++ Suntikan Semangat! ++

Saturday, February 25, 2012

- Cerpen : Air Mata Jadi Saksi -


SAMPAI saja di bilik, Damia terus merebahkan badan di atas katil. Penat terasa di seluruh tubuh. Kepala yang terasa berat diletakkan di atas bantal. Sekejap saja, dia sudah terlelap. Namun lenanya yang indah itu terganggu dengan bunyi deringan telefon bimbit. Menggagau tangannya mencapai telefon bimbit yang masih berada di dalam beg. Dengan mata yang separuh pejam, dia membaca nama di skrin. Spontan, keluhan kasar terlepas dari mulutnya.
            “Ish… tak tahu ke sekarang ni masa orang nak rehat?! Ugrh!” jerit Damia kuat. Seakan-akan melepaskan rasa geram yang terbuku di hati kepada si pemanggil itu. Tanpa menjawab panggilan itu, dia segera menekan butang merah. Telefon bimbit itu dimatikan terus lalu terus memejam mata rapat-rapat.
            Bunyi kuakan pintu dari arah belakang langsung tidak mengganggu tidur Damia. Alisa yang baru menapak masuk, tergeleng-geleng melihat Damia yang terbongkang tidur. Dia menapak mendekati gadis itu. “Mia! Bangunlah, Abang Zimi tunggu kau kat bawah,” ujarnya. Bahu Damia digoncang-goncang lembut.
            “Alaaa… nak apa pulak mamat tu? Ish…” Damia menggeliat malas. Dalam hati bergunung-gunung sumpah seranah ditujukan buat Zarimi. Lelaki itu suka sangat mengganggunya. Semua hal yang dia buat mahu diambil tahu sampaikan dia terasa rimas yang amat sangat.
            “Aku tak tahu, tapi dia cakap nak jumpa kau. Pergilah turun. Dah dekat sejam dia tunggu kau kat bawah tu,” ujar Alisa lagi sambil bergerak menghampiri katilnya. Tudung di kepala ditanggalkan dan disangkut pada belakang kerusi.
            Damia menggerutu dalam hati. Pun begitu, dia tetap turun dari katil. Setelah mengemaskan rambut yang kusut-masai itu, barulah dia menapak keluar dari bilik menuju ke tingkat bawah. Nun di luar kawasan asrama, Zarimi sedang menunggu di sebelah motosikalnya. Damia menghampiri dengan gaya malas.
            “Hah, nak apa?” Damia berpeluk tubuh tanpa memandang Zarimi.
            “Mia… sihat?” tanya Zarimi dengan nada lembut.
            “Kalau datang sini semata-mata nak tanya saya sihat ke tak, baik tak payah! Awak tahu tak yang awak dah mengganggu masa rehat saya?” jawab Damia kasar. Rambut panjangnya ditepis kasar. Angkuh sungguh kelihatannya.
            Zarimi tersenyum nipis. “Abang cuma nak jumpa Mia. Mia… abang rindukan Mia…” ucapnya perlahan. Walaupun Damia tidak pernah membalas perasaannya, dan sering menganggap semua itu hanya layak dijadikan bahan mainan, dia tetap tidak putus asa mengejar cinta gadis itu.
            Damia mengeluh bosan. Riak mukanya jelas menunjukkan yang dia tidak suka. Meluat pun ada mendengar ucapan lelaki yang sangat dibenci itu. “Tak payah nak rindu-rindulah. Geli tau tak?” Damia menjeling tajam. Keluhan kasar keluar dari mulutnya. Beberapa pasang mata yang lalu-lalang di situ tertoleh-toleh ke arah mereka berdua. Rasa macam nak tengking aje sorang-sorang tu. Ingat aku ni wayang ke apa nak tengok-tengok?
            “Ni… abang ada belikan nasi untuk Mia. Mia makanlah…” Zarimi menghulurkan plastik di tangannya kepada Damia. Biar seteruk mana pun layanan gadis itu padanya, dia tetap tidak kisah. Cinta yang sekian lama tersemai di hati seolah-olah telah menutup matanya untuk melihat keburukan Damia.
            Damia mengerling sekilas nasi yang dihulurkan. “Saya dah kenyanglah!” Kasar dia menjawab. Tidak sudi menerima pemberian Zarimi itu.
            “Simpanlah dulu… mana tahu malam sikit Mia lapar balik. Lagipun ni nasi goreng, boleh tahan lagi sampai malam nanti…” Zarimi cuba memujuk Damia. Wajah masam gadis itu direnung lembut.
            Damia merengus. “Yalah!” Plastik di tangan Zarimi dirampas kasar. Tanpa mengucapkan apa-apa, dia segera berpaling dan berlalu masuk ke asrama semula. Panggilan Zarimi tidak dihiraukan lagi. Dia rimas berlama-lama dengan lelaki itu. Menyesakkan jiwa dan raga!
