++ Suntikan Semangat! ++

Sunday, January 22, 2012

- Kau VIP di hati ku 2 -

Episod 2

PENAT menanti, aku akhirnya tertidur di atas bangku dengan beralaskan meja. Entah berapa lama aku tidur, aku sendiri tidak sedar. Hanya selepas mendengar hempasan buku di atas meja itu, barulah aku terjaga. Aku mengangkat kepala sambil tangan menggenyeh-genyeh mata, membuang rasa kantuk yang masih memberat di situ. Aku mendongakkan kepala. Jelas Ashraf sedang merenungku dengan pandangan tajam.

"Kau buat apa kat sini?" tanya Ashraf kasar.

"Err... saya tunggu awak," jawabku jujur. Takut juga melihat renungannya itu biarpun aku sudah terbiasa dengan renungan sebegitu.

"Aku suruh kau balik dulu tadi, kan?"

"Memang... tapi rumah awak kan jauh. Saya tak larat nak jalan kaki," ujarku lagi dengan suara merendah. "Awak dah habis latihan?" Aku memberanikan diri bertanya. Melihat dia yang memakai t-shirt biasa bersama seluar trek dan beg yang tergantung di bahu, aku yakin dia sudah tamat latihan bola sepak sebentar tadi.

"Dah. Bawak beg aku." Ashraf meletakkan begnya di depanku. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia segera berlalu ke arah pintu pagar sekolah.

Terkocoh-kocoh aku bangkit dari bangku. Begnya aku capai sekali bersama dengan buku-bukuku. Baru selangkah aku berjalan, terasa tali kasutku mula longgar. Aku kembali duduk membetulkan tali kasut itu.

"Woi! Kau buat apa lagi tu? Tadi nak balik sangat! Nak aku tinggalkan kau kat sini ke?" Ashraf berpaling padaku dengan sebelah tangan bercekak pinggang. Raut wajahnya jelas marah.

Aku segera bangun dan menggalas kedua-dua beg. "Maaf, tali kasut saya tercabut tadi." Aku memohon maaf sambil melangkah menghampirinya. Tanpa mempedulikan aku, dia segera berpusing dan meneruskan langkah mendapatkan kereta. Pak Soh sudah sedia menanti di situ.

>>>>>>>>>>

Sedang asyik aku menelaah pelajaran, aku terkejut mendengar bunyi pintu bilikku diketuk. Aku bangun, meninggalkan bukuku di atas meja mendapatkan pintu. Sebaik pintu terbuka, aku terkejut melihat Ashraf sedang tercegat di depanku. Ashraf menghulurkan buku di tangannya kepadaku.

"Aku nak buat kerja Add Math ni untuk aku. Kau kan bijak, kalau buat latihan tak pernah salah. Jadi aku nak buat biar semua betul. Jangan ada satu pun salah. Faham?" Walaupun perlahan, tetapi nadanya itu kedengaran cukup tegas.

Aku terkebil-kebil sebentar menatap buku di tangannya.

"Kau dengar tak ni?" Ashraf menekan sedikit suaranya.

Membuatkan aku tersentak. Laju kepalaku mengangguk sambil tangan mengambil buku itu dari tangannya.

"Jangan sampai mama dan papa aku tahu pasal hal ni. Kalau diorang tahu, kau tahu apa nasib kau," ujar Ashraf sedikit berbisik. Aku sudah biasa dengan ugutan sebegitu. Sedangkan dia sendiri tahu, tidak perlu diberi ugutan sebegitu pun, aku tetap tidak akan melaporkan apa-apa kepada orang tuanya. Bukankah dia sudah diberi pangkat VIP di hatiku?

Aku mengangguk. Dapat kulihat senyuman puas di bibirnya. Walaupun senyuman itu bukan untukku, hatiku tetap rasa gembira melihat dia senyum begitu. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia berpaling dan meninggalkan aku di bilikku ini. Mujurlah ketika ini ibu tiada di bilik. Tidak perlulah aku bersoal jawab dengan ibu lagi.

