++ Suntikan Semangat! ++

Thursday, January 26, 2012

- Kau VIP di hati ku 3 -

Episod 3

KETIKA sedang makan bersama Yana di kantin, Fathir tiba-tiba datang menegurku.

"Hai, Cici!" sapa Fathir bersama senyumannya.

"Cici aje?" Yana menyampuk dengan muka tercemik.

Fathir berpaling ke arah Yana. "Eh, Yana pun ada jugak. Tak perasanlah pulak tadi." Dia tergelak kecil.

Melihat Yana menarik muka, aku ikut tergelak sama. Walaupun perkenalanku dengan Fathir belum sampai seminggu, tapi aku sudah mula selesa berkawan dengannya. Dia baik, mesra dan paling penting, tidak suka mengambil kesempatan. Aku tidak perlu berasa takut setiap kali dia datang menghampiriku. "Awak tak makan ke?" tanyaku sambil memandang wajahnya.

"Dah kenyang. Lagipun kejap lagi kena masuk lab. Eh, saya pergi dululah. Bye!" Fathir melambai ke arahku dan Yana sebelum terus beredar pergi.

Aku kembali menatap nasi gorengku. Terasa kakiku di bawah meja ditendang, aku kembali mendongakkan wajah. "Apa?"

"Aku tengok kau makin rapat aje dengan Fathir tu. Ada apa-apa ke?" Yana mengusik sambil tergelak-gelak halus.

Aku tergeleng-geleng menafikan. "Mana ada. Aku dengan dia kawan ajelah. Lagipun, dia kan budak baru kat sini. Tak ada kawan ramai lagi. Tak salah kan kalau aku nak baik dengan dia?" ujarku sekali gus menepis sangkaan Yana. Bagiku, tiada salahnya jika aku mahu berkawan dengan Fathir. Berkawan, tidak semestinya mahu bercinta.

Yana masih tersenyum-senyum. Melihat reaksinya itu, aku tahu dia masih belum berpuas hati dengan jawapanku tadi. Aku buat muka selamba sambil terus menyuap makanan. Baru saja sesuap nasi masuk ke mulut, aku merasakan ada sepasang mata sedang merenungku tajam. Awalnya, aku cuma buat tidak endah. Tetapi bila merasakan mata itu terus menyoroti wajahku hingga membuatkan aku tidak selesa, aku berpaling juga akhirnya. Anak matanya bertemu dengan anak mata Ashraf, membuatkan aku terus terdiam, tertelan air liur.

Wajah Ashraf serius sekali menatapku. Entah kenapa dia perlu merenungku begitu, aku sendiri tidak tahu. Aku ada buat salah pada dia ke? Seingat aku, tidak. Tetapi kenapa dia bermasam muka denganku? Oh! Lupa pula, dia mana pernah senyum pun dengan aku. Aku tersenyum sendiri dengan kebodohanku.

Ekor mataku memerhati langkahnya yang kian menjauh keluar dari kantin sekolah. Tidak semena-mena, terlepas keluhan dari dua ulas bibirku ini.

>>>>>>>>>

Aku memanjangkan leher mencari kelibat Ashraf. Sebaik tamat kelas terakhir tadi, dia terus menghilang entah ke mana. Kasihan Pak Soh, terpaksa menunggu anak majikan yang entah mana perginya. Kerana itulah, aku terpaksa juga keluar dari kereta untuk mencari Ashraf. Melihat kelibat dia bersama tiga orang rakannya di bawah pokok di hujung padang, aku segera mendekat.

"Ash, awak tak nak balik ke? Pak Soh dah tunggu lama," ujarku, menguatkan sedikit suara untuk menyaingi suara kuat rakan-rakannya.

Ashraf berpaling ke arahnya. Senyuman dan gelak tawa yang tadi terukir terus mati sebaik melihat wajahku. Tanpa membalas kata-kataku, dia kembali memandang rakan-rakannya dan menyambung perbualan. Dapat aku lihat senyuman sinis di bibir Mus, Tam dan Ayie.