            Masuk ke bilik, Dami mencampak bungkusan nasi goreng ke atas meja studi sebelum kembali baring di atas katil. Alisa yang baru usai solat Asar terkejut dengan tingkah Damia itu. Tergeleng-geleng kepalanya. “Mia, Mia… tak baiklah kau ni. Tu kan rezeki, tak baik campak macam tu,” tegurnya.
            Damia mengangkat muka memandang Alisa. “Kau kalau nak berceramah, tak payah nak ceramah kat sini. Bingit tau tak!” Angkuh sekali dia membalas.
            Alisa menghembus nafas. Kesal dengan sikap Damia itu. “Tu Abang Zimi yang bagi ke?” soalnya. Biar seteruk mana pun perangai Damia, dia tetap menganggap gadis itu rakan baiknya.
            “Hmm…” balas Damia acuh tak acuh. Dia kembali berbaring dan memejam mata. Mahu menyambung tidur yang terbantut tadi.
            Alisa duduk di birai katanya sambil tangan melipat telekung. “Aku tak tahulah apa lagi yang kau nak, Mia. Abang Zimi tu dah cukup baik dah untuk kau. Tak boleh ke kau bagi peluang kat dia?” soalnya dengan nada perlahan, sarat dengan rasa simpati terhadap Zarimi. Zarimi sebenarnya merupakan abang angkat Damia yang dibela oleh ibu bapa Damia semenjak lelaki itu berumur 13 tahun. Tetapi sayang, Damia tidak pernah menganggap lelaki itu sebagai abang. Bencinya dia pada Zarimi sudah tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Bagi Damia, Zarimi hanyalah perampas kasih sayang ibu bapanya. Lebih parah, bila Zarimi jatuh cinta pada Damia. Walaupun layanan Damia pada Zarimi sangat teruk, tetapi dengan izin Allah, cinta itu tetap tumbuh di hati Zarimi. Alisa mengeluh lagi mengenangkan semua itu.
            “Kalau kau kesian sangat, kau ajelah yang terima dia!”
            Alisa tersentak mendengar kata-kata Damia itu. Terdiam dia seketika.
            “Aku tak pedulilah dia tu baik macam mana sekali pun. Kalau dah hati aku kata tak suka, maknanya aku tak suka. Kau tak payah nak paksa-paksa aku pulak. Rimas!” Separuh terjerit Damia menuturkan kata-kata itu. Dia berpaling membelakangi Alisa. Tanda tidak mahu sebarang perbualan lagi. Malas mahu memikirkan lelaki yang baginya langsung tiada kepentingan di dalam hidupnya itu.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
“EH, dah siap? Semangat pulak kau kali ni nak jumpa Abang Zimi,” usik Alisa ketika melihat Damia sudah bersiap-siap cantik untuk keluar bersama Zarimi.
            “Alamak!” Damia tiba-tiba menepuk dahi. Baru teringat yang malam ini dia sudah berjanji untuk keluar makan bersama Zarimi. Sebenarnya, bukan dia yang berjanji pun. Tetapi ibu yang menelefonnya tadi, memintanya agar keluar makan bersama Zarimi malam ini. Itulah yang membuatnya makin bencikan lelaki itu. Suka menggunakan mama sebagai orang tengah.
            “Kenapa?” Alisa yang pelik segera bertanya.
            “Aku lupalah pasal Zimi. Lagipun baru je tadi Alex call aku ajak keluar sama. Hmm…” Damia berfikir-fikir apa yang harus dilakukan.
            Alisa kembali menatap buku. Pura-pura sibuk. Bila perasan mata Damia melirik ke arahnya, segera dia buat-buat tak nampak. Damia berlutut di sebelah katil tempat Alisa sedang meniarap sambil mengulang kali pelajaran. “Tolong aku, Lisa?” pinta Damia dengan wajah yang dikeruhkan. Kedua-dua tangannya bertaup rapat.
            Alisa mengeluh. “Alaahh… dah selalu sangat kau buat macam ni. Tak naklah aku!” Dia menggeleng-geleng tidak setuju. Setiap kali Damia lupa temu janji dengan Zarimi, dialah yang terpaksa menjadi ‘bidan terjun’ menggantikan gadis itu. Hisy, tak suka!
            “Alaaa tolong, Lisa. Kali ni aje. Lain kali aku tak mintak dah. Pleaseeee…” Damia tahu Alisa selalu kalah dengan rayuannya. Walaupun rakannya itu selalu membebel itu dan ini padanya, dia tahu Alisa pasti tidak keberatan untuk membantu.
            Alisa merengus. Wajahnya cemberut.
            “Tolong ya? Saaaaaayang kau!” Damia mencuit pipi Alisa dengan suara riang. Beg tangannya dicapai. Setelah puas hati dengan penampilannya, dia segera melangkah keluar dari bilik. Sempat meninggalkan lambaian dan senyuman paling manis buat Alisa.
