayu tunggu dia kat kampung ni?” Anis meninggikan suara. Bibirnya tercebik, meluat. Sebelum ini, dia cukup kagum dengan hubungan Nabilah dan Aidil yang tetap bertahan walaupun setelah Aidil berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, sementara mereka berdua masih di sekolah mengejar sijil SPM. Tetapi rasa kagumnya tidak bertahan kerana tidak sampai beberapa bulan, Aidil sudah menemui pengganti Nabilah di sana. Tak guna punya lelaki!
            “Mungkin sebab aku ni tak cukup baik untuk dia. Sebab tu dia cari lain.” Suara Nabilah merendah. Pedih hatinya kini, hanya Allah yang mengerti. Biarpun sesetengah orang menganggap cinta monyet bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, dan akan hilang dengan sendirinya seiring waktu, tetapi kesakitan kerana ditinggalkan itu tetap terasa. Nabilah menunduk bersama perasaan sebak yang tak pernah pergi dari hatinya semenjak hubungannya dengan Aidil hancur punah di tengah jalan.
            Anis mengeluh. Kepalanya tergeleng-geleng. “Bukan kau yang tak cukup baik untuk dia. Tapi dia yang terlalu jahat untuk kau! Mungkin dah memang bukan jodoh kau dengan dia, sebab tu Allah tarik rasa cinta pada kau dari hati dia. Lebih baik kau kecewa sekarang sebelum perasaan kau pada dia bertambah dalam.” Anis bagaikan berfalsafah. Putus cinta memang menyakitkan, tetapi ia bukanlah pengakhiran dalam hidup seseorang.
            Lama Nabilah terdiam memikirkan kata-kata Anis. Dia tahu ada benarnya kata-kata Anis itu. Tetapi, hatinya masih berat untuk menerima. Dia masih sukar untuk membuang bayangan Aidil dari ruang fikirannya.
            “Jom jalan-jalan ambik angin! Bosanlah asyik cakap pasal mamat tu aje.” Anis bangkit berdiri. Tangannya didepangkan seketika, menikmati bayu pantai yang sungguh segar itu.
            Nabilah masih diam. Melihat gadis itu yang bagaikan berkhayal jauh, Anis bertindak menarik lengan Nabilah. Mahu tidak mahu, terpaksa juga Nabilah bangun mengikut langkah Anis. Mereka berdua berjalan di gigi pantai sambil bercerita tentang pelbagai perkara. Seboleh mungkin Anis cuba mengelakkan tajuk tentang cinta. Dia tidak mahu hati Nabilah yang sudah sedia terluka akan lebih parah.
            “Tak lama lagi kita dah nak masuk U. Kau dah ready?” Anis bertanya sambil memandang ke arah Nabilah yang berjalan di sisinya.
            “Hmm… bolehlah. Aku harap lepas masuk U, aku boleh lupakan dia,” jawab Nabilah sambil tersenyum nipis.
            “Of course you can! Nanti kita cari pakwe sama-sama eh?” Anis tersenyum mengada.
            Nabilah tergelak akhirnya. Anis memang pandai mengambil hatinya. Hati yang rawan terasa bagai terubat sedikit. Puas berjalan-jalan, mereka akhirnya membuat keputusan untuk pulang.
            “Kau parking motor kat mana?” tanya Anis sambil melilaukan mata ke sekeliling.
            “Tu!” Nabilah memuncungkan mulut ke arah motosikal yang terparkir tidak jauh dari tempat mereka berdiri.
            “Kau tunggu sampai mak aku sampai boleh tak? Aku takutlah tunggu sorang-sorang,” pinta Anis. Dia tidak seperti Nabilah yang datang sendiri dengan menaiki motosikal. Sehingga ke hari ini, dia masih bergantung dengan emaknya kalau mahu keluar ke mana-mana.
            Nabilah pura-pura mencebik. “Yalah, mak cik!”
            “Yeayy! Sayang kau!” Anis ketawa dengan kata-katanya sendiri. Ketika itulah dia terdengar bunyi enjin motosikal yang seakan-akan menghampiri mereka berdua. Anis dan Nabilah sama-sama berpaling. Motosikal itu berhenti betul-betul di depan mereka.
