++ Suntikan Semangat! ++

Sunday, December 18, 2011

- Kau VIP di hati ku 1 -

Episod 1

UNIFORM sekolah yang tergantung pada pintu almari baju yang telah siap digosok itu aku capai. Sempat anak mataku terhala ke arah jarum jam yang terletak di atas meja di sisi katil. Sudah pukul 6.45 pagi. Kalut aku menyarungkan baju sekolah itu ke tubuhku. Setelah itu, aku mencapai sisir dan menyikat rambut panjangku sebelum mengikatnya menjadi satu. Setelah puas dengan penampilanku, aku mencapai pula beg sekolah dan beberapa buah buku di atas meja studiku. Kemudian aku melangkah keluar dari bilik untuk ke ruang makan. Mujurlah bilik yang aku kongsi bersama ibu ini terletak di tingkat bawah. Jadi, aku tidak perlu berlari menuruni tangga untuk ke ruang makan. Sebaik aku tiba di ruang makan, kelihatan Dato' Rashdan dan Datin Aisyah, yang lebih mesra aku panggil sebagai uncle dan aunty sudah sedia menanti di situ. Melihat aku, Aunty Aisyah segera memanggilku supaya menghampiri.

"Mari sini, Cici. Duduk, kita makan sama-sama," ajak Aunty Aisyah, sungguh mesra sekali.

Walaupun aku ini cuma anak pembantu rumah di sini, Aunty Aisyah dan Uncle Rashdan sudah menganggap aku seperti anak mereka sendiri. Dan tak keterlaluan jika aku mengatakan, mereka berdua menyayangi aku sama seperti mereka menyayangi anak teruna mereka sendiri.

Aku turutkan permintaan Aunty Aisyah. Kerusi di sebelahnya aku tarik dan duduk di situ. Aunty Aisyah mencedokkan nasi goreng ke dalam pingganku. "Terima kasih, aunty," ucapku bersama senyuman yang aku ukir manis sekali.

"Sama-sama. Makan banyak-banyak," balas Aunty Aisyah lembut.

Aku terus menyuap nasi ke mulut. Baru dua suap nasi itu masuk ke perutku, aku terasa kerusi di depanku ditarik. Aku mendongakkan kepala. Jelas di mataku, Ashraf duduk di situ. Sempat mataku singgah pada rambutnya yang masih basah itu. Nampak sangat baru lepas mandi, detik hatiku. Perasan dengan renunganku, Ashraf segera menoleh ke wajahku.

"Apa tengok-tengok?" tanya Ashraf sedikit kasar.

Kepalaku spontan tertunduk semula.

"Ash!" tegur Uncle Rashdan, mungkin tidak senang dengan tingkah anaknya itu.

Tetapi bagiku, itu semua perkara biasa. Aku sudah lali dengan jerkahan, perlian dan apa saja jenis cemuhan yang sering keluar dari mulut Ashraf, satu-satunya anak Uncle Rashdan dan Aunty Aisyah. Tetapi, biarpun sudah bermacam-macam yang lelaki ini lakukan padaku, sekeping hatiku ini tetap tidak berganjak dari terus menyukai dia. Malu untuk mengaku, tapi itulah hakikatnya. Sudah lama aku menyimpan perasaan pada anak lelaki Uncle Rashdan dan Aunty Aisyah ini, sejak dari hari pertama aku menjejakkan kaki ke rumah ini, kira-kira dua tahun yang lalu. Ketika itu, aku baru saja kehilangan arwah ayahku dan ibuku pula diterima untuk bekerja di sini. Dan sejak itu juga, aku menggelarkan Ashraf sebagai VIP di hatiku.

Jauh aku berkhayal hingga tidak sedar Ashraf dan Uncle Rashdan sudah bangun dan berjalan menuju ke luar rumah. Hanya setelah mendengar namaku dipanggil kasar oleh Ashraf, barulah aku tersedar.

"Woi patung! Cepatlah sikit!"