            Alisa mengalih pandangan ke arah buku yang diselitkan di bawah bantal. Buku yang berwarna hitam itu diambil lalu dibawa ke meja studi. Setelah menguncinya di dalam laci, barulah dia beralih ke arah lokar untuk menukar pakaian.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
DARI jauh Alisa sudah nampak kelibat Zarimi sedang menunggu sendiri di dalam restoran. Dia mempercepatkan langkah. Hujan rintik-rintik sudah mula jatuh membasahi bumi. Mujur dia sempat masuk ke dalam restoran sebelum basah disimbah air hujan itu. Langkah diatur menghampiri Zarimi.
            “Abang Zimi…” tegur Alisa. Dia memanggil lelaki itu dengan gelaran abang kerana perbezaan umur antara mereka. Walaupun cuma tiga tahun, Zarimi sendiri selesa menggelarkan dirinya sebagai abang. Alisa duduk di depan Zarimi.
            “Eh, Lisa… Mia mana?” Zarimi melilaukan mata ke sekitar restoran, mencari-cari Damia. Walaupun hatinya sudah dapat mengagak, matanya terus tetap mencari Damia. Seakan-akan mata dan hati tidak mahu berkerjasama untuk menerima kenyataan yang sedang terbentang di depan mata.
            Sebak hati Alisa melihat tingkah Zarimi itu. Tidak sampai hati dia mahu menceritakan hal yang sebenarnya, biarpun yakin Zarimi sudah dapat mengagak apa yang telah berlaku. “Mia ada hal malam ni, tak dapat nak elak. Biar Lisa teman abang ye? Emm…” Alisa menggit-gigit bibirnya, cuba berlagak setenang yang mungkin. “… abang dah order?”
            Zarimi menunduk. Melihat reaksi lelaki itu, rasa sayu menjengah hati Alisa. Kasihan sungguh lelaki ini. Mengharap pada yang tak sudi. Tetapi, dia tidak mampu melakukan apa-apa andai cinta lelaki itu sudah tersemat kukuh untuk Damia.
            “Lisa tolong orderkan, ye?” Alisa bersuara lagi. Tidak mahu rasa sedih membelit suasana antara mereka. Belum sempat dia menggamit seorang pelayan, suara Zarimi sudah mengalih tumpuannya.
            “Itu bukan Mia ke?”
            “Ha?” Alisa berpaling ke arah yang ditunjukkan. Berderau darahnya melihat Damia keluar dari sebuah kereta dengan seorang lelaki. Siap berpelukan lagi tu! Dalam keadaan hujan dengan payung di tangan, kedua-duanya tidak segan silu menayangkan aksi-aksi yang ‘menjijikkan’ mata itu.
            Zarimi tiba-tiba bangun. Alisa yang terkejut tidak sempat menghalang. “Abang!” panggilnya namun Zarimi tidak peduli. Terus melangkah laju keluar dari restoran itu. Alisa pula mengikut di belakang. Sampai di luar restoran, langkahnya terhenti. Namun Zarimi tetap juga berjalan mendapatkan Damia, tidak peduli dengan hujan yang lebat menggila. Alisa memandang dengan sepasang mata yang berkaca.
            “Mia…” panggil Zarimi. Hampir longlai langkah kakinya melihat Damia dan lelaki yang tak dikenali itu saling berpelukan dan bercumbuan. Dalam hujan pula tu!
            Damia berpaling pada Zarimi. Bulat matanya seketika, tetapi cepat saja dia mengawalnya.
            “Siapa ni, sayang?” tanya Alex, mengeratkan pelukan pada tubuh Damia. Tidak peduli apa saja kata orang.
            Damia kembali berpaling pada Alex. “Entahlah, sayang. I tak kenal…” jawabnya dengan suara yang manja sekali.
            “Mia… sampai hati Mia. Mia dah janji nak jumpa abang malam ni, kan? Tapi kenapa Mia…”
            “Eh, tolong sikit ye? Kau tu siapa nak keluar dengan aku? Aku tak pandanglah orang macam kau ni!” Angkuh sekali Damia bersuara.
            Zarimi terdiam. Tergores hatinya mendengar kata-kata Damia itu. Hina sangatkah dia di mata Damia? “Mia, abang…”
            Damia mengangkat tangan, mengisyaratkan supaya Zarimi diam. “I have nothing to do with this…” Mukanya jelas menunjukkan riak jijik. Dia kembali berpaling pada Alex dengan senyuman menggoda. “Jom, honey. I malaslah nak layan orang macam ni…” Lantas, tangan Alex ditarik supaya mengikut langkahnya.
            Alex yang masih memegang payung di tangan kirinya hanya mengikut langkah Damia meninggalkan Zarimi di situ.