            “Hai cik adik! Berdua aje ke?” tanya seorang lelaki yang menunggang motosikal itu. Manakala rakannya di belakang hanya tersengih-sengih lebih busuk dari kerang.
            “Taklah! Kat atas bahu ni ada dua malaikat. Satu catat amalan baik, satu catat amalan jahat. Kalau rasa nak dapat ‘tanda merah’ dalam buku rekod dosa, bolehlah join kitorang sembang-sembang kat sini!” Pedas sindiran Nabilah. Dia buat-buat tersenyum sebelum menjeling tajam. Ada aje yang nak mengacau!
            Kedua-dua lelaki itu saling berpandangan sebelum masing-masing tergelak sakan. “Alah… kitorang nak kenal-kenal aje. Takkan tu pun tak boleh kot? Dosa eh kalau nak berkawan?” tanya lelaki yang duduk di belakang.
            Anis memandang Nabilah, mengharap jawapan balas daripada gadis itu.
            “Tak, tapi kitorang tak ingin!” jawab Nabilah sedikit kasar.
            “Amboi, sombong! Cik adik manis ni duk kat mana ya? Macam pernah tengoklah sebelum ni,” ujar lelaki yang menunggang motosikal itu.
            “Ha’ahlah, macam pernah tengok. Kat mana ek?” sahut si teman. Kedua-duanya berfikir-fikir sebelum lelaki itu menambah, “Hah! Dah ingat dah! Dalam mimpi!” Kemudian mereka berdua ketawa terbahak-bahak.
            Nabilah mengetap gigi. Anis pula terkebil-kebil memandang. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Takkan nak lari kot? Kalau dua orang mamat ni kejar macam mana?
            “Anis, mak kau lambat lagi ke?” Nabilah berbisik di telinga Anis. Dia sudah mencapai helmetnya.
            “Entah!” Anis mengangkat bahu.
            “Nak aku hantar?” tanya Nabilah lagi.
            “Nak kitorang hantar pun boleh!” sampuk lelaki itu lagi.
            Nabilah merenung tajam muka lelaki itu. “Eh, ada saya tanya awak ke?” balasnya kasar.
            Lelaki itu tersenyum-senyum. “Tak, tapi ikhlas nak hantar.”
            “Eh!” Si teman menepuk bahu lelaki itu. “Mana muat! Kalau kau hantar dia, aku nak duduk mana?”
            “Ya tak ya jugak ek?” Lelaki itu berfikir-fikir. Kemudian dia memandang ke arah motosikal Nabilah. “Kau naik dengan dia!” ujarnya dan mereka berdua ketawa lagi.
            Nabilah mengerutkan muka. Apa kena beruk dua ekor ni? Kena sampuk hantu gelak ke apa? Benda tak lawak pun nak ketawa bagai nak tercabut wayar kerongkong! Gerutunya dalam hati. “Jom aku hantar kau, Anis! Bercakap dengan beruk memang payah, diorang tak faham apa kita cakap.” Nabilah menyarung helmet ke kepala dan mula memanjat motosikalnya.
            Anis teragak-agak. Perlukah dia menghubungi emaknya terlebih dahulu?
            “Awak berdua duduk kat mana?” Lelaki itu bertanya lagi.
            “Duduk kat rumah!” jawab Nabilah masih kasar. Dia mula menghidupkan enjin motosikal sambil memberi isyarat kepada Anis supaya naik.
            “Err… aku tak ada helmet,” ujar Anis takut-takut.
            Spontan Nabilah mengeluh. Macam mana boleh lupa ni? Sudahlah dia masih menggunakan lesen percubaan. Ditahan dek polis nanti, tak ke parah? Makin membara rasa marahnya bila mendengar tawa dua lelaki itu yang pecah lagi. Eiii… ada jugak yang makan selipar nanti!