>>>>>>>>>>

Aku terbangun lewat pagi keesokannya. Menyebabkan aku tidak sempat menjamah sarapan pagi sebelum ke sekolah. Semuanya gara-gara aku tidur lambat malam tadi. Kenapa? Sudah pastilah kerana menyiapkan kerja rumah untuk Ashraf. Bersusah payah aku menyiapkan semuanya. Sudahlah soalan yang cikgu beri itu sangat payah, aku terpaksa pula membuat dengan baik agar tiada satu pun yang salah. Sudahnya, aku tertidur ketika jarum jam sudah hampir ke pukul 4.00 pagi.

Kelas pagi itu dimulakan dengan kelas Bahasa Melayu. Mataku semakin lama semakin layu. Aku benar-benar mengantuk. Kolam mataku terasa bagai menampung air. Tidak perlu memaksa, kedua-dua kelopak mataku bagai terkatup dengan sendirinya.

"Nasyahira!"

Aku tersentak mendengar Cikgu Adim memanggil nama penuhku. Terus tertegak badanku dengan mata yang membulat. Rasa kantuk tadi entah sudah pergi melayang ke mana.

"Awak ingat kelas saya ni hotel untuk senang-lenang awak nak tidur?" Mencerlung garang wajah Cikgu Adim menatap wajahku.

Aku tertunduk takut. Pasti semua mata sedang terarah padaku. Malunya! "Maaf, cikgu... saya tak sengaja tertidur tadi," balasku cuba membela diri.

"Pantang bagi saya kalau ada pelajar yang tidur masa saya mengajar," tekan Cikgu Adim.

Aku semakin kecut perut. Sempat kukerling ke arah Yana yang sedang merenungku dengan pandangan penuh simpati.

"Awak keluar sekarang," arah Cikgu Adim membuatkan aku terkejut. Aku terpempan di tempatku tidak bergerak.

"Keluar sekarang." Cikgu Adim menekan suaranya.

Aku menunduk lagi. Cikgu Adim memang terkenal dengan sifat garangnya. Jika arahannya tidak dituruti, makin teruk hukuman yang bakal aku terima. Lantas, aku turutkan saja. Berjalan perlahan-lahan keluar dari kelas. Dapat aku menangkap jelingan sinis beberapa orang pelajar di dalam kelasku. Ashraf? Entah! Aku takut untuk memandang wajahnya kerana aku bagai dapat mengagak apa yang sedang dia lakukan. Hanya apabila berada di luar kelas, barulah aku dapat melihat senyuman mengejeknya yang diukirkan khas untukku. Aku memendam rasa kecewa jauh-jauh ke dasar hati. Tidak tahukah dia, aku tertidur di dalam kelas pagi ini kerana menyiapkan kerja sekolahnya malam tadi?

Tiba-tiba aku terasa tubuhku dilanggar dari arah belakang. Mujurlah aku tidak jatuh tersungkur. Segera aku berpaling ke belakang.

"Err... sorry, awak... saya tak sengaja. Saya tengah cari pejabat tadi. Entah macam mana boleh tersesat sampai ke sini," ucap pelajar lelaki yang melanggarku tadi.

"Ohh... tak apa," balasku. Aku terdiam selepas itu. Rasa-rasanya, aku tidak pernah melihat pelajar lelaki itu di mana-mana sebelum ini. Pelajar barukah? "Kenapa awak nak cari pejabat?"

Lelaki itu tersenyum. "Saya pelajar baru. Baru sampai ni, ingat nak cari pejabat. Tapi saya tak tahu kat mana-mana. Jalan punya jalan, tersampai pulak kat sini." Ada gelak kecil di hujung katanya. "Emmm... boleh tak awak tolong saya?" pintanya.