            Zarimi terduduk di tepi jalan dengan kepala menunduk. Hujan yang lebat mencurah-curah membasahi dirinya langsung tidak dihiraukan. Hatinya terluka. Pedih sekali rasanya. Kalau selama ini, dia masih boleh bertahan sekiranya Damia menolak dan mempelekehkan dirinya. Tetapi setelah melihat sendiri apa yang terjadi tadi, luka di hatinya bagai bertambah-tambah. Kecewa usah dikata. Terasa seperti ada seseorang duduk di sebelahnya, dia berpaling. Alisa sedang merenungnya dengan mata yang berkaca.
            “Abang…” panggil Alisa perlahan. Dia juga tidak peduli jika basah kuyup sekali pun. Runtun hatinya melihat keadaan Zarimi. Dia boleh nampak kelukaan melalui sepasang mata lelaki itu.
            “Bodoh kan abang? Abang dah tahu Mia bencikan abang, tapi abang tetap mengharap jugak. Memang patut pun Mia benci abang. Siapalah abang ni, kan?”
            Sungguh… hati Alisa bagai tersayat mendengar kata-kata Zarimi itu. Kalaulah boleh, dia ingin sekali menjadi penawar pada duka hati hati Zarimi. Tetapi, dia tahu semua itu mustahil. “Abang jangan cakap macam tu. Lisa tak pernah pandang hina pada abang. Cuma Mia tu yang buta. Abang…” Rasa sebak yang bertandang menyukarkan Alisa untuk bersuara.
            Zarimi tersenyum pedih. Rasa hatinya, hanya dia yang tahu. Penghinaan Damia tadi bagaikan masih-masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia sedar siapa dirinya. Tidak layak untuk berdampingan dengan Damia. Sedalam mana pun cintanya buat gadis itu, dia tahu mereka tidak mungkin akan bersama. “Tak apalah, Lisa… abang faham. Abang sedar siapa diri abang. Abang bukan siapa-siapa di mata Mia. Lisa baliklah, tinggalkan abang kat sini,” pintanya. Kepala ditundukkan.
            Alisa menggeleng-geleng. Tidak sampai hati mahu meninggalkan Zarimi di situ. “Abang pun baliklah. Kalau abang tak nak balik, biar Lisa teman abang kat sini ye? Lisa tak kisah…” Hampir-hampir tidak terkeluar ayatnya yang terakhir itu. Allah… kuatkanlah aku, bisik hatinya penuh syahdu.
            Zarimi tersenyum nipis memandang Alisa. Kemudian, dia kembali menunduk. “Lisa aje yang sudi kawan dengan abang…”
            Makin tersayat hati Alisa mendengar sebaris ayat itu. Lebih teruk, bila dia dapat melihat ada air yang menitis di pipi Zarimi. Walaupun dalam keadaan hujan, dia masih boleh nampak air itu. Air yang pastinya jatuh kerana kecewanya sang hati. Dan Alisa, tidak dapat menahan diri daripada terus menangis.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
ALISA yang masih lena terkejut mendengar bunyi pintu bilik ditolak kasar. Dia terbangun dari baringan melihat Damia masuk ke bilik dengan wajah pucat. Sebelah tangan memegang dada dengan sebelah lagi berpaut pada pintu. Alisa segera turun dari katil, membantu Damia untuk duduk di katilnya. “Kau kenapa? Pucat aje muka ni,” soalnya cemas.
            “Entahlah, Lisa… dari tadi aku muntah-muntah. Kepala pulak rasa pening semacam. Macam nak pitam pun ada ni,” adu Damia. Sebelah tangan memicit-micit kepala yang terasa pening.
            “Demam ke?” tanya Alisa lagi.
            “Tak tahu.” Damia menggeleng-geleng. Tak pernah dia mengalami situasi begini. Kalau demam pun, tak adalah sampai macam ni.
            “Nak pergi klinik? Jom, aku temankan.” Alisa menawarkan diri untuk menemani Damia ke klinik.
            “Boleh jugak. Tak tahanlah macam ni,” balas Damia.
            “Aku call Abang Zimi ye?” Alisa seakan meminta izin.
            Damia spontan menjeling. “Kalau setakat nak naik motor buruk dia tu, baik tak payah!”
            Terkedu Alisa mendengar kata-kata kasar Damia itu. Dia tergeleng kecil. “Aku nak mandi dulu, nanti kita pergi.” Dia membuat keputusan. Tanpa menunggu balasan Damia, dia segera mencapai tuala dan berlalu keluar untuk ke bilik mandi.
            Kenyataan yang selama ini ditakuti, kini terbentang di depan mata. Kata doktor, Damia sah hamil 7 minggu. Damia yang mendengar pengesahan itu, terus meraung. Menangis tak henti-henti. Tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Alisa hanya mampu memandang dengan mata yang berkaca. Nak menyesal pun dah tak guna. Diri sendiri yang buat, tak boleh nak salahkan orang lain lagi. Lebih teruk, bila Damia sendiri tidak pasti siapa ayah kepada kandungannya itu.