Panggilan kuat lagi kasar itu hampir buat aku tersedak. Itulah panggilan Ashraf untukku. Dia memanggil aku begitu kerana katanya, muka aku macam patung. Putih melepak dengan mata yang bulat. Walaupun itu merupakan satu ejekan baginya, tetapi bagiku itu merupakan satu pujian. Bukankah patung sangat cantik dan comel? Tidak sempat aku berangan jauh, terdengar lagi namaku dipanggil.

"Cici dah siap makan? Pergilah cepat, Ash dah bising tu," bisik Aunty Aisyah di telingaku.

Aku mendongakkan muka memandang Aunty Aisyah. Melihat senyuman di bibirnya, aku pantas mengukirkan senyuman. Sesudah menyalami tangannya, aku bergegas ke dapur mahu bersalam dengan ibuku pula. Ibu menghantar pemergianku ke sekolah dengan kucupan di pipi. Aku membalasnya. Kemudian, barulah aku berlari mendapatkan pintu rumah. Ashraf tercegat di luar rumah sambil bercekak pinggang memandangku. Perlahan-lahan aku tunduk menyarungkan kasut.

"Kau ni lembaplah! Cepatlah sikit, dah lambat ni!" marah Ashraf.

Aku sekadar menganggukkan kepala. Beg yang terletak di tepi pintu rumah aku capai dan aku sangkutkan ke bahu. Kereta BMW milik Uncle Rashdan sudah tidak ada di garaj, menandakan dia sudah bertolak ke tempat kerja.

"Patung, cepatlah!" Sekali lagi aku terdengar suara kuar Ashraf. Dia sudah berdiri di sisi pintu kereta dengan wajah garang. Di tempat pemandu, Pak Soh sudah sedia menanti.

Aku segera menghampiri kereta. Melihat aku mendekati kereta, Ashraf segera masuk ke tempat duduk belakang sementara aku mengambil tempat di sebelah pemandu. Aku hanya diam sepanjang perjalanan. Tetapi hatiku ingin sekali melihat seraut wajah VIP di hatiku itu. Biarpun bicaranya sering kasar denganku, hatiku tetap tidak pernah ragu untuk meletakkan dia sebagai orang yang paling istimewa di hatiku.

Sampai saja di depan pintu pagar sekolah, Ashraf segera keluar. Aku juga ikut keluar. Ashraf tiba-tiba menyerahkan beg sekolahnya kepadaku. Faham dengan maksudnya, aku segera mengambil beg itu dari tangannya. Dia berjalan masuk ke kawasan sekolah dengan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket seluar. Aku pula, berjalan di belakangnya dengan membawa dua buah beg sekolah. Anehnya, hatiku langsung tidak berasa marah dengan perbuatannya itu. Sebaliknya, aku berasa marah bila melihat banyak mata pelajar-pelajar perempuan yang tertoleh ke arahnya.

Sampai di kelas, aku mengekori langkahnya ke tempat duduknya. Sebaik saja di duduk di tempatnya, begnya segera aku serahkan. "Letak aje," arahnya.

Aku meletakkan begnya di atas mejanya. Kemudian, aku segera beredar ke tempatku. Beberapa orang rakannya, Ayie, Mus dan Tam mengerumuninya. Sempat telinga ku menangkap perbualan mereka.

"Untunglah kau ni... ada bini yang boleh tolong bawak semua barang kau!" kata Tam sambil menepuk bahu Ashraf.

"Apa kau cakap? Bini aku?"

Tam, Mus dan Ayie tergelak kuat.

"Korang cakap elok-elok sikit. Tak ada kerja aku nak kahwin dengan patung tu!" balas Ashraf dengan suara yang kasar.

Aku menutup kekecewaan yang aku rasa dengan cuba berlagak selamba. Buku teks Sejarah aku keluarkan dari beg sekolahku, sekadar mahu menyibukkan diri sedangkan hakikatnya, bicara pedas Ashraf bagaikan masih terngiang-ngiang di telingaku. Wahai hati, kenapalah kau masih menganggap dia VIPmu?