            Ketika itulah dia terdengar bunyi hon kereta. Dia, Anis dan dua orang lelaki itu sama-sama berpaling. Anis tersenyum lega melihat emaknya sudah tiba. “Aku balik dulu. Bye!” Cepat-cepat dia berlalu ke arah kereta emaknya.
            Nabilah hanya memandang. “Anis! Report kat mak kau yang ada dua orang beruk sesat kacau kita!” Sempat dia menjerit, memberi arahan kepada Anis.
            Anis berpaling semula. Melihat isyarat mata Nabilah, dia mengangkat tangan tanda ‘okey’.
            Nabilah tersenyum puas. Sempat ekor matanya mengerling ke arah dua lelaki itu yang bagaikan menggelabah. Cepat-cepat salah seorang daripadanya menghidupkan enjin dan memecut pergi. Nabilah mencebik. Ceh! Ingatkan macho, tapi hancho! Hatinya ketawa mengejek.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
SUDAH sebulan Nabilah belajar di kolej ini. Biarpun ketika mendapat tahu bahawa dia akan belajar di kolej yang sama dengan Aidil dia berasa seolah-olah ada batu besar menghempap kepala, tetapi dia tetap menguatkan hati. Sedaya mungkin dia akan cuba mengelak daripada menemui Aidil. Dia tahu dia belum kuat berdepan dengan lelaki itu. Luka yang lelaki itu hadiahkan masih terasa hingga kini. Jadi biarlah Aidil tidak tahu mereka belajar di satu tempat yang sama.
            “Abang Dol! Mee tom yam satu!” Nabilah membuat pesanan kepada pekerja kafe dengan suara yang sedikit terjerit. Walaupun baru sebulan belajar di situ, dia sudah terbiasa dengan Abang Dol, tukang masak di kafe kolejnya itu.
            “Okey!” Abang Dol memberi isyarat ‘okey’ dari arah dapur.
            Nabilah tersenyum. Dia berpaling ke sekitar kafe, mencari-cari meja kosong. Anis tidak ada bersamanya kerana mendapat tawaran belajar di universiti lain. Jadi terpaksalah dia mencari rakan lain. Itu pun belum ada yang betul-betul rapat. Nabilah mengambil tempat di meja yang paling hujung sementara menanti pesanannya tiba. Sambil menanti, telinganya tiba-tiba menangkap suara dari arah belakangnya. Dia berpaling.
            “Awak, nombor telefon saya hilanglah. Boleh tak kalau saya mintak nombor awak?” tanya lelaki yang sedang duduk membelakangi Nabilah. Gadis di depannya tersipu-sipu malu.
            Nabilah tergeleng-geleng. Lelaki, memang suka mengayat! Dia malas pedulikan ‘drama sebabak’ itu tetapi suara lelaki itu seolah-olah mengingatkannya pada seseorang. Dia pernah mendengar suara itu sebelum ini tetapi dia lupa siapa dan di mana. Dia memasang telinga lagi.
            “Bolehlah ya, wak?” pinta lelaki itu lagi.
            “Awak nak buat apa dengan nombor saya?” balas si gadis.
            “Agak-agak kalau orang mintak nombor, dia nak buat apa ya? Mestilah nak call, nak text… Takkanlah nak rebus buat maggi pulak!” Lelaki itu berkata sambil tergelak kecil. Membuatkan gadis itu tersenyum malu.
            Nabilah menahan gelak di dalam hati. Ayat macam budak! Ini ke cara nak mengurat?
            Tiba-tiba lelaki itu berpaling, mencapai begnya yang disangkut pada belakang kerusi. Melihat wajah lelaki itu, mata Nabilah terus membulat. Lelaki itu juga turut memandangnya. Masing-masing terpaku bagai tidak percaya. Eh, ni bukan ke mamat yang kacau aku kat pantai dulu? Aku belajar tempat sama dengan dia ke? Erk!
            Lelaki itu pura-pura tidak mengenali Nabilah dan kembali memandang gadis di depannya. “Hari ni saya belanja awak makan. Nak tak?” ujarnya pada gadis itu.
            “Ya ke?” Gadis itu kelihatan benar-benar teruja.
            “Mestilah!”