            “Apa aku nak buat ni, Lisa? Macam mana aku nak berdepan dengan mak ayah aku? Mana aku nak letak muka aku ni? Aku malu, Lisa! Aku malu!” Damia meraung-raung bagai orang hilang akal.
            Alisa memejam mata, menahan rasa sebak yang bertandang. Nak marah pun dah tak guna. Walau seteruk mana pun Damia, dia tetap sayangkan gadis itu. Damia rakan baiknya, dan tetap dianggap sahabat di sudut hatinya. Atas rasa kasihan itulah, Alisa nekad menghubungi Zarimi. Dia perlu berjumpa lelaki itu. Ada hal yang perlu dibincangkan mengenai Damia.
            Sudah dua bulan peristiwa Zarimi menyaksikan sendiri ‘warna’ sebenar Damia di depan matanya. Dan sejak peristiwa itu, Zarimi benar-benar patah hati. Rasa kecewanya itu jugalah yang membuatnya berjanji untuk tidak mengharap pada Damia lagi. Hatinya sudah cukup terluka, dan dia tidak mahu menamhkan luka itu lagi.
            Tetapi hari ini, Zarimi setuju juga untuk menemui Alisa. Itu pun setelah dipujuk berkali-kali, barulah dia setuju. Entahlah kenapa, tetapi nama Damia itu seakan-akan bisa yang boleh meracuni hidup Zarimi.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
PADANG luas yang terletak di hujung kolej menjadi tempat pertemuan Zarimi dan Alisa petang itu. Sebaik tiba, Alisa sudah dapat melihat Zarimi sedang duduk di hujung padang, menyandar pada pagar. Alisa menarik nafas dalam-dalam, mengingat kembali ayat-ayat yang telah tersusun cantik di kepalanya. Kemudian, barulah dia bergerak menghampiri Zarimi.
            “Assalamualaikum, abang,” ucap Alisa dengan suara yang sengaja diceriakan. Dia mengambil tempat di sebelah Zarimi.
            “Waalaikumussalam,” jawab Zarimi. Nadanya lemah, langsung tiada semangat.
            “Lama ke abang tunggu? Sorry kalau Lisa lambat,” ucap Alisa. Melihat raut keruh Zarimi, hatinya jadi sayu tiba-tiba. Ya Allah, kuatkanlah aku untuk berdepan dengan kenyataan menyakitkan hati. Doa itu dibisikkan berulang-ulang kali di dalam hati.
            “Tak adalah.” Zarimi tersenyum nipis. Hambar. “Ada hal apa Lisa nak jumpa abang ni?” Tak tergamak rasanya mahu menyebut nama Damia walhal dia sudah sedia maklum tujuan Alisa mahu menemuinya adalah kerana Damia.
            Alisa mengambil masa beberapa saat sebelum memulakan. “Kalau Lisa bagitahu, abang janji jangan bagitahu siapa-siapa tau?” pintanya. Cuba tersenyum walau hati sudah tersayat pilu mengenang nasib sendiri selepas ini.
            Zarimi sekadar mengangguk. Sedaya upaya menghalang agar seraut wajah Damia tidak menjengah fikirannya ketika ini.
            “Emm….” Alisa menenangkan hati dan perasaan sendiri sebelum menyambung, “… Mia mengandung, abang…”
            Zarimi tergamam. Spontan kepalanya tertoleh ke arah Alisa. Tidak berkelip matanya merenung gadis itu, berharap berita itu hanya gurauan semata-mata. Tetapi mana mungkin Alisa bergurau dengan perkara serius sebegitu. Melihat wajah Alisa yang penuh kesuraman itu, sebuah keluhan terlepas dari mulutnya. Kepalanya tersandar di pagar besi dengan mata terpejam.
            “Mia merana sangat sekarang ni. Lisa tak sanggup tengok dia macam tu…” tambah Alisa dengan suara perlahan.
            “Anak siapa?” tanya Zarimi dengan suara lirih.
            Alisa menggeleng-geleng perlahan. “Lisa tak tahu. Mia sendiri pun tak pasti.” Itulah kenyataan yang sangat pahit sekali. Kalau Damia sendiri tidak tahu, itu bererti bukan cuma seorang lelaki yang telah menidurinya. Alisa menggeleng kesal mengenangkan hakikat itu. Betapa Damia sudah terpesong jauh dari landasan yang sepatutnya.
            “Apa Lisa nak abang buat?” tanya Zarimi tanpa memandang Alisa.
            Alisa merenung wajah Zarimi yang sudah menunduk. Berat hati untuk meminta, tetapi akal tetap memujuk supaya meneruskan saja. “Abang…. Kahwin dengan Mia?” Sejurus ayat itu terlafaz, Alisa terus mengetap bibir. Pedihnya hati….
            Zarimi merenung Alisa dengan rasa tidak percaya. Benarkah apa yang dia dengar?