"Kalau nak tolong tunjukkan arah tu boleh. Tapi kalau nak suruh saya bawak awak pergi sana, tak boleh rasanya. Saya ada kelas sekarang ni," jawabku jujur. Langsung tidak berasa kekok bercakap dengan lelaki itu biarpun aku belum kenal siapa orangnya.

"Kelas? Tapi saya tengok awak berdiri aje kat sini..." Wajah lelaki itu jelas terpinga-pinga.

Aku menunduk sedikit. Terasa wajahku mula memerah. Bagaimana aku mahu memberitahunya bahawa aku sekarang sedang didenda. Entah kenapa, saat ini aku merasakan ada sepasang mata sedang merenungku tajam. Aku segera menoleh ke dalam kelas. Anak mataku berlaga dengan anak mata Ashraf. Melihat renungan tajamnya, aku jadi gerun.

"Cikgu! Cuba tengok 'pemandangan' kat luar tu. Cantik sangaaattt!" Ashraf berkata sambil memandang ke arah Cikgu Adim. Jelingan sinis ke wajahku.

Aku mula pucat wajah. Jantungku berdebar-debar. Bala apa pula kali ini? Aku tidak dapat lari lagi bila Cikgu Adim sudah menghampiriku dengan wajah bengis. Apa lagi yang boleh aku lakukan melainkan menerima saja segala amarahnya?

>>>>>>>>>>

Perut yang lapar membuatkan aku tidak bertangguh untuk ke kantin sekolah sebaik tiba waktu rehat. Sedang aku dan Yana berjalan menghampiri pintu kelas, aku ternampak lelaki yang aku belum ketahui namanya itu berdiri di situ. Melihat aku, dia terus tersenyum.

"Awak, saya nak mintak maaf pasal tadi. Disebabkan saya, awak kena marah dengan cikgu awak. Maafkan saya?" pinta lelaki itu dengan suara yang lembut.

Yana di sebelahku sudah menyenggol-nyenggol lenganku. Aku faham maksud senggolannya itu tetapi aku malas ambil pusing. "Tak apa, awak tak salah pun. Awak cuma nak mintak tolong, kan?" ujarku, membalas kembali senyumannya.

Dia mengangguk-angguk. "Oh! Lupa pulak nak cakap. Saya Fathir," ujarnya, memperkenalkan diri.

"Nasyahira, tapi orang biasa panggil saya Cici," balasku.

"Saya Yana," sampuk Yana sambil tersengih-sengih.

Aku tergelak kecil melihat telatahnya. Belum sempat aku berkata lagi, tiba-tiba saja Ashraf keluar dari pintu kelas. Dengan selambanya dia berjalan dan melanggar bahu Fathir. Aku yang melihat, terus terbuntang biji mata.

"Eh, yang kau ni apahal? Tiba-tiba aje main langgar." Fathir bertanya dengan wajah bengang.

Aku sudah mula kecut perut. Janganlah hendaknya tercetus pergaduhan di sini. Namun, tekaanku silap bila Ashraf hanya menonong pergi tanpa mempedulikan kemarahan Fathir. Fathir mara ke depan, mahu mengejar langkah Ashraf tetapi aku cepat-cepat menahan langkahnya.

"Awak, saya mintak maaf bagi pihak dia. Jangan marah ya?" pintaku dengan wajah takut-takut. Benar-benar berharap agar Fathir tidak memanjangkan hal ini lagi.

Fathir mengeluh. Kemudian dia memandangku. "Okey." Perlahan dia menjawab dan akhirnya tersenyum untuk tatapan mataku.

"Thanks," ucapku dengan rasa lega yang tak terperi.

>>>>>>>>>>

3 comments:

LaLaTiRam97 said...
This comment has been removed by the author.
zahra said...

dah lame tunggu cite ni..sambung lagi ye? hehe :)

[AYUMI AFIQAH] said...

insyaAllah... tenkiu :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...