            Tiba-tiba, terlintas satu idea nakal di kepala Nabilah. Dia bangun dan melangkah mendekati ‘pasangan’ itu. “Hai, sayang!” ucapnya dengan suara yang sengaja dimesrakan sambil memandang lelaki yang tidak diketahui namanya itu.
            Alif terkebil-kebil memandang Nabilah. Tak percaya pun ada.
            “Awak janji nak teman saya hari ni. Kenapa ada kat sini pulak? Puas saya tunggu tau!” Nabilah buat gaya manja. Dalam hati, nak muntah!
            Gadis itu memandang pelik ke arah Nabilah. Alif juga begitu, memandang Nabilah dan gadis di depannya dengan mata terkelip-kelip. Apa yang tengah jadi ni?
            “Alah awak ni! Sajalah tu buat-buat lupa!” Nabilah meneruskan lakonannya.
            “Oh! Jadinya awak dah ada girlfriendlah? Dasar lelaki!” cemuh gadis itu. Dia bangkit dan terus beredar pergi tanpa sempat Alif menahan.
            Alif bangun. Kelat wajahnya memandang langkah gadis itu yang kian menjauh. Melepas! Dia berpaling memandang Nabilah yang sekadar berpeluk tubuh dengan muka selamba.
            “Apa pandang-pandang?” sergah Nabilah. Dia gembira kerana rasa sakit hatinya berjaya dibalas. Seronok jugak dapat malukan lelaki!
            “Kita kenal ke?” tanya Alif sambil tidak berkelip merenung wajah Nabilah.
            “Oh! Dah lupa erk?” Nabilah sedikit terkejut. Sangkanya, lelaki itu masih cam dirinya. Hmm… nampak sangat perempuan langsung tak berharga bagi dia!
            Alif tercengang seketika. Nabilah malas menunggu lagi. Dia membuka langkah, mahu kembali ke tempatnya tetapi Alif sempat menahan. “Saya Alif Iskandar.” Alif memperkenalkan diri.
            Nabilah memandang wajah Alif semula. “Did I ask your name?” Selamba dia bertanya.
            Alif terkedu. “Nope! Tapi sengaja nak berkenalan. Awak yang panggil saya sayang tadi,” balasnya, juga selamba.
            Nabilah menjeling. Dia mahu meneruskan langkah yang terbantut tadi tapi suara Alif membuatkannya berhenti lagi.
            “Awak ni kan yang kat pantai hari tu? Tak sangka pulak kita belajar kat tempat sama…” gumam Alif sambil berpeluk tubuh.
            Ingat pun! Detik hati Nabilah. Dia buat muka selamba. “So?”
            “So awak nak balas apa yang saya buat hari tulah?”
            “Apa yang awak buat?”
            “Kacau awak dengan kawan awak.”
            “Emm… mungkin…” Nabilah meleretkan suaranya.
            Alif terangguk-angguk. “Sebab awak, saya terlepas peluang nak mengurat awek!”
            Nabilah ketawa tiba-tiba. “Do I care?” Sinis dia bertanya.
            Alif mencemik. “Saya tak kisah awak kisah ke tak. Yang saya kisahkan, awak kena bertanggungjawab atas apa yang berlaku tadi!”
            Nabilah tergelak kecil. Perangai macam budak-budak, ada hati nak pasang awek! “Kalau setakat nak main-main, baik tak payah. Awak jangan ingat hati perempuan ni barang mainan. Hati perempuan ni boleh terluka, boleh sakit, dan boleh berdarah kalau seorang lelaki yang dia sayang sanggup tinggalkan dia lepas dah beri segunung harapan pada dia. Faham?” Nadanya tegas. Tidak menunggu lagi, dia segera berlalu ke arah kaunter makanan. Mee tom yam yang dipesan tadi sudah siap. Setelah membayar harganya, dia segera berlalu keluar.
            Alif memandang langkah Nabilah dengan mata terkebil-kebil. Semacam ada sesuatu yang cuba disampaikan gadis itu. Tetapi dia tidak dapat menangkap. Dan yang paling memelikkannya, perlukah gadis itu memberi ‘ceramah’ sebegitu padanya? Bukannya dia faham pun!