            “Abang cintakan Mia, kan? Ibu dan ayah Mia pun dah anggap abang macam anak kandung diorang. Dan diorang pun tahu perasaan abang pada Mia. Kalau abang bagitahu diorang yang abang nak kahwin dengan Mia, tentu diorang takkan syak apa-apa. Kan?” Alisa memaksa bibir mengukir senyum. Namun, hanya Allah yang mengerti apa yang sedang berladung di hatinya saat ini. Kolam mata yang sudah penuh dengan air ditahan agar tidak pecah. Tidak di depan Zarimi.
            Zarimi diam merenung Alisa. Lama dia begitu sebelum keluhan terlepas lagi dari mulutnya. “Boleh ke Mia terima abang?”
            “Lisa dah cakap hal ni dengan dia. Dia cakap dia setuju. Hanya abang yang boleh tolong dia sekarang,” ujar Alisa. Akal mengharap, hati menolak. Tetapi, akal tetap memujuk agar hati bersetuju.
            “Betul ke?” Lirih sekali kedengaran suara Zarimi itu.
            Alisa mengangguk.
            “Abang dah kecewa sangat dengan Mia, Lisa. Tak tahulah masih ada lagi atau tak cinta abang pada dia…”
            “Abang…” Alisa pantas menghalang Zarimi terus berkata-kata. “Lisa merayu dengan abang, terima Mia ya? Lisa tahu Mia dah kecewakan abang. Tapi tolonglah… kasihankanlah dia. Lisa tak sanggup tengok dia macam tu. Lisa merayu dengan abang…” Tidak dapat menahan, menitis juga air mata Alisa.
            Tersentuh hati Zarimi melihat air mata di pipi Alisa. Alisa gadis yang terlalu baik. Tidak sanggup pula rasanya menghampakan gadis itu. Tetapi, kenapa dia bagai dapat merasakan ada satu maksud yang tersirat di sebalik titis jernih yang jatuh itu?
            “Abang kahwin dengan Mia. Boleh, kan?” Alisa bertanya lagi dengan nada perlahan, hampir-hampir tidak kedengaran.
            Lama Zarimi diam merenung sepasang anak mata Alisa. Sebuah keikhlasan terpancar di situ. Hatinya jadi sayu tiba-tiba. Lantas, dia mengangguk perlahan.
            Alisa tersenyum. Memaksa bibir untuk mengukir senyuman manis, namun yang kelihatan hanyalah hambarnya senyuman itu. “Terima kasih, abang…” Air mata di pipi disapu. Kemudian, dia berpura-pura memandang jam tangan. “Lisa dah lewat ni, nak kena balik dulu. Nanti Lisa bagitahu Mia. Mesti dia happy.” Alisa bangun. Setelah mengucapkan terima kasih dan salam sekali lagi, dia segera berpaling dan mengatur langkah. Laju langkahnya hingga tidak sedar sebuah buku dari tangannya terjatuh ke atas padang.
            “Lisa!” Zarimi cuba memanggil, tetapi kelibat Alisa sudah semakin menjauh membuatkan gadis itu tidak mendengar panggilannya. Dia menunduk, mencapai buku berkulit hitam itu. Tiada apa-apa yang tertulis di atas kulitnya. Namun, hati Zarimi bagai meronta-ronta untuk mengetahui apa isi di dalamnya. Lantas, dengan tangan yang sedikit ketar, dia menyelak helaian yang pertama.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
Diari Hidup Alisa.
Hai diari sayang. Nak tahu something tak? Hari ni aku kenal dengan seseorang. Nama dia… Zarimi. Dia baik sangat. Baik sangat-sangat sampai hati aku ni macam dah terpaut aje kat dia. Bukan macam, tapi memang dah terpaut dah. Cepat, kan? Hehehe… Entahlah diari, aku asyik teringat-ingat dia aje sekarang ni. Kau rasa, aku dah jatuh cinta ke apa ek? Aku tak tahu sebab aku tak pernah jatuh cinta. Abang Zimi yang pertama tau? Aku harap sangat dia pun ada perasaan serupa dengan aku. Perasankan aku? Kehkehkeh…
###
Diari, hari ni aku sedih. Kau tahu kenapa? Sebab… Abang Zimi sebenarnya cintakan Mia. Tadi masa Mia bagitahu aku, aku senyum aje depan dia padahal hati ni rasa pedih sangat. Aku tahan aje air mata ni tau? Masuk aje tandas, terus ‘banjir’ kat situ. Serius, aku nangis diari. Aku kecewa sangat-sangat. Aku tahu Mia tak cintakan Zimi. Itu maknanya aku masih ada peluang, kan? Tapi kenapa aku rasa peluang aku tipis sangat? Abang Zimi tak pernah pandang aku. Dia cuma anggap aku tak lebih macam adik dia aje. Aku sedih diari… kecewa sangat-sangat…
###
Diari, tadi Abang Zimi datang jumpa Mia lagi. Tapi macam biasa, Mia tak pernah layan. Dia kata, dia bencikan Abang Zimi. Selalu aku tertanya-tanya, kenapa Mia bencikan Abang Zimi? Bagi aku, Abang Zimilah lelaki paling baik yang pernah aku kenal. Tapi, mungkin di mata Abang Zimi, Mialah perempuan paling baik dalam hidup dia. Aku nangis lagi, diari. Sungguh-sungguh aku nangis…