>>>>>>>>>>

Tiba waktu rehat, aku dan rakanku Yana melangkah beriringan menuju ke kantin. Baru saja tiba di muka pintu kelas, aku terdengar Ashraf memanggil namaku.

"Patung!"

Aku berpaling ke arahnya yang masih statik di tempatnya bersama tiga orang rakannya di situ. "Ya?"

"Pergi beli kerepek empat bungkus dekat koperasi. Jangan lupa beli air kotak sekali!" arah Ashraf dengan suara tegas.

Mungkin benar aku ini patung baginya. Langsung tidak punya hati dan perasaan. Maka itu, dia bebas berkata dan mengarah apa saja kepada aku. Aku mengangguk dan mengajak Yana untuk ke koperasi sekolah.

"Kenapalah kau ikut aje apa yang mamat tu suruh? Bukannya dia raja semua nak kena ikut cakap dia!" bebel Yana dengan muka tak puas hati.

"Dia kan anak majikan ibu aku? Mestilah aku kena ikut semua  cakap dia," balasku tenang.

"Tapi ni dah melampau! Dia ingat dia siapa, sesuka hati nak mengarah orang itu ini? Setahu aku, mama dengan papa dia pun tak pernah layan kau seteruk tu, kan?" ujar Yana.

Aku diam. Memang hakikat itu tidak dapat dinafikan. Mungkin aku bodoh, mungkin juga aku bangang. Tetapi, kalau dah hati sendiri tak mampu nak menolak, apa lagi yang boleh dilakukan?

>>>>>>>>>>

Loceng terakhir dibunyikan. Sebaik mendengar suara Cikgu Khamisah menamatkan kelas hari ini, aku segera mengemaskan barang-barangku dan menyumbatnya ke dalam beg. Aku bangkit berdiri sambil menoleh ke arah Ashraf yang duduk di belakang. Lelaki itu masih asyik bersembang di situ tanpa langsung ada tanda-tanda mahu pulang.

"Jom, Cici!" ajak Yana sambil memegang lenganku.

"Kau pergilah dulu. Aku tunggu Ashraf," balasku perlahan.

Yana memuncung. Aku tersenyum manis, memujuk. "Yalah!" ujarnya dan kemudian melangkah keluar dari kelas.

Aku mendekati Ashraf. "Ashraf, awak tak nak balik ke?"

Ashraf menoleh ke arahku. Bukan cuma dia, tetapi juga Ayie, Mus dan Tam. "Petang ni aku ada latihan bola. Balik lambat," ujarnya.

"Ohh... jadi..."

"Aku dah suruh Pak Soh datang ambik petang karang, pukul 5.30. Kalau kau nak balik, baliklah dulu," ujarnya lagi.

"Habis... saya nak balik dengan apa?" Aku bertanya lagi. Cuak juga jadinya bila dia tiba-tiba merenungku dengan pandangan yang sangat redup. Boleh buat hatiku jadi cair!

"Jalan kakilah!" jawab Ashraf. Ada senyuman di bibirnya. Namun aku tahu, senyuman itu sungguh sarkastik. Langsung tidak ikhlas.

Aku terdiam sebentar. Jalan kaki? Tidakkah dia tahu perjalanan dari sekolah ini ke rumahnya sangatlah jauh? Bagaimana aku mahu pulang dengan berjalan kaki. Melihat aku terus tercegat di situ, dia mengajak rakan-rakannya keluar dari kelas untuk ke padang. Aku hanya memandang dengan mata terkebil-kebil. Apa lagi pilihan yang aku ada melainkan menunggu sehingga dia habis latihan petang nanti?

>>>>>>>>>>

2 comments:

SayaJah said...

best la..suka suka.. :D

[AYUMI AFIQAH] said...

thanks :)
insyaAllah akn d smbung ckit2..:)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...