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
NABILAH menyumbat buku ke dalam beg. Satu-persatu rakan sekelasnya beransur keluar dari kelas. Hanya tinggal beberapa orang saja lagi yang masih asyik bergosip di hujung kelas. Dia bangkit. Ketika melintasi sekumpulan gadis itu, langkahnya terhenti dengan sendirinya.
            “Beb! Tengok ni, gambar hot abang senior dengan makwe dia. Fuh!” kata salah seorang dari ahli kumpulan itu. Kesemua mereka berkumpul di depan laptop.
            “Eh, ni bukan ke Abang Aidil tu? Yang hensem tu, kan?”
            “Ha’ah! Memang hensem, tapi makwe dia ni seksi dowh!”
            “Aku dengar kan, makwe dia yang dulu baik. Tapi entah macam mana dia boleh tersangkut kat makwe dia yang sekarang ni.”
            “Rosak, rosak!”
            “Dia putus dengan makwe dia dulu sebab perempuan ni ke?”
            “Aku dengar-dengar cerita macam tulah!”
            “Uish, membazir kot!”
            Tidak mahu terus mendengar lagi, Nabilah terus mengangkat kaki keluar dari kelas itu. Telinganya perit mendengar kata-kata itu. Hatinya pedih. Kolam matanya terasa panas. Sebelum airnya tumpah, baiklah dia beredar pergi. Ketika melintasi pintu tandas, entah macam mana dia boleh terlanggar seseorang.
            “Jalan pakai matalah, cik adik. Nasib baik saya ni jenis yang…” Kata-kata Alif terhenti di situ sebaik perasan gadis yang dilanggar itu adalah Nabilah.
            Nabilah menyembunyikan mukanya. Air jernih di hujung mata disapu kasar.
            “Kenapa dengan awak ni?” Alif bertanya. Pelik dia melihat reaksi gadis itu. Macam orang nangis!
            “Tak ada apalah! Jangan nak menyibuk!” Kasar suara Nabilah membalas.
            “Ek eleh! Macamlah orang kisah sangat,” cebik Alif. Seorang gadis melintasinya. Segera dia tersenyum sambil mengangkat tangan. “Hai!” tegurnya mesra. Padahal kenal pun tidak.
            Nabilah menjeling. “Orang lelaki memang macam ni, kan?”
            Alif terkejut disergah begitu. Dia berpaling memandang wajah Nabilah. Gadis itu nampak marah benar. “Macam ni? Macam apa?” soalnya bingung. Tiba-tiba saja kena marah.
            “Pantang nampak perempuan cantik, terus nak menggatal, kan? Tak sedar yang diri tu dah berpunya!” kata Nabilah geram. Meihat cara Alif, dia jadi teringat pada Aidil.
            Alif terkelip-kelip mata. Tak faham. “Dah berpunya? Awak merepek apa ni?” Sumpah dia tak faham!
            “Diamlah awak! Semua lelaki memang sama!” cemuh Nabilah lagi. Dia berpusing dan bersedia untuk beredar pergi.
            “Eh, kejap! Kejap!” Alif menahan. “Semua lelaki sama? Sama macam mana ek?” Dia masih belum berpuas hati.
            Nabilah terdiam. Baru sedar kemarahannya sudah terlepas kepada orang yang tak sepatutnya.
            Alif masih menanti jawapan. “Awak ni marahkan siapa sebenarnya? Tak pasal-pasal saya pulak yang kena,” ujarnya dengan wajah selamba. Kepalanya tergeleng-geleng.
            Tajam renungan Nabilah memanah wajah Alif. Alif terus berdiri tegak sambil menelan liur. Tanpa berkata apa-apa lagi, Nabilah segera mengangkat kaki meninggalkan lelaki itu.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
NABILAH termenung seorang diri di kafe. Mindanya penuh dengan bayangan wajah Aidil. Kenapa masih sukar untuk dia melupakan lelaki itu? Dia menoleh bila perasan pintu kafe ditolak dari luar. Alif masuk dengan wajah cerianya. Dia mengerutkan dahi. Lelaki itu dilihat sentiasa ceria. Ke mana saja dia pergi, pasti senyuman tidak lekang dari bibirnya. Entah kenapa, bila memandang lelaki itu dia jadi teringatkan Aidil. Salahkah dia kerana melepaskan kemarahan pada orang yang langsung tiada kaitan dengan hidupnya?