###
Macam biasa, setiap kali Mia ada hal dan tak dapat pergi jumpa Abang Zimi, akulah yang kena pergi. Aku gembira sebenarnya, sebab aku dapat luangkan masa dengan Abang Zimi. Tapi aku tak nak pergi sebab aku tak sanggup nak tengok wajah kecewa Abang Zimi tiap kali Mia tak datang date diorang. Allah je tahu betapa pedihnya hati aku tengok Abang Zimi kecewa. Aku cuba nak ubat kecewa tu, tapi aku tak mampu.
Tadi jugak, aku tengok Abang Zimi nangis sebab Mia. Tahulah aku betapa dalamnya cinta Abang Zimi pada Mia. Aku tak mungkin dapat tempat kat hati Abang Zimi sebab tempat tu Mia dah ambik dari dulu lagi. Mia… kenapa kau sanggup buat Abang Zimi macam tu? Aku tahu aku tak mungkin miliki dia, tapi… aku bahagia kalau dia bahagia. Mia, tolonglah jangan buat Abang Zimi macam tu. Terimalah dia, sayangilah dia, cintailah dia… buat dia bahagia, Mia. Dengan cara tu, aku pun akan turut bahagia sama. Tolonglah, Mia… aku tak sanggup tengok Abang Zimi nangis sebab kau. Hati aku ni terseksa sangat…
###
Mia mengandung. Aku tak tahu nak cakap apa. Nak marah dia pun dah tak guna. Aku sedih tengok dia merana macam tu. Aku faham perasaan dia, tentu dia malu sangat-sangat. Aku sayang dia, diari. Satu-satunya cara yang ada, Abang Zimi kena kahwin dengan Mia. Aku tahu aku akan lebih terluka lepas ni, tapi aku tak kisah. Aku redha dengan semua ni. Abang Zimi memang bukan milik aku dari dulu lagi. Aku pasrah je, diari.
Petang ni, aku akan jumpa Abang Zimi untuk cakap pasal hal ni. Hati aku tak rela, tapi aku tetap kena kuat. Semua ni demi Mia, sahabat aku. Lagipun, mencintai tak semestinya memiliki, kan? Aku pegang kata-kata tu, biar aku simpan semuanya dalam hati ni. Aku redha, diari…
###
ZARIMI tersandar di kerusi setelah habis membaca semua yang tertulis di dalam diari hitam itu. Sungguh dia tidak menyangka selama ini Alisa menyimpan perasaan cinta padanya. Ya Allah, kasihannya gadis itu. Kenapa aku tidak pernah nampak semua itu selama ini? Kenapa aku tetap mengejar kaca, sedangkan permata ada di depan mata? Ampunkan aku ya Allah kerana telah menyebabkan seorang gadis menangis kerana aku. Ampunkan aku… bisik Zarimi di dalam hati. Hendak diundur masa yang berlalu, amatlah mustahil dan tak mungkin berlaku. Cuma yang tinggal sekarang, bagaimana dia mencorak masa depan agar tiada lagi air mata yang menjadi saksi.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
ALISA masuk ke bilik dengan langkah longlai. Penat dengan kuliah yang tak putus-putus sedari pagi, juga penat menangisi apa yang telah terjadi. Namun dia tahu dia perlu kuat berdepan dengan semua dugaan ini. Apa jadi pun, dia perlu tabah kerana dia sendiri yang telah membuat keputusan untuk melepaskan Zarimi dari hatinya.
            “Mia, kenapa ni?” Alisa menerpa ke arah Damia yang duduk di tepi katil dengan muka tersembam di kedua-dua belah lutut. Sangkanya, setelah Zarimi setuju untuk mengahwininya, Damia sudah semakin okey. Tetapi sekarang, lain pula yang jadi. “Mia, kenapa ni? Cerita kat aku, Mia…” ujar Alisa. Sebak hatinya melihat Damia menangis begitu. Tangisannya pilu sekali.
            “Zimi…”
            Sebaris nama yang disebut itu membuatkan jantung Alisa berdegup kencang. “Kenapa dengan Abang Zimi?”
            “Dia tak nak kahwin dengan aku. Apa aku nak buat sekarang ni, Lisa?!” Damia meraung lagi.
            Alias terpempan. Tiada suara yang keluar dari mulutnya. Tak mungkin! Baru petang semalam lelaki itu setuju untuk mengahwini Damia. Kenapa hari ini lain pula jadinya?
            “Lisa, aku dah tak tahu nak buat apa. Aku buntu…” Damia menangis tanpa henti.
            Simpati Alisa tumpah melihat Damia begitu. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari beg sandang. Belum sempat nombor telefon Zarimi didail, panggilan lelaki itu sudah masuk ke telefonnya. Pantas dia menjawab.
            “Abang ada kat padang. Lisa datang sekarang, abang tunggu.” Talian dimatikan. Alisa terkebil-kebil tidak percaya.