"Ash, jomlah balik. Dah lewat ni," panggilku lagi. Tidak mahu peduli apa saja yang ada di fikiran ketiga-tiga mereka saat ini.

Ashraf berdecit sebelum berpaling padaku. "Kalau kau nak balik, balik ajelah! Tak payah nak menyemak kat sini. Sakit hati aku ni tengok muka kau tau?"

Kasar suaranya menggores hatiku. Aku tertunduk. Mus, Tam dan Ayie sama-sama mentertawakanku. Bodohkah aku kerana tidak melawan? Apa hakku untuk melawan? Lagipun, dia anak majikan ibuku. Mana mungkin aku boleh melawan setiap kata-katanya. Dan yang paling penting, dia sudah kuanugerahkan pangkat VIP di hatiku. Lantas, aku berpaling dan segera membuka langkah. Tanpa aku sedari, seseorang sedang memerhatiku dari jauh. Sebaik saja terdengar dia memanggil, aku berpaling. Terukir senyuman di bibirku melihat Fathir di situ.

"Awak dah nak balik ke?" tanya Fathir. Kami berjalan beriringan menuju ke arah pagar sekolah.

Aku mengangguk. "Pak Soh dah tunggu kat luar," jawabku jujur.

Fathir terangguk-angguk. "Saya nampak Ashraf marah awak tadi. Apa kena dia tu? Sesuka hati aje nak marah awak. Kenapa awak tak melawan?"

Aku terdiam seketika. Langkah kakiku semakin perlahan. "Dia sebenarnya... anak majikan ibu saya. Saya dah biasa kena marah dengan dia. Dah tak kisah dah," jawabku walau hakikatnya, aku tetap terasa hati dengan kemarahannya yang tiba-tiba tercetus tanpa sebab sebentar tadi. Atau mungkin juga, dia benci mendengar suaraku ini?

"Oo..." Fathir terangguk-angguk. Mungkin mula faham kedudukanku di mata Ashraf.

Tidak sempat untuk aku berkata lanjut bila tiba-tiba terasa tubuhku dirempuh dari belakang, di tengah-tengah antara aku dan Fathir. Aku tidak sempat mengawal imbangan badan membuatkan aku jatuh terduduk di atas padang. "Aduh!" Aku terjerit kesakitan.

"Cici!" Fathir menerpa ke arahku. "Awak okey?" Dia cuba membantu aku bangun.

Aku menggagahkan diri untuk bangkit berdiri. Buku laliku terasa sengal. Aku mendongak memandang ke depan. Kelihatan Ashraf sedang tercegat di depanku dengan renungan tajam.

"Cepatlah jalan tu! Tadi nak sangat balik! Kau ingat kereta kat luar tu bapak kau punyer?!" jerkah Ashraf kasar. Kemudian, dia terus berpaling dan menapak laju ke pintu pagar.

Aku berusaha melawan rasa sakit pada buku laliku. Fathir cuba membantu tetapi aku tidak mengizinkan.

"Walaupun dia tu anak majikan ibu awak, tapi tak sepatutnya dia layan awak macam ni. Dia yang sebabkan awak jatuh, lepas tu elok aje pergi macam tu. Bukannya nak mintak maaf!" Fathir merungut-rungut. Daripada nada suaranya, aku tahu dia tidak berpuas hati dengan tingkah Ashraf tadi.

"Tak apalah, awak. Sakit sikit aje ni. Saya pergi dulu." Aku meminta diri. Tanpa bertangguh, aku segera berjalan ke arah pagar sekolah dalam kepayahan menahan rasa sakit di kaki.

>>>>>>>>>>

2 comments:

Misz Mardha said...

Aww <3 Sweet gitu . Ashraff suka dkt Cici ehh ? Cool and awesome :D

[AYUMI AFIQAH] said...

nk tau kena laa tunggu sampai abes. :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...