            Alif menghampiri kaunter. Seorang gadis sedang menanti pesanan di situ. Dia lantas menegur. “Hai! Sorang aje?” Dia menyandar di kaunter sambil memasukkan tangan ke dalam poket seluar.
            Gadis itu berpaling. Tanpa menjawab soalan Alif, dia kembali memandang ke depan. Malas melayan.
            Alif mencebik melihat reaksi gadis itu. Ketika itulah dia terperasankan Nabilah yang sedang memandangnya. Sebaik mata mereka berlaga, Nabilah segera mengalihkan pandangan. Alif mendekati gadis itu dan duduk di depannya dengan gaya selamba. “Hai!” tegurnya ramah. Macamlah mereka sudah kenal rapat.
            Nabilah buat-buat tak dengar.
            “Saya tak tahu lagi nama awak. Tak nak bagitahu ke?” tanya Alif.
            Nabilah masih buat tak dengar.
            Alif pura-pura mengeluh. “Payahnya cakap dengan orang bisu…”
            “Eh, cakap tu boleh elok-elok sikit tak?” Nabilah melenting.
            “Eh, ada suara rupanya!” Alif buat reaksi orang terkejut. Dia tergelak bila Nabilah menjelingnya tajam. Tangan diletakkan di atas meja sambil memandang muka gadis itu. “Bagitahulah nama awak siapa…” pintanya.
            “Kenapa nak tahu sangat?” Nabilah menjawab akhirnya.
            “Nak kawan. Tak boleh?” Alif tersengih.
            Nabilah terdiam. Macam budak-budak! Dah besar panjang pun, perangai masih macam budak umur 8 tahun! “Nabilah.” Dia menjawab juga akhirnya.
            “Nabilah…” Alif menyebut nama itu sambil terangguk-angguk. “Saya sebenarnya ada soalan nak tanya awak ni,” ujarnya.
            “Apa?”
            “Kenapa awak selalu cakap yang lelaki ni semua sama? Awak ada masalah dengan orang lelaki eh?”
            “Kenapa nak sibuk?”
            “Laahh… kata kawan, kan? Kalau nak cerita, boleh aje cerita kat saya. Saya sudi mendengar,” jawab Alif sambil tersenyum manis. Wajahnya yang sedikit keanak-anakan itu nampak comel bila tersenyum begitu.
            “Jangan ingat saya ni macam perempuan-perempuan lain!”
            “See… saya tak buat apa-apa pun awak dah menuduh macam-macam. Saya ni cuma nak berkawan. Kalau awak ada masalah melibatkan orang lelaki sebelum ni, tolong jangan samakan semua lelaki. Walaupun saya ni nakal, saya baik tau?” Alif masuk bakul angkat sendiri. Dia tersengih lagi.
            “Boleh percaya ke?” Nabilah tersenyum sendiri.
            “Semestinya boleh!” Alif menyandar tenang di kerusi. “Ada lelaki yang kecewakan awak ke?” soalnya. Daripada nada main-main, dia kini serius.
            Nabilah terdiam mendengar pertanyaan itu.
            “Hmm… bodohnya lelaki tu. Sanggup buat awek secantik awak ni kecewa…” Alif tergeleng-geleng.
            “Orang lelaki… mulut memang manis!” sindir Nabilah perlahan.
            Alif tersengih-sengih. “Gurau aje. Ceritalah,” pintanya, kembali serius.
            “Tak payahlah awak tahu! Menyibuk aje!” marah Nabilah.
            Alif mencemik. “Orang nak buat baik, dia tak nak pulak. Tak apalah kalau macam tu…”
            Nabilah diam. Buat-buat tak dengar.