            “Mia, kau tunggu sini. Aku pergi jumpa Abang Zimi. Biar aku cakap dengan dia sekali lagi. Kau tunggu sini,” ujar Alisa sebelum kalut bangun dan keluar dari bilik. Berlari-lari anak dia menuju ke padang, tempat biasa dia menemui Zarimi. Lelaki itu sudah menanti di situ. Berdiri sambil menyandar pada pagar. Alisa menghampiri dengan sedikit termengah-mengah.
            “Abang, kenapa buat keputusan macam ni? Abang tahu Mia macam mana sekarang? Dia sedih sangat. Kenapa…”
            “Kenapa Lisa nak fikir pasal orang lain?” Ayat Zarimi itu membuat Alisa terdiam.
            “Maksud abang?” Alisa tidak faham maksud kata-kata lelaki itu. Lain macam aje bunyinya.
            Zarimi mengangkat diari hitam di tangannya. Alisa yang melihat, terus kaku tanpa kata. Diari itu! Semalaman dia mencari malam tadi. Rupa-rupanya ada pada Zarimi.
            Zarimi?! Alisa telan liur. Adakah lelaki itu sudah membaca segala-gala yang tertulis di dalamnya?
            Zarimi mendekati Alisa perlahan-lahan. “Abang mintak maaf,” ucapnya perlahan.
            Mata Alisa berkaca-kaca. Sebak datang lagi. Dia menundukkan kepala. Tidak sanggup rasanya berdepan dengan apa yang terjadi. Ya Allah, kuatkanlah aku. Doa itu dititipkan lagi di dalam hati.
            “Abang tak tahu selama ni Lisa cintakan abang. Abang memang bodoh, tak mampu nak nilai cinta suci Lisa. Abang buta, tak tahu mana kaca, mana permata. Maafkan abang,” ucap Zarimi perlahan, penuh syahdu.
            Menitis juga air mata Alisa. Ucapan itulah yang sangat didambakan selama ini. Diri terasa seolah-olah berada di dalam mimpi. Terlupa seketika tentang Damia. Yang ada kini hanya dirinya bersama Zarimi, lelaki yang dicintai sepenuh hati.
            “Lisa tahu kenapa abang tak nak kahwin dengan Mia?”
            Alisa menggeleng dengan kepala yang masih menunduk.
            “Sebab abang mula sedar satu perkara. Abang tak perlukan Mia dalam hidup abang. Kenapa abang nak pertaruhkan masa depan abang dengan orang yang tak pernah hargai abang? Abang bukan lelaki dayus. Abang tak nak bertanggungjawab atas kesalahan yang bukan abang buat,” ujar Zarimi, penuh maksud mendalam.
            Alisa mendongak. Mata bertentang mata. Terasa getaran ada di hati masing-masing.
            “Abang mintak maaf, tapi abang tak boleh terima Mia dalam hidup abang. Abang… abang nak Lisa dengan abang. Lisa. Bukan Mia…” tekan Zarimi lagi.
            Alisa sudah pun teresak-esak. Terharu hatinya dengan luahan itu. “Tapi, Mia…”
            “Mia perlu berubah. Mungkin dengan musibah ni, dia akan sedar kesalahan dia selama ni. Lagipun, dia tak cintakan abang. Abang janji, abang akan cintakan Lisa sampai akhir hayat abang. Lepas Lisa habis belajar nanti, kita kahwin. Ya?”
            Alisa merenung wajah Zarimi dengan hati berbunga cinta. Akhirnya, impiannya menjadi kenyataan. Ternyata, Allah mendengar doanya selama ini. Lantas, dengan sepenuh hati, dia mengangguk. Terukir senyuman di bibir masing-masing. Ya Allah, terima kasih untuk cinta ini.
*=*=*=*=*=*=*=*=*=*
p/s --> Cerpen ni diilhamkan dari lagu Aku dan Air Mata nyanyian Hijau Daun. Kalo nak dengar, boleh klik [sini]. Maaf atas kekurangan. Komen ye? Terima kasih... :)
~end

10 comments:

RinsyaRyc said...

huhu... akak expect Zarimi dngan mia... huhuhuhu ...

[AYUMI AFIQAH] said...

hehehee...

S.Kausari said...

Jangan-jangan Alisa saja jatuhkan diari kot?... :D

[AYUMI AFIQAH] said...

hahaa... x de la.. mmg betul TERjatuh tu.. hihi

Anonymous said...

Cerita yang sedih...
TApi ManTop..

~Anisah~

[AYUMI AFIQAH] said...

eh? hehee... thanks adik anisah.. :)

cik puan ema said...

sambunglah lg apasal mia...walaupun cerpen but nice story...hope blh continue

Aisyah Rosli said...

Wah.. tahniah.. bestnya cerpen ni.. hope dapat tingkatkan lg ^^

Aisyah Rosli said...

Wah.. tahniah.. bestnya cerpen ni.. hope dapat tingkatkan lg ^^

Aisyah Rosli said...

Wah.. tahniah.. bestnya cerpen ni.. hope dapat tingkatkan lg ^^

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...