            Seorang gadis tiba-tiba melintasi meja. Alif tersenyum memandang. “Hai, Emi!” tegurnya sambil melambai mesra.
            Gadis yang bernama Emi itu tersenyum dan kemudian berhenti melangkah. “Kat sini rupanya. Puas cari tau!”
            “Eh, cari saya ke? Ada hal apa?” Alif bertanya santai.
            “Group work kita! Pergi library sekarang!” arah Emi tegas.
            Alif memuncung. “Alah… ingat nak ajak date ke apa!”
            “Banyak hensem muka tu. Cepat!” Tegas Emi bersuara.
            “Yalah, yalah…” Alif bangun. Sebelum melangkah, sempat dia memandang Nabilah. “Apa pun kisah awak dengan lelaki tu, jangan samakan dia dengan semua lelaki. Okey?” Dia tersenyum dan kembali memandang Emi. “Jom, sayang!” ajaknya selamba.
            Emi mencebik.
            Nabilah memandang langkah kedua-duanya dengan ekor mata. Sakit hatinya mendengar ajakan Alif itu. Siap bersayang-sayang! Nasihat pandai, diri sendiri pun sama aje!
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
LANGKAH Nabilah terhenti. Puas dielak, puas ditepis, kini dia bertemu juga dengan Aidil. Nyata, lelaki itu terkejut melihat dia di situ. Tidak berkelip mata lelaki itu memandang dirinya. Tidak mahu terus menunggu, Nabilah berpusing dan bersedia untuk melangkah.
            “Nabilah!” Aidil memanggil.
            Nabilah tersentak. Langkahnya mati. Tak sangka, lelaki itu masih ingat namanya. Sangkanya, lelaki itu sudah lupa bahawa mereka memang saling kenal. Malah, pernah bercinta.
            Aidil menghampiri Nabilah. “Tak sangka awak pun belajar kat sini. Kenapa tak bagitahu saya?”
            “Perlu ke awak tahu?” Nabilah berpaling merenung Aidil. Entah dari mana dia mendapat kekuatan, dia sendiri tidak tahu.
            Aidil tersenyum nipis. “Kita masih boleh berkawan, kan?”
            “Itu pada awak. Tapi pada saya, kita bukan lagi kawan dan kita tak pernah kenal!” Tegas ayat yang Nabilah tuturkan.
            Aidil terkedu. “Err… emm…” Dia cuba menenangkan diri dengan tersenyum. “Saya cari awak selama ni.”
            “Cari saya? Kenapa pulak?”
            “Saya nak mintak maaf,” ucap Aidil. Memang itu niatnya mahu menemui Nabilah. Dia mahu memohon maaf atas kesilapan lalu.
            Nabilah diam. Minta maaf? Untuk apa?
            “Saya nak mintak maaf sebab saya tak jujur dalam hubungan kita. Saya tahu saya yang salah, saya yang tinggalkan awak. Saya mintak maaf atas kesalahan saya tu. Boleh kan awak maafkan saya?”
            Nabilah terasa matanya panas tiba-tiba. Sungguh dia tidak menyangka Aidil akan memohon maaf begitu. Sangkanya lelaki itu sudah tidak sudi menatap wajahnya lagi.
            “Maafkan saya sebab… buat awak jatuh cinta pada saya,” ucap Aidil lagi.
            Nabilah sedaya upaya menahan air mata agar tidak gugur. Ketika itulah seorang gadis datang menghampiri mereka. Dengan selamba, gadis itu memaut lengan Aidil.
            “Sayang… jomlah… Penat I tunggu,” rengek Milla manja.
            Aidil mengangguk. Dia memandang Nabilah lagi. “Jumpa lagi,” ucapnya sebelum berpaling dan terus beredar.
            Nabilah memerhati langkah pasangan itu dengan hati yang retak.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
AIR mata di pipi dibiarkan mengalir sepi. Episod cintanya dengan Aidil sudah lama tamat, dan tidak mungkin akan ada sambungannya lagi. Tidak mungkin untuk Aidil mencintainya semula. Nangislah dia air mata darah sekali pun, tetap tidak mampu mengembalikan cinta yang telah berkubur. Mungkin, rasa cintanya buat Aidil akan terus terpendam di hati sampai bila-bila.
            Alif yang sedari tadi memerhatikan Nabilah dari jauh kini mendekati. Dia duduk bertinggung di sebelah gadis itu, menghulurkan sehelai sapu tangan. Nabilah tersentak. Bulat matanya memandang Alif.
            “Buat lap air mata,” suruh Alif. Isyarat matanya terhala ke arah sapu tangan di tangannya.
            Nabilah menunduk.
            Alif duduk di atas tanah, bersebelahan dengan Nabilah yang masih menangis. “Saya nampak awak tadi.”
            “Awak nampak?”
            Alif mengangguk. Dia memandang Nabilah. “Jadi… Aidillah yang awak maksudkan?”
            “Awak kenal ke dia?”
            Alif senyum nipis. “Dia tu popular kat sini. Siapa tak kenal? Cerita pasal dia heboh kat sini tau. Tak sangka pulak awak rupanya makwe lama dia…” Suaranya meleret.
            Nabilah mengesat air mata.
            “Tapi sekurang-kurangnya, dia berterus terang. Dia tak nak awak terharap-harap lagi cinta dia. Kan?” Lembut suara Alif. Walaupun perangainya kadang-kadang sangat kebudak-budakan, ada masanya dia boleh menjadi matang.
            Nabilah mengangguk perlahan. Benar kata-kata Alif. Memang dia sakit. Sakit kerana ditinggalkan, tetapi sekurang-kurangnya dia tahu memang cintanya dengan Aidil tidak mungkin bersatu lagi. Aidil sudah memberi satu jawapan pasti bahawa mereka memang tidak ditakdirkan untuk bersama.
            “Tak semua lelaki sama. Walaupun awak nampak saya ni nakal, tapi saya baik tau? Sentuh perempuan pun saya tak berani.” Alif tergelak dengan kata-katanya.
            Tanpa sedar, bibir Nabilah turut sama mengukir senyuman.
            “Beri peluang untuk diri awak sendiri rasai bahagia tu. Lupakan dia. Ramai lagi lelaki lain kat luar sana tu tunggu awak. Saya pun ada kalau awak nak…” Selamba Alif menuturkan ayat itu.
            Nabilah mencebik. Air mata di pipi dikesat sehingga kering. “Tak mengurat awek ke hari ni?”
            “Tak.”
            “Kenapa?”
            “Tak pernah berjaya pun,” cebik Alif. Sebiji macam budak umur 5 tahun yang merajuk.
            “Perangai macam budak-budak. Mana ada orang nak!” kata Nabilah selamba. Mula rasa selesa berbual dengan Alif. Tak adalah menjengkelkan pun sebenarnya.
            Alif tersenyum. “Best apa! Saya selalu jadi penyeri tau?” Dia membeli diri.
            Nabilah buat muka tak percaya.
            “Nak saya jadi penyeri hidup awak?” Alif mengerdipkan matanya. Dah mula perangai nakal dia!
            “Dalam mimpi!” Nabilah bangun dan beredar pergi. Sempat dia menangkap tawa kuat Alif dari arah belakang.
-TAMAT-
p/s --> Dah hampir setahun tak tulis cerpen. Harap2 buah tangan terbaru ni tak menghampakan. Terima kasih sudi baca. Jangan lupa komen tau! :)
~end

5 comments:

Hananorisa said...

alif..one of my feveret name..hehehe..

nice story...

[AYUMI AFIQAH] said...

yekee.. hehe
x bosan erk? nape sy rase bosan je baca cite ni. ahakss...

Anonymous said...

sambung lagi cerpen ni... bagi Alif bahagia dengan Nabilah...

[AYUMI AFIQAH] said...

dah x de idea sebenarnya, sbb tu mcm trgantung. hehe... insyaAllah kalo ade idea bila2 nanti akan smbung. :)

rnie said...

Smbglah citer ni....citer alif ngan Nabilah n aidil ngan milla gedik tu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...